Kesihatan: Wajarkah ia diswastakan ?
Kesihatan adalah asset yang sangat penting bagi negara.
2018 Ogos 13 (Isnin)
Rakyat Malaysia patut rasa sangat bertuah dan bersyukur kerana kedua-dua PM (Perdana Menteri) dan TPM (Timbalan Perdana Menteri) mereka adalah doktor perubatan. Bahkan menteri kesihatannya juga adalah seorang yang bergelar doktor. Walaupun beliau bukan seorang doktor perubatan, namun anak dan menantu beliau adalah juga doktor perubatan.
Biasanya orang yang paling mahir di dalam sesuatu bidang adalah seorang ahli dalam bidang berkenaan. Oleh sebab itu, sangatlah wajar jika ahli di dalam bidang tersebut menjadi sumber nasihat dan pembuat dasar-dasar yang paling relevan dengan bidang tersebut.
Kebanyakan kita mengakui bahawa faktor yang paling utama dan maha penting dalam hidup kita ialah kesihatan. Tanpa status kesihatan yang baik kita tidak dapat hidup sempurna. Dan produktiviti kita juga akan turut lemah. Oleh sebab itu, orang yang kaya akan sanggup mengorbankan harta bendanya untuk “membeli” kesihatan. Ataupun, untuk “menebus” kesihatan yang telah tergadai (hilang) akibat kemalangan, atau panyakit yang menimpa.
Acik percaya bahawa individu yang paling sensitif terhadap faktor kesihatan ialah pakar perubatan yang bergelar doktor. Untuk menjadi seorang doktor bukannya senang. Ia mestilah seorang pelajar yang pintar. Selain pintar beliau juga kena cukup berdisiplin. Acik kata begini kerana seorang dari anak Acik adalah juga seorang bekàs penuntut perubatan dia UIA beberapa tahun dahulu. Jadi Acik boleh bandingkan beliau dangan anak-anak Acik yang bukan penuntut perubatan di beberapa universiti yang lain.
Ketika masih menuntut, seseorang bakal doktor itu sudah memerlukan disiplin yang cukup tinggi. Tanpa disiplin beliau tidak akan lulus kursus perubatan yang diikutinya. Disiplin yang lebih tinggi malah diperlukan apabila dah mula bertugas sebagai seorang doktor. Ada juga penuntut perubatan yang tidak mampu patuh kepada disiplin kedoktoran lalu memilih bidang kerjaya lain selepas menjadi graduan dalam bidang perubatan.
Acik sangat “admire” atau kagum kepada individu yang mampu menjadi seorang doktor atas faktor-faktor di atas. Bagi warga tua macam Acik ini, kehadiran doktor amat terasa pentingnya. Ketika masih muda dahulu Acik amat jarang pergi berjumpa doktor. Tapi kini setiap 3 bulan sekali mesti pergi berjumpa doktor.
Kos perubatan adalah satu elemen penting bagi semua rakyat. Jika kerajaan tidak menyediakan rawatan perubatan percuma kepada rakyat, maka sudah pasti rakyat akan menderita. Oleh itu, kerajaan yang pentingkan kesejahteraan rakyat akan berusaha besungguh-sungguh untuk meningkatkan mutu rawatan perubatan percuma kepada rakyat. Bukan menyerahkan saja tanggungjawab yang maha penting itu kepada pihak lain.
Kerajaan yang kurang peduli terhadap kebajikan rakyat sahaja yang akan membiarkan pihak swasta menawarkan rawatan perubatan kepada rakyat. Oleh sebab kesihatan adalah terlalu penting, maka rata-rata rakyat terpaksa sanggup bergadai golok untuk membeli rawatan perubatan. Tanpa adanya kemudahan perkhidmatan perubatan yang cukup yang disediakan oleh kerajaan, maka rakyat terpaksalah bergantung kepada kemudahan perubatan yang ditawarkan oleh pihak swasta. Ini akan membuka peluang yang luas kepada pihak swasta untuk menangguk di air keruh. Sedangkan pesakit pula adalah ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Dahlah sakit, kena peras pula oleh pengamal perubatan swasta.
Sebagai pesara warga emas, Acik harap kerajaan tidaklah kedekut untuk berbelanja lebih demi kesihatan setiap rakyat. Usaha kerajaan kearah menyediakan rawatan perubatan percuma sangatlah wajar diteruskan. Janganlah pula mistik yang mengatakan bahawa negara boleh bankrap akan mendorong kerajaan baru PH mengswastakan perkhidmatan perubatan. Kononnya, dengan kaedah pengswastaan itu kerajaan tidak perlu lagi berbelanja besar. Maka dengan sendirinya negara akan selamat dari bencana bankrap.
Betulkah sebuah negara boleh bankrap jika menyediakan pelbagai perkhidmatan percuma kepada rakyat, termasuk rawatan perubatan ?
Bagi Acik, mempercayai bahawa negara pun boleh bankrap adalah menyamakan negara dengan seorang individu, atau sebuah keluarga, atau sebuah syarikat, persatuan dan sebagainya. Sedangkan sebuah kerajaan adalah satu institusi yang jauh berbeza dari entiti-entiti tersebut. Ini kerana kuasa yang ada pada kerajaan menyebabkan ia tidak akan boleh bankrap. Jika pemimpin-pemimpin utama kerajaan percaya bahawa negara boleh bankrap, nescaya rakyat akan semakin susah hidupnya. Maka golongan ini tidak layak menjadi pemerintah dan rakyat pula wajar menukar kerajaan secepat yang mungkin.
Apabila pemimpin-pemimpin utama negara percaya bahawa negara boleh bankrap, maka mereka pun ada alasan untuk menyerahkan sesuatu tanggungjawabnya kepada pihak kapitalis. Dengan berbuat demikian kerajaan tak payah lagi keluar duit. Contohnya untuk membina hospital. Kerajaan cuma menyediakan sebidang tanah saja kepada sebuah syarikat gergasi untuk membina hospital.
Dengan sokongan kerajaan maka pihak kapitalis berkenaan pun berjaya mewujudkan hospital swasta. Oleh itu rakyat tidak boleh lagi mendakwa bahawa kerajaan gagal menyediakan perkhidmatan perubatan kepada mereka. Rakyat juga tidak akan menyalahkan kerajaan menyerahkan perkhidmatan perubatan kepada pihak swasta bila mereka juga turut percaya bahawa negara memang benar-benar tak mampu untuk menyediakan perkhidmatan perubatan percuma kepada rakyat. Dan jika kerajaan mencuba juga menyediakan perkhidmatan tersebut, nescaya negara akan bankrap.
Hutang akan bankrapkan negarakah ?
👇. 👇. 👇. https://4uni2c.com/2018/06/14/hutang-akan-bankgrapkan-negarakah/
Maka pihak kapitalis yang menyediakan perkhidmatan perubatan tersebut akan di anggap sebagai penyelamat. Ya, penyelamat kepada kerajaan dari disalahkan oleh rakyat kerana tidak menyediakan hospital. Dan penyelamat kepada rakyat kerana sanggup menyediakan perkhidmatan perubatan yang tak mampu disediakan oleh kerajaan.
.
Modus operandi di atas sebenarnya adalah satu strategi bagi pihak yang cintakan dasar pengswastaan, khususnya kapitalis. Jika puak kapitalis ini dibiar mengambil alih tugas-tugas dan tanggungjawab kerajaan, akhirnya majoriti rakyat akan menderita. Inilah yang telah menjadi fenomina di AS (Amerika Syarikat) sekarang.
Jika anda ingin ke AS eloklah membeli insuran perubatan walaupun untuk tempoh seminggu di sana. Tanpa ada perlindungan insuran, anda akan tersangat susah jika jatuh sakit dan memerlukan rawatan perubatan. Sistem perkhimatan perubatan yang telah lama diswastakan di AS menyebabkan majoriti rakyat miskin tidak mampu mendapat rawatan perubatan dan terpaksa menanggung derita kesakitan. Adakah dasar negara kita (berkaitan dengan sistem perubatan) sedang menuju ke destinasi yang sama ?
Mungkin dah ramai dari rakyat Malaysia telah pun menganut kepercayaan bahawa negara juga boleh bankrap sepertimana individu dan syarikat perniagaan. Atas kepercayaan ini mereka “skeptical” bahawa negara mampu meyediakan perkhidmatan perubatan percuma kepada seluruh rakyatnya. Namun demikian, mereka akan yakin bahawa negara mampu menyediakan perkhidmatan perubatan percuma sekiranya mereka melihat apa yang sudah menjadi realiti di negara Cuba (disebut “Kiuba”) sekarang.
Di Cuba, perkhidmatan perubatan diberi percuma kepada seluruh rakyat jelata. Bilangan doktor Cuba telah lebih dari mencukupi berdasarkan piawaian WHO (World Health Organisation), iaitu seorang doktor bagi 400 orang rakyat. Sedangkan di Malaysia nisbahnya ialah 1.533 orang doktor bagi 1000 orang rakyat. Padahal PM dan TPM bagi negara Malaysia adalah doktor perubatan.
Bila kerajaan menyerahkan tugasnya yang maha penting (iaitu menyediakan perkhidmatan perubatan) itu kepada pihak kapitalis, implikasinya sangatlah buruk. Rakyat akan terpaksa atau dipaksa untuk membeli insuran perubatan untuk diri masing-masing dan keluarga. Sedangkan realitinya, masih ramai rakyat yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan. Walaupun ada yang akan menerima kad perlindungan isuran secara percuma dari kerajaan, namun bantuan tersebut sentiasa tidak akan mencukupi. Bantuan tersebut hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
Bantuan perubatan melalui sistem insuran perubatan lebih kepada bagi mengkaya-rayakan golongan kapitalis. Sistem kewangan dan perbankan pula sentiasa berpihak kepada mereka. Keuntungan yang maha besar yang dijana oleh pemain-pemain dalam industri insuran dan perkhidmatan perubatan sebenarnya adalah di atas penderitaan majoriti rakyat. Sedangkan pada hakikatnya industri-industri (insuran & rawatan perubatan) tersebut adalah parasit yang membebankan rakyat jelata. Ironinya, kerajaan pula yang menjadi pemangkin (“catalyst”) tegar kepada pengembangan kedua-dua industri tersebut (i.e. industri perubatan dan insuran).
.
Acik harap doktor-doktor perubatan yang berkhidmat dengan kerajaan tidak akan bercita-cita untuk berpindah ke hospital swasta demi untuk membina kekayaan. Jangan hairan kepada gaji doktor di hospital yang mencecah RM100 k sebulan atau lebih. Sebab sumbangan mereka melalui hospital kerajaan adalah lebih bernilai di sisi Allah, insyaAllah. Ada juga doktor yang merasa bangga kerana berjaya membuka kelinik sendiri, atas sebab-sebab yang mereka sendiri saja yang tahu.
Wallahualam
.
PenCERAHan yg relevan ⬇️
.
Covid19: hospital kerajaan dikagumi .https://beappreciative.wordpress.com/2021/06/16/covid19-hospital-kerajaan-dikagumi/
Hutang : Akan bankrapkan negarakah ?https://4uni2c.com/2018/06/13/hutang-akan-bankgrapkan-negarakah/
Covid19: Bencana sejagat (ujian keatas iman umat Islam) https://4uni2c.com/2020/03/13/covid-19-bencana-sejagat/
.
PenCERAHan terbaru ⬇️ http://www.4uni2c.com
Share this:
PN