PRU14: Pemimpin adalah khadam
.
Pemimpin adalah khadam kepada yang dipimpin
.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Permudahkan Jangan Menyulitkan Urusan Pelanggan
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ شِمَاسَةَ قَالَ أَتَيْتُ عَائِشَةَ أَسْأَلُهَا عَنْ شَيْءٍ فَقَالَتْ مِمَّنْ أَنْتَ فَقُلْتُ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ مِصْرَ فَقَالَتْ كَيْفَ كَانَ صَاحِبُكُمْ لَكُمْ فِي غَزَاتِكُمْ هَذِهِ فَقَالَ مَا نَقَمْنَا مِنْهُ شَيْئًا إِنْ كَانَ لَيَمُوتُ لِلرَّجُلِ مِنَّا الْبَعِيرُ فَيُعْطِيهِ الْبَعِيرَ وَالْعَبْدُ فَيُعْطِيهِ الْعَبْدَ وَيَحْتَاجُ إِلَى النَّفَقَةِ فَيُعْطِيهِ النَّفَقَةَ فَقَالَتْ أَمَا إِنَّهُ لَا يَمْنَعُنِي الَّذِي فَعَلَ فِي مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ أَخِي أَنْ أُخْبِرَكَ مَا
سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي بَيْتِي هَذَا اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ
Dari Abdurrahman bin Syimasah dia berkata, “Saya mendatangi Aisyah untuk menanyakan tentang sesuatu, lalu ia bertanya, “Dari manakah kamu?” Saya menjawab, “Seorang dari penduduk Mesir.” Aisyah berkata, “Bagaimana keadaan sahabat kalian yang berperang bersama kalian dalam peperangan ini?” dia menjawab, “Kami tidak pernah membencinya sedikitpun, jika keledai salah seorang dari kami mati maka dia menggantinya, jika yang mati hamba maka dia akan mengganti seorang hamba, dan jika salah seorang dari kami memerlukan keperluan hidup maka ia akan memberinya.” ‘Aisyah berkata, “Tidak layak bagiku jika saya tidak mengutarakan keutamaan saudaraku, Muhammad bin Abu Bakar, saya akan memberitahumu sesuatu yang pernah saya dengar dari Rasulullah SAW. Baginda berdoa ketika berada di rumahku ini: “Ya Allah, siapa yang menjawat suatu jabatan dalam pemerintahan ummatku lalu dia mempersulitkan urusan mereka, maka persulitkan dia. Dan siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan ummatku lalu dia berusaha menolong mereka, maka tolong pulalah dia.” (HR Muslim No: 3407) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap Muslim dituntut membantu orang yang memerlukan bantuan dengan sebaik mungkin.
2. Sebagai khadam kepada rakyat, pemimpin, ketua, pegawai atau staf yang menguruskan urusan orang lain sewajarnya berusaha memberikan khidmat sebaik mungkin, mempermudah dan tidak menyukarkan.
3. Rasulullah SAW mendoakan kepada mana-mana pemimpin, ketua, penjawat awam yang menyulitkan sesuatu urusan rakyat dengan doa agar dia dipersulitkan dalam kehidupan.
4. Rasulullah SAW mendoakan kepada mana-mana pemimpin, ketua, penjawat awam yang mempermudahkan sesuatu urusan rakyat dengan doa agar dia sentiasa mendapat kemudahan dan dibantu dalam kehidupan.
اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ
“Ya Allah, siapa yang menjawat suatu jabatan dalam pemerintahan ummatku lalu dia mempersulitkan urusan mereka, maka persulitkan dia. Dan siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan ummatku lalu dia berusaha menolong mereka, maka tolong pulalah dia.”
Semoga birokrasi tidak menjadi halangan kepada tadbir urus yang baik. Permudahkanlah setiap urusan pelanggan atau anggota masyarakat yang memerlukan khidmat.
16hb Okt 2017
25hb Muharam 1439H
.
Jawatan Adalah Amanah
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَسْتَعْمِلُنِي قَالَ فَضَرَبَ بِيَدِهِ عَلَى مَنْكِبِي ثُمَّ قَالَ يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا
Dari Abu Dzar RA dia berkata, saya berkata, “Wahai Rasulullah SAW, tidakkah anda menjadikanku sebagai pegawai (pejabat)?” Abu Dzar berkata, “kemudian baginda menepuk bahuku dengan tangan baginda seraya bersabda: “Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah (untuk memegang jawatan) padahal jawatan merupakan amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar.” (HR Muslim No: 3404) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Jawatan adalah suatu tanggungjawab dan amanah (taklif), bukan satu kemuliaan atau kebanggaan.
2. Segala amanah dan tanggungjawab yang diterima akan disoal di hari kiamat. Pak menteri, wakil rakyat memiliki tanggungjawab yang besar untuk membawa kesejahteraan rakyatnya tanpa mengira kelompok dan golongan. Seorang suami memiliki tanggungjawab besar menafkahkan isteri dan mendidik serta membesarkan anak-anak menjadi keluarga soleh dan diredhai Allah.
3. Apabila kita tidak berlaku adil dan tidak mampu mewujudkan kehidupan yang lebih baik bagi pihak yang kita pimpin, maka janganlah sekali-kali kita biarkan amanah jawatan tersebut. Apabila seorang wakil rakyat tidak mampu melaksanakan amanah untuk membawa kehidupan rakyatnya menuju kesejahteraan dan keadilan, maka gantikanlah dengan yang lebih baik dan beramanah. Amanah adalah sesuatu yang ringan disebut namun berat untuk dilaksanakan.
4. Mereka yang hanya merebut pangkat dan kedudukan untuk kemuliaan dunia demi harta dan kehormatan akan menyesal di hari kiamat kelak.
5. Semoga kita tidak menjadi hina disisi Allah dengan sebab jawatan yang diperolehi hasil kepercayaan orang lain dengan cara yang benar hasil kompetensi dan integriti yang dimiliki.
Berusaha menunaikan tanggung jawab kerana jawatan adalah suatu amanah.
#Semarak Ukhuwah Memacu Perubahan#
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#
Pertubuhan IKRAM Malaysia
17hb Okt 2017
26hb Muharam 1439H
.
Adil Dalam Tanggungjawab
وَفِي حَدِيثِ زُهَيْرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا
Dalam hadis Zuhair dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar (panggung) yang terbuat dari cahaya, di sebelah kanan tuhan yang bersifat ar rahman ‘azza wajalla, mereka ialah orang-orang yang berlaku adil dalam hukuman mereka, adil dalam keluarga dan adil keatas orang yang dibawah tanggungjawab mereka.” (HR Muslim No: 3406) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Keadilan adalah suatu tuntutan dalam melaksanakan tanggungjawab.
2. Dalam menjatuhkan hukuman, setiap kita perlu berlaku adil tanpa mengira siapa mereka.
3. Ibnu Hajar: Orang yang adil adalah yang mengikut perintah Allah dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa keterlaluan dan cuai.
4. At-Tobari: Keadilan adalah wajib keatas setiap orang dan dalam semua perkara, tiada sebarang kelonggaran dalam melaksanakan keadilan sekalipun ke atas keluarga yang dekat atau jauh, begitu juga dimasa senang atau susah.
5. Berlaku adillah keatas orang yang dibawah tanggungjawab kita. Firman Allah surah al-Maidah ayat 8:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
6. Jangan kerana kebencian kita kepada seseorang, segolongan puak atau sekelompok yang tidak sefikrah atau sependapat dengan kita, lalu kita tidak berlaku adil.
7. Orang yang adil semasa di dunia akan mendapat tempat sebaiknya di sisi Allah.
Milikilah sifat adil dan berintegriti.
#Semarak Ukhuwah Memacu Perubahan#
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#
Pertubuhan IKRAM Malaysia
18hb Okt 2017
27hb Muharam 1439H
💎💎💎
Lain-lain PenCERAHan yang relevan :
https://4uni2c.com/2018/04/15/pru14-pencerahan2-yg-relevan/
.
Utk ke PenCERAHan terkini sila tap alamat berikut ⬇️:
http://www.4uni2c.com
.