Bank bukanlah pencuri, tapi …
Petang tadi (2017.11.22) Acik ke Maybank Sungai Buluh. Acik membuat pemindahan wang RM909.09 dari akaun semasa Acik ke akaun Maybank anak saing di Kota Bharu. Dari slip bank pemindahan wang tersebut tahulah Acik berapa baki yang masih tinggal dalam akaun semasa Acik itu.
Kemudian Acik cuba pula membuat pengeluaran tunai dari salah satu ATM di bank tersebut. ATM pertama bagi tahu bahawa Acik tersalah masuk PIN. Acik mula syak bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan ATM tersebut. Lalu Acik pun berpindah ke ATM sebelah.
Di ATM kedua itu, Acik berjaya membuat pemohonan pengeluaran wang RM450. Malangnya yang keluar hanya slip transaksi bank. Wang yang ditunggu tidak pula keluar. Tapi dalam slip bank itu ternyata bahwa baki dalam akaun Acik dah kurang RM450. Maknanya Acik telah “kecurian” RM450 dari akaun Acik tersebut.
Dengan segera Acik ke kaunter bank membuat laporan. Acik pun mengisi borang komplen berwarna kuning sebagaimana dinasihati oleh pegawai bank berkenaan. Selepas itu Acik membuat pula pengeluaran wang untuk kali kedua sebanyak RM400.
Ikut kata pegawai bank dikaunter tadi, mungkin beberapa jam kemudian, wang RM450 akan dikreditkan kembali ke akaun Acik. Tapi sebelum PenCERAHan ini Acik tulis, semakan yang Acik buat melalui Maybank2u menunjukkan akaun Acik itu belum lagi menerima apa-apa kredit.
Pengalaman sebegini tentulah amat membimbangkan bagi seorang pesara macam Acik ni. Dari segi peratusnya jika dibanding dengan amaun pencen bulanan Acik, tentulah ia agak menakutkan. Apa lagi jika kejadian ini berlaku kepada mereka yang lebih sedikit pendapatan bulanannya dari Acik.
Acik cuba bayangkan bahawa peristiwa itu berlaku kepada seorang anak muda yang wangnya dalam akaun, sebanyak itu saja yang ada. Sedangkan beliau amat memerlukan wang tunai itu untuk membeli susu anak dan keperluan dapur untuk bekalan seminggu. Manakala isterinya pula hanyalah seorang suri rumah yang bergantung semata-mata kepada pendapatan suami.0
.
2017.11.23
Kira-kira jam 8:30 pagi tadi Acik semak sekali lagi baki akaun semasa Acik melalui maybank2u.com. RM450 itu masih belum lagi dikreditkan kembali ke akaun Acik itu. Entahlah berapa lama lagi Acik perlu tunggu untuk duit Acik itu dipulangkan.
Dalam fikiran Acik mula timbul keraguan terhadap sistem keselamatan yang digunapakai oleh pihak bank. Adakah benar bahwa duit dalam akaun simpanan setiap pelanggan terjamin selamat sepanjang masa. Tak mungkinkah sebahgian darinya boleh hilang tanpa disedari oleh pelanggan berkenaan.
Acik pun secara kebetulan saja sedar akan kehilangan wang Acik itu. Jika sekiranya sebelum berlaku kehilangan tersebut Acik tidak tahu berapa baki sebenar dalam akaun semasa Acik itu, maka sudah tentu Acik tidak perasan akan kehilangan itu. Jadi sudah tentu Acik tak laporkan segera akan kehilangan tersebut kepada pihak bank.
Tampa laporan tersebut, tentulah tiada ada jaminan bahwa wang RM450 yang hilang dari akaun Acik itu akan dikembalikan kepada Acik. Bahkan dengan membuat laporan pun tidak ada jaminan 100% yang wang tersebut akan pasti diperolehi semula oleh Acik.
Sejak menjadi pelanggan setia Maybank kira-kira 40 tahun dahulu, ada juga pengalaman uniq yang pernah Acik alami. Sebuah akaun simpanan Acik yang dibuka di cawangan Maybank Ampang Park telah dicerobohi oleh pihak yang tak dikenali apabila ianya agak lama tidak aktif. Setelah disiasat, didapati bahwa beberapa transaksi telah berlaku dalam akaun tersebut tanpa Acik sedari. Ia melibatkan hingga belasan ribu ringgit.
Supaya akaun tersebut tidak terus disalahguna oleh sesiapa, maka Acik pun menutup akaun tersebut. Namun amaun sebenarnya yang Acik rugi ataupun untung ketika penutupan akaun tersebut, hanya Allah saja yang tahu. Pengalaman itu sudah cukup membuat Acik memendam keraguan terhadap sistem keselamatan Maybank hingga sekarang.
Dalam sistem perbankan ada elemen-elemen yang membuat Acik bimbang. Masilannya, pihak bank tidak mengeluarkan apa-apa eviden bagi mengesahkan urusan yang berlaku antara bank dan pelanggan. Akibatnya, sekiranya berlakunya sesuatu kontrovesi pihak pelanggan yang akan menjadi mangsa.
Pada 2017.11.08 yang lepas, iaitu antara jam 7:00 hingga 7:20 pagi Acik ada membuat bayaran bulanan atas pinjaman kereta anak Acik di sebuah ATM Bank RHB Sungai Buluh. Acik telah memasukkan RM600 ke akaun pinjaman kenderaan tersebut melalui sebuag ATM.
Mengikut paparan di skrin ATM berkenaan, wang tersebut telah diterima. Akan tetapi slip transaksi tidak dikeluarkan. Jika kemudiannya pihak bank mendakwa bahwa Acik gagal membuat bayaran pinjaman kereta tersebut untuk bulan November, apa eviden yang Acik ada untuk membantah dakwaan tersebut.
.
2017.11.24
Baru sebentar tadi, Acik menyemak baki dalam akaun Maybank semasa Acik, melalui Maybank2u.com. Alhamdulillah, RM450 yang hilang itu telah dikreditkan kembali ke akaun tersebut semalam (2017.11.23). Harap-harap perkara yang sama tidak berulang lagi kepada Acik dan kepada mana-mana pelanggan bank yang lain.
Kejadian seperti di atas akan menyebabkan pemegang akaun berkenaan tidak boleh menggunakan wangnya sendiri selama beberapa hari. Kadang-kadang pelanggan Maybank juga tidak boleh mengeluarkan wangnya dari ATM tertentu. Ini kerana ATM berkenaan hanya diisi dengan wang kertas RM100 sahaja. Akibatnya, pelanggan yang baki dalam akaunnya RM99.99 tidak boleh mengeluarkan RM50 dari akaunnya untuk keperluan segera beliau.
Apa yang Acik tulis dalam blog Acik ini diharap dapat menimbulkan kepekaan rakyat tentang kelemahan sistem perbankan semasa. Mudah-mudahan setiap kita tidak terlalu “take for granted” bahawa wang kita terjamin 100% selamat hingga kita rasa tak perlu langsung untuk secara berkala, menyemak dengan teliti, akaun bank kita.
.
Wallahualam
.
.
.