CEREKANA # 13922 Strategi Ikan Todak

2013 September 22

.

Strategi Ikan Todak

Maka gemparlah seluruh Pulau Temasik ketika itu akibat serangan berani mati oleh makluk Tuhan yang dikenali akan ia sebagai “todak”. Adapun yang dipanggil akannya todak itu ialah sejenis ikan. Badan todak tirus dan panjang. Paruh todak pun panjang, lurus lagi tajam. Bila todak ini melompat ke hadapan ia seolah-olah sebilah lembing yang terbang menuju sasaran. Maka ramailah rakyat Temasik yang cedera akibat ditikam oleh paruh-paruh todak yang melompat ke pantai dengan tidak semena-mena itu. Di antara mereka, ada yang parah malah khabarnya sudah ada pula yang langsung terbunuh.

Raja Temasik cukup gusar lagi terharu mendengar khabar berita tentang serangan ikan todak keatas negara baginda. Ragu-ragu pun ada, rasa malu pun ada. Ragu-ragu sebab pada fikiran baginda tak masuk akal ikan di laut boleh menyerang manusia di darat. Jika berita itu benar-benar benar, maka terasa malu pula baginda kerana yang mencabar sistem pertahanan negara baginda hanyalah sejenis binatang halus.

Lainlah kalau yang mencabar sistem pertahanan negara baginda itu adalah geruda. Sebab semua orang tahu bahawa geruda itu sejenis burung yang sangat besar. Ia mampu memusnahkan khazanah-khazanah negara dalam sekelip mata. Kalau dari jenis ikan pun biarlah yang menyerang itu ikan paus. Kan ia pula lebih besar dari gajah. Ini hanya ikan todak. “Apa, daif sangatkah sistem pertahanan negara beta maka Tuhan cuma hantar ikan todak untuk mengujinya” Itulah yang terlintas sejenak dalam fikiran baginda.

Tanpa lengah-lengah lagi baginda pun berangkat ke pantai bersama orang besar-besar negara bagi menyaksi dengan mata kepala sendiri bagaimanakah gerangan serangan ikan todak itu. Wah, terkejut beruk baginda bila melihat tidak terbilang banyaknya bangkai ikan-ikan todak yang bergelimpangan di atas pantai. Di sana sini pula terdengar suara rakyat meraung kesakitan akibat terkena tikaman todak. Terdapat juga yang merintih menangisi kematian ahli keluarga yang mati akibat tertikam oleh paruh ikan todak di bahagian badan yang kritikal seperti jantung dan perut.

Kononnya serangan ikan todak pada hari itu telah berhenti sebab hari sudah menjelang malam. Namun kata Pawang Ikan yang masyhor di Pulau Temasik itu, esok hari negara akan menyaksikan satu lagi serangan berani mati oleh askar-askar todak. Kali ini serangannya adalah jauh lebih dahsyat dari hari ini. Panahan ikan todak kali ini bahkan akan sampai ke istana Raja bukan hanya sekadar di persekitaran pantai saja seperti hari ini.

Maka Raja pun mengeluarkan perintah agar semua rakyat jelata berhimpun di perkarangan istana pada malam nanti. Baginda mahu memancing idea dari seluruh rakyat jelata bagaimana caranya bagi menghadapi serangan ikan todak pada esok hari yangmana mengikut tilikan Pawang Ikan Negara bukanlah calang-calang serangan. Salah-salah langkah negara akan hancur lebur, bertukar menjadi padang jarak padang terkukur.

Ini adalah isu hidup dan mati bersama. Bukan isu keselamatan nyawa rakyat marhaen semata-mata. Malah faktor lebih penting ialah kepentingan kuasa pembesar-pembesar negara hatta takta Raja. Jika rakyat semuanya tiada, maka apa maknanya ada Raja. Jika Raja juga tiada, apa perlu kepada pembesar-pembesar negara. Oleh itu, isu ancaman todak bukanlah perkara enteng. Ia wajib ditangani dengan penuh bijaksana demi menjamin kejayaan mengekalkan kuasa dan keselamatan negara.

Pada malamnya maka berduyun-duyunlah rakyat jelata turun menuju ke perkarangan istana Raja. Yang capek datang bertongkat, yang buta dipimpin yang celik. Yang sakit diusung yang sihat. Pendekata tiada seorangpun yang ketinggalan dari menghadiri perhimpunan aman tersebut.

Maka muncullah Raja dari dalam istana dengan diiringi oleh Mamak Bendahara serta pembesar-pembesar negara yang utama. Raja menyerahkan amanah kepada Mamak Bendahara untuk mengendalikan perhimpunan aman tersebut. Maka dijemputnya oleh Mamak Bendahara akan Datuk Laksamana untuk memberi idea dan mengemukakan bajet rancangan beliau bagi menghadapi serangan todak esok hari.

Maka Laksamana pun memberi cadangan iaitu akan mengerahkan semua anggota pertahanan laut yang di bawah pemerintahan beliau berbaris di pergigian air sepanjang pantai. Mereka akan menunggu serangan todak dengan senjata terhunus di tangan. Setiap mereka diwajibkan “menyambut” sepuluh ekor tolak yang datang menyerang, sepertimana permain-pemain badminton menyambut bulu tangkis yang masuk ke gelanggang. Kata beliau, paruh todak taklah sekeras senjata yang di tangan anggota tentera laut beliau.

Kemudian muncul pula Panglima Agung memberi pandangan dan cadangan. Beliau juga berjanji akan mengerahkan semua anggota tentera yang di bawah pemerintahannya berbaris di belakang orang-orang Datuk Laksamana di sepanjang pantai Pulau Temasik. Orang-orang Panglima Agung akan menjadi banteng kedua selepas banteng pertama yang terdiri dari orang-orang Datuk Laksamana. Mana-mana todak yang berjaya membolosi benteng pertama akan dicantas bila sampai ke benteng kedua itu. Anggota tentera darat itu juga akan bersiap siaga untuk menunjukkan kehandalan masing-masing serta kemahiran bermain senjata ketika berdepan dengan serangan todak nanti. Kata Panglima Agung itu lagi, serangan todak adalah merupakan suatu ujian penting bagi perajurit . Jika ujian tersebut gagal dilalui, maka dari hidup lebih baiklah mati bagi perajurit tersebut.

Kemudian muncul pula Datuk Bandar yang menjaga semua pengawal keselamatan di seluruh Pulau Temasik itu. Beliau juga tidak kurang hebat dengan rancangan bajetnya. Beliau juga berjanji akan mengerahkan semua anggotanya untuk bertugas. Tugas utama mereka ialah memastikan bahawa tidak ada sesiapa pun dari rakyat Pulau Temasik itu yang akan berani menyembunyikan diri kerana takut menyertai perjuangan

Jika ada di antara rakyat jelata yang tertangkap atas perbuatan tersebut, maka dia akan dihukum sula. Dengan ancaman sulaan oleh Datuk Bandar itu, maka sudah pasti tidak akan ada sesiapa pun yang akan berani mengelat dari perjuangan. Setiap rakyat tahu bahawa bisa sulaan adalah jauh dari pedih dari bisa tikaman todak. Yang kena sula itu tiada pilihan lain kecuali mati. Sedangkan yang terkena tikaman todak masih ramai yang terus hidup selepas mengalami kecederaan. Antara dua pilihan yang buruk maka sudah tentulah yang kurang buruk wajar menjadi pilihan.

Selepas ketiga-tiga pembesar utama negara itu membentangkan bajet perancangan strategi masing-masing kepada seluruh rakyat kelihatan kaku dan beku. Masing-masing sekadar merenung muka sesama sendiri. Masing-masing berasa amat bimbang dan sayu. Bimbang kerana mengenangkan apakah gerangan nasib diri bila berhadapan dengan serangan todak nanti. Walaupun senjata di tangan lebih keras dari paruh todak yang datang, namun sempatkah untuk menepis tikaman todak yang betubi-tubi itu nanti.

Yang mengeluarkan perintah kerahan tenaga, apa yang mereka risau. Yang akan bergadai nyawa bukannya mereka tetapi rakyat jelata. Rakyat dianggap macam barua malah hamba sahaya. Apa yang disuruh, buat belaka. Tak kira samada ia selamat untuk mereka ataupun penuh dengan mara bahaya. Semuanya disandarkan kepada kepentingan negara yang tercinta. Jika enggan akan dituduh derhaka. Akibatnya ialah neraka, baik di akhirat mahupun di dunia.

Sayu pula kerana seolah-olah telah terasa akan ditinggal jauh oleh insan-insan yang tercinta. Di antara mereka tentu ada yang akan meninggalkan dunia walaupun umur masih muda. Hanya nasib yang menentukan siapa yang akan meninggalkan dan siapa yang akan ditinggalkan. Adat berperang begitulah. Membunuh ataupun terbunuh tidak siapa dapat menduga, malah diri yang memiliki jiwa dan raga. Pemimpin yang beriman saja yang perihatin terhadap nasib pengikutnya. Pemimpin ini saja yang memikirkan nasib mereka samada akan ke syurga ataupun ke neraka. Ke syurga jika jihad mereka adalah ikhlas demi membela yang hak. Ke neraka jika hanya semata-mata mahu mempertahankan penguasa yang zalim terhadap pengikut serta durhaka terhadap Dia yang Maha Berkuasa.

Kesayuan ini menyebabkan ramai yang tidak tahan. Maka ada diantara rakyat yang menitiskan air mata hiba. Masing-masing bertafakur berdoa memohon agar Tuhan memberi jalan yang selamat untuk mereka.” Bencana itu dariMu ya Tuhan kami, maka kepadaMu jualah tempat kami serahkan seluruh nasib kami. Selamatkanlah kami dari bencanaMu dan selamatkanlah kami dari pemimpin yang zalim. Amin !”

Dengan tak disangka-sangka muncullah seorang kanak-kanak dari dalam perhimpunan aman tersebut. Kononnya nama kanak-kanak itu ialah Hang Nadim. “Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah derhaka patik (anjing) harap diampun. Ampun tuanku !” Kemudian disambung lagi kata-katanya, “Apa kata tuanku jika kita dirikan saja benteng di sepanjang pantai kita dengan menggunakan batang-batang pisang. Kan pulau kita ini kaya dengan pokok pisang. Bila ikan-ikan todak itu melekat di batang-batang pisang itu maka akan senanglah kita membunuh todak-todak itu. Lagi pun tuanku, cara ini jauh lebih selamat kerana tidak merbahayakan jiwa dan raga anggota tentera kita. Ampun tuanku !

Wah betapa kagumnya Raja dengan idea kanak-kanak yang bergelar Hang Nadim itu. Tanpa berfikir panjang baginda terus memerintah Mamak Bendahara supaya menerimapakai cadangan Hang Nadim itu. Mamak Bendahara pun dengan serta merta mengistiharkan bahawa Tuanku Raja telah bekenan dengan cadangan Hang Nadim. Maka cadangan tersebut akan dikuatkuasa dengan serta merta.

Rakyat berasa amat lega mendengar pengistiharan Mamak Bendahara tersebut. Masing-masing bersyukur kepada Tuhan, terutama anggota tentera. Tadinya mereka memang amat bimbang dengan keselamatan diri kerana akan diperintahkan oleh “jeneral” masing-masing untuk berdepan dengan musuh secara berani bodoh. Namun sebaliknya bagi “jeneral-jeneral” itu, pengistiharan Mamak Bendahara akan perkenan Raja terhadap cadangan Hang Nadim itu suatu yang sangat negatif, hatta suatu mala petaka buat mereka.

Mereka merasa seolah-olah dicabar dan dihina oleh seorang kanak-kanak kecil yang datangnya entah dari mana dan keterunannya entah dari siapa itu. Hasrat mereka untuk memperagakan kehandalan anak-anak buah masing-masing ketika berjuang bermati-matian menentang serangan todak nanti, nampaknya tidak akan kesampaian. Dalam hati kecil masing-masing mula tersemat rasa dendam kesumat dan dengki kianat terhadap Hang Nadim itu. Bukan kerana jahatnya kanak-kanak tersebut tapi sebaliknya kerana kebijaksanaannya yang dizahirkannya itu boleh menggugat serta mengancam kedudukan mereka yang berstatus “jeneral” itu.

Malam yang begitu suntuk itu pun digunakan sepenuhnya oleh seluruh rakyat Pulau Temasik itu bagi mendirikan benteng batang pisang. Menjelang subuh maka siapkan sebatang benteng batang pisang merentangi sepanjang pantai Pulau Temasik. Setiap pokok pisang yang wujud di pulau tersebut kini menjadi penebus kepada jiwa dan raga perajurit tanah air pulau tersebut. Bayangkanlah apa akan terjadi terhadap beribu-ribu jiwa dan raga perajurit pulau tersebut sekiranya Tuhan tidak mengkabulkan doa rakyat Pulau Temasik itu.. Bayangkan juga apa nasib rakyat Pulau Temasik itu jika sekiranya Raja menolak idea mendirikan benteng batang pisang itu semata-mata kerana ia datangnya dari seorang kanak-kanak yang masih mentah. Namun atas sifat keterbukaan dan kewarasan Raja maka idea tersebut telah diterimapakai lalu dilaksanakan dengan serta merta.

Setibanya hari esok yakni di awal pagi menjelang waktu subuh, maka berkumpullah beramai-ramai rakyat Pulau Temasik yang perihatin, di sepanjang pantai. Yang kurang prihatin dan tak kesah terhadap masa hadapan negara telah pulang ke rumah masing-masing mencari selimut. Benteng batang pisang yang baru siap didirikan setinggi hapus kepala itu, megah terpacak sepanjang pantai mengelilingi pulau kecil itu. Masing-masing yang berkumpul di pantai itu penuh ghairah untuk menghadapi suasana yang belum pernah dialami sebelum ini. Malah ia mungkin tidak akan berlaku lagi di masa-masa mendatang untuk selama-lamanya walaupun di mana-mana jua.

Masing-masing masih bersama senjata termasuk parang, golok, kapak dan lain-lain yang digunakan untuk mendirikan benteng tadi. Ada senjata bukan semestinya akan bergaduh sesama sendiri. Sebaliknya untuk sama-sama menentang musuh dari luar tidak kira musuh itu dalam bentuk maknusia maupun binatang. Bagi seluruh warga Pulau Temasik itu, ia tetap merupakan satu perhimpunan aman walaupun masing-masing memegang senjata di tangan. Apa pun, ia tetap bergantung kepada motif perhimpunan itu. Kalau motifnya baik, bawa senjatakah ataupun bertangan kosong, ia sama saja. Kalau motifnya jahat, tak bawa apa-apa senjatapun belum menjamin perhimpunan itu akan aman dari awal hingga akhir.

Waktu subuh pun masuk. Laungan azan berkumandang di angkasa Pulau Temasik hampir di setiap penjuru pulau. Laungan yang dilakukan secara serentak itu sangat menyentuh kalbu. Mereka yang berhimpun di sepanjang pantai sambil menanti kedatangan todak itu merasa amat pilu mengenangkan bala bencana dari Tuhan yang akan menimpa mereka sekejap lagi. Suasana yang terjadi memang amat luar biasa. Hampir seluruh rakyat yang masih berhimpun di sepanjang pantai itu bersiap sedia untuk sama-sama menunaikan solat fardu subuh secara berjumaah.

Tak pernah sebelum ini solat subuh didirikan secara berjumaah dengan disertai oleh bilangan makmum yang begitu ramai. Rupa-rupanya ada rahmat di sebalik bencana. Kata Mat Saleh, “blessing in disguise”. Kalau tak berlaku bencana tak mungkin warga Pulau Temasik sanggup berkerah tenaga mendirikan benteng batang pisang beramai-ramai. Tak kan ramai yang sanggup bertongkat mata hingga masuk ke waktu subuh. Maka tak akan berlakunya solat subuh secara berjumaah dengan bilangan makmum yang begitu ramai. Ini semua kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Adil.

Mentari telah mula menampakkan cahayanya nun di upuk timur pulau. Rakyat pulau ternanti-nanti akan serangan todak sebagaimana digambarkan oleh Pawang Ikan Negara semalam. Tiba-tiba terdengarlah bunyi berdensiu macam bunyi angin ribut betiup. Sejenak kemudian bertukar menjadi seperti bunyi batang pisang dicucuk. Rupa-rupa todak dah mula menyerang. Paruh-paruh todak dah mula tercacak menembusi batang pisang yang menjadi benteng itu. Berjuta-juta bilangan todak yang menyerang pagi itu. Namun tak seorang pun rakyat yang mati akibat serangan berani mati tentera todak itu. Cuma ada yang cedera sebab berada di dalam kawasan di luar dari liputan perlindungan benteng. Mereka ini adalah rakyat yang dianggap tidak kesah kepada perjuangan. Mungkin bagi mereka benteng batang pisang yang didirikan itu sudah cukup bagi menghadapi serangan todak. Atas alasan itu kut maka mereka memilih untuk pulang berehat selesa di rumah.

Panahan todak yang tingginya hapus benteng batang pisang telah sampai ke kawasan kawasan perumahan yang jauh dari benteng batang pisang itu. Oleh itu tikaman todak hanya sekadar mencederakan mangsanya dengan kecederaan yang ringan sahaja. Sebenarnya kecederaan fisikal tidak terasa sangat. Namun yang lebih sakit ialah rasa malu kerana kecederaan tersebut adalah manifestasi kedayusan mereka menjauh diri dari perjuangan.

Menjelang waktu Asar serangan todak mulai reda kemudian berhenti perlahan-lahan. Bila laungan Azan berkumandang tanda masuknya waktu Asar, tiada lagi seekor pun todak yang melompat ke darat. Mengikut tilikan Pawang Ikan Negara itu lagi, serangan todak kini telah berakhir. Ia berdasarkan bukti bahawa beberapa ekor “jeneral” tentera ikan todak tersebut telah dijumpai turut terkoban selepas melekat di benteng batang pisang. Rupa-rupanya tentera ikan todak yang berpangkat “jeneral” pun lebih rela turut sama berputih tulang dari berputih mata. Ini patut diteladani oleh tentera manusia umumnya dan tentera 1Msia khususnya dalam perjuangan mempertahan negara dari serangan musuh. Bukan hanya tunjuk berani jika “berperang” menentang rakyat sendiri yang tak bawa apa-apa senjata.

Dua hari sebelum Pulau Temasik selamat dari serangan todak, rakyat telah berada dalam kebimbangan yang tak dapat digambarkan. Namun berkat dari kesabaran, kesepakatan seluruh warga Pulau Temasik untuk sama-sama bertungkus lumus membina benteng pertahanan sepanjang malam serta kewarasan Raja yang memerintah, maka Pulau Temasik telah dapat diselamatkan. Kini rakyat boleh bertemasya menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan kerana telah terlepas dari bala bencana yang diturun oleh Tuhan ke atas mereka.

Kebijaksanaan Hang Nadim tak wajar dilupa. Kewarasan Raja pula amat wajar dipuji dan dipuja. Rakyat jelata rata-rata berasa lega. Namun sebaliknya jeneral-jeneral yang bodoh lagi sombong itu menghadapi gundah gulana. Masing-masing takut dan bimbang akan hilang jawatan bila Hang Nadim sudah besar nanti. Mereka seolah-olah telah pasti bahwa Hang Nadim akan dilantik Raja menjawat jawatan penting negara. Maka bermesyuarat dan bermuafakatlah sesama “jeneral” itu demi mencari strategi bagi melindungi kepentingan masing-masing dari direbut oleh Hang Nadim.

Selang beberapa hari selepas peristiwa besar itu berlalu, maka datanglah jeneral-jenaral itu mengadap Raja. “Ampun Tuanku …. sembah patik harap diampun. Patik bertiga ni punyai perkara besar untuk dipersembahkan kepada Tuanku. Jika bukanlah kerana kepentingan Tuanku semata-mata masakan berani patik bertiga berbicarakan perkara ini di hadapan Tuanku. Ampun Tuanku !

Ya Datuk Laksamana, Datuk Panglima dan Datuk Bandar yang beta kasihi. Sila khabarkan kepada beta apa gerangan yang merunsingkan otak Datuk bertiga. Beta sedia mendengarnya. Yang baik kita jadikan teladan yang buruk kita jadikan sempadan. Silakan !

Ampun Tuanku, setiap yang pahit itu ada khasiatnya, setiap yang manis itu ada pula mudharatnya. Oleh itu pahit jangan terus dibuang, manis jangan terus ditelan. Patik turut sama dengan seluruh rakyat jelata bersukaria kerana kita semua telah selamat dari bencana yang turun dari yang Maha Berkuasa. Namun sebagai pembesar negara, patik tidak harus melihat sekadar apa yang tersurat saja. Malah yang lebih penting adalah apa yang tersirat

Beta tidak faham apa yang dimaksudkan itu. Sila jelaskan kepada beta dengan sejelasnya supaya dapat beta fahami”, mencelah baginda

“Ampun Tuanku. Sebenarnya, bukannya Tuanku tidak faham, tetapi Tuanku cuma belum faham. Jadi memang menjadi tanggunjawab di atas batu jemala patik untuk menerangkan agar Tuanku benar-benar faham, ampun tuanku. Boleh patik teruskan ?

Ya silakan …

Sebagaimana kata patik sebentar tadi, sebagai orang besar negara patik bertiga melihat sesuatu itu bukan sekadar apa yang tersurat saja. Sebab apa yang tersirat adalah jauh lebih penting. Walaupun tidak nampak oleh mata kepala kita semua ketika ini, namun kesan jangka panjangnya akan ketara jua akhirnya. Nanti masanya sudah terlambat untuk membaiki keadaan. Nasi sudah menjadi bubur. Rebung sudah menjadi buluh. Apakah Tuanku terus merasa lega selepas negara selamat dari serangan todak itu ?”

“ Namun bagi patik bertiga tidak pula begitu Tuanku. Mimpi ngeri patik semalam memberi tafsiran yang amat berbeza Tuanku. Serangan todak itu hanyalah suatu amaran awal kepada Tuanku. Jika tindakan pencegahan awal tidak dibuat dengan bijaksana nescaya angkara yang jauh lebih besar pula akan menimpa negara dan Tuanku sendiri, ampun Tuanku !

Apakah maksud Datuk dan apakah angkaranya itu ?” Raja mencelah.

Angkara yang patik ingin maklumkan untuk pengetahuan Tuanku ialah tentang kehilangan tahta kerajaan Tuanku jika tidak diambil tindakan yang bijaksana itu dengan segera, ampun Tuanku” Jawab Datuk Bandar.

Apakah yang membuat Datuk berkata demikian ?” Tanya Raja lagi tidak sabar.

Maka jawab Datuk Bandar, “ Tuanku, sedangkan ia masih kecil pun sudah nyata kepintarannya, betapa pula apabila dia sudah besar nanti. Dengan kepintarannya itulah nanti tahta kerajaan Tuanku akan dirampasnya. Percayalah Tuanku, ampun Tuanku. Tuhan hantar todak untuk menyerang negara kita bukan sia-sia tanpa sebarang alamat. Sebaliknya ia bertujuan membolehkan kita mengenalpasti siapa dikalangan rakyat jelata yang bakal merampas tahta kerajaan Tuanku. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun

Raja tergaman mendengar kata-kata Datuk Bandur yang berbicara bagi pihak diri dan kedua-dua rakan sejawatnya itu. Selama ini tak terlintas langsung di dalam fikiran baginda akan kemungkinan berlakunya rampasan kuasa dan kehilangan tahta. Hujah Datuk Bandar mula mempengaruhi fikiran dan jiwa baginda. Isu kehilangan kuasa bukan isu remeh temeh. Isu ini mula menghantui kepala otak baginda. Orang sanggup bermati-matian untuk mempertahankan kuasa. Rakyat jelata akan sanggup mati demi mempertahankan tahta Rajanya.

Oleh itu sebelum berlakunya rampasan kuasa maka lebih baik dan lebih selamat mematahkan kemungkinan tersebut di peringkat ia masih putik. Kata Mad Saleh, “nibble at its bud, sebelum ia terlambat”. Baginda kini telah faham apa yang dimaksudkan oleh Datuk Bandar itu. Terkilas ikan di air sudah kenal jantinanya. Bagi baginda diluah mati emak, ditelan mati bapa. Hang Nadim amat besar jasanya. Kepintarannya telah menyelamatkan negara dan anak bangsa dari mati ditikam todak celaka. Apakah dosanya maka ia wajar dinyahkan dari dunia ?

Datuk Bandar, Datuk Laksamana dan Datuk Panglima pun sudah banyak jasanya kepada beta. Apa rasanya pula jika nasihatnya tidak diterima dan disia-sia. Pengaruh mereka amat besar dalam negara. Tanpa pembesar-pembesar negara seperti mereka, maka tiadalah beta kekal di atas takta. Maruah mereka adalah maruah negara. Sedangkan Hang Nadim hanyalah anak seorang rakyat biasa. Tanpa ia pun negara tak akan terjejas apa-apa. Jika kehadirannya tidak disukai oleh mana-mana pembesar negara apa untungnya kepada beta sebagai Raja. Jika dinyahkan ke mana-mana pun tak bermakna ia dianiaya. Mungkin ia diterima di negara sana dimana bakatnya berharga. Biarlah Mamak Bendahara saja uruskan perkara ini agar beta tak dipersalahkan nanti. Maka Raja pun mengamanahkan kepada Mamak Bendahara menyelesaikan kemelut yang berikutnya.

Maka bermesyuaratlah Datuk bertiga itu dengan Mamak Bendahara. Akhirnya mereka pun membuat keputusan akan menyahkan Hang Nadim bukan sekadar dari Pulau Temasik malah dari dunia nyata. Mereka bimbang jika sekadar menuruti hasrat Raja iaitu menyahkan Hang Nadim ke negara lain belum terjamin beliau tidak akan balik semula ke negara asalnya. Mungkin dengan seorang diri bahkan dengan bala tentera. Tentu akan lebih besar angkaranya kepada mereka dan negara bahkan Raja.

Oleh itu Hang Nadim elok dibunuh saja. Orang mati tidak bisa lagi berbicara. Kata Mad Saleh, “dead man tells no tale”. Katakan saja kepada Tuanku bahawa Hang Nadim tidak akan diapa-apakan. Ia hanya akan dibawa ke negara jauh di utara dengan sebuah bahtera. Di sana nanti dia akan diserahkan kepada keluarga angkat yang akan membesarkannya menjadi orang berguna. Hasrat mereka untuk membunuh Hang Nadim menjadi rahsia negara. Bukan saja rahsia kepada rakyat jelata malah ia juga menjadi rahsia kepada Raja yang telah menunjukkan simpati kepada rakyatnya.

Maka disiapkanlah sebuah bahtera untuk menghantar Hang Nadim ke luar Negara. Kepada Hang Nadim dikatakan bahawa keberangkatan beliau adalah untuk memenuhi jemputan Di Raja Negara Saujanapura yang letaknya nun jauh di utara. Negara Saujanapura itu masyhor kerana rakyatnya dikatakan sangat berbudi bahasa. Yang datang berdagang dengan Pulau Temasik alim-alim belaka. Hang Nadim memang wajar dibawa ke sana agar bakatnya tidak sia-sia. Di sana beliau akan berpeluang menuntut ilmu setinggi-tingginya. Kemudian pulang semula ke tanah air yang tercinta membuat perubahan yang besar kepada negara.

Namun keberangkatan beliau tidak diikuti oleh mana-mana pembesar Negara kerana kononnya Nakhoda sudah cukup untuk menunaikan missi yang diperintahkan Raja. Maka belayarlah bahtera tersebut kearah utara menuju negara Saujanapura. Rakyat yang di pantai melambai-lambai tangan tanda isyarat “selamat jalan”. Yang di atas bahtera pun demikan, melambai-lambai tangan tanda isyarat “selamat tinggal”. Masing-masing mendoakan agar Hang Nadim selamat pergi dan kembali.

Setibanya di tengah lautan, Nakhoda pun mengarahkan anak-anak kapalnya memberkaskan Hang Nadim. Nakhoda hanya sekadar mematuhi perintah yang diamanahkan kepadanya oleh Mamak Bendahara. Maka Hang Nadim pun diikat kaki tangannya. Kemudian dimasukkan ke dalam guni lalu dicampakkan ke dalam lautan tanpa belas kasihan. Di dalam guni dimasukkan seketul batu pejal yang akan mengheret Hang Nadim ke dasar lautan. Maka tamatlah riwayat seorang kanak-kanak pintar yang tidak berdosa malah berjasa pula kepada negara dan bangsa. Beliau adalah mangsa pemimpin-pemimpin zalim yang sebenarnya tidak layak memimpin umat. Akibatnya umat bukan mendapat rahmat sebaliknya mendapat laknat.

Pemimpin ini sentiasa hidup dalam kebimbangan yang tidak berkesudahan. Segala sumber negara bukannya diguna untuk menghasilkan kemakmuran untuk semua, tetapi untuk menjaga kuasa mereka dari terlepas kepada pesaing mereka, walaupun pesaing mereka itu adalah lebih berhak memegang kuasa kerana lebih layak dari mereka.

Begitulah yang dinamakan STRATEGI IKAN TODAK. Ia dinamakan demikian sempena dengan peristiwa Temasik diserang IKAN TODAK sepertimana yang diriwayatkan di atas. Strategi yang dimaksudkan ialah caramana pembesar-pembesar dalam riwayat tersebut bertindak bagi menangani kebimbangan di hati mereka yang terlalu takut akan kehilangan kuasa ataupun pengaruh. Jalan mudah atau strategi yang paling ampoh digunakan ialah membunuh orang yang dikuatiri dengan apa cara sekali pun.

Walaupun apa yang dibimbangi itu hanyalah satu spekulasi atau imiginasi semata-mata (i.e. bukan benar-benar menjadi kenyataan), itu tidak penting. Yang maha penting ialah supaya terhapus sama sekali kebimbangan di hati hatta jangan tinggal lagi saki baki walaupun sebesar biji sawi. Faktor dosa dan pahala langsung tak dipeduli oleh maknusia macam mereka ini. Namun, tetap mendakwa beriman kepada Ilahi. Malah tindakan dibuat kononnya demi agama dan ibu pertiwi bukan untuk kepentingan peribadi.

.

The moral of the story

.
CEREKANA ini mendedahkan satu strategi ampuh yang sangat popular di kalangan pembesar-pembesar Melayu zaman dahulu. Mereka tidak suka wujudnya insan-insan lain yang lebih pandai daripada mereka. Mereka menganggap, insan-insan bijak pandai adalah satu ancaman besar terhadap mereka kerana akan menggugat kedudukan mereka. Dan cara untuk menghilangkan ancaman tersebut ialah dengan menyahkan insan-insan bijak pandai itu daripada Alam Fana (dunia).

Wallahua’lam 🌹

PenCERAHan yg relevan ⬇️

.
Covid19 ibarat Temasik diserang todak
https://beappreciative.wordpress.com/2021/06/03/covid19-ibarat-temasik-diserang-todak/

Strategi barua Jepang https://4uni2c.com/2012/12/16/cerekana-11z12-strategi-barua-jepang/

.

PenCERAHan terakhir ⬇️ http://www.4uni2c.com

~ by OPajar on 2013-09-22.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: