Harta: rugikah mewarithkannya ❓
Error
This video doesn’t exist
2019 Okt 16
.
🇲🇾 Harta: rugikah si mati kerana mewarithkannya ❓
Selepas menonton video ceramah di atas maka tercetuslah satu pertanyaan dalam minda Acik. Pertanyaan tersebut berbunyi, “rugikah si mati kerana meninggalkan harta kepada warith-warithnya ?”
Acik memang tidak ada banyak harta untuk diwarithi anak-anak. Yang ada pun hanyalah sebidang tanah yang sekangkang kera luasnya. Itu pun bukan Acik yang beli dengan hasil dari titik peluh sendiri. Ianya adalah harta yang Acik warithi dari arwah abang kandung Acik yang telah meninggal dunia dalam tahun 2008.
Arwah abang kandung Acik itu adalah seorang yang sangat berjasa dan pemurah. Bukan saja kami adik-adiknya mendapat nikmat daripada sikap beliau itu bahkan tempiasnya turut dirasai oleh orang lain.
Ketika arwah abang Acik tu masih hidup kami adik-adiknya tak pernah tahu berapakah wang yang beliau simpan di dalam bank dan di bawah bantal. Yang kami tahu ialah beliau memiliki dua bidang tanah dan sebuah kereta Opel Kadet buruk. Namun, sebepas beliau meninggal kami untuk selama-lama maka barulah kami tahu bahawa jumlah wang tunai beliau adalah melebihi RM100k.
Jika menjadikan video di atas sebagai kayu pengukur, maka nasib diri abang Acik itu di akhirat nanti tentulah dikira sangat rugi. Rugi kerana tidak semua harta benda yang dimilikinya telah dibelanja untuk mendapat pahala akhirat. Hartanya itu tak dibelanjakan untuk menunaikan fardu haji. Juga tidak dibelanjakan untuk membuat umrah setiap tahun atau untuk menyara sekolah-sekolah agama dan seumpamanya.
Sejak sekian lama Acik percaya bahawa meninggalkan sesuatu yang bernilai untuk diwarithi adalah merupakan satu kebajikan. Apa juga yang dikira sebagai kebajikan adalah berpahala jika dilakukannya dengan ikhlas. Jadi Acik percaya bahawa tindakan arwah abang Acik meninggalkan harta pusaka untuk diwarithi adik-adiknya itu adalah tindakan yang mulia lagi terpuji.
Namun, setelah menonton video di atas, Acik menjadi keliru pula. Adakah fahaman Acik tentang harta pusaka itukah yang salah atau apa yang difahamkan oleh Ustaz dalam video itu yang kurang tepat.
Sebenarnya, terdapat beberapa perkara yang Acik fahami sejak sekian lama, kemudiannya disanggah oleh fahaman kontemporari. Contohnya, dahulu Acik faham bahawa Nabi s.a.w. adalah seorang yang buta huruf yang diistilahkan “ummi” di dalam al Quran.
Tapi sekarang timbul pula fahaman lain yang bercanggah dengan fahaman Acik itu. Mengikut fahaman tersebut, sebagai seorang insan yang paling hebat lagi mulia di sisi Allah, tak kan Nabi s.a.w. sesuai dengan sifat buta huruf. Itu hujah yang diberi.
Yang satu lagi ialah tentang umur Saidatina Khadijah ketika dinikahi Nabi s.a.w. Dahulu Acik difahamkan bahawa umur beliau adalah 40 tahun. Akan tetapi Allah telah menjadikan beliau seumpama wanita yang masih berumur kira-kira sebaya dengan Nabi s.a.w. Ini Acik boleh percaya sebab bagi Allah yang Maha Kuasa, itu tak mustahil mampu dilakukanNya.
Hujah yang diberi bagi menyangkal fahaman Acik itu ialah faktor “biology”. Mana mungkin wanita yang sudah melepasi umur 40 tahun masih boleh melahirkan ramai anak. Saidatina Khadijah tidak terkecuali. Sedangkan beliau telah melahirkan beberapa orang anak semasa menjadi isteri Nabi s.a.w.
Ada pula yang mendakwa bahawa fakta tentang umur Saidatina Khatijah itu adalah berdasarkan sejarah yang datangnya dari penganut Syiah. Sedangkan ajaran Syiah tidak boleh diterima oleh pengikut Suni. Wallahua’lam.
Sebenarnya Acik bukanlah nak mempertikaikan kenyataan bahawa harta yang kita infakkan ke jalan Allah itu adalah harta yang akan kita “bawa” ke akhirat nanti. Cuma yang Acik ingin tahu, adakah si mati yang meninggalkan harta pusaka untuk diwarithi oleh orang-orang yang dikasihi beliau tidak akan mendapat apa-apa pahala ?
Contohnya ialah arwah abang kandung Acik itu sendiri. Acik percaya bahawa abang Acik itu memang sengaja meninggalkan wang ringgit dan tanahnya itu untuk diwarithi oleh adik-adik kandungnya. Kerana sangat mengenali beliau, maka Acik tidak ragu-ragu bahawa arwah abang Acik itu adalah ikhlas terhadap harta peninggalannya itu.
Kerana mewarithkan harta benda kepada adik-adiknya, maka mereka pun mendoakan keberkatan untuk abang Acik itu. Tapi jika sekiranya segala hartanya habis dibelanjakan untuk melakukan ibadat umrah tiap-tiap tahun, maka banyaklah pahala umrah yang beliau perolehi. Namun beliau mungkin tidak mendapat doa dari adik-adik kandungnya.
Merujuk kepada kenyataan Ustaz yang di dalam video di atas, Acik muskil terhadap maksud beliau yang tersirat. Apakah seseorang Muslim itu tidak wajar menyimpan harta untuk diwarithi oleh orang-orang yang beliau sayangi ? Dengan lain perkataan, seseorang Muslim itu tak perlu bimbang akan nasib mereka yang di bawah tanggungannya sekarang, selepas beliau mati nanti. Segala urusan mereka itu harus diserahkan sepenuhnya kepada Allah. Kan Allah lebih layak menguruskan kehidupan hambaNya yang kehilangan tempat pergantungan hidup ?
.
Acik rasa kenyataan tersebut boleh menimbulkan implikasi yang kurang baik kepada orang awam umumnya dan umat Islam khususnya. Keluarga yang mewarithi sedikit kekayaan dari si mati tentulah kurang menyusahkan masyarakat berbanding dengan keluarga yang tak mewarithi apa-apa pun dari si mati. Jika sekiranya harta tersebut dimunafaatkan dengan baik oleh pewarith, bukanlah ia termasuk sedakah jariah bagi si mati ?
Seorang ayah, selepas menonton video di atas mungkin sanggup membelanjakan 90 % dari keseluruhan wang ringgitnya, untuk diinfak kepada masjid atau sekolah agama serta untuk mengerjakan ibadat umrah setiap tahun. Hanya 10% saja yang dibelanjakan untuk kebajikan keluarganya, kerana itu dianggap keduniaan. Apakah Muslim macam ini yang kita ingin hasilkan❓ Tak “selfish kah” namanya bagi ayah yang macam tu ❓
sebuah hadith tentang harta
Meninggalkan Waris Dalam Keadaan Berharta Adalah Lebih Baik
Ketika Haji Wada, Saad bin Abi Waqqas jatuh sakit.
Rasulullah pun pergi berziarah dan Saad pun berkata:
“Ya Rasulullah, saya mempunyai harta dan cuma mempunyai seorang anak perempuan untuk mewarisinya. Apakah saya dapat memberikan 2/3 dari harta ini sebagai sedekah?”
Rasulullah menjawab, “Tidak.”
Saad bertanya lagi, “Kalau begitu 1/2 dari harta?”
Rasulullah menjawab sekali lagi, “Tidak.”
Saad terus bertanya, “Kalau begitu 1/3 dari harta?”
Maka Rasulullah pun menjawab, “Boleh, tetapi 1/3 itu pun masih banyak. Sesungguhnya meninggalkan para waris dalam keadaan kaya dan berharta itu lebih baik dari meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta. Sekiranya kamu membelanjakan sesuatu hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah, kamu tetap mendapat ganjaran walaupun hanya sesuap makanan yang kamu suapkan ke mulut isteri kamu,”
Kisah ini dicatatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.
Wallahua’lam 🌷
PenCERAHan yg relevan ⬇️
Mati terlekat susu https://4uni2c.com/2014/01/07/cerekana-14107-mati-terlekat-susu/
.