Salam dari State College # 002 Masa itu Emas

*** Untuk menCARI  lain-lain PenCERAHan  sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.

(Pengguna smartphone (sp) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin sp anda)

Masa itu Emas

20140103_09505020140117_093317

Kata Mad Saleh, “ time and tide wait for no one”. Kata Mat Melayu, “masa itu emas”. Malah dalam Al Quran sendiri iaitu dalam surah 103 (Al Asy’), Allah menegaskan tentang kepentingan masa. Oleh itu tidak ada sesuatu yang lebih bernilai jika nak dibandingkan dengan masa. Tapi apakah kita semua pandai menghargai masa ?  Termasuklah juga yang menulis PenCERAHan itu. Namun sama-samalah kita cuba agar kita termasuk ke dalam golongan yang pandai menghargai masa. Mudah-mudahan kita berjaya dunia akhirat.

Gambar sebuah bas yang Acik (Ayah/Abang+cik) muatnaikkan dalam PenCERAHan ini adalah saling tak tumpah dengan bas yang Acik naik kira-kira 30 tahun yang lalu. Berdasarkan ingatan Acik tidak ada perubahan ketara yang dilakukan terhadap identiti bas yang dimiliki oleh Pihak Berkuasa Tempatan itu, dari segi warna, logo dan kod laluan. Namun taklah bermakna yang beroperasi itu adalah mesin-mesin yang sama yang beroperasi ketika Acik berada di sini ketika itu. Dengan lain-lain perkataan, semuanya adalah bas-bas versi baru belaka, baik kulit maupun isinya. Lebih-lebih lagilah pemandunya. Mungkin tak ada seorang pun yang menjadi pemandu bas 30 tahun dahulu masih lagi memandu sekarang.

Sebenarnya Acik tidak langsung berminat nak belek atas bawah bas-bas tersebut untuk kaji keadaan fisikalnya, kemudian membandingkan dengan bas-bas 30 tahun dahulu. Tak payah banding pun dah boleh yakin bahawa bas-bas sekarang sudah tentu jauh lebih canggih dari yang 30 tahun dahulu. Cuma bentuk tayar dan steringnya saja masih kekal bulat dulu, kini dan selama-selamanya.

Apa yang membuatkan Acik tersangat kagum tentang bas tersebut ialah kualiti perkhidmatannya. Ia bukan kerana keselesaannya saja, malah yang sangat menakjubkan ialah ketepatan masa atau  “ punctuality ”nya (ikut bahasa Mad Saleh). Jika nak dibandingkan dengan bas-bas di Malaysia tanah tumpah darahku, minta maaflah. Acik bukan berniat nak kondem, tapi realitinya ialah macam langit dengan bumi bezanya.

Apartment yang Acik sewa sekarang ni samalah dengan apartment yang Acik sewa 30 tahun dahulu. Cuma unitnya ataupun pintu masuknya saja yang berlainan. Pondok hentian bas betul-betul depan apartment ni, cuma di seberang jalan saja. Jadi, jika kita tahu bas nak sampai pukul 9:03 pagi, tak payahlah nak berebut-rebut untuk tunggu di pondok hentian sebelum pukul 9:00 pagi. Asal sampai saja pondok hentian bas tersebut hampir-hampir 9:03 pagi, akan nampaklah bas sedang mendekati kita. Tapi, jika lewat beberapa saat sekalipun, maka “tiada maaf bagimu” lah jawabnya. Sorry, tunggulah bas berikutnya. Tapi tak perlu tensyen sebab bas berikut akan tiba hanya beberapa minit kemudian (mengikut lokasi).

Jadual perjalanan bas boleh diambil di dalam bas secara percuma. Ia memuatkan jadual perjalanan bas ke semua destinasi yang mendapat perkhidmatan bas tersebut. Tak cukup dengan menyediakan jadual perjalanan dalam bentuk “hard copy” ini, pihak bas juga menyediakan maklumat perjalanan melalui internet. Pengguna “smartphone” yang melanggan talian internet bolehlah melihat di dalam skrin smartphone masing-masing di lokasi mana bas yang ditunggu sedang berada. Ini sangat membantu setiap penumpang bas merancang supaya masa yang beliau sampai ke tempat hentian bas ngam-ngam dengan masa bas tiba. Inilah yang diistilahkan sebagai, “JIT – just in time” dalam aspect pengurusan.

Perkhidmatan yang begitu sekali kualitinya tidak membuat penumpang kalut macam kita di Malaysia. Masing-masing bergerak ke tempat hentian bas dengan suasana yang cukup relex dan konfiden.  Tak ada tensyen takut terlepas bas. Cuma jika nak pastikan akan mendapat tempat duduk di dalam bas nanti kenalah datang lebih awal dari orang lain dan terus beratur di tempat hentian bas. Perangai suka potong “Q” tidak rajin belaku. Kalau pun berlaku ia adalah merupakan kes-kes terpencil atau mungkin tanpa disengajakan.

Jika nak bincang fasal perkhidmatan bas-bas di Malaysia, macam tenggelam punca pula fikiran Acik. Tak tau pula secara khususnya di mana puncanya yang sebenar maka langsung tak boleh nak tiru (emulate) kualiti perkhidmatan bas di State College ini. Jika ditanya kepada taukeh bas, tentu taukeh kata pemandu tak cukup disiplin. Jika bertanya pula kepada pemandu, tentu pemandu kata jalan sesak tak menentu, bas buruk tak boleh pecutlah, malah seribu satu macam sebab. Akhir sekali, sama-sama tak buat apa-apa pun untuk menambahbaikkan mutu perkhidmatan. Penumpang yang tak puas hati, jangan komplen. Sejajar dengan nasihat, “jika tak puas hati dengan harga ayam, jangan makan ayam”.  Tak puas hati dengan perkhimatan bas, jangan naik bas. Senang cerita kan ?

Jika bas-bas di Malaysia tak upaya nak patuhi jadual ketibaan/bertolak Acik kira agak munasabah juga. Tapi yang Acik sangat tak boleh terima ialah jika keretapi atau komuter tidak tepat masa. Kesesakan jalan raya adalah satu finomena yang semua orang boleh faham. Tapi apa alasan bagi keretapi dan komuter ? Tak kan di atas landasan keretapi pun berlaku kesesakan kut.

Sebenarnya Acik pernah berpengalaman tinggal di kampung pendalaman. Nama kempung tersebut ialah Kemubu. Ia teletak di dalam kawasan Parlimen Kuala Kerai. Jarak perjalanan kereta dari kampung Kemubu ke bandar Kuala Kerai ialah kira-kira 90 km. Sebelum Acik pindah ke sana jalan tar ke kampung tersebut belum siap. Keretapilah satu-satunya kenderaan utama bagi penduduk kampung tersebut. Orang-orang nak keluar ke bandar terpaksalah naik keretapi. Malah kanak-kanak sekolah pun terpaksa bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan keretapi untuk ke sekolah dan balik dari sekolah tiap-tiap hari.

Kualiti perkhidmatan yang dipamirkan langsung tidak boleh dijadikan tauladan. Yang lebih dikesali ialah kerana ia mencemarkan lagi nama bangsuku “Melayu”. Lebih baik jangan ada perkataan “Melayu” pada nama agensi kerajaan yang mengoperasikan perkhidmatan pengangkutan tersebut. Misalnya daripada Keretapi Tanah Melayu (KTM) tukarkan sahaja kepada Keretapi Tanah Air atau seumpamanya.

Yang peliknya, masa perkhidmatan KTM itu diuruskan oleh Mad Saleh, boleh pula ianya mengikut jadual yang ditetapkan. Tapi bila Mat Melayu mengambil alih pengurusannya, ia ibarat keretapi jalan ke belakang pula. Kononnya, orang-orang asli dalam hutan pun dapat mengunakan jadual keretapi lalu (era Mad Saleh dulu) sebagai rujukan masa untuk membangunkan anak-anak mereka. Tapi selepas Mat Melayu ambil alih pengurusan KTM, orang-orang asli pun jadi pening. Apa tidaknya, semalam anaknya sampai sekolah tepat jam 7.30 padi, tapi hari ini mereka sampai sekolah jam 9.30 pagi. Rupa-rupanya keretapi yang lalu berhampiran kampung mereka terlewat sampai dua jam pada hari ini.

Itu sebabnya semasa Acik tinggal di kampung berkenaan, orang kampung kata makna “KTM” ialah Kereta Tak tentu Masa. Bagus juga gelaran tersebut. Kerana tak disebut perkataan Melayu, maka maruah bangsaku dapatlah diselamatkan walaupun sedikit. Sebenarnya ketidak tentuan masa oleh KTM memberi banyak implikasi negatif kepada rakyat jelata di pendalaman. Contohnya, seorang anak kampung di kampung yang Acik tinggal itu dipanggil temuduga di bandar Kota Bharu. Beliau bergantung penuh dengan perkhidmatan keretapi. Malangnya oleh sebab keretapi tak ikut jadual maka beliau ketinggalan dari sessi temuduga pagi berkenaan. Sedangkan ikut jadual rasmi keretapi yang dinaikinya itu akan sampai setengah jam sebelum temuduganya bermula.

Oleh sebab keretapi lalu tak tentu masa, maka landasan keretapi menjadi kurang selamat untuk dilintasi. Agaknya itulah sebabnya maka diwujudkan satu akta dimana melintasi landasan keretapi adalah salah di sisi undang-undang. Oleh sebab itu lintasan rata yang baru tidak lagi dibina di mana-mana kampung dan Bandar.  Akibatnya penduduk kampung yang terletak di kiri dan kanan landasan keretapi tidak dapat berulang alik antara dua kampung tersebut dengan bebas. Mau tak mahu, mereka terpaksa juga melanggar undang-undang jika hendak ke kampung sebelah.

Sekadar berjalan kaki boleh tahan lagi. Tetapi jika kena bawa barang-barang berat untuk tujuan pembinaan dan seumpamanya, maka ia akan menjadi masaalah besar. Itu sebabnya tanah yang diseberang landasan keretapi rendah nilainya berbanding dengan tanah yang tidak dihalang oleh landasan keretapi.  Jika perjalanan keretapi mengikut jadual yang ditetapkan, tentulah lintasan rata tidak mendatangkan bahaya kerana mudah dikawal.  Bukan saja lintasan rata tidak menjadi bahaya malah jambatan keretapi pun boleh dimunfaatkan oleh kenderaan-kenderaan jalan raya yang lain.

Semasa tinggal di kampung Kemubu dulu Acik pernah pergi panjat pejabat Pengurus Bersar KTM di Kuala Lumpur. Acik mohon terus dengan beliau agar lintasan rata dibina untuk membolehkan penduduk kampung Kemubu masuk ke kampung bersama-sama kereta mereka sepanjang tahun. Sejak sekian lama penduduk-penduduk kampung Kemubu terpaksa menggunakan laluan di bawah jambatan keretapi untuk masuk ke kampung mereka. Bila musim banjir laluan tersebut ditutupi air sungai. Jadi masing-masing terpaksa meninggalkan kereta di seberang landasan keretapi. Mujur juga mereka dibenarkan melintasi landasan dengan berjalan kaki ataupun bermotorsikal. Jika tidak, kena berkemahlah di luar kampung hingga banjir surut.

Kalau pengangkutan awam yang tak terlibat langsung dengan kesesakan jalan pun tidak mampu mematuhi jadual perjalanan yang ditetapkan, apa lagi kenderaan awam bandar-bandar. Lebih-lebih lagi di Lembah Klang dimana terletaknya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Kelang. Beberapa tahun berpengalaman sebagai penumpang tegar bas di Kuala Lumpur, membuat Acik tak lupa tensyen ketika menunggu bas dulu.

Kalau nak ikut kan, jarak dari rumah Acik di Kampung Melayu Ampang dengan pejabat LPKM ketika itu tak sampai pun 5 kilo meter. Tapi menunggu bas untuk ke pejabat agak menjemukan. Mula-mula sedap saja naik bas. Bas bukan saja mudah dapat, malah tiap-tiap kali naik bas ada saja tempat duduk yang kosong. Bolehlah duduk dan membaca apa-apa buku sementara sampai ke pejabat. Bawa beg bimbit pun tidak jadi masalah.

Selang beberapa bulan kemudian, masih mudah dapat bas lagi. Malangnya setiap kali naik bas tiada lagi tempat duduk yang masih kosong. Terpaksalah berdiri sepanjang perjalanan. Sebelah tangan berpaut pada besi pemegang supaya tidak terbalik. Sebelah tangan lagi memegang beg jinjit. Jadi tak bolehlah lagi nak pegang buku untuk dibaca semasa dalam bas. Supaya dapat terus membaca maka Acik tukar beg jinjit kepada beg galas. Jadi tangan yang dulunya digunakan untuk memegang beg bimbit bolehlah digunakan pula untuk memegang buku yang dibaca.

Masa membaca sambil duduk dulu tak banyak muka surat yang sempat dibaca bila bas dah sampai depan pejabat. Tetapi bila membaca sambil berdiri, banyak pula muka surat yang dapat dihabiskan. Maknanya, perjalanan mulai mengambil masa lebih lama dari dahulu. Namun ia bukan satu masalah bagi Acik. Malah rasa lebih seronok pula sebab dapat membaca lebih lama.

Tak beberapa lama kemudian, bukan saja naik bas tak dapat duduk malah bas yang ditahan pun belum tentu akan berhenti. Macam mana nak berhenti lagi kalau dalamnya dah padat macam sardin dalam tin. Mau tak mau terpaksa bersabarlah menunggu bas berikutnya. Bila dapat menaiki bas berikutnya rasa jemu pula membaca. Bukan apa, rupa-rupanya sebab masa diatas bas dah jadi terlalu lama. Bas yang lewat dinaiki biasanya terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang lebih serious.

Bila melihat pemandu kereta di atas jalan relex saja memegang stering, sekali sekala teringin juga nak memandu ke pejabat. Jika memandu kereta sendiri ke pejabat, sekurang-kurangnya boleh juga duduk sambil mendengar ceramah agama dari radio atau perakam suara. Selain Acik pasti ramai lagi kepala-kepala yang di atas bas yang berfikiran sama dengan Acik. Sebenarnya apa yang difikirkan itu akan menambahkan lagi bilangan kereta di atas jalan raya. Ini akan turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya yang lebih buruk lagi. Tetapi berapa orang yang sedari akan implikasi ini.

Jika Acik mampu membeli sebuah kereta lagi ketika itu, mungkin Acik dah beli. Malangnya status kewangan belum lagi melayakkan Acik dan keluarga memiliki kereta kedua khusus untuk Acik memandu ke pejabat. Sedangkan kereta pertama diguna oleh isteri Acik bagi membawa dirinya serta anak-anak ke sekolah tiap-tiap hari. Akhirnya Acik memilih jalan tengah iaitu sekadar membeli sebuah motorsikal terpakai. Kebetulan, waktu keperluan kepada motorsikal itu timbul, seorang pembantu am pejabat Acik kerja sedang mencari pembeli untuk motorsikalnya. Beliau ingin membeli motorsikal baru yang diminatinya.

Dengan meminjam dari Koperasi Muslimin Berhad, dapatlah Acik membeli motor itu dari pembantu am berkenaan. Alhamdulillah, masalah Acik untuk ke tempat kerja telah dapat di atasi. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang lain, yang masih menaiki bas ke tempat kerja? Lebih-lebih lagi kaum wanita yang jarang memiliki lessen menunggang motor macam Acik. Mau tak mau bila mampu, terpaksa juga membeli kereta untuk pergi ke tempat kerja. Lebih ramai membeli kereta maka lebih banyak kereta di atas jalan. Maka akan menambah burukkan lagi kesesakan. Bila kesesakan bertambah buruk, akan bertambah ramai lagi mereka yang berdiri di atas bas akan bercita-cita untuk membeli kereta untuk ke tempat kerja masing-masing. Dan seterusnya akan menambah burukkan lagi kesesakan jalan raya.

Acik percaya kesesakan jalan raya tidak akan dapat diatasi kecuali dengan mewujudkan sistem pengangkutan awam yang efisyen dan boleh diharap (reliable). Sistem pengangkutan awam yang Acik maksudkan ialah yang mampu membawa penumpang A hingga Z ke destinasi yang dituju dengan lebih cepat dan murah dari memandu sendiri. Jika ini dapat diwujudkan, ramai penghuni kota akan beralih dari memandu kereta sendiri kepada menaiki kenderaan awam terutama bas. Bayangkan satu scenario di mana yang berada di atas jalan raya hanyalah kenderaan awam (bas dan teksi) saja kecuali beberapa buah kereta persendirian saja. Nescaya bas akan dapat bergerak dengan lancar dan akan dapat sampai ke destinasinya dengan cepat seperti dijadualkan. Bagi menjadikan scenario ini satu realiti bukanlah sesuatu yang mustahil. Kata Mad Saleh, “if there is will, there is way”. Kata Mat Melayu pula, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Sebenarnya kenderaan itu bukanlah suatu matlamat. Yang menjadi matlamat ialah sampai ke sesuatu destinasi yang dituju. Kenderaan hanyalah alat dan kaedah untuk mencapai matlamat. Oleh itu, bagi seorang yang rasional, ia akan memilih kenderaan awam sekiranya ia dapat sampai ke destinasi yang dituju dengan lebih cepat dan murah dengan menaiki kenderaan awam. Di negara-negara maju terdapat ramai orang-orang rasional. Oleh itu mereka tak memiliki kereta yang lebih dari keperluan hidup.

Sebuah keluarga yang Acik kenal di Scotland hanya memiliki sebuah kereta. Pada hal anggota keluarga tersebut terdiri dari graduan-graduan universiti. Malah ketua keluarga tersebut dan juga isteri beliau mempunyai kelulusan PhD. Kereta itu digunakan ketika benar-benar perlu saja bukan untuk berulang alik ke tempat kerja macam kita di Malaysia. Negara mereka telah mengutamakan pembangunan pengangkutan awam yang efisyen sejak sekian lama lagi. Oleh itu tidak timbul keperluan mendesak kepada rakyat jelata untuk membeli kenderaan sendiri.

Yang Berbahagia Tun Abdullah Ahmad (Paklah) pernah mengistiharkan budget beberapa billion untuk membaiki perkhidmatan pengangkutan awam semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dahulu. Kononnya dengan menyediakan pengangkutan awam yang efisyen dan boleh diharap (reliable), tidak ada sebab lagi kenapa rakyat masih perlu memandu ke tempat kerja. Bila bilangan kereta-kereta persendirian tidak lagi banyak di atas jalan, maka jumlah minyak yang dibeli rakyat akan turut kurang.

Setiap litter petrol yang berjaya dijimatkan bermakna beban subsidi yang ditanggung kerajaan akan berkurang. Kononnya jumlah subsidi yang dapat dijimatkan itu akan mencecah beberapa billion ringgit setiap tahun. Jumlah ini adalah tersangat besar. Oleh itu menjadi sangat berbaloi bagi kerajaan melabur dalam industri pengangkutan awam demi menjimatkan beban subsidi yang kini ditanggung kerajaan.

Justifikasi yang diberi itu nampaknya masuk akal. Akan tetapi adakah subsidi yang dicanangkan oleh kerajaan BN itu benar-benar subsidi. Ataupun ia hanya serupa dengan subsidi atas nasi lemak yang dinikmati oleh penduduk Pulau Mudah Lupa. (PenCERAHan: https://4uni2c.com/2013/06/02/cerekana-13602-strategi-nasi-lemak/)

Berbalik kepada perkhidmatan bas CATA di State College yang sangat cekap dan menepati masa itu, Acik ingin menyeru semua rakyat Malaysia agak mengambilnya sebagai iktibar. Biarlah ianya menjadi sebuah ikon untuk diteladani oleh semua rakyat jelata di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya. Bukan saja menjadi tauladan bagi semua yang terlibat dalam industri pengangkutan saja, malah kepada pemain-pemain industri lain juga. Apa yang penting ialah menepati masa.

Tidak harus ketinggalan ialah pelajar-pelajar di semua peringkat. Masing-masing wajar belajar dan melatihkan diri untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab tepat dalam masa yang ditetapkan oleh pensyarah masing-masing. Lebih-lebih lagi menunaikan kewajipan yang difardukan Allah iaitu solat wajib 5 kali sehari. Seboleh-bolehnya biar di awal waktu dan secara berjemaah. Mudah-mudahan masing-masing akan dapat menempah kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup di dunia sementara ini, maupun di alam akhirat yang tidak penghujungnya itu. Insya Allah. Sejajar dengan madah pujangga, “halia tanam-tanaman, ke barat juga bakal condongnya; dunia tumpang-tumpangan, akhiratlah jua kekal kamponynya”.   Wallahualam.

Lain-lain PenCERAHan yang relevan:

Salam Dari State College Pa, USA # 001  https://4uni2c.com/2014/01/22/4uni2c-14122-salam-dari-state-college-pa-usa/

** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK :   http://www.4uni2c.com

@OPajar #14125

Advertisements

~ by OPajar on 2014/01/25.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: