CEREKANA # 13X14 Lembu Yang Berkata-kata

***Untuk men CARI lain-lain TAJUK sila KLIK nama bulan di bawah ARCHIVE di kanan SKRIN, Kemudian SKROL

Lembu Yang Berkata-kata

Akhir-akhir ini umat Islam Malaysia rata-rata sebok bercakap tentang lembu. Kambing tak pula menjadi buah percakapan sepopular lembu. Sebab apa agaknya ya ? Sebab lembu jauh lebih murah dari kambing. Sekarang ini musim orang buat korban. Untuk menunaikan fardu koban, seekor kambing harganya kira-kira rm800. Tetapi setompok lembu korban baru rm450.  Oleh sebab itu, maka lembu lebih popular dari kambing khususnya untuk membuat ibadat korban.

Dahulu memang ada usaha untuk mengurangkan lagi harga lembu di pasaran tempatan. Itu adalah satu aspirasi murni kerajaan demi kebajikan rakyat. Untuk itu kerajaan telah bermurah hati memberi pinjaman kepada sebuah syarikat koperat yang berjanji akan mencapai aspirasi tersebut. Yang dipinjamankan kerajaan bukan beberapa juta, bahkan ratusan juta. Malangnya aspirasi hanya tinggal aspirasi. Lembu bukan lebih murah malah lebih mahal. Maka suka tak suka, harga lembu korban pun turut bertambah mahal.

Acik baru saja balik dari bercuti di Cameron Highlands malam tadi. Subuh semalam ketika nak ke masjid Tanah Rata untuk solat berjemaah, kereta Acik tak boleh keluar dari lot parkir. Depan dan belakang ada kereta lain menghalang laluan. Sakit sungguh hati Acik dibuatnya.  “Kalau kamu (pemilik kereta-kereta berkenaan) tak nak buat kebajikan, jangan pula menghalang orang lain yang ingin membuat kebajikan”. Itu kira-kira kata hati kecil Acik terhadap pemilik kereta-kereta tersebut.

Kebajikan yang Acik maksudkan itu ialah solat subuh berjemaah di masjid. Biasanya tak ramai umat Islam yang nak berebut ke masjid khususnya untuk solat subuh berjemaah. Lebih-lebih lagi di Cameron Highlands yang sangat sejuk jika dibandingkan dengan Lembah Kelang itu.  Jadi, untuk ke masjid juga, maka terpaksalah tumpang kereta jiran. Yang bagusnya ialah sempat juga bersembang-sembang dalam perjalanan.

Dalam perjalanan pulang dari masjid, sempat juga berbual tentang pemilihan Ketua Wanita UMNO. Kata jiran Acik tu, Datuk Maznah Mazlan ada peluang menang sebab penyandang tercemar dengan kes lembu. Maksud beliau tak lain tak bukan ialah kes NFC, syarikat milik suami penyandang Wanita sekarang. Ini memberi peluang kepada Datuk Maznah untuk menang bagi menggantikan penyandang tersebut.

Bagi warga Cameron Highlands Datuk Maznah bukanlah orang asing. Beliau adalah anak Cameron Highlands. Acik pula sekadar seorang bekas warga Cameron Highlands saja. Acik pun sempat berkenalan dengan ayahanda Datuk Maznah sebelum beliau meninggal dahulu. Selain ayahanda Datuk Maznah Acik juga kenal dengan beberapa adik beradik beliau. Atas dasar setiakawan sebagai warga Cameron Highlands, Acik juga turut berharap Datuk Maznah akan berjaya merampas jawatan Ketua Wanita UMNO demi perubahan positif sayap UMNO berkenaan.

Walaupun Acik bukan ahli UMNO, tidak bermakna Acik tidak ada sebarang hak untuk turut peduli apa nak jadi terhadap UMNO. Bila TV1 menyiarkan berita mengenai pemilihan jawatan-jawating utama dalam UMNO, ia adalah manifestasi bahawa hidup mati UMNO memang penting. Ia penting bukan kepada ahli-ahli UMNO sahaja bahkan terhadap rakyat seluruh negara yang diterajui oleh BN. Ini kerana UMNO merupakan tulang belakang BN. Maka tentulah tak salah jika Acik turut sama warga Cameron Highlands lain menyokong dan mengharapkan kemenangan bagi Datuk Maznah. Lagi pun, umum tentu tahu tentang rekod peribadi Datuk Maznah. Beliau belum lagi dicemari oleh  apa-apa kontroversi berbanding dengan penyandang Ketua Wanita sekarang.

Bila Acik sampai ke apartment tempat Acik menginap di Tanah Rata, Acik terus menonton TV1. Tiba-tiba disiarkan bahawa jawatan Ketua Wanita UMNO yang ditandingi 3 penjuru itu dimenangi oleh penyandang. Nak kata Acik rasa kecewa dengan keputusan tersebut taklah sangat. Tentulah tak sama dengan ahli-ahli UMNO warga Cameron Highlands yang benar-benar ingin melihat Datuk Maznah menang. Bagi Acik, setiap yang berlaku itu adalah kerana kebaikannya. Dalam sistem demokrasi, jika seorang calon itu popular , maka dialah yang bakal menang.  Jika yang menang itu seorang yang hebat maka yang memenangkannya tentulah pengikut-pengikut yang rata-rata agak hebat. Begitulah juga sebaliknya. Apa pun, setiap penang wajar dihormati sepenuhnya.

Namun dengan tak semena-mena tercetus dalam peringatan Acik satu cerita yang berjodol, “Lembu Yang Berkata-kata”.  Cerita ini Acik baca semasa di bangku sekolah rendah dahulu lagi. Sehingga kini, jarak masanya telah mencecah lebih dari setengah abad. Jadi faham-faham sajalah jika ingatan Acik yang dah tua ini gagal mengingati semula cerita tersebut dalam bentul orinya. Ceritanya adalah kira-kira seperti berikut:

Pada zaman pemerintahan Sultan Harun Amir Al Rashid, kononnya ada seorang rakyat bergelar Abu Nawas. Beliau terkenal sebagai seorang yang sangat pintar lagi berilmu pengetahuan yang banyak pada ketika itu. Walaubagaimanapun beliau tidak sanggup menerima jawatan kadhi yang ditawarkan oleh Sultan kepadanya. Ini membuat Sultan amat murka lalu menjatuhkan suatu hukuman yang sangat berat ke atas beliau. Namun, sebelum menjalani hukum tersebut beliau memohon sesuatu kepada Sultan. Pemohonan tersebut diperkenankan baginda. Berdasarkan permohonan tersebut beliau (Abu Nawas) akan menyampaikan kepada baginda sebuah cerita pada tiap-tiap malam. Kononnya, cerita-cerita tersebut berjumlah 1001 semuanya. Dan kononnya cerita “Lambu Yang Berkata-kata” itu adalah cerita yang terakhir sebelum beliau menjalani hukuman berkenaan.

Maka berkatalah Abu Nawas kepada baginda Sultan Harun Amir Al Rashid, “ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Malam ni patik tidak ada lagi apa-apa cerita untuk dipersembahkan kepada Tuanku. Cuma ada satu perkara penting saja lagi yang ingin patik maklumkan kepada Tuanku. Ya, Patik cuma nak maklumkan kepada Tuanku bahawa di dalam Kota Baghdad ini rupa-rupanya wujud lembu yang boleh berkata-kata”.

Sultan amat terkejut lagi hairan terhadap apa yang diberitahu oleh Abu Nawas itu. Lalu baginda pun mencabar Abu Nawas agar membawa lembu berkenaan ke istana mengadap baginda. Abu Nawas pun berjanji akan membawa makluk luar biasa tersebut beberapa hari lagi. Cuma beliau memohon suatu surat tauliah dari baginda. Tauliah tersebut memberi kuasa kepada beliau untuk menangkap dan membawa makluk yang luar biasa itu ke istana tanpa dihalang oleh mana-mana pihak.

Tiba hari Jumaat Abu Nawas pun ke masjid seperti lazimnya. Tetapi kali ini beliau tidak berebut masuk untuk mendapat tempat di dalam saf pertama seperti selalunya. Sebaliknya beliau memilih untuk duduk di dalam saf paling belakang. Bersama-sama beliau ialah beberapa utas tali dan topeng merupai muka lembu.

Sebaik saja imam memberi salam tanda selesainya solat Jumaat, Abu Nawab terus membaca doa rengkas tanpa menunggu doa imam. Kemudian beliau bergegas mninggalkan masjid lalu menghala ke pasar. Di pasar kedapatan beberapa orang lelaki yang diyakini beliau tidak turut bersolat fardu Jumaat di masjid. Beliau pun mendekati seorang demi seorang. Kepada setiap orang beliau bertanya seolah-olah ingin mengetahui darinya hari apakah pada ketika itu. Bagi lelaki yang tidak memberi jawapan yang betul iaitu hari itu adalah hari Jumaat, maka beliau akan terus menunjukkan surat tauliah berkenaan kepadanya. Kemudian beliau mengarah ia supaya mengikuti beliau. Setelah mendapat beberapa orang “pengikut”, beliau pun meninggalkan pasar tersebut dengan diikuti mereka dari belakang.

Abu Nawas pun berjalan menuju ke istana Sultan dengan diekori pengikut-pengikutnya itu. Bila hampir dengan pintu istana maka Abu Nawas pun mengarahkan semua mereka duduk merangkak seperti binatang berkaki empat. Di leher setiap mereka diserelum dengan gelung tali yang telah dibawa bersama-samanya. Kemudian dipakainya mereka topeng yang berwajah lembu itu. Ini membuat semua mereka kelihatan seperti lembu jika seimbas pandang. Dengan mengarahkan mereka supaya merangkak,  beliau pun mengheret mereka masuk ke dalam istana. Surat tauliah yang ada padanya itu membolehkan Abu Nawas mendapat kerjasama yang sangat baik dari setiap pengawal istana. Ini membolehkan beliau masuk ke dalam istana dan terus menuju ke tempat di mana Sultan sedang bersemayam.

Khabarnya, Sultan memang ternanti-nanti kedatangan Abu Nawas sepertimana yang beliau janji. Dari jauh lagi baginda merasa kagum melihat Abu Nawas sedang mendatangi baginda dengan diikuti beberapa ekor makluk yang nenyerupai lembu, tetapi agak kecil dari kebanyakan lembu. Setibanya beliau di hadapan Sultan, beliaupun mempersembahkan kepada baginda semua “lembu-lembu” tersebut.

Maka kata Abu Nawas kepada Sultan, “ampun tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Inilah tuanku lima ekor lembu yang boleh berkata-kata yang patik janjikan tempoh hari. Silalah tuanku periksa setiap dari mereka. Tanyailah mereka adakah mereka manusia ataupun lembu. Ampun tuanku”

Dengan penuh kehairanan, baginda pun mendekati lembu-lembu tersebut. Bila baginda menghampiri “lembu pertama”, baginda agak tersentap. Lembu tersebut tiba-tiba bersuara, “ampun tuanku ribu-ribu ampun. Patik adalah seekor lembu. Nama patik Bengap. Ampun tuanku !”. Kemudian baginda mendekati pula “lembu kedua”. Sekali lagi baginda tersentak oleh suara yang agak garang berbunyi, “ampun tuanku ribu-ribu ampun. Patik adalah seekor lembu. Nama patik Bahlul. Ampun tuanku !”

Seterusnya baginda mendekati pula “lembu ketiga”. Begitu juga aksi dari lembu tersebut yang berbunyi, “ampun tuanku ribu-ribu ampun. Patik adalah seekor lembu. Nama patik Bodoh. Ampun tuanku !”. Kata pula “lembu keempat,   “ampun tuanku ribu-ribu ampun. Patik adalah seekor lembu. Nama patik Bongok. Ampun tuanku !”.  Begitu juga dengan kata-kata “lembu kelima”,  “ampun tuanku ribu-ribu ampun. Patik adalah seekor lembu. Nama patik Bangang. Ampun tuanku !”

Rupa-rupanya Awas Nawas telah bejaya mengajar kelima-lima “lembu” tersebut menghafal ayat-ayat sedemikian sebelum membawa mereka mengadap Sultan. Di kalangan mereka yang paling teruk tahap kelembuannya ialah yang bernama “Bangang”.

Sultan agak keliru dengan apa yang dipersembahkan oleh Abu Nawas kepadanya itu. Dengan tegas tetapi jujur baginda membuka mulut, “ini semua rakyat beta. Apakah anta samakan rakyat-rakyat beta ini dengan lembu ?”

Maka jawab Abu Nawas dengan spontan, “ampun tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Memanglah dari segi fisikalnya sifat-sifat mereka adalah manusia. Namun hakikatnya mereka ini lebih teruk dari lembu. Sekiranya mereka ini manusia sekurang-kurangnya mereka tahu juga bahawa hari ini adalah hari Jumaat. Bagi manusia Islam mereka tentu tahu tanggungjawab mereka untuk ke masjid menunaikan solat fardu jumaat. Hanya lembu sahaja yang tidak diwajibkan bersolat Jumaat. Sebenarnya tuanku, sebelum ini Patik tidak menganggap mereka lembu. Sebaliknya mereka sendiri yang mengakui kepada Tuanku bahawa mereka adalah lembu. Agaknya dengan mengakui demikian, mudah-mudahan mereka terlepas dari tanggungjawab menghadir solat Jumaat. Ampun tuanku !”

Mendengar hujah-hujah Abu Nawas demikian, maka Sultan tidak terkata apa-apa. Sebagai seorang Sultan yang berdaulat, baginda dapat menerima dan memahami maksud tersirat Abu Nawas. Baginda lalu memerintahkan supaya kelima-lima “lembu” tersebut dihantar ke Pusat Pemulihan Minda.  Di madrasah tersebut mereka akan ditarbiah hingga kembali menjadi manusia. Baginda tidak marah terhadap telatah Abu Nawas tersebut. Sebaliknya baginda bersyukur kerana wujudnya di kalangan rakyat jelata baginda, individu yang hebat seperti Abu Nawas. Walaubagaimanapun beliau agak kesal kerana di kalangan rakyat baginda, rupa-rupanya masih ada juga segelintir  “lembu yang berkata-kata”.

Nilai Moral dari CEREKANA di atas:

Kisah dalam CEREKANA tersebut memberi satu sindiran tajam kepada individu-individu yang tidak faham tentang tanggungjawabnya sebagai seorang manusia. Dahlah jahil, tidak pula menuntut ilmu dan tidak tahu/mau pula berfikir. Untuk mengambil jalan mudah, mereka lebih suka mengikut saja arahan secara buta tuli, hingga mudah ditipu dan dieksploitasi.  Mereka ini dianalogikan sebagai lembu. Tahap kelembuan mereka pula ditentukan oleh sejauh mana sifat-sifat kemanusiaan yang hilang dari diri masing-masing. Contohnya, tahap kelembuan paling rendah ialah “bengap” manakala tahap kelembuan paling tinggi ialah “bangang”.

Bangsa Melayu tulen dididik agar sering bermuhasabah diri. Mereka dilarang dari menyamakan sifat diri mereka dengan sifat lembu. Contohnya, kita biasa saja mendengar ungkapan melarang dari, “ jadi bodoh macam lembu !”. Satu lagi ungkapan, “bagai lembu dicucuk hidung” melarang kita dari terlalu patuh tanpa berani melawan atau membantah.  Peribahasa, “Lembu punya susu, sapi dapat nama” pula mengambarkan sifat tidak pandai memanfaatkan hasil dari pengorbanan diri atau kaum sendiri.  Pendek kata, setiap yang dikaitkan dengan lembu akan mengandungi mesej yang negatif. Oleh itu, jalan yang paling selamat ialah  menjauhi diri dari semua pihak yang ada kaitannya dengan isu lembu. Sekurang-kurangnya sehingga isu projek lembu NFC itu tutup buku. Lainlah dengan lembu-lembu yang bakal disembelih sebagai korban tak lama lagi.

Wallahualam.

PenCERAHan lain yang relevan:

CEREKANA # 13914 Strategi Abu Nawas:    https://4uni2c.com/2013/09/14/cerekana-13914-strategi-abu-nawas/

CEREKANA #12X21 Kisah Pemandu Yang BANGANG (The confused driver)  https://4uni2c.com/2012/10/21/kisah-pemandu-yang-bangang-the-confused-driver/

*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK:   www.4uni2c.com

SELINGAN:

Zikir barat “Lembu siapa dia”:    http://www.youtube.com/watch?v=eAf_2xwnLe0

 

@OPajar

# 13X14

Advertisements

~ by OPajar on 2013/10/14.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: