Kisah Melaka nak serang China
🇲🇾 Ibarat Melaka nak serang China
Malaysia sekarang sedang bersengkita dengan KU (Korea Utara). Ia berpunca dari pembunuhan seorang rakyat KU di KLIA 2 tidak berapa lama dahulu. Namun seburuk mana status pengsengkitaan tersebut, wallahualam Acik pun kurang maklum.
Melihat telatah beberapa rakyat Msia yang berjiwa patriotik, maka terkenanglah Acik zaman persekolahan Acik di sekolah kebangsaan melampaui 55 tahun dahulu. Guru-guru Acik dulu banyak menggunakan cerita untuk menyampaikan mesej.
Cerita yang terbongkar dari ingatan Acik bila melihat telatah rakyat Malaysia yang sangat patriotik itu ialah kisah Melaka mahu menyerang China. Kisah tersebut adalah kira-kira begini.
Kononnya ketika itu Melaka sedang menuju puncak kegemilangannya. Maka sampailah ke pengetahuan raja Melaka tentang kewujudan sebuah negara yang bernama China. Ada pun China sangatlah dikagumi dunia seanterionya di zaman itu. Maka timbullah rasa cemburu di lubuk hati baginda terhadap kerajaan China.
Maka dipanggillah baginda akan Mamak Bendahara, Datuk Laksamana, Datuk Temenggung serta Datuk-Datuk Panglima sekelian masuk mengadap. Maka bertitahlah baginda kpd mereka semua bahawasanya baginda berhasrat menakluki China. Beberapa negara lain telah pun berada di bawah jajahan pemerintahan baginda. Maka titah perintah baginda pun terletaklah di atas batu jemala pembesar- pembesar baginda itu.
Maka semua rakyat baginda pun dikerah membuat segala persiapan yang perlu utk menyerang dan menakluki China. Maka rakyat di segenap punjuru dan rantau, di dalam jajahan takluk kerajaan Melaka pun mulai sebok bekerja.
Ada pun berita bahawa raja Melaka hendak menakluki China akhirnya sampailah juga ke telinga maharaja China. Maka sedihlah di hati baginda akan berita tersebut. Bukanlah kerana baginda takut akan serangan Melaka.
Akan tetapi baginda amat sayang kepada nyawa rakyat kedua-dua negara. Apa dosanya rakyat jelata maka nyawa mereka hendak dipetaruhkan demi memuaskan nafsu raja Melaka yang kila kuasa itu.
Bagi Maharaja China Melaka bukanlah tandingan kerajaan baginda. Ia umpama ular lidi dengan naga. Cuma raja Melaka yang buta fakta. Sombong dan takabbur telah menjadi pakaian baginda sejak mula menduduki takhta.
Baginda dan rakyatnya ibarat katak di bawah tempurung. Ibarat rusa masuk kampung. Baru bersampan di tengah muara sudah dianggap sama dengan berbahtera di tengah samudera. Kail panjang sejengkal lautan yang dalam hendak dituga.
Kononnya ketika itu tentera laut China amat gagah perkasa. Angkatan laut itu diketuai oleh seorang laksamana, yang bergelar Laksamana Cheng Ho. Ada pun Laksamana Cheng Ho ini dipercayai seorang Muslim. Pengalaman beliau dalam hal ehwal pelayaran sangatlah luas.
Ketika timbul ura-ura Melaka hendak menakluki China Laksamana Cheng Ho baru merancang untuk belayar ke Melaka membuat kunjungan. Kerana tercetusnya hasrat raja Melaka hendak menyerang China maka rancangan melawat Melaka tersebut pun terpaksalah ditunda.
Sebenarnya bukanlah dasar kerajaan China suka berperang dengan sesiapa. Seboleh-bolehnya kerajaan China hendak mengelakkan pertumpahan darah. Namun jika keadaan benar-benar memaksa ia berperang, maka barulah ia berperang. Itu pun atas dasar mempertahankan diri.
Oleh sebab China bukan negara empiralis, maka tiada satu negara pun yang diserang dan ditaklukinya ketika itu. Sedangkan ketika itu China sudah mempunyai sebuah armada yang cukup besar.
Negara yang suka menyerang dan menakluki negara lain ialah negara empiralis. Contoh negara empiralis ketika itu ialah Inggeris, Portugis, Belanda, Sepanyol dan Peranchis.
Dengan tak semena-mena pelabuhan Melaka menjadi gempar. Seluruh penduduk yang tinggal di kawasan yang berhampiran dengan pelabuhan sedang keluar beramai-ramai menuju ke pantai. Rupa-rupanya telah ternampak sebuah bahtera yang agak aneh bentuknya nun di sana di tengah laut. Bahtera tersebut kini sedang belayar dengan agak laju menghala ke arah pelabuhan Melaka.
Tidak ada sebarang pun dari bahagian bahtera itu yang kelihatan serupa dengan mana-mana bahagian dari kapal-kapal lain yang pernah belabuh di pelabuhan Melaka. Tiada siapa pun menafikan akan keunikan bahtera tersebut dari segi reka bentuk dan kelajuannya.
Lantas dilaporkan kepada Datuk Temenggung akan ketibaan bahtera tersebut ke kawasan pelabuhan Melaka. Datuk Temenggung pun keluarlah ke pelabuhan untuk menyaksikan sendiri ketibaan bahtera tersebut. Kemudian dimaklumkan beliau kepada Mamak Bendahara dan pembesar-pembesar raja yang lain.
Oleh kerana yang datang itu adalah sebuah kenderaan laut maka Laksamana pun ditugaskan untuk menyiasat latar belakang bahtera berkenaan. Maklumat yang paling penting untuk diketahui ialah dari mana bahtera itu datang dan apa pula maksud kedatangannya itu ?
Selingan : Raja bomoh cuba mengesan pesawat MH370 yang telah hilang Mac 2014
Maka Laksamana pun memerintah timbalannya menyediakan laporan mengenai bahtera unik tersebut. Maka Timbalan Laksamana pun mengarah Penolong Laksamana merancang dan menjalankan siasatan. Setelah membuat strategi siasatan maka Penolong Laksamana pun menghantar seorang pembantunya pergi menjalankan siasatan.
Maka Pembantu Laksamana bersama dengan pasukannya pun pergilah dalam sebuah perahu menuju ke bahtera tersebut. Bahtera tersebut nampaknya telah mencampakkan sauhnya kira–kira dua batu dari pantai.
Setibanya mereka kira–kira beberapa puluh depa sahaja lagi dari bahtera tersebut, maka perahu mereka pun membuat pusingan mengelilingi bahtera itu. Dari jarak berkenaan Pembantu Laksamana dan anak–anak buahnya itu tidak mampu mengesan apa–apa makluk hidup di atas bahtera itu. Namun mereka tidak sanggup untuk pergi lebih dekat lagi kepada bahtera itu kerana tak sedia memperjudikan nyawa dan jasad masing–masing.
Setelah hampa mengesan apa–apa makluk hidup di atas bahtera tersebut maka Pembantu Laksamana pun mengajak anak–anak buahnya pulang ke darat. Sebaik saja sampai di pelabuhan maka beliau pun terus pergi melaporkan diri kepada Penolong Laksamana. Lalu menceritakan olehnya akan pengalamannya tentang siasatannya itu kepada Penolong Laksamana.
Maka Penolong Laksamana pun agak keciwa dengan hasil siasatan pembantunya itu. Maka beliau pun membuat keputusan untuk turun ke laut menyiasat sendiri ke atas bahtera yang sedang belabuh di tengah laut itu. Beliau mahu pembantunya itu turut sama ke laut.
Menjelang subuh di esok hari maka bersiap siagalah Penolong Laksamana bersama–sama beberapa buah perahu. Bilangan laskar yang akan menyertai pasukan menyiasat kali ini jauh ramai dari semalam.
China membina masjid ketiga terbesar di dunia di Algeria
Bersambung ……. ……
Utk ke PenCERAHan terkini sila tab