CEREKANA # 13y16 Si Buta Jatuh Telaga

*** Untuk menCARI lain-lain TAJUK sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.

(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)

Si Buta Jatuh Telaga

Di sebuah kampung yang tidak berapa jauh dari sebuah Bandar, tinggal seorang buta. Beliau digelar Mat Kelam. Walaupun cacat, Mat Kelam tidak merasa bahawa dirinya kekurangan berbanding dengan rakan-rakannya yang celik. Malah beliau sering pula memperlekehkan orang-orang yang celik.

Antara cara beliau memperlekehkan orang-orang celik ialah apabila berlaku apa-apa kemalangan jalan raya. Mat akan berkata, “sesia saja ada mata jika tidak pandai menggunanya. Langgar sana, langgar sini, lebih dari orang yang buta. Tengok aku yang buta ni, pernah aku langgar sesiapa ?”

Di dalam kampung tersebut terdapat sebuah telaga (perigi) buta. Telaga buta ialah telaga yang telah lama terbiar kerana tidak digunakan lagi. Telaga itu tidak dipagari kerana dianggap tidak berbahaya sebab airnya tersangat cetek iaitu tidak melepasi paras lutut. Jika musim kemarau ia langsung tidak ada air walaupun setitik.

Walaubagaimana pun baru-baru ini telaga tersebut telah dibersihkan oleh penduduk-penduduk kampung tersebut, dalam aktiviti gotong royong membersihkan kampung. Kononnya ada niat bahawa telaga tersebut akan dipulihkan sepenuhnya bagi mengatasi masaalah bekalan air paip yang sering terputus akhir-akhir ini.

Suatu hari Mat Kelam berjalan merayau-rayau di dalam kampung tersebut, konon untuk meneroka sudut-sudut yang belum pernah beliau jejaki. Bila sampai ke telaga tersebut, beliau pun terjatuh ke dalamnya dengan tiba-tiba.

“Allah mak ! Lobang apa pula ni ?” bertanya Mat dalam hati. Kemudian baru beliau teringat tentang wujudnya sebuah telaga buta di kampung tersebut. Itulah agaknya telaga yang diperbincangkan baru-baru ini ketika aktiviti gotong royong sedang dilaksanakan.

Walaupun airnya tersangat cetek namun seluruh seluar Mat basah lencun dibuatnya. Bila Mat jatuh ke dalam telaga tersebut dia terus terduduk dan terendam dalam air telaga tersebut. Gelabah juga Mat Kelam itu dibuatnya. Disaat ini berlakukan dialog antara dua unsur dalam dirinya. Unsur pertama ialah fitrahnya sebagai hamba Allah dan unsur kedua ialah egonya.

Maka bisik fitrah, “tulah Mat …, sebab tulah aku dok pesan kat hang, jangan dok cakap besaq sangat. Baiklah hang insaf, bertaubat dan jangan lagi bercakap besaq”. Namun kata-kata itu dipatahkan oleh egonya.

“Malulah awak jika orang tahu yang awak terjatuh ke dalam telaga ini. Bukankah selama ini awak kata awak tak pernah langgar apa-apa pun walaupun awak buta. Sedangkan mereka yang tak buta tu asyik berlanggaran saja sesama sendiri ?”

“Baiklah awak beri alasan bahawa awak sengaja turun ke dalam telaga ini mencari sesuatu. Malu awak nanti jika awak mengaku bahawa awak telah terjatuh ke dalam telaga ini sebab mata awak buta”.

Sebelum sempat Mat Kelam berdiri dan berusaha memanjat tebing telaga buta tersebut, kebetulan lalulah Abu berdekatan dengan telaga tersebut. Abu ialah seorang kawan sekampung yang sebaya dengan Mat. Abu sohor di kampung tersebut sebagai seorang pemuda yang sangat baik hati, berakhlak mulia dan sangat suka menolong orang.

Malangnya Mat Kelam tersangat cemburu kepada Abu kerana beliau (Abu) sering dipuji orang. Sedangkan dirinya sendiri (Mat) hanya mendapat pujian sekali sekala saja.

Walaupun Mat Kelam sentiasa berusaha dengan berbagai-bagai cara demi mengundang puji-pujian dari semua pihak, tetapi puji-pujian yang diterimanya tetap tidak sebanyak dengan apa yang Abu dapat. Oleh itu Abu lah yang sering menjadi sasaran Mat dan paling kerap menerima sindiran dan kutukan darinya.

Namun begitu, Abu releks saja dengan segala kata-kata negatif Mat terhadap dirinya. Sebaliknya Abu lebih simpati dengan Mat kerana kebutaannya itu. Bagi Abu, Mat buta bukan kerana beliau sendiri yang memilih untuk menjadi buta. Sebaliknya Allah aza wajallah yang memilih untuk menjadikan Mat buta.

“Oi …., apa hang dok buat dalam telaga tu Mat ?”, jerit Abu dari jarak beberapa puluh meter dari telaga tersebut..

Maka sahut Mat dengan spontan, “aku tengah cari sabun la ! Sabun aku terjatuh ke dalam telaga ni”

Belum sempat Abu datang menolongnya Mat lantas berkata, “huh, aku dah jumpa ! Hang tok sah sebok nak mai tolong akulah !”

“OK lah Mat, aku pergi dulu. Aku dah lambat ke surau ni !” respon Abu terhadap Mat. Sebenarnya Abu tahu bahawa Mat telah terjatuh ke dalam telaga buta tersebut dengan tidak sengaja. Mencari sabun hanyalah satu alasan yang direkanya sahaja. Apa munasabahnya untuk Mat datang ke telaga buta itu.

Takkanlah pula dia turun ke dalam telaga itu untuk mandi manda. Sejak sekian lama tidak pernah sesiapa pun pergi mandi di telaga itu. Lagi tak munasabah ialah bagaimana pula sabunnya itu boleh jatuh kedalamnya. Lalu dalam hatinya Abu berkata, “Allah nak tunjuk kat dia tu agar dia tak cakap besaq lagi lepas ni ”.

Nilai moral dari CEREKANA di atas (The moral of the story)

Manusia adalah makluk Allah yang dijadikanNya dengan berbagai-bagai kelebihan dan kelemahan. Seseorang individu mungkin dianugerahiNya kelebihan dalam aspek-aspek tertentu tetapi lemah pula dalam aspek yang lain. Oleh sebab semuanya adalah dijadikan Allah, maka dalam aspek-aspek yang kita mempunyai kelebihan, kita tidak wajar berasa bangga, apa lagi takabbur dengannya.

Begitu juga, dalam aspek-aspek yang kita lemah, kita tidak wajar ada rasa hina diri (inferiority complex) kerananya. Sebaliknya kita harus redha atas ketetapan Allah itu. Kemudian kita cuba atasi kekurangan kita dengan mendapatkan kerjasama dari mereka yang lebih hebat dari kita.

Suka bercakap besar atau cakap tak seberapa bikin ini adalah salah satu manifestasi wujudnya sifat “takabbur” dalam diri individu berkenaan. Individu takabbur ialah individu yang suka menafikan realiti kecacatan atau kelemahan yang ada pada dirinya. Sebaliknya dia cuba menganggap dirinya masih hebat melebihi kehebatan yang ada pada orang lain.

Dalam keadaan di mana kehebatannya itu tercalar atau tergugat, si takabbur ini akan cuba menutupi hakikat kelemahannya itu. Senjata paling ampuh bagi menafikan hakikat atau realiti tersebut ialah dengan cara berbohong atau menipu. Malah akhirnya jadi pencuri seperti kata sebuah pantun, “siakap, senohong, gelama, ikan duri; bercakap bohong lama-lama jadi pencuri (Acik tak kata Menteri ya ..)”. Sepatutnya , caranya ialah dengan merasa insaf dan bertaubat, bukan dengan bertambah angkuh.

Sebagai umat Islam kita semua wajib mengelakkan diri kita dari takabbur hatta dari sifat-safat yang mempunyai unsur-unsur takabbur. Biasanya sifat takabbur ini akan diiringi dengan sifat riyak, ujub dan samaah. Acik rasa orang takabbur mengalami kekurangan nilai keyakinan diri (self confidence).

Mungkin bagi mengatasi rasa kurang keyakinan diri itu maka dia akan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kehebatannya itu kepada umum. Tujuannya untuk mendapat pengiktirafan dari orang lain bahawa dirinya juga tidak kurang hebat, berbanding dengan orang lain. Begitu juga dengan anak pinaknya, suami atau isteri dan lain-lain yang berkaitan dengan dirinya. Jika yang diperolehinya adalah puji-pujian, maka itu merupakan bonos baginya.

Sebenarnya tak perlu pun mencari pengiktirafan selain dari Allah. Apa lagi jika ingin dipuji oleh selain dariNya. Sesungguhnya kelebihan dan kehebatan diri kita adalah anugerah Allah jua. Ia bukan ciptaan kita sendiri.

Oleh itu memang tak layak sangat kita berbangga dengannya. Apa lagi nak menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Tak payahlah nak berusaha tunggang langgang untuk mencari alasan bagi menjustifikasikan juga tindakan kita yang suka mempamerkan kehebatan kita itu.

Tak usahlah mentauladani individu yang pandai tetapi suka menunjuk-nunjuk kepandaiannya.

Tak usahlah mentauladani individu yang berani tetapi suka menunjuk-nunjukkan keberaniannya.

Juga tak usahlah mentauladani individu yang cantik tetapi suka menunjuk-nunjuk kecantikannya.

Sebaliknya, tauladanilah individu pemalu yang tak ingin mempamerkan kelebihannya itu.

Seterusnya marilah kita berusaha menyuburkan sifat tawaddhu atau sifat rendah diri. Pengiring bagi sifat terpuji ini ialah syukur, sabar, kanaah, zuhud, jujur , ikhlas dan berbagai lagi sifat-sifat mahmudah yang lain. Mudah-mudahan kita mendapat keredhaan Allah dengannya .

Wallahua’lam🌹

.

PenCERAHan yg relevan ⬇️

Mati terlekat susu
https://4uni2c.com/2014/01/08/cerekana-14107-mati-terlekat-susu/

PenCERAHan terbaru ⬇️ http://www.4uni2c.com

@OPajar

# 13Y16

~ by OPajar on 2013-11-16.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: