Sosial : Bila jaga pun lena ..

Cuti di Malaysia sangat banyak. “Saya tak setuju cuti hari Sabtu”

Acik sangat tertarik kepada apa yang dicakap oleh PM (Tun DM) dalam klip video di atas. Di Malaysia kata beliau, hari cuti umum sangat banyak. Adakah maksud beliau ia lebih banyak dari cuti umum di negara-negara lain, wallahualam. Ini satu dakwaan yang tidak boleh dinafikan. Namun apakah banyak cuti itu manifestasi bahawa rakyat Malaysia malas bekerja ?

Sebelum meneruskannya, Acik ingin bertanya kepada yang sedang membaca PenCERAHan ini, adakah anda seorang Melayu ? Jika ya anda seorang Melayu, apa perasaan anda menonton video di atas ? Berdasarkan definasi, maka Acik adalah juga seorang Melayu.

Sebagai seorang Melayu, Acik akan rasa terguris di hati jika Melayu diberi unsur negatif. Jika pelaku itu seorang Melayu yang setaraf dengan Acik, mungkin Acik akan berasa sedih. Namun, jika beliau seorang yang lebih tinggi status sosialnya, maka Acik akan berasa kesal. Akan tetapi jika pelaku itu seorang yang bukan Melayu nescaya Acik akan berasa marah.

Acik percaya, selain Acik ramai rakyat lain yang turut peduli dengan kenyataan PM itu. Seandainya Acik seorang penjawat awam yang berpangkat tinggi, nescaya Acik akan memberi reaksi yang wajar kepada kenyataan PM itu. Lebih-lebih lagi sekiranya Acik berpangkat KSN (Ketua Setiausaha Negara).

Majoriti rakyat sedia maklum bahawa KSN itu adalah ketua kepada jentera kerajaan yang disebut birokrasi. Di bawah beliau ialah semua KSU (Ketua Setiausaha). Dan KSU pula ialah ketua bagi kementerian yang di bawah pentadbiran beliau.

Sejak sekian lama yang Acik ingat semua KSN adalah seorang Melayu. Walaupun ada yang berwajah bukan Melayu namun beliau sebenarnya adalah Melayu berdasarkan definasi yang telah lama diterimapakai di negara kita. Boss bagi KSN ialah PM.

Oleh sebab majoriti besar penjawat awam adalah Melayu, maka sewajarnyalah KSN sensitif terhadap kenyataan boss beliau dalam klip video di atas. Adalah perlu bagi beliau mengkaji kebenaran kenyataan PM itu dan mengambil tindakan proaktif bagi membaiki kelemahan jentera kerajaan secara menyeluruh.

Acik percaya, cuti rasmi yang diberi oleh kerajaan kepada penjawat awam itu adalah dengan justifikasi yang adil. Oleh itu tidaklah adil kepada penjawat awam jika cuti yang mereka layak terima sepanjang tahun itu dikaitkan dengan faktor kemalasan bekerja. Acik sendiri pun pernah menjadi seorang penjawat awam selama 25 tahun.

Berdasarkan pengalaman sendiri, Acik tak boleh setuju jika ada pihak yang mendakwa bahawa penjawat awam suka bercuti kerana malas bekerja. Sebaliknya cuti adalah keperluan asas kepada semua pekerja makan gaji, samada di sektor awam mahupun di sektor swasta. Bagi setiap ketua keluarga (suami & isteri), tanggungjawabnya dalam mengurus kehidupan diri dan rumah tangga adalah pelbagai.

Walaupun mencari rezeki adalah aktiviti utama dalam hidup, namun ia hanyalah salah satu sahaja dari beberapa aspek kehidupan yang perlu dilaksanakan. Pekerja (termasuk penjawat awam) adalah juga manusia. Setiap manusia mempunyai pelbagai obligasi yang terpaksa ditunaikan. Kesemuanya itu tak mungkin dilakukan serentak dengan perlaksanaan tugas-tugas rasmi kita kepada majikan.

Contohnya, menziarah jiran yang sakit dan membeli keperluan dapur. Ini tak mungkin dapat atau sesuai dilakukan dalam masa betugas rasmi. Apa lagi obligasi terhadap pihak yang jauh dari tempat kita tinggal. Misalnya, melawat ibu bapa yang telah tua di kampung yang tak boleh balik hari kerana agak jauh dari tempat kita bertugas.

Sepanjang hayat Acik yang telah berlalu, Acik telah berjumpa dengan bermacam-macam orang. Ada yang sangat pandai dan ada yang sangat bodoh. Ada yang sangat pemurah dan ada pula yang sangat kedekut. Ada yang sangat rajin dan ada pula yang sangat pemalas. Ada yang sangat jujur lagi berani dan ada pula yang sebaliknya. Malah bermacam-macam lagi jenis orang, yangmana kalau nak disebutkan semuanya di sini tentulah terlalu panjang.

Ironinya ialah, tidak semua orang yang memiliki sifat positif lebih berjaya dari yang sebaliknya. Contohnya yang pandai lebih berjaya dari yang bodoh, yang rajin lebih senang hidupnya dari yang malas dan sebagainya.

Video di atas membuat Acik teringat kepada arwah seorang bapa saudara Acik. Beliau seorang yang sangat baik. Tak pernah Acik lihat beliau marah. Kerjanya makan gaji dengan gedung bijih (Straits Smelting Company) di Butterworth sebagai seorang buruh. Acik percaya bapa saudara Acik itu seorang yang sangat rajin bekerja walaupun gajinya kecil.

Dari beliaulah Acik dengar kisah tentang seorang jaga yang lena semasa menjalankan tugas. Waktu itu Acik tidak faham maksud tersirat yang beliau sampaikan kepada ayah Acik dalam perbualan mereka berdua. Namun, bila sudah dewasa dan bekerja, kisah itu menjadi signifiken pula bagi Acik. Ia mendedahkan realiti kehidupan sekarang.

Jaga bermaksud tidak lena. Status jaga dengan sendirinya terhapus kerana datangnya lena. Dengan kata lain, adalah mustahil bagi jaga dan lena itu berlaku serentak. Jawatan JAGA jelas mewajibkan penjawatnya berjaga (tidak lena) ketika bertugas. Apa ertinya begelar jaga jika semasa bertugas beliau lena. Maka sudah nyatalah bahawa jaga yang lena itu tidak amanah.

Apakah implikasinya jika jaga pun lena ?

Jika kita rajin memperhatikan “jaga” yang bertugas di merata ceruk bandar dalam negara kita ini, nescaya kita akan dapati bahawa agak ramai juga dari mereka itu berstatus warga emas. Mereka ini pernah membuat berbagai-bagai pekerjaan sejak dari muda lagi. Adakah mereka ini layak dilabelkan “pemalas” ? Jika mereka bukan pemalas mengapakah hidup mereka di usia emas pun masih susah hingga perlu terus bekerja untuk hidup ?

Seorang yang dilantik sebagai CEO (Chief Executive Officer) Petronas tentulah individu yang hebat. Kalau tidak benar-benar hebat tentulah beliau tidak layak untuk dianugerahkan amanah sebesar itu. Sepanjang tempoh beliau menjalankan tugasnya sebagai CEO bagi GLC (Government Link Company) besar itu, sudah tentu Petronas membuat keuntungan ratusan bilion ringgit malah trilion ringgit. Bukankah itu satu jasa atau sumbangan besar beliau kepada negara ?

Namun setelah tempoh perkhidmatan beliau dengan Petronas tammat, adakah beliau menjadi seorang jutawan besar ? Maksud Acik ialah beliau berjaya memiliki asset bernilai puluhan juta atau lebih. Misalnya sama sepertimana yang berjaya dimiliki oleh anak-anak mantan PM keempat Malaysia.

Jika seorang bekas CEO Petronas pun tidak berjaya seperti salah seorang dari anak-anak mantan PM keempat itu, adakah bermakna beliau tidak cukup pandai dan tak cukup rajin bekerja berbanding dengan mereka ?

Dengan menjawab soalan-soalan Acik di atas dengan jujur, maka dengan sendirinya kita akan menerima hakikat bahawa orang yang susah tak semestinya kerana beliau malas bekerja. Begitu juga, orang yang kaya raya tak semestinya beliau lebih pandai dan bekerja lebih kuat (rajin) dari orang lain.

Pernah tak kita bertanya, “mengapa jaga pun lena” kepada sesiapa ? Atau pun tak terlintas langsung di hati kita nak tahu sebab-sebabnya. Jika kita mengetahui sebabnya, mungkin kita sendiri tak tergamak nak melapurkan apa-apa yang negatif tentang mana-mana jaga kepada majikannya.

Sebaliknya jika kita kaya kita akan nasihatkan jaga warga emas yang berkenaan itu untuk berehat saja di rumah. Saraan hidupnya kita sendiri akan sediakan sehingga dia meninggal. Namun, apakah cara kita itu betul bagi mengatasi masalah sosial negara ? Jauh panggang dari api.

Bagi Acik “bila jaga pun lena” adalah satu simtom yang sangat penting tentang “kesihatan” pengurusan negara. Ia adalah manifestasi bahawa negara sedang menghadapi krisis kejujuran yang sangat kritikal. Akibatnya amanah dikianati, janji dicapati (tidak ditunai), penipuan dan pembohongan berleluasa dan berbagai lagi perbuatan negatif dilakukan.

Sebenarnya, kejadian “jaga pun lena” yang Acik sebut di atas itu bukanlah baru berlaku. Ia dah mula berlaku lebih dari 20 tahun dahulu. Kalau lalang dibiar tumbuh dengan begitu lama, maka sudah tentu amat susah menghapuskannya dalam masa yang singkat. Dan apa yang kita sedang tuai sekarang, itu apa yang kita telah semai dahulu. Jika yang kita semaikan dahulu adalah benih lalang, mustahil yang kita dapat tuai sekarang ini buah padi.

Bagi Acik, adalah tidak adil jika mendakwa bahawa Melayu tak maju kerana malas bekerja, tanpa terlebih dahulu dilihat segala faktor penyebab lain yang relevan. Acik sarankan kajian dilakukan dengan menggunakan falsafah “Bangau oh bangau”. Falsafah ini sebenarnya telah lama wujud dalam budaya Melayu. Malangnya ia telah disalahtafsir lalu disesiakan.

Oleh itu bagi Acik, adalah tidak wajar jika sekiranya cuti hari Sabtu nak dimansuhkan. Acik tidak percaya bahawa ia satu langkah bijak lagi efektif bagi mengikis kemalasan dari penjawat awam yang majoriti besarnya adalah orang Melayu. Bagi Acik, memansuhkan cuti hari Sabtu adalah manifestasi bahawa kita ingin berpatah balik ke zaman fail merah, biru, kuning dan hijau dahulu.

Teringat pula Acik ketika baru masuk berkhidmat dengan MTIB dalam tahun 1977 dahulu. Ketika itu belum ada mesin faks. Komputer pun masih guna kad yang dilubangkan. Komputer meja baru lahir di awal 80an. E-mail jangan ceritalah. Apa lagi smart phone.

Pada zaman itu kehadiran fisikal pekerja di pejabat memangkan perlu (malah tak dapat dielakkan) untuk menyiapkan apa-apa juga kerja. Tapi, adakah kita masih nak samakan era 4G sekarang ini dengan era 20/30 tahun dahulu ?

Satu lagi yang ingin Acik timbulkan di sini ialah “reward & penalty system” atau sistem ganjaran dan hukuman yang sedang dipraktikkan atau berkuatkuasa sekarang. Adakah sistem tersebut berfungsi dengan baik ?

Wallahualam.

Lain-lain PenCERAHan yang relevan

.

Falsafah Bangau oh Bangau

https://4uni2c.com/?s=Bangau+oh+bangau&submit=Search

.

~ by OPajar on 2018-06-30.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: