Dialog Ba dan Bi # 13Y07
Kisah Dua Orang Guru Besar
Seorang Nazir sekolah telah membuat lawatan mengejut ke dua buah sekolah iaitu ke Sekolah Kebangsaan Ba dan Sekolah Kebangsaan Bi. (“Ba” ialah huruf kedua dalam tulisan jawi, manakala “Bi” pula ialah huruf kedua dalam tulisan rumi).
Beliau sangat kagum dengan SK Bi dari aspek kebersihan. Sebaliknya sangat tidak bepuashati dengan kebersihan SK Ba.
Esoknya beliau pun menjemput guru besar bagi kedua-dua sekolah tersebut ke pejabatnya.
Kepada Guru Besar SK Ba beliau bertanya, “saya lihat sekolah Cikgu agak kurang memuaskan dalam aspek kebersihan. Sampah bersepah di sana sini di dalam kawasan sekolah. Apa masalahnya Cikgu hingga menjadi begitu agar dapat kami bantu ?”
Dengan rasa yang agak tersinggung maka Guru Besar SK Ba itu pun menjawab, “tuan, sekolah saya mempunyai hampir seribu orang murid. Jika setiap murid membuang satu sampah saja pun, sudah tentulah banyak sampah yang akan bersepah di dalam kawasan sekolah saya itu”.
Kemudian Guru Besar SK Bi pula dipanggil masuk ke dalam bilik Nazir. Maka berkata Nazir kepada beliau, “saya sangat kagum dengan sekolah Cikgu dari aspek kebersihan kawasan sekolah. Apa agaknya formula yang Cikgu guna, boleh kita kongsi bersama ?”
Dengan rasa tawadhu’ maka jawab Guru Besar SK Bi, “Terima kasih tuan. Sekolah saya mempunyai lebih dari dua ribu orang murid. Jika setiap murid hanya mengutip satu sampah saja, tentulah tidak ada satu sampah pun yang masih tinggal di dalam kawasan sekolah saya tu”
Nilai moral dari dialog di atas untuk dijadikan iktibar :
Sifat dawadhu’ mampu menghasilkan sesuatu yang dikagumi. Sebaliknya kesombongan akan membawa kepada kegagalan dan kekecewaan banyak pihak.
@OP ajar. # 13Y07