PSM : Calon N24 PRU14

Acik amat kagum membaca respon Sdr Nik Aziz (bukan bekas MB Kelantan) kepada pengkritik yang mempertikaikan kemampuan beliau untuk menjadi wakil rakyat. Walaupun umurnya masih di awal 20an, namun pendirian beliau sebagai seorang pejuang rakyat amat jelas dan ketara.

Semoga pengundi-pengundi muda akan membuat anjakan paradigma dalam PRU14 iaitu dengan memilih wakil-wakil rakyat yang masih muda seperti Saudara Nik Aziz. Bagilah peluang kepada politikus-politikus WE (warga emas) berehat, kerana mereka malu untuk rehat jika tidak direhatkan.

Sama-samalah kita baca pernyataan bakal calon muda tersebut :

Surat terbuka dari Nik Aziz ‘Tukang Urut’
(Calon PSM Dun Semenyih)

Sebaik sahaja keluar berita mengenai saya dicalonkan bertanding di Semenyih, banyaklah reaksi yang diterima. Terutama yang melibatkan umur dan pekerjaan saya.

Mampukah seorang tukang urut menjadi Wakil Rakyat?

Jawapannya adalah tidak! Tukang urut tidak boleh menjadi Wakil Rakyat jika dia bersikap perkauman. Tukang urut yang bersikap perkauman akan cenderung untuk membela dan memperjuangkan kaumnya sahaja dan akan menimbulkan api permusuhan dengan kaum lain. Tukang urut seperti ini tidak layak sama sekali menjadi Wakil Rakyat!

Tukang urut yang kaki songlap duit rakyat juga tidak layak untuk menjadi Wakil Rakyat. Bagaimana kebajikan rakyat akan terbela bila mempunyai YB yang perasuah atau berkomplot untuk merompak hak rakyat? Jadi tukang urut seperti ini harus ditolak jauh-jauh dari menjadi Wakil Rakyat.

Tukang urut yang tidak bersuara untuk kepentingan rakyat dan ponteng sidang dewan tanpa alasan munasabah pula amatlah tidak layak menjadi Wakil Rakyat. Tak guna kita memilih Wakil Rakyat yang hanya berfungsi untuk memanaskan kerusi Dewan Negeri/Dewan Rakyat. Duduk diam tanpa menyertai perbahasan ataupun hanya datang untuk memenuhi kuota semata. Tukang urut jenis ini amatlah perlu disingkar dan jangan dipedulikan sama sekali.

Saya tukang urut yang menentang fahaman rasisme – perkauman. Bahkan kelas bimbingan percuma yang saya dan rakan-rakan jalankan matlamatnya untuk meruntuhkan rasisme dikalangan anak-anak flat kos rendah.

Saya tukang urut yang terikat dengan ikrar seorang calon PSM iaitu akan mengisytiharkan setiap sen harta saya kepada awam setiap tahun jika terpilih menjadi Wakil Rakyat. Tujuannya supaya anda boleh semak, bahas dan pertikaikan segala penambahan harta saya dari tahun ke tahun. Ini akan membuktikan bahawa saya tidak bersekongkol dengan rasuah dan saya berani untuk diaudit.

Saya tukang urut yang akan mencari punca penyakit tiap kali mengurut orang. Dari punca itulah urutan akan dilebihkan atau difokuskan lalu ia melancarkan kembali pengaliran darah dalam tubuh pesakit saya. Begitulah jika saya terpilih di dalam Dewan Negeri Selangor nanti. Akan saya cari ‘urat’ mana yang ‘masuk angin’, atau urat mana yang ‘bersimpul’ dalam dasar dan enakmen negeri lalu akan saya ‘tekan’ melalui perbahasan-perbahasan lantang yang matang untuk memastikan pengaliran ‘darah’ kebajikan rakyat berada dalam keadaan baik.

Saya tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang kepada masyarakat Semenyih. Jika saya menang nanti saya tidak mendapat sokongan baik kerajaan Pusat dibawah BN mahupun kerajaan negeri dibawah PH. Saya akan bersendirian dan mungkin dinafikan pelbagai peruntukan yang dinikmati Wakil Rakyat lain. Maka mana mungkin dengan hanya bergantung pada elaun Wakil Rakyat yang mana sebahagian besarnya akan digunakan bagi mengurus pusat khidmat mengendalikan aduan rakyat untuk saya menjanjikan bulan bintang buat anda semua.

Saya cuma dengan keupayaan saya berjanji untuk menjadi Wakil Rakyat untuk semua kaum, melawan rasuah setiap sen dan menjadi Wakil Rakyat yang lantang di dalam dan luar Dewan Negeri.

Beginilah seorang tukang urut dapat janjikan jika terpilih menjadi Wakil Rakyat.

Suatu masa dulu ada seorang guru agama, dia dicemuh ketika menjadi MB, orang kata kerajaannya hanya mampu bertahan beberapa bulan kerana mentaliti orang ketika itu adalah guru agama tempatnya di masjid bukan menjadi MB, tetapi ternyata, beliau menjadi MB paling ingin dicontohi semua orang kemudiannya, saya dinamakan sempena nama beliau.

Mungkin ketika ini orang tidak percaya seorang tukang urut boleh menjadi YB yang baik, itulah cabaran buat saya untuk ubah persepsi ini.

Tidak kira apa kerjaya anda, selagimana ia halal dan anda jujur serta bertanggungjawab bermakna anda telah memainkan peranan yang terbaik.

Salam hormat dari saya,

Nik Aziz Afiq Bin Abdul
Calon ‘Tukang Urut’ N.24 Semenyih
0177144750.

~ by OPajar on 2017-10-07.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: