Sosial: nasib seorang WE

Trajedi 911 (2001.09.11) di New York, Amerika Syarikat.

(Terbitan 2020.09.11 – Jumaat)

Tarikh September 11 (hari ini) mengingatkan Acik tentang trajedi besar di bandaraya New York 19 tahun yang lalu. Acik percaya banyak cerita mengenai trajedi itu boleh didapati daripada sumber internet. Mengambil sempena tarikh trajedi besar itu, biarlah Acik ceritakan pula mengenai satu trajedi lain yang Acik saksi sendiri di kampung halaman Acik. Walaupun trajedi ini sangat kecil jika dibandingkan dengan trajedi 911 itu, namun bagi Acik ia sangat relevan dengan seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga emas.

Hari ini adalah hari ke 17 Acik berada di kampung halaman sendiri. Di kampung inilah tempat Acik dibesarkan dari umur 4 tahun hingga ke umur 16 tahun. Di kampung inilah juga lahirnya pengarang buku yang bergelar “Lepat” itu. Anak Malaysia (Dato Abdul Malik Mydin) yang berjaya berenang melintasi selat Inggeris dahulu (2003 0gos 03) pun khabarnya pernah tinggal di kampung ini juga.

Namun demikian, kampung Acik ini juga tidak ketinggalan dalam melahirkan dan membesarkan rakyat yang bermasalah. Yang Acik maksudkan dengan rakyat bermasalah itu ialah penagih-penagih dadah tegar. Mereka ini adalah ibarat cili padi. Walaupun bilangannya sangat sedikit, namun kepedasannya sudah mampu merosakan (kuah) laksa sebelanga

Kedamaian Acik di kampung halaman sendiri kali ini agak terjejas sedikit. Baru beberapa hari saja berada di kampung ini, Mat Redha (bukan nama sebenar) jiran terdekat Acik, dilaporkan sakit. Beliau terbaring di muka pintu masuk rumahnya. Katanya, beliau tak mampu nak bangun duduk sebab terlalu pening. Jadi, bagaimana mungkin beliau mampu nak menguruskan sendiri dirinya.

Yang amat menyedihkan Acik ketika menziarahi Mat Redha (MR) itu bukan kerana sakitnya itu. Tapi sedih akan keadaan hidupnya. Kalau dibandingkan keadaan hidup beliau (di saat itu) dengan hidup seorang banduan, Acik rasa banduan jauh lebih selesa dan sempurna hidupnya.

Rumah yg didiami MR seorang diri

Di penjara, tempat tidur banduan yang disediakan adalah selesa. Makan minumnya pun cukup dan berjadual. Pakaiannya tak dibiarkan kotor melampau. Malah banduan mungkin boleh mandi setiap hari. Sebagai seorang yang khabarnya telah pernah menjadi banduan (disabitkan dengan penyalahgunaan dadah), MR sendiri tentu dapat membezakan hidupnya sekarang dengan hidupnya ketika di dalam penjara suatu masa dahulu.

Sudah berapa hari dah MR tak mandi. Kencing dan beraknya di tempat beliau baring itulah. Bau busuknya jangan ceritalah, bukan kepalang. Tidak siapa pun yang datang menolong beliau bagi menguruskan dirinya. Mungkin tiada siapa pun yang sanggup berbuat demikian. Termasuklah juga diri Acik sendiri. Namun, tentang makan minumnya ada pula jiran yang datang menghantarnya.
.

Sejak dari kecil lagi hidup MR tak pernah senang. Status ekonomi keluarga mak ayahnya adalah di bawah garis kemiskinan. Ketika bapanya meninggal, MR masih belum mampu berdikari. Namun, mungkin kerana ibunya masih ada, hidup MR tidaklah seteruk sekarang.

Mujur juga Ibu MR mewarithi pencen ayahnya. Walaupun pecen arwahnya itu tak sampai RM300, Paklah (PM kelima) kemudiannya menaikkan kadar pecen itu ke RM700. Itu jasa PM ke5 yang tak patut dilupakan oleh pesara-pesara kerajaan.

Kalau PM ke4 masih berkuasa tentulah hidup MR dan ibunya lebih susah. Maklumlah, dengan kadar pencen yang tak sampai RM300 sebulan itu apa yang boleh mereka makan. Lebih-lebih lagi setelah kadar pecen tersebut diturunkan kepada 70% apabila tempoh makan pencen telah genap 12 tahun. Jadi ketika ibunya masih hidup bolehlah juga MR menumpang rezeki ibunya itu.

Apabila MR sudah menjadi WE (warga emas) Acik harap hidupnya akan legalah sikit. Namun, ibarat jauh panggang dari api. Hidup MR bahkan semakin susah. Kini beliau hidup sebatang kara. Ibunya telah pulang ke rahmatullah beberapa tahun yang lepas. Pencen terbitan ibunya pun turut tamat atas kematian ibunya itu. Kerana tidak pernah beristeri masakan MR mempunyai anak untuk membantunya.

Ketika beliau masih muda dahulu, MR membuat berbagai-bagai kerja selepas berhenti daripada kerja kilang. Contohnya mengambil upah membersihkan halaman atau kawasan rumah jiran-jiran yang sudi mengupahnya. Arwah abang Acik adalah diantara jiran yang biasa mengupah MR. Namun tujuan arwah abang itu lebih kepada untuk membantu sekadar yang mampu saja. Bukan untuk menanggung saraan hidup MR sepenuhnya.

Malangnya arwah abang kandung Acik itu pun telah meninggal dan dikebumikan bersama-sama pencennya sekali, Kini MR benar-benar hidup sebatang kara dengan mengharapkan belas kasihan rakan dan jiran.

Dan kini juga MR sudah pun menjadi WE. Jadi, maklum sajalah. Tenaga fisikalnya pun sudah tentulah dah banyak berkurangan. Untuk terus berkerja seperti dahulu bagi menyara sendiri hidupnya, itu pun mungkin MR sudah tidak mampu lagi.

Menjelang Covid19 dahulu Acik sering berjumpa MR di masjid kampung Acik itu. Sejuk rasanya hati Acik melihat MR menjadikan masjid sebagai tempat beliau memhabiskan sisa hidupnya yang masih berbaki itu. Acik doakan supaya hati MR akan tertambat pada rumah Allah itu. Kuliah magrib yang diadakan setiap malam di masjid itu mudah-mudahan akan meninggalkan impak positif ke hati beliau.

Agaknya sejak bencana Covid19 mula melanda negara, maka MR terpaksa menjauhi diri dari masjid. Kembalilah beliau tinggal di rumah pusaka orang tuanya. Keadaan rumah yang tidak terjaga sejak sekian lama itu tentu tidak kondusif kepada sesiapa juga yang menghuninya. Bekalan api elektrik dah putus. Bahkan bekalan air yang menjadi keperluan asas bagi setiap makluk hidup pun sudah tiada.

Sebaik saja MR nampak muka Acik, beliau terus meminta Acik tolong panggilkan ambulan. Atas rasa kasihan yang tak terhingga, lantas Acik pun menunaikan hajat beliau itu. Tak sampai sejam kemudian ambulan pun tiba. Anggota hospital dua orang yang datang juga sangat mesra pesakit. Lega hati Acik melihat MR dibawa ambulan itu ke hospital. Itulah saja sumbangan Acik setakat itu.

Ini adalah ambulan yg membawa MR ke hospital. Ia merupakan usaha Acik yg pertama utk menolongi beliau.

.

Walau bagaimanapun, selang beberapa hari kemudian Acik ternampak lagi MR di muka pintu depan rumahnya itu. Lalu Acik pun pergi lagi menemui beliau, bertanyakan khabar kepadanya. Rupa-rupanya beliau dah dikeluarkan (discharged) dari hospital 3 hari yang lepas.

Kini keadaan beliau kembali semula seperti dahulu. Terbaring di muka pintu rumahnya itu. Terbiar dalam keadaan dikotori oleh najis tahi dan kencingnya sendiri sejak balik dari hospital itu.

Acik lalu bertanya kepada MR, bagaimana beliau balik hospital. Kata beliau, seorang Pakcik tua menyuruh anaknya hantarkan. Anak Pakcik itu pemandu teksi. Mulia sungguh hati Pakcik dan anak beliau itu. Masih ada lagi rupanya insan seperti mereka berdua di negara kita ini. Acik doakan agar Allah senantiasa memberkati insan dua beranak itu.

Hati kecil Acik kembali risau terhadap MR. Sampai bila beliau nak hidup dalam keadaan demikian. Mungkin juga itu satu bentuk kifarah keatas beliau kerana dosa-dosa yang pernah dilakukan sepanjang hidupnya. Kifirah adalah tanda Allah kasih kepada hambaNya.

Kifarah boleh membuat seseorang hamba itu insaf lalu bertaubat dan memohon ampun dengan Allah atas segala dosa-dosanya yang lalu. Lalu Allah pun memberi keampunan kepada si hamba itu. Malah memberi kekuatan kepada si hamba untuk menahan diri daripada melakukan dosa-dosa lain atau mengulangi dosa-dosa yang sama.

Kifarah itu sendiri pun adalah merupakan balasan tunai (segera) atas dosa-dosa si hambaNya. Sesungguhnya hukuman (segera) di dunia ini adalah jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan hukuman (tertangguh) di akhirat nanti.

Mungkin juga musibah yang menimpa MR itu satu bentuk ujian ke atasnya untuk maslahat dirinya sendiri. Bila Allah nak mengangkat makam seseorang hamba di sisiNya maka hambaNya itu akan diuji. Atas kesabaran dan keredhaan hambaNya dalam menghadapi tempoh ujian itu, makam si hamba itu di sisiNya akan meningkat. MasyaAllah !

Sepanjang pengetahuan Acik MR adalah seorang individu yang baik lagi lurus. Faktor sekelilinglah yang menyebabkan beliau tergelincir dari landasan normal kehidupan. Kerana sikapnya yang tidak suka bermusuhan, maka beliau mudah menerima sesiapa juga yang sudi mengulur tangan persahabatan kepadanya.

Amat malanglah bagi MR kerana yang terlebih dahulu menghulur tangan persahabatan kepadanya kebetulannya individu-individu yang bermasalah. Akhirnya, MR jua yang menjadi mangsa penagihan berpunca daripada pengaruh kawan-kawannya yang bermasalah itu.

Namun bagi Acik, ujian yang diturunkan keatas MR itu bukanlah semata-mata untuk dirinya saja. Sebaliknya ia adalah merupakan ujian kepada semua orang yang relevan dengan MR. Mereka yang relevan termasuklah saudara maranya, jiran tertangganya (termasuklah Acik), malah semua anak khariah masjid kampungnya, terutamanya semua AJK khariah.

Ujian keatas jiran

Sebagai seorang jiran kepada MR, maka Acik diuji oleh Allah akan keperihatinan Acik terhadap kebajikan beliau, bahkan kebajikan jiran-jiran Acik yang lain. Adakah Acik sentiasa mengambil tahu apa yang berlaku keatas jiran-jiran semua sepanjang tempoh berjiranan dengan mereka.

Pernahkah Acik bertanya kepada mereka bagaimana kehidupan mereka seharian. Adakah makan minum mereka sentiasa mencukupi bagi seisi keluarga. Pernah tak berlaku peristiwa dimana Acik sedap lena dengan kekenyangan, sedangkan ada jiran yang terpaksa membiar anak mereka tidur dalam kelaparan.
.

Ujian keatas anak2 khariah

Sebagai anak-anak khariah masjid yang sama dengan MR, mereka semua diuji oleh Allah akan rasa tanggungjawab terhadap beliau. Ini sejajar dengan sebuah hadis yang bermaksud bahawa Nabi s.a.w. tak mengaku umat baginda orang yang tidak sayang kepada saudaranya sama sepertimana ia sayangkan dirinya sendiri.

Sedangkan dalam Islam, setiap Muslim dengan Muslim yang lain adalah dikira bersaudara. Sejak MR terlantar sebegitu rupa berapa orangkah anak khariah yang datang menziarahi beliau. Sekiranya mereka tahu, tak patut kata tak tahu tentang nasib MR itu. Mereka juga harus tahu akan tanggungjawab sesama anak khariah. Kerna, setiap malam mereka menghadiri majlis ilmu di masjid. Apakah ilmu yang dicurahkan ke telinga masing-masing hanya ibarat mencurah air ke daun keladi sahaja ?
.

Ujian keatas AJK khariah

Andaikata Acik adalah seorang AJK khariah masjid, Acik pasti akan rasa bersalah jika mendapat tahu bahawa majlis ilmu setiap malam di masjid disia-siakan. Maksud Acik, ilmu yang diterima tidak dipraktikkan sewajarnya. Kata satu ungkapan ilmuan, “beramal tanpa ilmu binasa, berilmu tanpa amal sia-sia”

Acik sering duduk di dalam majlis ilmu di masjid dan surau selepas solat magrib hingga masuk waktu Isya. Bagi diri Acik, majlis tersebut kurang memberi impak sebab tiada sessi soal jawab. Tiadanya sessi soal jawab bermakna pertanyaan tak digalakkan. Sedangkan ilmu yang disampaikan oleh penceramah berkenaan mungkin mencetuskan pelbagai soalan yang perlukan jawapan.

Majlis ilmu yang diadakan itu tujuannya adalah untuk memenuhi hasrat anak-anak khariah yang berhajat kepada ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian penyampaian ilmu wajarlah sesuai dengan kemampuan anak khariah untuk menerimanya.

Namun, jika sekiranya majlis ilmu diadakan adalah bagi memenuhi hasrat mereka yang menawar diri untuk mengajar di masjid, maka salahlah objektifnya. Sedangkan anak-anak khariah masjid bukan sekadar memerlukan ilmu agama saja. Mereka juga perlukan bantuan kebendaan dan lain-lain seperti bimbingan, nasihat dan sebagainya.
.

Sedangkan sejak sekian lama pihak masjid telah membelanjakan RM puluhan ribu bagi mengadakan majlis ilmu hampir tiap-tiap malam. Kemudian ditambah lagi dengan kuliah subuh hampir tiap-tiap hujung minggu dan pada hari-hari cuti umum.

Apakah kaedah penyampaian ilmu yang dipraktikkan selama ini tidak berkesan. Mustahilkah bahawa ilmu juga ada dosenya (had sukatan), sama macam ubat-ubatan. Maksudnya, jika ilmu diberi terlalu banyak ia juga akan memberi kesan negatif kepada penerimanya. Samalah macam pesakit yang makan ubat melebihi sukatan (dose) yang telah ditetapkan.
.

Rindukan zaman muda dahulu

Nasib yang sedang dilalui oleh MR kini mengingatkan Acik akan zaman Acik sebagai kanak-kanak hingga dewasa dahulu. Disepanjang hidup Acik di kampung halaman sendiri ketika itu, bermacam-macam perkara yang dapat Acik lihat dan alami. Kata peribahasa kita, “yang baik menjadi tauladan yang buruk menjadi sempadan”.

Berdasarkan pengamatan (observations) Acik, apa yang MR alami sekarang ini mungkin tak sempat berlaku jika di zaman dahulu. Tuan imam tak akan membiarkan keadaan buruk terus berlaku keatas anak khariahnya dengan sekadar berpeluk tubuh sahaja.

Sebaliknya, sebaik saja tercetusnya masalah yang melibatkan anak khariah, Tuan Imamlah diantara orang yang terawal menghulurkan bantuan. Namun, bantuan beliau bukanlah berbentuk kebendaan. Maklumlah, imam waktu itu bukannya ada elaun bulanan macam imam sekarang.
.

MR perlu dihijrahkan

Memikirkan masalah yang sedang dialami oleh MR, Acik percaya ianya akan dapat diatasi dengan penghijrahan beliau secara fisikal. Kalau pesakit Covid19 dilarang berhijrah, pesakit yang semacam MR pula adalah sebaliknya.

Oleh sebab itu, maka Acik sangat berharap agar MR akan dihijrahkan ke mana-mana rumah jagaan Warga Emas. Dengan penghijrahan itu, maka akan terputuslah rantai yang menghubungi beliau dengan kawan-kawannya yang bermasalah seperti beliau. Konsep penjarakan sosial (social distancing) yang kita praktikkan untak melawan Covid19 bolehlah diaplikasikan keatas MR.

Acik sangat tidak setuju jika didesak supaya adiknya menerima juga MR untuk tinggal bersama keluarganya. Berdasarkan apa yang Acik difahamkan, adik kandung MR itu telah puas berusaha untuk memjadikan MR sebagai individu yang bebas dari masalah.

Namun, usaha yang murni tersebut telah menemui jalan buntu. Selagi MR masih boleh ditemui atau menemui kawan-kawan beliau yang bermasalah, maka amat susah bagi usaha tersebut membuahkan hasil yang diharapkan. Oleh sebab itu, MR perlu hidup dalam kawasan yang wujud kawalan rapi oleh pihak yang berotoriti.

Ujian keatas YB sebagai ADUN

Ketika ambulan datang bagi kali kedua untuk mengambil MR dan membawanya ke hospital, secara kebetulan seorang YB ADUN sedang berada tidak jauh dari situ. Atas keperihatinannya yang tinggi, maka beliau datang ke ambulan tersebut. Sama-sama beliau membantu menaikkan MR ke atas ambulan. Syabas YB.

Bagi Acik, kehadiran seorang YB di saat MR hendak dibawa ke hospital adalah suatu manifestasi yang baik. Harap-harap beliau akan sudi membantu mendapatkan tempat bagi MR di mana-mana tempat jagaan WE ASAP. Keadaan rumah tempat MR tinggal itu, beliau dah tengok dengan mata kepalanya sendiri. Kata Mat Salle, beliau dapat “first hand information” tentang keadaan hidup MR.

Tanggungjawab kerajaan

Setiap masalah akhirnya terpaksa ditangani oleh kerajaan yang memerintah. Sebagai kerajaan, ia tidak boleh melepaskan batuk di tangga dalam menangani apa-apa jua masalah yang dihadapi oleh rakyat. Bagi setiap rakyat, kerajaan adalah tempat terakhir ia menagih pertolongan.

Kalau bagi ibu bapa, apabila anaknya sudah dewasa dan pandai berdikari, maka tugas keibu bapaannya bolehlah dianggap selesai. Bagi ibu bapa yang dibantu oleh anak-anak untuk hidup lebih selesa adalah merupakan bonus. Tapi adakah semua ibu bapa mendapat anak-anak yang berjaya.

Bagaimana pula dengan ibu bapa yang anaknya seorang penagih dadah tegar ? Maka di sinilah kerajaan kena mengambil alih penjagaan anak-anak yang malang itu sehingga mereka mati daripada ibu bapa mereka. Tanggung jawab itu bukan satu pilihan bagi kerajaan. Sebaliknya itu adalah satu kewajipan yang wajib diterima dan dilaksananya oleh kerajaan secara berkesan.

Mereka yang menjadi anggota kerajaan wajarlah berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan paling berkesan. Anggota kerajaan perlu ada inisiatif bagi mencari solusi bagi semua masalah yang rakyat tak mampu selesaikan sendiri. Ini kerana kemampuan kerajaan adalah jauh mengatasi kemampuan semua entiti bukan kerajaan.

Kalau isu penagihan dadah tidak mampu diatasi sendiri oleh ibu-bapa dan masyarakat, maka usaha mengatasinya perlu datang daripada kerajaan. Kerajaan samada “by hook or by crook” mesti menyediakan mekanisma yang efektif bagi menangani semua dan setiap jenis masalah yang wujud dalam negara. Pendek kata, bagi kerajaan tidak ada masalah yang tidak boleh diatasi kecuali yang bercanggah dengan hukum alam (sunnatullah)

YB Yusof (BN) pun turut sama membantu mengangkat MR ke atas ambulan.

.

Wallahua’lam 🌺

.

PenCERAHan yg relevan ⬇️

Perkhidmatan kesihatan wajarkah diswastakan ? https://4uni2c.com/2018/08/13/kesihatan-wajarkah-ia-diswastakan/

PenCERAHan terbaru⬇️ http://www.4uni2c.com

Lawatan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat ke rumah MR.

~ by OPajar on 2024-04-17.

Leave a comment