CEREKANA # 14X01 Strategi Nasi Lemak
*** Untuk me CARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)
Strategi Nasi Lemak
Suatu masa dahulu nun di sana, kononnya ada sebuah pulau. Penduduk pulau itu agak unik sikit. Majoritinya amat mudah lupa. Maka sebab tu kut pulau itu digelar Pulau Mudah Lupa (ML). Pulau itu mempunyai ladang kelapa yang agak luas. Sawah padinya juga agak luas. Selain itu, pulau itu juga sohor dengan ikan bilis, hasil tangkapan nelayan pulau tersebut yang ramai lagi mahir menangkap ikan.
Satu ketika, Pulau ML telah didatangi oleh seorang pendatang asing, khabarnya dari sebuah benua kecil di selatan banjaran Himalaya. Anak-anak pulau memanggil beliau Mamak sebab konon nama orinya Mamak Mathahir (MM). Beliau seorang yang sangat bijaksana mengikut persepsi umum anak-anak Pulau ML tersebut.
Semua penduduk pulau ML merasa sangat bertuah mendapat tetamu tak diundang macam MM. Beliau sangat dihormati, malah setiap nasihatnya mudah diterima tanpa songeh. Penghormatan terhadap beliau malah bertambah mantap selepas beliau mengahwini seorang janda tempatan yang status sosialnya dalam masyarat Pulau ML ketika itu agak tinggi.
Sebelum Mamak Mathahir (MM) berhijrah ke Pulau ML, sumber-sumber ekonomi yang sedia wujud di pulau tersebut tidak dimunafaatkan sebaik-baiknya. Anak-anak pulau mungkin belum tahu menilai potensi ekonomi yang ada pada kelapa, pada padi dan pada ikan bilis yang melimpah ruah banyaknya di pulau itu.
Namun sejak kehadiran MM, Pulau ML itu bertambah maju dan maju dalam berbagai aspek. Cuma aspek yang nak Acik (Ayah/Abang+cik) fokus secara khusus di dalam CEREKANA (CErita REKaan ANAlogi) ini ialah aspek ekonomi, sebab ia yang paling relevan dengan strategi yang nak diperkenalkan.
Kononnya, setelah sekian lama bermaustatin di Pulau ML, maka dilantiklah akan MM itu sebagai Pentadbir Perdana pulau tersebut oleh anak-anak pulau tersebut. Maka oleh MM ditubuhnya satu perusahaan yang kemudiannya menjadi sangat masyhor, bukan di seluruh Pulau ML dan di Tanah Besar saja, malah di seanterio dunia. Kerana perusahaan inilah maka kelapa menjadi berharga, beras pun naik harga, ikan bilis pun demikianlah juga. Perusahaan apakah itu, cuba teka ?
Ya, tak lain tak bukan perusahaan tersebut adalah perusahaan membuat dan mamasarkan nasi lemak secara komersial. Nasi lemak dipasarkan bukan saja di seluruh pulau malah ke Tanah Besar yang jaraknya dari pulau itu hanya sekadar mata mamandang saja. Khabarnya, dari Tanah Besar nasi lemak itu dieksport pula ke luar negara dengan pesawat nasional.
Kononnya sehingga hampir seluruh dari anak-anak Pulau ML itu menyumbang kepada perusahaan nasi lemak tersebut hingga perusahaan tersebut mencapai tahap kemajuan yang sangat memberangsang lagi membanggakan . Yang memiliki ladang kelapa membekalkan kelapa dengan harga paling murah. Penanam padi pula membekalkan beras dengan harga subsidi. Manakala nelayan ikan bilis pun tak kurang sumbangannya.
Pendekata kejayaan perusahaan nasi lemak tersebut adalah hasil dari kegigihan dan keikhlasan anak-anak Pulau ML yang tak pernah kenal penat lelah, bertongkos lumus bekerja dalam perusahaan nasi lemak. Namun factor yang maha penting ialah individu hebat yang bernama MM tu. Beliaulah pencetus idea dan pemangkin kepada perusahaan nasi lemak itu.
Setiap sumbangan wajar ada ganjaran. Ganjaran pula mestilah setimpal dengan sumbangan. Begitulah juga dengan kesalahan. Setiap kesalahan mestilah ada hukuman. Hukuman pula mesti setimpal dengan kesalahan. Sistem ini dinamakan sistem Ganjaran dan Hukuman (G&H). Dalam bahasa orang putih ia dikenali dengan “Reward and Penalty System”.
Sistem G&H yang dikatakan adil ialah sistem yang menjamin bahawa setiap sumbangan mendapat ganjaran yang setimpal dengannya , manakala setiap kesalahan pula menerima hukuman yang juga setimpal dengannya. Sistem G&H yang tidak adil pula adalah yang sebaliknya. Pulau ML boleh berasa bangga sebab sistem G&H yang telah diterimapakai dan dipraktikkan di Pulau ML pada zaman awal era pentadbiran MM memang adil. Khususnya dalam perusahaan nasi lemak, sistem G&H yang diterimapakai di Pulau ML adalah berdasarkan acuan sendiri.
Pihak pengurusan perusahaan nasi lemak Pulau ML pada peringkat awalnya memang memperakui dan sangat menghargai sumbangan anak-anak pulau tersebut. Sumbangan mereka tak ternilai pentingnya kepada kemajuan perusahaan nasi lemak. MM sendiri pun pada mulanya tak tahu macam mana nak terjemahkan penghargaan peribadi beliau yang tak terhingga itu kepada anak-anak Pulau ML itu. Akhirnya tercetus satu idea ori beliau untuk memberi ganjaran kepada seluruh anak –anak pulau iaitu dalam bentuk “harga istimewa” atas nasi lemak yang dibeli di pulau tersebut.
Makanlah seberapa banyak nasi lemak pun di pulau tersebut , namun harganya tetap sama. Ini amat berbeza jika dibandingkan dengan harga air dan letrik di Negara 1Malaysia. Pelik tetapi benar, di Negara 1Malaysia kadar harga air maupun letrik, meningkat bila kegunaannya bertmambah besar. Akibatnya, jangan heranlah seandainya ada anak yang kesepuluh dalam mana-mana keluarga yang hanya mampu mandi sekali dalam seminggu dan tidak mampu memakai baju yang diseterika setiap hari.
Berdasarkan sumber dalaman yang boleh dipercayai, kos menghasilkan sebungkus nasi lemak adalah 50 sen termasuk kos penghantaran ke seluruh Pulau ML itu. Sedangkan harga jualan ialah satu rial. Ini bermakna kompeni nasi lemak sudah untung 100 peratus dari jualan nasi lemak kepada anak-anak Pulau ML.
Satu rial bukanlah murah sangat bagi anak-anak Pulau ML, tapi atas semangat patriotik luar biasa terhadap Pulau ML maka anak-anak pulau tersebut rata-rata redha dengan ketetapan Mamak Mathahir (MM) yang bijaksana itu. Malah masing-masing bangga kerana dapat turut sama menyumbang ke arah merealisasikan visi menjadikan Pulau ML pembekal nasi lemak terunggul lagi glokal di dunia. Agaknya begitulah bangganya rakyat 1Malaysia yang memiliki Proton Saga ketika kereta nasional tersebut mula diperkenalkan di pasaran tempatan negara 1Malaysia kira-kira 25 tahun dahulu. Inilah yang dinamakan patriotik ori atau tulen.
Masa berlalu dengan begitu laju. Nasi lemak bertambah laku. Perusahaannya bertambah maju. Harganya pula telah meningkat dari rial 1.5 kepada rial 2. Kemudian naik pula ke rial 2.5. Akhir-akhir ni dijangka akan naik lagi ke rial 3. Itulah perkembangan harga nasi lemak di pasaran Tanah Besar yang menjadi sasaran eksport utama Pulau ML selama ini.
Namun anak-anak Pulau ML masih juga membayar satu rial untuk satu bungkus nasi lemak yang dibeli. Bagi anak-anak pulau tersebut, tak patut timbul langsung idea untuk menaikkan harga nasi lemak di pulau tersebut sebab semua bahan-bahan yang digunakan adalah sumber tempatan. Beras adalah hasil sawah tempatan. Kelapa juga adalah dari ladang tempatan. Begitu juga ikan bilis dan ramuan-ramuan lain, semuanya hasil tempatan.
Sumber-sumber tempatan tersebut bukannya semakin kurang, malah sebaliknya makin melambak . Dulu sebelum wujudnya perusahaan nasi lemak secara komersial, hasil masyhul Pulau ML tidak pernah meningkat. Tapi sejak perusahaan nasi lemak di kembangkan secara komersial, semua hasil-hasil bumi telah meningkat dengan ketara seiring dengan peningkatan permintaan terhadap nasi lemak.
Apa tidaknya. Kalau dahulu tak siapa pun yang kesah terhadap buah-buah kelapa yang bersepah di bawah pokok-pokok kelapa, tetapi sekarang ramai pula yang menanam kelapa bagi menampung keperluan yang sentiasa meningkat. Jika dulu keluasan sawah makin berkurang kerana dijadikan taman-taman perumahan, kini situasinya terbalik . Hasil padi yang dikeluarkan setahun dua kali pun hampir tak mencukupi lagi bagi menampung keperluan perusahaan nasi lemak.
Bilis yang dulu selalu tak habis dimakan dan dijual, kini habis diserap oleh perusahaan nasi lemak. Pendekata situasi sumber terbiar atau tak dimunafaat sepenuhnya, kini sudah menjadi sejarah silam Pulau ML. Ironinya harga sumber-sumber menjadi semakin murah bukan bertambah mahal walaupun permintaan meningkat berlipat kali ganda.
Mungkin pakar ekonomi saja yang faham dan mampu merasionalisasi fenomena ini. Acik rasa mungkin kesan “economic of scale” lah kut. Apa pun, pada fikiran anak-anak Pulau ML memang tidak ada kewajaran langsung bagi menaikkan harga nasi lemak di pulau tersebut. Juga tidak ada keperluan apa-apa pun maka harga nasi lemak di pulau itu mahu dinaikkan.
Tetapi itu cara otak kepala anak-anak Pulau ML itu berfikir. Namun ia tak mesti sama gelombangnya dengan otak kepala MM. Bagi MM, kalau dibiarkan harga nasi lemak statik di takuk lama, macam mana nak tambahkan keuntungan kompeni (syarikat) dengan maksimum.
Jika nasi lemak dijual di Tanah Besar dengan harga rial 3, berapa besar untung bersih kompeni boleh raih. Tapi jika dijual di dalam pulau dengan harga cuma rial satu saja, berapa sangatlah untung yang kompeni akan dapat kaut. Bayangkan bahawa jumlah nasi lemak yang dijual di dalam Pulau ML kini telah mencecah 500 ribu bungkus sehari dengan harga hanya rial satu.
Ini bermakna kompeni kehilangan pontensi keuntungan satu juta rial sehari. Kalau sebulan pula sudah berapa potensi keuntungan yang kompeni akan kehilangan. Jadi memang wajar benar harga nasi lemak dinaikkan. Kalau tak banyak, sikit pun jadilah buat permulaan.
Namun jika harga nasi lemak nak dinaikkan walaupun sekecil 50sen saja, berapa ramaikah dari anak-anak Pulau ML yang akan setuju. Jadi bagaimana kaedahnya supaya anak-anak pulau tidak melenting hingga mengadakan demonstrasi jalanan akibat kenaikan harga nasi lemak.
Itu satu masalah yang perlu dirongkai oleh MM yang maha bijaksana itu. Kata pepatah Melayu bila, “memukul ular, tanah jangan berbekas, kayu pemukul jangan patah, tapi ular mesti mati”. Kata satu lagi peribahasa, “ia umpama menarik rambut dalam tepung, tepung jangan bersepah, rambut jangan putus”.
Mamak Mathahir (MM) pun memikir untuk mencari satu strategi bagaimana menghadapi dilema kenaikan harga nasi lemak yang baru tercetus di dalam kerangka fikiran beliau. Maka diundangnya kroni-kroninya bermesyuarat. Tiap-tiap kroni tersebut ialah induvidu yang mendominasi salah satu dari sumber-sumber yang relevan dengan perusahaan nasi lemak di dalam Pulau ML tersebut.
Hasil dari perbincangan bersama kroni-kroni yang diundang khas itu, maka tercetuslah satu idea unggul. Idea tersebut akan ditranformasi kemudiannya menjadi satu strategi. Apakah strateginya ? Jika anda ingin tahu jangan ke mana-mana, teruskan bacaan anda ……
Strategi yang digubal oleh MM dan kroni-kroni beliau inilah yang dinamakan Strategi Nasi Lemak. Strategi tersebut mengambil kira segala faktor-faktor penting demi mencapai matlamat yang disasari. Matlamat yang dihasratkan itu ialah melipatgandakan keuntungan kompeni. Manakala factor yang perlu diberi perhatian ialah reaksi anak-anak Pulau ML dalam menghadapi kenaikan harga nasi lemak dari Rial satu kepada Rial satu setengah.
Seboleh-bolehnya biarlah mereka dapat menerima kenaikan harga tersebut dengan berlapang dada. Biarlah mereka dapat menelan bulat-bulat rasional yang dikemukakan sebagai justifikasi munasabah lagi adil bagi menaikkan harga nasi lemak itu, serta menerimanya dengan penuh rasa bertanggungjawab.
Malah menerimanya dengan penuh kesyukuran sebab sudah pun dapat menikmati nasi lemak sejak sekian lama dangan harga yang sangat murah. Hatta dengan sukarela, mereka akan sanggup memberi kerjasama yang diharapkan demi menyelamatkan kompeni dari menanggung beban yang semakin berat yang boleh menjerumuskan kompeni ke lembah muflis.
Strategi Nasi Lemak bermula dengan sessi penerangan secara besar-besaran melalui semua media massa perdana yang wujud di Pulau ML itu. Seluruh anak-anak Pulau ML mula memberi perhatian serious kepada isu yang dicetuskan oleh Pentadbir Perdana Pulau ML itu iaitu Yang Teramat Bahagia Mamak Mathahir (MM). Isunya ialah tentang kenaikan harga nasi lemak.
Istilah harga istimewa telah agak lama tidak dipakai lagi terhadap nasi lemak. Agaknya sejak istilah istimewa dipakaikan kepada orang cacat fisikal (seperti buta, pekak, bisu dan lain-lain) maka perkataan istimewa dianggap tidak relevan lagi bagi nasi lemak Pulau ML yang bebas dari cacat cela itu.
Rengkasnya perkataan “istimewa” boleh membawa konotasi yang negatif terhadap nasi lemak. Sedangkan nasi lemak Pulau ML telah mencapai tahap reputasi yang sangat tinggi. Sebaliknya istilah yang paling sesuai ialah “subsidi”. Maka, kalau dulu disebut “harga istimewa” (nasi lemak), kini disebut “harga subsidi”.
Perkataan subsidi bukanlah istilah baru atau asing bagi masyarakt di Pulau ML itu. Tapi macam mana mekanisma subsidi berfungsi, tak ramai dari mereka yang faham. Malah rata-rata mereka tak berminat pun nak faham konsep dan matlamat subsidi sebenarnya.
Yang penting bagi mereka hanyanya keuntungan “maggi mi” (mi segera) yang akan diperolehi dari subsidi. Ya, memang subsidi memberi keuntungan kepada mereka sebab ia akan menurunkan harga barang-barang. Contohnya gula yang dijual di pasaran dunia dengan harga Rial 3 sekilo, tapi di pasaran tempatan ia dapat dijual dengan harga hanya Rial 2.5 sekilo.
Ini adalah kesan positif hasil dari subsidi yang diberi oleh kerajaan. Oleh kerana itu (pada fahaman anak-anak Pulau ML), penentu harga ialah suatu elemen yang dinamakannya subsidi. Pendekata, bila ada elemen subsidi maka harga akan pasti turun secara otomatik.
Sebaliknya tanpa elemen subsidi maka harga akan pasti sama dengan harga di pasaran dunia yangmana amat mahal mengikut tahap kemampuan anak-anak Pulau ML itu. Jadi subsidi bolehlah disinomim dengan harga murah. Itulah kefahaman yang akan dipasakkan hingga mantap di dalam kepala otak anak-anak Pulau ML yang memang rata-rata mudah lupa itu.
Dalam kompeni yang mengeluarkan nasi lemak di pulau ML, berapa orang yang tahu rahsia kompeni ? Kalau ada yang tahu pun ia bukan tahu secara keseluruhannya. Ia umpama beberapa orang buta mengenali seekor gajah. Jika seorang antaranya mendakwa bahwa gajah serupa dengan kipas, beliau adalah betul. Jika si buta yang lain pula mendakwa bahawa gajah macam tiang maka dia juga adalah betul.
Namun demikian, tak seorang pun dari semua si buta tersebut mengenali gajah secara sumul. Begitulah juga dengan warga kompeni nasi lemak. Masing-masing yang tahu rahsia kompeni, hanya tahu aspek-aspek tertentu sahaja.
Kata orang putih tahu sekadar “on the tips of an iceberg” Itu pun diharamkan dari mendedahkan fakta sebenar kepada umum oleh Mamak Mathahir (MM). Yang tahu rahsia kompeni sebenar secara keseluruhan hanyalah MM yang maha bijaksana tu seorang saja.
Sungguhpun ramai orang kata kos menyediakan sebungkus nasi lemak adalah 50 sen, namun pada hakikatnya tak siapa pun tahu dengan tepat kos sebenarnya. Ini kerana setiap pekerja kompeni telah bersumpah laknat tidak akan membocorkan rahsia kompeni walaupun sebiji habuk.
Kononnya mulut masing-masing dipasang dengan mangga ARK (Akta Rahsia Kompeni) kemudian diugut pula oleh senapang gajah AKS (Akta Keselamatan Syarikat). Oleh itu ia tetap menjadi rahsia kompeni dulu, kini dan selama-lamanya. Makluk Allah yang tahu tentang kompeni dari hujung kaki hingga hujung rambut hanyalah Mamak Mathahir (MM) seorang dan dua malaikat di kiri dan kanan beliau sahaja.
Jadi kalau beliau nak mengaplikasikan Strategi Abu Nawas untuk mendakwa samada kos penyediaan nasi lemak meningkat atau sebaliknya, siapakah yang mampu ataupun berani menafikan kenyataan beliau. Terima sajalah sebagai benar, kemudian tawakallah banyak-banyak. Itu saja yang mampu dilakukan oleh anak-anak Pulau ML itu.
Elemen penting yang mesti dipopularkan di kalangan penduduk pulau ML ialah logik akal bahawa setiap perkara pasti ada sebab musababnya. Harga murah bagi nasi lemak di Pulau ML berbanding dengan harga dua kali ganda di Tanah Besar, tentu ada sebab musababnya.
Sebab musabah kenapa boleh berlaku demikian, tak lain tak bukan adalah elemen subsidi. Tanpa elemen subsidi, masakan harganya boleh jadi murah. Tanpa subsidi harga nasi lemak di Pulau ML pasti akan sama dengan harga nasi lemak di Tanah Besar. Begitulah, betapa pentingnya elemen subsidi dalam kehidupan harian anak-anak Pulau ML itu.
Jika subsidi itu penting maka pihak yang memberi subsidi tentulah lebih penting. Oleh itu pemberi subsidi mestilah dibela dan dipertahankan bermati-matian. Jika pemberi itu seorang induvidu, maka induvidu itu mesti dipertahankan jawatannya.
Jika pemberi subsidi itu sebuah kerajaan, maka kerajaan itu mesti diperkokohkan. Dan dalam isu nasi lemak ni, maka syarikat atau kompeni yang mengeluarkan nasi lemak mestilah disokong dan diperkasakan lagi. Jasanya terhadap kesejahteraan Pulau ML hanya tuhan saja yang layak dan mampu membalasnya.
Maka terbitlah dalam media perdana di Pulau ML ucapan (MM) bahawa kenaikan harga nasi lemak di Tanah Besar, telah mengakibatkan syarikat terpaksa menanggung beban subsidi yang lebih berat. Ketika harga nasi lemak di Tanah Besar Rial dua sebungkus, syarikat sudah pun menanggung beban subsidi Rial satu atas setiap bungkus nasi lemak yang dijual di dalam Pulau ML.
Apabila harga nasi lemak naik kepada Rial tiga, sedangkan di dalam Pulau ML itu nasi lemak masih lagi dijual dengan harga Rial satu sebungkus, maka syarikat terpaksalah menambah subsidi dari Rial satu kepada Rial dua atas setiap bungkus nasi lemak.
Jika setiap hari jumlah nasi lemak yang dijual di dalam Pulau ML adalah 500 ribu bungkus, maka beban baru yang terpaksa syarikat tanggung akibat subsidi ialah Rial satu juta setiap hari. Dengan perkataan lain, kalau sebelum ni syarikat rugi Rial 500 ribu sehari maka sekarang syarikat akan tanggung kerugian yang lebih besar iaitu Rial satu juta sehari akibat subsidi.
Oleh yang demikian Mamak Mathahir (MM) pun dengan penuh rendah diri merayu kepada seluruh anak Pulau ML agar mengizinkan harga nasi lemak yang dijual di dalam Pulau ML itu dinaikan sikit sejajar dengan kenaikan harganya di Tanah Besar. Kenaikan yang dicadangkan tidaklah membebankan anak-anak pulau. Kenaikannya hanyalah 50 sen sahaja atas setiap bungkus.
Ini bermakna bahawa tambahan subsidi yang terpaksa ditanggung syarikat akibat kenaikan harga nasi lemak tidaklah terlalu membebankan. Beban subsidi tidaklah meningkat hingga 100 peratus iaitu dari Rial 500ribu kepada Rial 1 juta sehari. Sebaliknya beban subsidi meningkatkan Rial 250ribu saja sehari sebab Rial 250ribu lagi ditanggung sendiri oleh pembeli-pembeli nasi lemak di dalam Pulau ML itu. Namun subsidi tambahan yang terpaksa ditanggung oleh syarikat tetap merugikan syarikat.
Jika beban yang ditanggung oleh seorang anak Pulau ML akibat kenaikan harga nasi lemak dibadingkan dengan beban subsidi yang terpaksa ditanggung oleh syarikat, ia adalah ibarat langit dengan bumi. Bagi anak-anak Pulau ML masing-masing ada pilihan samada nak membeli nasi lemak ataupun sebaliknya.
Tetapi pilihan yang sama tidak dapat dinikmati oleh syarikat. Bagi syarikat mau ataupun tidak, subsidi mesti diberi atas setiap bungkus nasi lemak yang dijual kepada anak Pulau ML. Jika bilangan nasi lemak yang dibeli oleh anak-anak Pulau ML ialah 500 ribu bungkus sehari maka syarikat terpaksalah menanggung subsidi Rial 750ribu sehari.
Subsidi Rial 750ribu samalah dengan kerugian Rial 750ribu yang terpaksa dialami oleh syarikat mahu tidak mahu. Kerugian yang kian bertambah akibat dari bertambahnya beban subsidi bukanlah satu factor yang sehat untuk syarikat. Bila kerugian menjadi keterlaluan, kestabilan syarikat akan tergugat.
Tak mustahil akan sampai satu tahap dimana syarikat tidak mampu lagi menanggung beban subsidi yang kian bertambah. Contohnya bila harga nasi lemak di pasaran Tanah Besar naik kepada Rial 5 sebungkus, maka beban subsidi yang terpaksa ditanggung oleh syarikat akan meningkat sehingga Rial 1.75 juta sehari.
Kalau sebulan berapa ? Kalau setahun berapa pula ? Rasa-rasanya syarikat akan muflis dalam tempoh tak sampai dua tahun kecuali subsidi dikurangkan. Cara mengurangkan beban subsidi bukan susah. Naikkan saja harga nasi lemak yang dijual kepada anak-anak Pulau ML.
Mamak Mathahir (MM) keluar di kaca TV berulang-ulang kali menyanyikan lagu yang sama, iaitu “syarikat tidak ada pilihan lain melainkan menaikkan harga nasi lemak demi ‘survival’ syarikat dan kebajikan berkekalan seluruh anak-anak Pulau ML”.
Namun anak-anak Pulau ML yang celik ekonomi tidak dapat menerima justifikasi beliau itu. Yang celik politik pun turut tak setuju kerana mereka kata ia ada agenda politik yang tersirat. Namun yang setuju tetap lebih ramai. Biasalah dengan sikap majoriti anak-anak Pulau ML tu. Pada persepsi mereka ini MM adalah segala-galanya.
Mamak Mathahir (MM) pandai bukan sahaja dalam arena politik, bidang sosial dan agama malah pakar dalam bidang ekonomi. Apa yang beliau rancang dan putuskan mesti yang “best”. Kerana beliaulah maka Pulau ML dapat maju seperti sekarang. Kerana beliaulah maka perusahaan nasi lemak menjadi aktiviti ekonomi yang terunggul di rantau ini malah di seanterio dunia.
Jadi apa nak dipertikaikan cadangan beliau untuk menaikkan harga nasi lemak di Pulau ML itu dari Rial satu kepada Rial 1.5 sebungkus. Bukan menaikkannya sampai kepada Rial 2 seperti harga di Tanah Besar. Kenaikan hanya 50sen sahaja sebab syarikat bermurah hati memberi subsidi 50sen.
Amat tak masuk akal jika yang menanggung beban adalah syarikat, sedangkan yang menikmati harga nasi lemak murah adalah anak-anak Pulau ML. Tak adillah begitu. Tak ada maruah sangatkah anak-anak Pulau ML itu. Bukankah tangan yang memberi itu adalah lebih baik dari tangan yang menerima ?
Oleh itu saranan Yang Amat Berbahagia Mamak Mathahir (MM) wajib disambut baik. Bukan sekadar setuju malah wajar disokong gila-gila oleh anak-anak Pulau ML yang jiwa patriotiknya pun gila-gila. Anak-anak muda Pulau ML yang diajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris sejak dari darjah satu lagi rata-rata amat sensitif dengan angka.
Agaknya mereka lebih pandai Matematik jika dibanding dengan abang-abang dan kakak-kakak mereka. Maklumlah jenerasi muda ini belajar Matematik dan Sains dalam bahasa orang putih. Abang-abang dan kakak-kakak mereka dulu belajar mata pelajaran asas tersebut dalam bahasa ibunda yang agak kuno.
Oleh itu bila MM menggunakan angka bagi menjustifikasikan saranan beliau bagi menaikkan harga nasi lemak yang dijual di dalam Pulau ML dari Rial satu kepada Rial 1.5 sebungkus, adik-adik lebih mudah terima dan setuju. Sebaliknya abang-abang dan kakak-kakak ramai yang tak setuju dengan justifikasi yang diberi oleh MM sebab mereka kurang faham dengan angka.
Itu untungnya mengguna bahasa orang putih bagi mengajar jenerasi muda Matematik dan Sains sebab ia adalah bahasa yang moden. Kononnya dasar mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa orang putih di dalam Pulau ML pun adalah hasil dari pengaruh yang begitu kuat dari MM sendiri. Begitulah ghairahnya usaha MM demi memacu Pulau ML ke arah mencapai tahap kemajuan 1010 yang disasarkan, dengan secepat yang mungkin atau ASAP kata jenerasi SMS sekarang.
Hebat …. , hebat ….., hebat …… ! Begitulah yang digambarkan oleh tukang karut yang menyampai cerita tentang Pulau Mudah Lupa tersebut kepada ambo.
Ditammatkan cerita, maka berjayalah Mamak Mathahir (MM) membendung seluruh anak-anak Pulau Mudah Lupa dari turun ke jalanan mengadakan demonstrasi nasi lemak. Ini satu kejayaan MM yang amat besar.
Sebenarnya demonstrasi jalanan bukanlah suatu yang haram diadakan di Pulau ML yang mengamalkan sistem demokrasi itu. Cuma MM bimbang kerana beliau tidak yakin bahawa pasukan keselamatan yang ada di Pulau ML itu memiliki kemampuan yang cukup untuk menjamin keamanan dapat dikekalkan sepanjang tempoh demonstrasi itu berjalan.
Kalau sekiranya pasukan keselamatan di Pulau ML itu memang efisyen dan efektif maka biarlah siapa-siapa pun nak berhimpun jika secara damai. Bila ada pula mana-mana pihak yang nak ganggu atau sabotaj perhimpunan damai tersebut, maka tahulah mereka apa yang nak dibuat.
Samada nak tembak sampai mampus kah pencetus kekacauan tersebut, ataupun sekadar nak diundang ke Bukit Damai untuk minum teh, ia terpulanglah kepada professionalisma mereka. Pokoknya, hak untuk berhimpun secara damai mesti dihormati bukannya dinafi akibat lebih takut kepada samseng-samseng yang menggugut akan mencabul hak orang lain.
Wallahualam.