RUU355 wajibkah disokong ?
Perhimpunan di Padang Merbok KL pada 2017 Feb 18 bagi menyokong RUU355.
Setiap Muslim adalah penganut Islam. Setiap Muslim merasa bangga jika Islam dihormati. Sebaliknya akan merasa terjejas jika imej Islam dicemari.
Oleh sebab itu sekiranya ada mana–mana individu Islam A atau kumpulan Islam A cuba melakukan sesuatu dgn dakwaan utk memertabatkan Islam, sedangkan mengikut persepsi individu Islam Z atau kumpulan Islam Z melihat tindakan tersebut boleh mencemari imej Islam, maka sudah tentulah Z tidak akan sokong tindakan A. Malah Z akan menentang tindakan A atas dasar tanggungjawab membela Islam, bukan menentang Islam.
A adalah ibarat Muslim yg membawa dan menyokong RUU355.
Z pula adalah ibarat Muslim yg menolak RUU355 kerana tidak mahu imej Islam tercemar akibat RUU355 itu.
Wallahualam.
C & P dari status sorang rakan FB Acik (Sdr Jefry Musa)
RUU355: Syurga atau Neraka?
Saya tiada sedikit pun masalah atau ketakutan dengan usaha PAS untuk membawa usul RUU355 dalam perjuangan parti mereka. Itu adalah saluran yang dibenarkan dalam praktis/kerangka sebuah negara demokrasi.
Tetapi saya sangat bimbang apabila hala tuju perbincangan/diskusi/wacana yang digunakan untuk meraih/melobi kepercayaan dan sokongan masyarakat umum disempitkan dengan dakwaan-dakwaan naif seperti anti islam, murtad, tidak selamat (di akhirat kelak), ahli neraka, tungangan DAP dll.
Saya seorang yang sangat pentingkan kepada hujah/fakta/maklumat untuk menganalisis dan membuat sesuatu kesimpulan. Jujur saya kata kritikan-kritikan/hujah-hujah daripada golongan agamawan, ilmuan, aktivis, ahli politik (muslim/non muslim) yang menyebabkan ketidaksediaan mereka menyokong RUU355 ini langsung tidak dijawab dan cuba dibincangkan oleh pemimpin-pemimpin PAS secara mendalam.
Seperti yang saya kata, akhirnya mereka membawa usul ini dengan wacana yang sempit dan memainkan persepsi-persepsi yang membawa kepada pilihan untuk ke syurga atau ke neraka.
Maka jika bergini, lebih baik saya ke neraka daripada bersama orang-orang yang tidak mempunyai hikmah/kebijaksanaan(wisdom) di syurga.
Sekian.
C & P komen seorang ahli kumpulan WA Alumni MTIB (Sdr Nor Azman)
Hj Hadi penasihat kpd Najib. Tetapi Najib dilihat tidak yakin dgn undang2 Hudud pasal katanya tidak sesuai utk dilaksanakan dlm kontek realiti dlm negara. Wlpun Najib kata terima Hudud katanya undang2 dpd tuhan tapi dlm pada itu kata tak sesuai pula. Ini ke yg Najib kata kesederhanaan dlm kehidupan atau Wasatiyah. Najib telah mengelirukan dan bagaimana pula penerimaan orang yg bukan Islam. Semua pihak kena ikhlas dan jujur. Usahakan semaksimumnya utk perjelaskan perbandingan antara RUU355 dan HUKUM HUDUD. Jangan PAS ini dok nak hukum orang yg tiada kebersamaan dgnnya. Terfikir pula, bagaimana pula sikap PAS dgn byk isu2 atau skandal2 yg telah dan sdg melanda negara. Tak mau ke PAS buat perhimpunan atas isu2 yg dahsyat dan merosakkan negara. Jika benar, jangan pula dedak RM90 juta telah mendiamkan atau PAS jadi BISU. Masih tunggu PAS saman pihak yg buat dakwaan tersebut, kedua2 mrk Sarawak Report dan YB Husam.
Wallahualam.
C & P dari sebuah komen dlm FB
Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
31 Mei 2016 bersamaan 24 Syaaban 1437H
RUU 355: Kerajaan Lebih Wajar Kemukakan
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) berpandangan bahawa kerajaan adalah pihak yang lebih wajar mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) di Parlimen bagi mendapatkan kelulusan.
Berkenaan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan, IKRAM pernah menyatakan pandangan mengenainya pada 11 Mei 2014, yang antara lain menyarankan empat langkah awal bagi menjamin perlaksanaan enakmen ini dapat mencapai matlamatnya, demi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat, yang merupakan maqasid penting dalam perlaksanaan undang-undang Islam itu sendiri. Pandangan tersebut boleh diteliti pada pautan berikut:
Dalam kenyataan tersebut juga, IKRAM mengalu-alaukan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan enakmen ini bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ia dari dipolitikkan.
Pada ketika itu juga, IKRAM mengalu-alukan keputusan Presiden PAS untuk menangguhkan dan tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian dalam Persidangan Dewan Rakyat bulan Jun 2014 kerana ia memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.
IKRAM percaya bahawa Jawatankuasa Teknikal ini telah bekerja keras bagi membuat kajian dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi memastikan perlaksanaan undang-undang syariat dapat dilaksanakan secara efektif dan mencapai maqasidnya.
IKRAM berpandangan bahawa jawatankuasa ini yang seharusnya berperanan menasihati kerajaan tentang isu berkaitan pindaan Akta 355 ini sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan kuasa Mahkamah Syariah. Kerajaan sepatutnya mengurus pindaan ini dengan membawa kepada kabinet, berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dan akhirnya membawa kepada Majlis Raja-raja bagi mendapatkan perkenan sebelum dibawa ke Parlimen.
Jika ini dapat dilakukan dan semua agensi kerajaan termasuk IKIM, IKSIM, para mufti, jabatan-jabatan agama, NGO-NGO dan universiti-universiti berperanan untuk berbincang, mengemukakan pandangan dan memberi penjelasan kepada rakyat, maka salah faham yang timbul pada hari ini berkaitan RUU 355 ini dapat diminimumkan.
Oleh kerana proses perundingan ini tidak berjalan dengan baik dan perkenan Majlis Raja-raja juga tidak diperolehi, maka kita lihat bantahan daripada pelbagai pihak sedang berlaku termasuk daripada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.
Justeru, IKRAM ingin menyarankan agar kerajaan melihat kembali cara pindaan undang-undang ini dikendalikan dan membuat pembetulan dengan kerajaan sendiri mengambil inisiatif melalui proses dan tatacara yang sepatutnya dalam meminda mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam. Ini adalah usaha bagi kepentingan agama Islam dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
IKRAM juga menyeru agar semua pihak untuk bertindak secara rasional, objektif dan tidak mengikut emosi dalam membincangkan perkara ini serta mengelakkan daripada menjatuhkan sebarang hukum terhadap golongan yang berbeza pendapat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (al-Hajj: 78)
“Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.” (Taha: 2)
Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
http://www.ikram.org.my/berita/kenyataan-media/item/2961-ruu-355-kerajaan-lebih-wajar-kemukakan.html
PenCERAHan lain yang relevan :
🇲🇾Hudud: metafizik atau dailektik🍓