4uni2c #13803 Anjing Masih Bercawat Ekor
***Untuk men CARI lain-lain TAJUK sila KLIK nama bulan di bawah ARCHIVE di kanan SKRIN, Kemudian SKROL
(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)
Sepuluh Jong Masuk
Anjing Masih Bercawat Ekor
Sebenarnya, tajuk di atas adalah sebuah peribahasa Melayu. Bagi generasi sekarang mungkin tak ramai yang tahu maknanya. Malah mungkin lebih ramai yang tak pernah baca atau dengar lansung peribahasa tersebut. Jadi elok juga rasanya Acik terangkan sedikit tentang peribahasa tersebut sebelum terus pergi kepada mesej yang ingin Acik (Ayah/Abang+cik) sebarkan ini.
Acik yakin semua kita dah tahu apa itu anjing. Ya, ia adalah sejenis binatang yang jinak. Kejinakannya mungkin seperti kucing. Ia juga binatang yang sangat setia kepada tuannya. Hinggalah hamba yang tersangat setia kepada tuannya diumpamakan sebagai anjing.
Cuma orang-orang Islam saja yang sangat jarang memelihara anjing kerana adanya sedikit kontroversi dalam hukum agama terhadap binatang ini. Untuk jalan selamat, majoriti Muslim memilih untuk tidak bela langsung anjing. Bukan saja di negara kita Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Ini demi mengelakkan fitnah sesama Muslim.
Istilah “bercawat” pula digunakan bagi maksud menutupi kemaluan agar tidak terlihat oleh pihak lain. Bagi masyarakat orang Asli suatu ketika dahulu, mereka hanya memakai cawat sebagai pakaian harian mereka. Cawat mereka itu samada diperbuat dari daun, kulit-kulit kayu atau kulit-kulit binatang. Bagi binatang anjing maka yang menjadi cawat baginya ialah ekornya sendiri.
Jong asalnya adalah sejenis kenderaan atau pengangkutan air yang agak besar dan berfungsi sebagai sebuah kapal. Biasanya jong digunakan bagi membawa masuk barang-barang yang diimport dari negara luar ke pelabuhan kita. Walaubagaimana pun, jong sekarang adalah perahu layar kecil sebagai permainan yang digunakan untuk perlumbaan.
Dalam dunia yang didominasi oleh sifat kebendaan, kemujuan adalah diukur berdasarkan factor kebendaan yang telah wujud dalam sesuatu masyarakat atau tempat. Tempat dan masyarakat yang dilengkapi dengan bermacam-macam benda, maka tempat itu akan dianggap sebagai tempat atau masyarakat yang telah mencapai kemajuan. Begitulah sebaliknya.
Apabila sudah sepuluh jong masuk menghantar perbagai barang import ke suatu tempat, maka bolehlah dianggap bahawa tempat tersebut telah menerima kemajuan atau perubahan positif. Ini kerana tempat tersebut akan mewah dengan barang-barang dari pelbagai jenis. Namun bagi anjing, ia akan tetap seperti sediakala juga iatu tidak terkesan dengan kemajuan yang dibawa masuk dari luar melalui jong-jong itu.
Pendek kata ia (anjing) masih lagi menggunakan ekornya sebagai cawat. Sepatutnya ia dah tahu pakai “skirt” sekurang-kurangnya, kalaupun tak sampai memakai jubah.
Jika nak dirumuskan, apa yang nak digambarkan oleh peribahasa klasik tersebut ialah suatu senario di mana seseorang individu atau masyarakat atau institusi yang telah tidak mengalami apa-apa perubahan positif. Ia umpama anjing yang tetap kekal sama seperti asalnya, dahulu, kini dan selama-lamanya. Harap-harap janganlah ada pula pihak yang akan membuat laporan polis menuduh Acik menghina siapa-siapa dengan menyamakan pihak berkenaan dengan seekor anjing. Demi Allah tak adalah niat Acik sedikit habuk pun untuk berbuat demikian.
Jadi andaikata masih ada juga mana-mana hati yang ultera sensitive terhadap tulisan Acik ini, maka Acik terlebih dahulu memohon jutaan maaf zahir dan batin. Elok bagi hati-hati yang ultera sensitif itu tak terus membaca blog Acik ini ya. Namun bagi selainnya, Acik mengalu-alukan mereka membaca tulisan-tulisan Acik itu dengan hati yang terbuka. Yang baik ambillah buat tauladan dan yang sebaliknya buatlah sempadan. Selamat meneruskan bacaan anda !
Pada 1hb Ogos baru lepas Acik (Ayah/Abang+cik) ke Sekolah Kebangsaan Pos Brooke (SKPB) bersama isteri. Kunjungan kami semata-mata bagi mengenang kembali pengalaman kami semasa tinggal bersama anak-anak orang Asli beberapa tahun yang lampau. Nostalgia kata orang. Ketika itu Acik dah pencen dari jawatan dengan sebuah badan berkanun kerajaan. Jadi bolehlah ikut isteri yang bertugas sebagai seorang guru kanan pentadbiran di sekolah anak-anak orang Asli itu.
Kami bertolak dari Tanah Rata, Cameron Highlands selepas solat asar. Jarak SKPB dari Tanah Rata adalah lebih kurang 40 km. Target kami akan berbuka puasa di Kampung Raja, sebuah pekan kecil kira-kira 15 km dari sekolah tersebut. Kemudian akan ke SKPB bagi menunaikan solat tarawih bersama-sama warga sekolah itu.
Alhamdulillah target kami mengena. Kami sampai ngam-ngam masuk waktu Isya. Warga SKPB yang kami temui sesampainya kami ke dalam kawasan sekolah, tak siapa pun yang kami kenali. Namun semangat kewargaan SKPB yang masih berbaki dalam jiwa kami membuat kami tidak rasa kekok untuk bersapa dengan mereka yang kami temui di surau sekolah tersebut.
Tiba-tiba muncul seorang individu yang sangat kami hormati, memasuki surau tersebut. Tak lain dan tak bukan, beliau ialah guru besar (GB) sekolah tersebut. Acik sangat kagum dengan beliau kerana begitu tabah dan berdidikasi mendidik anak-anak orang Asli sejak tahun 2006 lagi. Hampir semua guru lain yang bertugas semasa isteri Acik masuk bertugas di sekolah tersebut telah berpindah ke sekolah lain. Namun guru besar tersebut masih kekal di situ.
Katanya, beliau tak pernah memohon untuk ditukarkan balik ke kampung halamannya di Tumpat, Kelantan. Misinya ialah menabur bakti dengan ikhlas kepada anak-anak orang Asli yang diantaranya ada yang telah memeluk Islam. Mudah-mudahan Allah memberkati beliau atas pengorbanannya itu.
Solat Isya dan terawih diimami seorang guru penolong. GB hanya jadi makmum saja. Padahal Acik tahu beliau seorang yang berkebolehan, malah pernah menjadi Imam solat ketika Acik tinggal di SKPB dahulu. Walaubagaimanapun, atas desakan anak-anak buahnya maka beliau besetuju untuk menyampaikan sedikit tazkirah di pertengahan solat tarawih.
Tazkirah beliau sangat sesuai dengan sepuluh hari di akhir Ramadhan. Beliau menasihati ahli-ahli berjemaah semua agar merebut peluang mengejar lailatul khadar di 10 malam terakhir Ramadhan ini. Tazkirahnya lansung tidak ada berbaur politik. Tidak sepertimana GB-GB kaki ampu yang bersepah di negeri Kelantan, yang biasa Acik temui. Mungkin sebab tu kut maka beliau di”campak” begitu jauh dari kampung halamannya.
Selepas tamat solat terawih dan witir, kami dijemput beliau ke kantin. Alhamdulillah dapat pula kami menjamu selera di kantin yang sama, tempat kami makan setiap hari ketika tinggal di sekolah tersebut dahulu. Dalam perjalanan dari surau ke kantin, kami lihat bangunan dalam kawasan sekolah lebih banyak yang gelap dari yang cerah. Malah jika nak dibandingkan dengan ketika Acik tinggal di situ dahulu, ianya lebih gelap dari dahulu. Rasa sedih dan sayu pula mengenangkan nasib anak-anak orang Asli.
Sambil menjamu selera di kantin sempat pula isteri Acik bertanya GB tentang masaalah air. Bagi warga SKPB air merupakan satu masalah rutin sejak dahulu. Acik sendiri pun pernah ikut bersama-sama warga sekolah lain ke tempat takungan air yang menjadi sumber bekalan air ke sekolah tersebut. Jaraknya dari sekolah lebih dari satu kilo meter.
Biasanya apabila hujan terlalu lebat, tempat takungan tersebut akan dipenuhi dengan pasir. Ini menyebabkan bekalan air ke sekolah tersebut terputus. Bagi mengatasi masalah tersebut pekerja am sekolah akan pergi ke tempat takungan air, yang terletak di atas sebuah bukit untuk membuang segala pasir dari dalam takungan tersebut. Acik sendiri juga pernah turut sama ke sana bagi membuang pasir tersebut .
Ingat kut, selapas beberapa tahun meninggalkan sekolah tersebut, bekalan air tidaklah lagi menjadi masalah kepada warga SKPB. Rupa-rupanya tidak. Seolah-olah tidak ada pihak berkuasa yang memperdulikan masalah tersebut. Seolah-olah bagi anak-anak orang Asli, air tidak dianggap penting. Kalaupun air bukan masalah besar bagi anak-anak orang Asli, bagaimana pula dengan guru-guru dan warga-warga sekolah lain yang tinggal bersama-sama dengan anak-anak orang Asli ?
Melihat kepada perubahan mendadak yang berlaku di kawasan sekeliling yang tidak jauh dari lokasi SKPB, Acik tertanya dalam hati apa dah jadi dengan segala sumber air bersih bagi masyarakat orang Asli sekarang. Apakah tindakan pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjamin masyarakat orang Asli tidak keputusan bekalan air bersih. Harap-harap adalah tindakan tertentu yang telah dilakukan demi menjaga kebajikan mereka yang lemah dalam segala segi itu. Kasihan …..
Selain dari masalah air, SKPB juga masih mengalami masalah bekalan eletrik. Walaupun ia hanya kira-kira 15 kilo meter saja dari Cameron Highlands, namum bekalan eletrik dari TNB masih tidak dihantar ke sana. Mau tidak mahu SKPB terpaksa bergantung kepada mesin penjana tenaga (generator). Tak mampukah YAB Muhyiddin Yasin selaku seorang Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan TNB untuk menyambung bekalan eletrik ke SKPB dengan kadar segera ? Dengan adanya bekalan eletrik dari TNB, nescaya masalah bekalan air juga akan mudah diatasi. Ini kerana pam yang diperlukan bagi menyedut air dari dasar bumi memerlukan kuasa eletrik untuk berfungsi.
Tidak kurang penting ialah kemudahan komunikasi, khususnya telefon. Hingga sekarang telefon bimbit masih belum dapat berfungsi di SKPB kerena signalnya masih belum sampai. Yang peliknya, Astro boleh pula dilanggani. Bukan saja warga SKPB yang melangganinya, malah beberapa keluarga orang Asli juga turut melangganinya.
Inilah akibat dasar pengswastaan kerajaan yang sangat mementingkan keuntungan. Kerana kurang atau tiada keuntungan segera maka kebajikan rakyat-rakyat lemah yang memerlukan bantuan diketepikan. Bayangkan betapa susahnya warga SKPB untuk dihubungi oleh keluarga mereka di kampung bila berlakunya sesuatu yang memerlukan tindakan segera atau “emergency”.
Di sini teringat Acik akan kes anak Acik (Adam) yang terpaksa menyewa kereta untuk datang sendiri menemui Acik di SKPB, kerana tidak ada cara lain lagi untuk menghubungi Acik . Ketika itu adiknya (Aslam) yang sedang menuntut di Kuala Kangsar (MCKK) ada keperluan mendesak untuk berjumpa Acik dengan segera. Aslam memohon pertolongan Adam yang ketika itu sedang menuntut di Pusat Metriku lasi di Changlon, Kedah.
Demi membantu adiknya, maka Adam terpaksa menyewa sebuah kereta, datang dari Changlon ke Kuala Kangsar mengambil Aslam, lalu membawanya ke SKPB bejumpa Acik. Kesusahan seperti ini tidak akan berlaku sekiranya kemudahan telefon telah wujud di sekolah tersebut. Mengambil iktibar dari peristiwa tersebut, kami rasa tidak berbaloi untuk terus tinggal di SKPB. Isteri Acik pun memohon untuk bertukar ke Sekolah Rendah Kebangsaan Convent, Tanah Rata demi mengatasi masalah komunikasi.
Yang sedihnya, sampai di saat tulisan ini Acik muatkan ke dalam blog Acik, signal bagi telefon bimbit samada dari Celcom maupun Maxis masih belum sampai ke SKPB dan kawasan persekitarannya. Oleh itu telefon bimbit masih tidak boleh berfungsi di situ.
Memandangkan keadaan kawasan-kawasan luar bandar yang keperluan asasnya pun masih serba kekurangan, hati Acik manjadi sakit bila membaca tentang projek-projek mega kerajaan. Lebih-lebih lagi terhadap projek Menara Warisan 118 tingkat yang akan menelan belanja RM5 billion itu.
Kenapalah kerajaan yang mendakwa “rakyat didahulukan” ini tergamak mengabaikan kebajikan rakyat yang hidup di kawasan-kawasan pendalaman negara. Apakah kawasan di Lembah Kelang masih belum cukup lagi membangun berbanding dengan kawasan-kawasan pendalaman ? Ini baru di Semenanjung. Bagaimana pula dengan di Sabah dan Sarawak ? Apakah ini yang dimaksudkan dengan pembangunan seimbang dan rakyat didahulukan ?
Wallahuala
SELINGAN:
Kasut Buruk (sebuah klip video): Sila KLIK
http://www.youtube.com/watch?v=d73yGc8Sh0M
d a u l a t r a k y a t !
Lain-lain PenCERAHan yang relevan :
** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: www.4uni2c.com
@OPajar # 13803