CEREKANA #12705 Kisah Si Buta Yang Celik
CEREKANA #12705 Kisah Si Buta Yang Celik
** Untuk menCARI lain-lain TAJUK sila KLIK di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN kemudian SKROL
Malam semalam (4.5.2012) APcik terbaca dalam Facebook satu kenyataan bahawa DSAI berniat akan bersara dari politik jika PR gagal menawan Putera Jaya melalui PRU13 nanti. Tentu bermacam-macam tafsir dan spekulasi akan tercetus selepas ini. Ada yang positif dan tak kurang pula yang negatif. Namun bagi APcik, selepas dibolak balikkan perkara ini dalam fikiran yang agak usang ini, rasa-rasanya ada juga rasionalnya bagi DSAI berbuat demikian. Jika ketokohan beliau tidak diiktiraf oleh majoriti rakyat Malaysia, maka lebih baiklah beliau “berhijrah” kepada kelompok masyarakat yang tahu menilai ketokohan yang dianugerah Allah kepada beliau itu. Nabi s.a.w. pun berhijrah bila masyarakat tempatan tidak mengiktiraf kerasulan baginda di tanah kelahirannya sendiri.
Jadi berhijrah bukan bermakna putus asa dalam perjuangan. Bersara dari politik juga bukan bermakna putus asa dalam perjuangan. Sebab perjuangan adalah untuk membela kebenaran, melaksanakan amal maaruf dan nahi mungkar. Politik hanya salah satu dari berbagai-bagai wadah perjuangan. Menjadi seorang penulis berkesan kearah mencapai objektif perjuangan seperti Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang baru saja melancarkan bukunya berjodol “Islam dan Melayu…. “ adalah juga suatu perjuangan. Bukan bila dan berjaya menjadi seorang PM, MB, KM, MP, dan seumpamanya baru layak diiktiraf sebagai pejuang. Malah beristikhomah menyokong pejuang yang sedang berusaha untuk mencapai objektif perjuangan juga adalah perjuangan.
Mengikut penilaian APcik, jika ketokohan DSAI di bandingkan dengan ketokohan PM kita sekarang, maaf cakap, umpama langit dengan bumi bezanya. APcik melihat kedua-dua individu ini dari beberapa aspek. Jika dilihat dari aspek akhlak diri beliau sendiri dan ahli-ahli keluarga beliau, itu pun DSAI sudah jauh ke hadapan berbanding dengan yang seorang lagi tu. Dari segi keIslamannya lagilah jauh bezanya. Begitu juga dari aspek latar belakang akademik dan persekolahan DSAI. Karisma yang Allah anugerah kepada beliau amat menyakinkan APcik bahawa DSAI memang lebih dari layak untuk menjawat jawatan PM berbanding dengan PM sekarang, malah dengan PM-PM yang sebelumnya. Malangnya selagi Strategi Ikan Todak masih menjadi budaya kita, indiviidu seperti DSAI susah untuk diterima dan diiktiraf ketokohannya. Yang rugi bukan beliau seorang malah seluruh rakyat Malaysia kerana dinafikan peluang duduk dibawah seorang pemimpin yang berkalibar dan terbaik.
Berfikir tentang fenamena di negara sendiri sekarang, APcik pun rasa-rasa ingin berhijrah keluar dari negara ini. Maksud APcik bukanlah nak berhijrah ke negara-negara yang lebih teruk dari Malaysia. Tapi biarlah ke negara-negara yang rakyatnya lebih cerdik dan bertamaddun. Biasanya negera-negara ini ialah yang menghormati dan mempertahan kebenaran dan kejujuran. Bagi mereka yang pernah tinggal di negara-negara tersebut pasti akan membenarkan dakwaan APcik ini. Malangnya peluang seperti ini tak mungkin menjelma buat APcik walaupun bukan mustahil boleh berlaku.
Sebut tentang kebenaran dan kejujuran, ia adalah mencakupi segala bidang dan urusan. Dan yang paling penting ialah bidang kehakiman. Tanpa sistem kehakiman yang benar-benar mendaulat dan mempertahankan kebenaran dan kejujuran, percayalah bahawa negara berkenaan tidak akan mampu menjamin keselamtan kepada rakyatnya. Keselamatan yang dimaksudkan bukan saja selamat dari jenayah, malah selamat dari amalan tipu menipu dalam urusan kehidupan harian kita. Tapi jika Ketua Hakim Negara yang mengetuai institusi kehakiman, dan yang sangat berwibawa pun boleh difitnah dan dipecat, kita boleh nilai sendirilah sekadar mana kita boleh harap sistem pengadilan negara kita ini akan memberi kita perlindungan keselamatan tersebut. Jika orang nombor dua negara pun boleh difitnah dan dipenjarakan, jaminan keselamatan apakah yang masih ada bagi orang (yang tak ada nombor) macam APcik ni.
Berdasar persepsi peribadi APcik, amalan tipu menipu di dalam negara kita ni memang amat berleluasa. Beli barang pun kena tipu sebab bayar harga untuk barang yang sempurna, tapi sedar-sedar barang yang dibawa balik adalah barang yang cacat. Naik keretapi pun kena tipu sebab dalam jadual perjalanan yang dicetak, janjinya keretapi akan tiba jam 10:03 tapi tibanya jam 11:30. Berapa ramai pula yang dah tertipu dengan perniagaan gores dan menang. Jika anda seorang pengguna telefon bimbit, bila panggilan yang anda buat itu gagal tetapi anda tetap dikenakan bayaran, bukankah itu juga satu bentuk penipuan. Entahlah kalau-kalau ianya diiktiraf oleh kerajaan sebagai penipuan halal, sama seperti judi halal.
Hatta beli rumah yang melibatkan lawyer pun kena tipu. Bukan orang kampong saja yang kena tipu dalam urusan beli rumah, malah pegawai tinggi kerajaan pun kena tipu juga. Apa tidaknya, rumah tak siap tapi gaji dipotong tiap-tiap bulan. Sedangkan sewa rumah masih perlu dibayar. Adik APcik pun salah seorang mangsa penipuan tersebut dimana gajinya masih dipotong tiap-tiap bulan sejak 11 tahun dahulu. Bukan yang beli rumah saja kena tipu, yang beli stadium pun kena tipu sebab tulah stadium pun boleh runtuh.
Baru-baru ni heboh tentang pinjaman dari dana awam yang diberi kerajaan kepada keluarga seorang menteri telah disalahgunakan. Masa memohon dulu tujuannya untuk memajukan industri lembu supaya bekalan daging lembu lebih terjamin ada dan murah. Rupa-rupanya pinjaman melebihi 200 juta itu dihora, termasuk membeli kondo mewah di dalam dan di luar negara. Bukan menipukah namanya perbuatan demikian ? Namun menteri berkenaan diputuskan sebagai tidak ada kaitan apa-apa dengan urusan perniagaan keluarganya itu. Menipu lagi !
Wakil yang diamanahkan membeli harta untuk negara pun jarang sangat yang melepaskan peluang untuk buat untung dengan cara menipu. Contoh yang masih sohor sehingga ini ialah pembelian kapal selam. Pihak yang bertanggungjawab dilaporkan membuat untung hingga ratusan juta ringgit dari wang rakyat. Namun demikian kapal selam tersebut kononnya ada yang tak boleh menyelam. Jika harga yang dibayar adalah harga untuk kapal selam sempurna yang boleh menyelam, maka dikira tertipulah tu. Dan paling memalukan ialah yang turut dikaitkan adalah seorang menteri. Bukan kata menteri tersebut telah dikenakan apa-apa tindakan, malah sekarang ini dah menyandang jawatan nombor satu negara. Satu dunia dah tahu tentang skendal rasuah kapal selam itu. Kita sebagai rakyat, tak rasa malukah bila pemimpin nombor satu negara kita mempunyai rekod tidak bersih pada kaca mata dunia.
Lebih mengecewakan lagi ialah bila kes rasuah kapal selam itu melibatkan pula kes pembunuhan seorang warga negara asing. Tak malukah negara kita jika warga negara lain datang ke negara kita, tiba-tiba mati dibunuh di dalam negara kita ? Lebih membesarkan lagi kemaluan negara ialah bila didapati pembunuhnya pula adalah anggota pasukan keselamatan. Inilah yang dikatakan “harapkan pagar, pagar makan padi”. Polis sepatutnya menjamin keselamatan rakyat leih-lebih lagi tetamu dari luar negara. Tapi apa yang telah berlaku adalah sebaliknya. Ini adalah manifestasi kegagalan atau kelemahan sistem keselamatan negara kita. Namun begitu polis tetap mempertahankan dakwaannya bahawa kadar jenayah dan kemalangan jalan raya semakin kurang. Boleh percayakah kita kepada statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis itu ? Kalau tak boleh percaya maka apa maknanya lagi kalau bukan penipuan ?
Dalam bulan April dahalu, rakyat dengan begitu ramai telah berhimpun di pusat bandaraya Kuala Lumpur bagi membantah penipuan yang telah berlaku di dalam pilihan raya umum yang lepas-lepas. Perhimpunan aman itu dinamakan ia BERSIH 3.0 yang mendapat sokongan berbagai NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan). BERSIH 3.0 mendesak agar segala tuntutan yang telah dimajukan kepada kerajaan dipenuhi. Tujuan tuntutan tesebut ialah supaya pilihanraya yang diadakan bebas dari unsure-unsur penipuan. Tanpa penipuan barulah adil bagi semua pihak. APcik sendiri pun turut hazir bersama isteri. Semua yang hazir tidak bawa apa-apa kecuali air minuman. Pada awal perhimpunan tidak berlaku apa-apa kekecohan. Tapi kekecohan mula berlaku apabila polis mula menembak gas pemedih mata. APcik dan isteri tak terkecuali dari tehidu gas yang sangat menyiksakan bagi mereka yang merasainya buat pertama kali. Mujur kami dapat masuk ke kawasan Masjid Jamek mendapatkan perlindungan.
Yang sangat menyakitkan hati ialah bila siaran-siaran TV selepas itu mendedahkan kepada seluruh rakyat jelata bahawa BERSIH 3.0 cuba menumbangkan kerajaan. Suntingan gambar-gambar yang menunjukkan perlakuan keganasan oleh peserta-peserta BERSIH 3.0 di siarkan di kaca TV berulang-ulang kali. Sedangkan yang melakukan keganasan mungkin mereka yang diupah oleh musuh BERSIH 3.0 demi memburukkan imej BERSIH 3.0 di kaca mata rakyat yang tidak tahu menahu tentang objektif BERSIH 3.0. Bila APcik buka computer dan lihat dalam internet bermacam-macam keganasan yang dilakukan oleh polis terhadap peserta-peserta BERSIH 3.0 yang sempat dirakam oleh perbagai pihak. Namun semua ini digelapkan. Apakah tujuannya ini jika bukan nak menipu rakyat di seluruh negara..
Sebelum BERSIH 3.0 APcik juga sertai BERSIH 2.0. Strategi yang sama dipakai. Yang dituduh jahat ialah rakyat yang menyertai BERSIH 2.0. Pada hal sebelum tu dah dimaklum bahawa peserta BERSIH 2.0 dibenarkan berhimpun di Stadium Merdeka. Apa maknanya dijanjikan sedemikian jika peserta yang nak ke Stadium tersebut disekat dan ditembak dengan gas pemedih mata dan disiram dengan air kimia. Tapi yang dilaporkan dalam media massa selepas itu semuanya menuduh peserta BERSIH 2.0 yang jahat dan melanggar undang-undang. Semuanya itu bukan menipukan namanya ? Bila media rasmi kerajaan sendiri penipu bayangkanlah apa kredibiliti lagi yang ada pada kerajaan yang memerintah.
Bila PM sendiri mengistiharkan pada tahun lepas bahawa ISA telah dimansuhkan, seluruh warga mangsa ISA malah semua yang bersimpati dengan mangsa menarik nafas lega. Apa tidaknya, satu undang-undang yang telah terbukti sangat zalim telah dinyahkan dari system pentadbiran Malaysia. Semua rakyat memuji PM kerana memiliki nilai keinsanan yang tinggi yang tidak ada pada semua mantan-mantan PM. Kalau yang mengistiharkan itu seorang ketua bahagian UMNO, rakyat masih ada dua pilihan, nak percaya pun boleh tak percaya pun boleh. Tapi jika yang buat pengistiharan itu orang nombor satu Malaysia, siapa di kalangan rakyat Malaysia yang wajar mempertikaikan ketulenannya ? Tapi apakan realitinya selepas itu hingga sekarang ? Minta maaflah sekiranya tidak ada istilah lain yang APcik boleh guna selain dari menipukan. Kata peribahasa Melayu, “lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada perkataan/janjinya”. Manusia dalam peribahasa tersebut hanya merujuk kepada orang biasa. Jika orang biasa pun dalam masyarakat Melayu tidak dibenarkan menipu, inikan pula seorang pemimpun agung negara. Masing-masing nilai sendirinya kredibiliti orang yang sedemikian rupa.
Bagaimana pula dengan isu royalti minyak yang dijanjikan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan-kerajaan negeri ? Ini juga bukan satu isu remeh temeh yang boleh dilupakan ataupun dicapatikan dengan begitu mudah. Jika dalam perjanjian yang dimeterai secara hitam putih pun tidak ditunaikan, maka bermakna perjanjian tersebut adalah satu penipuan. Jika sebuah kerajaan negeri yang berdaulat pun boleh ditipu, apalah kita rakyat jelata yang tidak ada apa daulat dan kuasa. Dari segi rasionalnya, jika sesebuah negeri itu mengeluarkan minyak untuk negara maka sudah tentu rakyat negari tersebut hidupnya lebih selesa dan senang dari rakyat-rakyat negeri-negeri lain yang tidak mengeluarkan minyak khususnya di Malaysia. Tapi realiti di Malaysia ialah tiga negeri yang mengeluarkan minyak rakyatnya adalah termiskin di Malaysia. Mungkinkah di sini juga ada unsur-unsur penipuan ? Ini bukanlah satu tuduhan. Ia cuma satu soalan yang memohon jawapan dari pihak yang bertanggungjawab.
Terkini ialah, seluruh negara maklum tetang usaha gigih oleh parti pemerintah untuk menggunakan penipuan sebagai strategi bagi memenangi PRU13 akan datang. Bagi APcik ini adalah satu strategi bunuh diri bagi negara kita kerana ia sangat bahaya kepada kedaulantan politik negara kita sekarang, lebih-lebih lagi masa jenerasi anak cucu kita nanti. Dengan adanya konspirasi kotor di kalangan semua pihak yang diamanahkan melaksanakan PRU13, maka tidak hairan jika BN masih boleh berjaya mengekalkan kuasanya di Putera Jaya selepas PRU13 ni. Namun hakikat sebenarnya ialah PR jauh lebih popular di kalangan rakyat Malaysia yang tulen, berbanding dengan BN. Andai kata begitulah rupanya keputusan PRU13 nanti, maka lebih baiklah berhijrah ke negara lain jika ada peluang. Jika mandat untuk memerintah negara pun diperolehi dengan cara menipu, maka apa nak hairan jika budaya tipu menipu menjadi bertambah berleluasa dan mantap dalam urusan hidup harian, di kalangan rakyat jelata.
Dalam politik, sebenarnya rakyat telah lama ditipu dengan dakwaan bahawa BN adalah kerajaan. Padahal hakikatnya BN sama saja tarafnya dengan parti-parti politik lain yang berdaftar dengan kerajaan. Sila baca tulisan bertajuk “Pemandu Yang Bangang”. Sebenarnya sebagai negara yang mengamalkan sistem politik demokrasi BN hanya merupakan salah satu saja dari tiga komponen penting dalam kerajaan Malaysia. Tiga komponen penting yang perlu wujud bagi menubuhkan suatu kerajaan demokrasi ialah pertama parti pemerintah ( BN ), kedua parti-parti pembangkang dan ketiga birokrasi. Bagi komponen pertama dan kedua, APcik kira semua orang telah sedia faham. Contohnya ialah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Namun yang agak keliru dan kurang difahami oleh majoriti rakyat ialah komponen ketiga yang APcik istilahkan sebagai birokrasi. Jika ada di antara rakan-rakan Facebook yang ada istilah lain yang lebih sesuai, silalah gantikan istilah birokrasi ini dengan istilah berkenaan.
Apa yang APcik istilahkan sebagai birokrasi itu ialah satu koleksi institusi-institusi awam yang berfungsi sebagai jentera kepada sesuatu kerajaan yang berdaulat. Contoh institusi awam yang utama ialah kementerian-kementerian dan segala jabatan-jabatan yang di bawah naungan masing-masing, termasuklah badan-badan berkanun. Setiap individu yang makan gaji dengan mana-mana institusi tersebut adalah dikira sebagai hamba awam atau dalam istialah Inggerisnya “public servant”. Antara hamba-hamba awam ialah semua menteri, pegawai tadbir diplomatic (PTD), hakim, polis, tentera, kastam, imigresen, guru, kerani dan sebagainya. Berdasarkan prinsip demokrasi, hamba awam yang maha penting dalam negara Malaysia ialah Perdana Menteri.
Selain parti pemerintah, parti pembangkang juga dikira sebahgian dari kerajaan. Rasional APcik kata demikian ialah, andainya tidak ada parti pembangkang maka kerajaan tersebut tidak layak memakai status kerajaan demokrasi. Oleh yang demikian, jika ada dakwaan yang mengatakan bahawa tidak mengundi parti pemerintah adalah sama dengan menentang kerajaan demokrasi, maka itu adalah suatu dakwaan yang salah. Tak kiranya samada yang mendakwa demikian itu seorang yang bukan hamba awam, hatta seorang Ketua Setiausaha Negara (KSN) sekali pun. Dakwaan seumpama ini hanya dibuat atas dua kemungkinan. Pertama kerana semata-mata nak mengampu parti pemerintah atas rasa terhutang budi. Kedua atas sebab kejahilan tentang prinsip kerajaan demokrasi. Jahil itu terbahagi pula kepada dua iaitu jahil basik dan jahil murakaf. Bagi yang jahil basik, insya Allah selepas membaca makalah ini mereka tidak akan membenarkan lagi dakwaan berkenaan. Tapi bagi yang jahil murakaf mereka akan tetap membenarkan dakwaan tersebut, dulu, kini dan selama-lamanya. Rakyat macam mereka inilah yang menjadi tali hayat UMNO BN sekarang. Kerana terlalu taksub atau fanatik kepada parti pemerintah, otak mereka akan turun ke kepala lutut bila berhadapan dengan pemimpin-pemimpin parti pemerintah.
Sebenarnya dalam hubungan antara rakyat dengan kerajaan, wujud satu bentuk MoU (Memorandum of Understanding) yang juga diistilahkan sebagai kontrak sosial (social contract). Sebelum sesebuah kerjaan dibentuk atau ditubuhkan, bakal-bakal pemerintah iaitu parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya akan menaburkan janji mereka dalam bentuk manifesto kepada rakyat. Tujuannya ialah agar rakyat akan bersetuju untuk memberi kemenangan kepada parti masing-masing dalam pilihan raya umum (PRU) yang diadakan kira-kira lima tahun sekali. Dengan kemenangan tersebut maka bolehlah mereka menjadi pemerintah. Seandainya parti A menang majoriti, maka termaktublah suatu bentuk perjanjian antara rakyat dengan kerajaan yang diperintah oleh parti A yang menubuhkan kerajaan itu. Perjanjian yang dimaksudkan ini tidaklah ketat syaratnya seperti perjanjian antara pemberi kontrak dengan penerima kontrak bagi sesuatu projek pembangunan. Perjanjian antara rakyat dan kerajaan tersebut lebih merupakan suatu kontrak sosial antara rakyat yang duduk di bawah dengan kerajaan yang duduk di atas. Dengan mandat yang telah dianugerah oleh rakyat kepada kerajaan, maka adalah menjadi hak kepada rakyat untuk mengharapkan imbalan atau pulangan positif dari kerajaan yang setimpal dengan kuasa yang diberi kepada kerajaan. Manakala sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat, maka kerajaan hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi, bukan sekadar menunaikan janji yang telah dibuat semasa memukat undi rakyat ketika menghadapi PRU dahulu, malah kalau boleh akan cuba melaksanakan lebih dari itu.
Kontrak Sosial antara kerajaan dan rakyat tidaklah rigid seperti perjanjian yang dimeterai oleh kedua-dua pihak dalam kes projek pembangunan yang disebut di atas. Bagi kes ini, risko adalah ditanggung oleh kedua-dua belah pihak iaitu pemberi kontrak (pemaju) dan penerima kontrak (contractor). Sekiranya mana-mana pihak gagal menunaikan janjinya kepada pihak lain seperti termaktub dalam dokumen perjanjian kontrak berkenaan, maka pihak yang gagal tersebut wajib membayar ganti rugi kepada pihak lain. Ia merupakan suatu bentuk hukuman yang terpaksa ditanggung oleh pihak yang mungkir janji. Namun dalam kes kerajaan gagal menunaikan janjinya kepada rakyat, tidak ada apa-apa hukuman yang dikenakan terhadap kerajaan. Dengan kata lain kontrak sosial tersebut lebih merupakan suatu perjanjian berat sebelah antara kerajaan dan rakyat. Kegagalan kerajaan menunaikan janjinya khususnya di Malaysia, tidak mendatangkan apa-apa implikasi negatif terhadapnya, atas sifatnya sebagai pihak yang maha berkuasa. Hubungan rakyat dengan kerajaannya di Malaysia adalah ibarat mentimun dengan durian, digolek luka menggolek pun luka.
Jika diamati apa yang telah berlaku dan sedang berlaku disekeliling kita, kita tentu rasa agak kecewa dengan apa yang telah kita perolehi dari kerajaan jika dibandingkan dengan apa yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya dahulu. Kegagalan sesebuah kerajaan itu biasanya adalah akibat kelemahan parti pemerintah dalam menerajui kerajaan tersebut. Khususnya di Malaysia, BN adalah
pihak yang harus dipertanggungjawabkan atas setiap kegagalan yang dialami oleh negara.
Malangnya, kita seolah-olah dah terlupa akan kontrak sosial yang diabaikan oleh kerajaan amnya dan parti pemerintah khususnya. Seolah-olah macam tak ada apa-apa berlaku walaupun penipuan dan kezaliman berlaku secara berleluasa dalam masyarakat. Bertambah malang lagi ialah kerana ramai dari kita rakyat satu Malaysia ini, masih tidak sensitif. Kerajaan seolah-olah tak peka terhadap jenayah dan gejala-gejala sosial yang semakin meningkat. Ia termasuklah berlakunya penzinaan di kalangan remaja, yang berakhir dengan pembunuhan terhadap banyi yang tak bersalah oleh tangan ibunya sendiri.
Memerhati dan meneliti senario yang wujud dalam negara kita seperti yang APcik gambar di atas, hati APcik selalu berkata, “alangkah bertuahnya jika rakyat Malaysia sepakat mencontohi sikap Man Kelam. Walaupun mata kasarnya buta (kelam) namun mata hatinya celik. Sebab tu dia mampu menilai antara kaca dan permata. Sebab tulah juga dia tidak sanggup bertoleransi terhadap penipuan. Kemudian berani pula menghukum penipunya., Apakah kita rakyat Malaysia yang normal terlalu bodoh hingga tidak mampu mengesan penipuan. Dan terlalu dayus pula untuk bertindak menurunkan pihak yang hidupnya menipu. Apa guna kuasa memerintah berada di tangannya jika dia membiarkan saja tipu menipu menjadi amalan hidup rakyat sejak sekian lama ? Bilakah lagi akan berlakunya satu anjakan paradigm politik di negara ini ? ”
Bagi mengenali dengan lebih dekat siapakah Man Kelam sebenarnya yang APcik maksudkan itu, marilah baca cerekana di bawah. Mudah-mudahan ia menjadi pemangkin bagi pemahaman yang lebih tepat tentang isu tersirat yang ingin APcik persembahkan dalam makalah ini. Kepada rakan-rakan Facebook semua khususnya, dan seluruh rakyat Malaysia umumnya APcik ucapkan Selamat Membaca !
Si Buta Yang Celik
Kononnya di sebuah kampong yang agak jauh dari sebuah bandar ada dua orang insan cacat. Seorang buta dan seorang lagi capek. Mereka adalah individu istimewa jika mengikut istilah moden. Yang buta bergelar Man Kelam manakala yang capek bergelar Mid Tempang. Pada kacamata kasar masyarakat kampong tempat mereka tinggal, mereka adalah sepasang icon. Dalam bahasa Melayu lama mereka umpama isi dengan kuku. Kata orang seni pula mereka bagai irama dan lagu. Kata orang dalam bidang perubatan, bagai kembar siam. Bagi orang ekonomi pula diumpamakan seperti kereta dengan minyak (petrol/disel). Pendek kata, hubungan mereka ini adalah tersangat intim seolah-olah seorang tak ada guna hidup jika tanpa kehadiran seorang lagi. Namun, itu cuma persepsi berdasarkan pandangan luar semata-mata. Hakikatnya, Allah jua yang tahu.
Kononnya kedua-dua insan istimewa ini telah memeterai suatu MoU (Memorandum of Understanding) sejak sekian lama. MoU tersebut amat menguntungkan kedua-dua belah pihak, lebih dari yang dijangkakan. Jika dalam istilah motivasi ia telah mencetuskan apa yang diistilahkan sebagai suatu sinergi. Maksud sinergi ialah seperti memasukkan seekor kucing yang comel ke dalam satu sangkar, yangmana di dalamnya sudah sedia ada seekor kucing lain yang tidak kurang comelnya. Biasanya, mengikut ilmu arismatik (matematik rendah), bila satu di tambah dengan satu, maka hasilnya ialah dua. Namun dalam kes kucing di atas, seekor kucing ditambah dengan seekor lagi kucing bukan sekadar menjadi bilangannya dua ekor kucing, malah menhasilkan tiga ekor kucing. Maka inilah konsep sinergi yang ingin APcik perkenalkan. Tapi dalam hubungan intim antara Man Kelam dan Mid Tempang sinerginya tentulah tak sama macam sinergi bagi kucing tadi.
Kandungan MoU yang dimeterai oleh Man Kelam dengan Mid Tempang yang dimaksudkan itu, sudah tentulah yang memberi munafaat kepada kedua-dua belah pihak. Man yang bertubuh sasa serta tinggi lampai merupakan kekuatan kepada kesepakatan mereka. Manakala Mid yang bermata terang, pandai membaca serta bertubuh kecil, adalah kekuatan tersendiri di sudut lain pula. Man bersetuju dengan rela hati untuk menjadi kenderaan bagi Mid. Mid pula bersetuju dengan rela hati untuk menjadi derebar (pemandu) dan mata kepala bagi Man. Dengan kerelaan dan kebijaksanaa mereka menggabungkan kekuatan yang dianugerahi oleh Allah kepada diri masing-masing, maka berlipat gandalah jadinya nilai hidup masing-masing, selepas MoU tersebut dimeterai dan mula dikuatkuasakan..
Setiap hari Man akan ke rumah Mid di awal pagi. Bila tiba saja di rumah Mid biasanya mereka akan bersama-sama bersarapan pagi dahulu dengan apa saja yang sempat disediakan oleh ibu Mid yang amat terkenal dengan sifat pemurahnya itu. Ketika menikmati sarapan itulah Mid dan Man berbincang dan merancang aktiviti hidup mereka untuk hari itu. Kadang-kadang mereka ke sungai, kadang-kadang ke pantai, kadang-kadang ke bendang, dan kadang-kadang ke padang untuk bergaul dengan rakan-rakan sekampong yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak antara kampong mereka dengan kampong jiran. Kepetahan Mid bercakap dan berborak dengan kawan-kawannya, mampu membuat Man rasa tak tersisih langsung dari kawan-kawannya yang normal. Sekali sekala dalam perbualannya dengan rakan-rakan mereka Mid akan mengaitkan nama Man di mana relevan hingga Man sentiasa merasai kehadirannya diraikan.
Sebaik selesai sarapan pagi Man akan mencempung Mid lalu meletakkan si kerdil itu di atas tengkuknya. Kedua-dua kaki Mid yang capek itu akan berjuntai ke bawah dan berehat di atas dada Man. Kaki Mid yang kanan teletak di atas dada Man sebelah kanan, manakala kaki kiri Mid pula terletak di atas dada Man sebelah kiri. Ketinggian yang dimiliki oleh Man memang sangat menguntungkan mereka terutama dalam musim buah-buah kayu sedang masak. Dengan galah yang kontot (pendek) pun Mid dah boleh mengait buah mangga dan rambutan dari atas pokok. Kadang-kadang memang buah-buah kayu yang mereka kait adalah dengan izin tuan empunya pokok. Tapi kerap juga Mid saja yang mendakwa bahawa tuan pokok telahpun memberi izin kepada beliau (Mid) ketika ketiadaan Man. Mid tahu sangat tentang kewara’an Man. Beliau (Man) tidak akan makan apa-apa makanan selagi beliau tidak yakin bahawa apa yang nak dimakannya adalah benda yang halal dari segi zat dan sumbernya.
Pada suatu hari Mid beria-ia mengajak Man menerokai kawasan di hulu sungai yang agak berjauhan dari kampong mereka. Kata Mid, di sana ada sebuah sumur yang sering dikunjungi oleh gajah-gajah liar. Mula-mula Man agak keberatan. Memang beliau (Man) sendiri pun sangat berminat nak berkenalan dengan binatang terbesar itu, namun bimbang tentang keselamatan dirinya dan diri Mid sendiri. Walaubagaimana pun, setalah diperlemahi Mid dengan berbagai-bagai pujukan dan rayuan, akhirnya Man pun mengalah dan bersetuju dengan cadangan Mid tu. Faktor yang membuat Man mengalah kepada Mid ialah bila Mid mendakwa bahawa memang menjadi resmi gajah liar, ia tidak akan mengapa-apakan mana-mana kumpulan sekiranya dalam kumpulan itu ada seorang yang buta. Kononnya, sebagai binatang yang tinggi moralnya, gajah malu untuk mengapa-apakan maknusia yang dianggap istimewa oleh bangsanya (maknusia) sendiri.
Perjalanan ke kawasan hulu sungai memang sangat mencabar. Yang amat terasa kepenatannya ialah Man. Sedangkan Mid taklah rasa apa-apa pun sebab kaki yang berjalan ialah kaki Man. Walaupun agak letih, Man tetap tabah kerana patuh kepada MoU yang telah dimeterai bersama dengan Mid. Seboleh-bolehnya Man akan berusaha bagi menepati spesifikasi kerjasama yang termaktub di dalam MoU tersebut.
Telinga Man jauh lebih tajam dari telinga Mid. Ini suatu kelebihan yang Allah beri kepada Man sebagai ganti kepada daya lihat yang tidak diberiNya kepada Man. Oleh itu Man lebih dahulu merasa lega dari Mid. Senyum sengih Man membuat Mid hairan lalu bertanya Mid kepada Man sambil bergurau, “apa yang hang nampak tu Man, senyum semacam ja ?”
“Nampak tu tak mungkinlah sebab aku ni buta, tapi aku dah boleh dengar bunyi air sungai yang kita nak pi tu. Dah tak jauh dah kan ?” jawab Man kepada soalan guraun Mid tu. Sebenarnya tempat yang Mid ajak Man pergi tu bukan sekadar sungai, tetapi sebuah air terjun yang agak jauh dari laluan orang ramai. Ia agak tersembunyi dari masyarakat luar dan belum ada usaha oleh mana-mana pihak untuk mempopularkan air terjut tersebut. Namun kadang-kadang ada juga pengunjungnya yang terdiri dari remaja samada lelaki maupun perempuan yang datang dalam kumpulan yang kecil untuk berkelah sambil mandi manda di situ. Kebetulan pada hari itu yang berkunjung ke situ ialah sepasang pelancung asing. Entah dari negara mana mereka tu tak siapa yang dapat agak. Mereka dua ekor tu bukan main loklak, kata orang Kedah.
Melalui celah-celah pohon-pohon merbau agak beberapa jarak dari air terjun itu, mata Mid terpukau dan terpaku kepada “binatang” dua ekor yang tak berekor tu. Dahlah mandi tanpa seurat benang pun di tubuh masing-masing, berpeluk-pelukan secara melampau pula tu. Depa ingat dunia ni depa yang punya kut. Macam orang tak ada kemaluan langsung. Depa tak sedar pula bahawa tak jauh dari depa itu dua orang insan Muslim sedang berada. Betullah yang seorang tu matanya kelam, tapi macam mana dengan yang seorang lagi tu. Mata dia cerah elok.
Tiba-tiba perbualan antara Man dengan Mid putus. Kata setengah orang sebab ada Malaikut lalu kut. Mid membisu seribu bahasa. Seolah-olah ada musuh akan menyerang. Man terus duduk di atas seketul batu besar yang kebetulan berada dekat dengan tempat dia berdiri. Man mulai merasai ada sesuatu yang bergerak di tengkuknya. Kemudian objek tersebut menjadi bertambah keras. Tengkuk Man mula rasa tidak selesa menerima kehadiran objek keras tersebut. Dalam hati, Man berkata, “Mid ni dah mula mengarut dah.. Ajak aku mai sini nak tengok gajah konon. Tak boleh jadi ni”
“Apa yang hang dok tengok tu Mid ?” tanya Man memecahkan kesunyian.
“Aku dok tengok gajah mandi. Ramainya gajah….! ” jawab Mid dengan nada yang agak dibuat-buat.
Dengan tak disangka-sangkan oleh Mid, Man menyergah, “Hang dok tengok gajah kah hang dok tengok pompuan mandi telanjang ?”
“Baik hang habaq betui-betui Mid, apa yang hang dok tengok tu. Kalau tak, aku hempaih hang ataih batu ni !” Sambung Man lagi sambil bangun berdiri dari duduknya.
“Mentang-mentang aku ni buta hang ingat hang boleh tipu aku hidup-hidu ?. Hang tau tak, kami yang buta mata ni hati kami tak buta. Bukan macam hangpa, mata hangpa tak buta tapi hati hampa buta!” kata Man lagi sambil menggongcang Mid dengan agak kuat.
“Tolong Man ! Tolong jangan hempaih aku. Chelaka punya mat saleh tu. Mai buat apa tak tau kat sini. Aku pula yang susah !” respon Mid merayu ehsan dari Man sambil cuba menyalahkan “binatang” dua ekor yang diperhatinya dengan penuh minat sejak tadi. Mid memang cemas sungguh dengan ancaman Man yang disokong oleh gerakan fisikalnya tu.
“Silap-silap haribulan dilanyaknya aku macam dia kata tu. Kalau dia tinggal aku kat sini saja pun, mampuih aku” berkata Mid dalam hati sambil berdoa, minta agar Allah ampunkan dosanya dan minta agar Man tak hilang akal hingga tergamak melakukan sesuatu yang tak senonoh ke atas dirinya yang lemah itu.
“Tak pa Man nanti aku cerita kat hang apa yang aku betui-betui nampak. Jom kita balik !” kata Mid dengan nada sedikit ceria kepada Man untuk berkompromi dengan beliau yang tengah meradang tu. Tanpa menyahut kata-kata Mid tu, Man membuat pusingan U serta merta dan beredar dari situ.
Pagi esoknya Man tak lagi bertandang ke rumah Mid bagi menjemput Mid seperti lazimnya. Sebaliknya selepas solat subuh berjumaah di masjid, Man terus saja beriktikaf hingga lewat pagi. Pada malamnya pula, Man hanya ke masjid bersendirian tanpa Mid. Ini menimbulkan satu kelainan pada kacamata Pak Awang Selamat (PAS) dan Pakcik Rahmat (PR). Mereka berdua ni adalah antara ahli-ahli jumaah masjid tersebut yang paling peka terhadap pasangan intim Mid dan Man itu. Bagi Man pula, mereka berdua dianggapnya sebagai tempat merujuk bila ada apa-apa masaalah yang dihadapi. Sehingga kini belum pernah aduan Man mereka abaikan. Pendek kata, mereka sangat sayang kepada Man. “Walaupun mata kasarnya kelam tapi mati hatinya lebih cerah dari kita”, itulah ungkapan yang selalu keluar dari mulut PAS dan PR tentang diri Man.
Bila mereka ternampak Man sedang duduk melengung seorang diri di penjuru masjid tanpa Mid, maka timbullah tanda tanya di hati mereka. “ Malam semalam pun Man macam tu jugak, dok melengung sorang-sorang, tentu ada pasai antara depa berdua”, spekulasi PAS dan PR dalam hati mereka. Lalu mereka pun pergi menghampiri Man. Apabila ditanya kenapa Mid tak datang masjid malam tu, bagi Man umpama si mengantuk disorongkan bantal. Maka dia pun dengan terus terang menceritakan apa yang telah berlaku semalam antara dia dengan Mid dari Alif hingga Ya.
“Hak lain saya boleh berkira lagi Pak Mat. Tapi yang saya tak boleh biaq ialah bila dia tipu saya hidup-hidup. Nak pi tengok gajah konon, …. bohong ! Yang dia gatai sangat nak pi tengok tu bukan gajah tapi orang beromen. Saya ni dia buat macam barua dia. Menyesai saya berkawan dengan orang macam tu” Itulah luahan hati Man yang dilepaskannya kepada PAS dan PR, rakan arwah ayahnya yang sangat dihormati itu.
“Sabaqlah Man…., bukan salah hang pun berkawan dengan orang macam Mid tu. Sekurang-kurangnya niat ikhlas hang nak tolong dia tu, Allah dah tuleh pahala kat hang. Sebenaknya Man, kami memang awai-awai dulu pun dah agak dah yang hang tak akan kekai lama berkawan dengan Mid itu. Sebab kami tau dia tu sebiji macam arwah bapak dia. 10 yang dia cakap yang betui betui bulih pakai kut satu dua saja.8 atau 9 lagi tu temberang belaka, Tapi kami saja tak maulah komplen apa-apa kat hang, sebab kami masih harap dia akan betukaq jadi baik bila dah bekawan rapat dengan hang. Kami doa, bukan tak doa untuk dia. Tapi nampaknya tuhan belum bukak pintu hati dia, apa kita bulih buat. Biaq pi kat dialah Man.Kalau kami betui-betui nak cerita kat hang pasai Mid buat taik, banyak lagi. Tapi biaqlah, takdak guna apa-apa pun cerita pasai buruk orang. Hak lepaih tu biaq lepaihlah”, nasihat PAS kepada Man bagi pihak dirinya sendiri dan bagi pihak PR.
Sejak dari itu Man dan Mid tak lagi macam dulu. Kata orang, mereka dah berpatah arang dan berkerat rotan. Man berasa hidupnya kini lebih selesa dari dulu. MoU yang dimeterai dengan Mid kekal sebagai ingatan sahaja. Dia dah bagi kepercayaan sepenuh hati kepada Mid untuk membimbing dia ke arah destinasi yang menjanjikan menafaat terbaik untuk dinikmati bersama. Malangnya mandat yang diamanahkan kepada Mid disalahgunakan. Apa guna mendokong kepten macam Mid tu. Man Kini benar-benar dah insaf. Kini mulalah dia merapatkan diri kepada Pak Awang Selamat (PAS) dan Pak Rahmat (PR). Man mula yakin bahawa PAS dan PR saja yang ikhlas dan mampu menyelamatkan orang-orang yang lemah sepertinya dari ditipu dan terus ditipu oleh penipu sama yang berlesen maupun penipu haram..
The moral of the story
Untuk menikmati satu pemerintahan negara yang lebih cekap dan berdaya maju pertama kita tak boleh bertoleransi terhadap sebarang bentuk penipuan. Kita kena berani menghukum sesiapa juga yang menipu. Contohnya dengan menurunkan penipu dari takhta pemerintaah negara. Iaitu dengan tidak menyambung lagi tempoh mandat yang diberi kepadanya sejak setengah abad dahulu. Sebaliknya mandat untuk memerintah negara itu wajarlah diserahkan kepada parti alternatif pula iaitu Pakatan Rakyat. Kata pujangga, jika sudah ada rotan (parti yang lebih berwibawa) mengapa masih juga terus mengguna akar (BN yang penuh kontroversi).
Contohilah sikap rasional lagi berani menjaga maruah diri yang ditunjuki Man Kelam dalam cerekana di atas. Kita rakyat Malaysia adalah umpama Man Kelam, manakala UMNO BN umpama Mid Tempang. Macam mana Mid memerlukan sokongan dan dokongan Man, begitulah juga UMNO BN memerlukan sokongan dan dokongan kita untuk memerintah. Oleh yang demikian, apakah kita masih ingin mebuktikan kepada dunia bahawa kita rakyat Malaysia ni masih bodoh dan dayus ? Dikatakan Bodoh kerana sentiasa ditipu oleh parti yang kita angkat menjadi pemerintah. Manakala dayus kerana takut untuk menurunkan parti pemerintah tersebut dari takhta pemerintahan bila dah sedar bahawa diri telah dtipu lebih separuh abad. Ya, kita ditipu dengan dakwaan bahawa BN itu kerajaan dan kerajaan itu adalah BN. Pada hal BN sebenarnya hanyalah sebuah parti politik yang setaraf dengan parti-parti politik berdaftar yang lain. Jika Man seorang OKU pun berani melakukan perubahan, mengapakah tidak bagi kita yang normal ni.
Oleh itu APcik menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang tulen agar tidak redha dengan strategi penipuan yang terkutuk itu. Masing-masing kita jangan hanya berpeluk tubuh sahaja serta membiarkan pendatang-pendatang dari negara lain mencampuri sistem pemerintahan negara kita sekalipun sebagai pengundi hantu saja. Apa ruginya jika semua rakyat Malaysia yang tulen sama-sama memberi amaran keras kepada pendatang-pendatang tersebut, supaya jangan sekali-kali ada di kalangan mereka yang berani membenarkan dirinya dipergunakan sebagai pengundi hantu dalam PRU13 nanti. Sesiapa saja yang menentang usaha ini, maka nyatalah bahawa dia adalah salah seorang dari pengkhianat-pengkhianat negara dan bangsa. Kita boleh gunakan apa juga cara yang mampu difikirkan, asalkan mesej atau amaran tersebut sampai dan difahami oleh semua bakal-bakal pengundi hantu yang berpotensi. APcik percaya mereka pasti akan gentar dengan amaran dari majoriti rakyat Malaysia yang tulen itu dan tidak akan berani mengambil risko untuk keluar mengundi pada hari PRU13 nanti.
@OPajar
#12705(K)