Kereta Nasional Ke3: Perlu sangatkah ia ?
⬆️ itu bukan kereta nasional ke3 ya !
2018 Ogos 08
Walaupun tak ramai rakyat yang melahirkan sokongan kepada cadangan projek Kereta Nasional Ke3 (KN3), namun PM tetap juga mahu cadangan beliau itu dilaksanakan. Mahu tak mahu semua pemimpin PH (kecuali Sdr Rafizi – mantan YB Pandan), nampaknya terpaksa akur demi menjaga hati PM itu dan demi keharmonian dalaman PH.
Lagi pun berdasarkan pengalaman yang lampau, tak ada gunanya membantah. Dulu masa beliau nak buat Kereta Nasional Pertama (Proton) pun ada juga suara-suara yang membantah. Tapi, akhirnya Proton dilahirkan juga.
.
Oleh sebab Acik bukanlah pemimpin PH, bahkan sebagai ahli biasa pun bukan, maka tak perlulah Acik bimbang apa-apa untuk memberi sedikit komen terhadap cadangan projek KN3 itu. Komen Acik adalah sebagai rakyat biasa dalam negara demokrasi, bukan mewakili mana-mana pihak.
Bagi Acik, Malaysia bukannya sebuah negara yang masih menghadapi kekurangan bekalan kereta. Oleh itu sudah tidak ada lagi keperluan bagi Malaysia untuk membina kilang kereta baru. Malah Acik percaya bahawa jumlah kereta baru yang ditawarkan di pasaran dalam negeri sentiasa melebihi permintaan.
Isu kereta buruk sbg sampah
Kalau diambil kira jumlah kereta-kereta terpakai yang begitu banyak belum terjual, maka pembinaan kilang kereta baru adalah lebih tak rasional. Adalah lebih relevan jika diwujudkan bengkel-bengkel yang bersekala besar bagi membaikpulih kereta-kereta terpakai sebelum dijual. Pembeli pun akan terjamin mendapat kereta terpakai yang masih “reliable” yang berbaloi dengan harganya.
Di bandar PJU10, di mana Acik tinggal sekarang ini, banyak terjumpa dengan kereta-kereta yang terbiar tanpa penggunanya. Ada juga diantara kereta-kereta itu yang umurnya masih agak muda dan keadaannya pun masih baik. Namun, akibat telah lama tidak digunakan langsung, maka ia menjadi sampah pula kepada penduduk-penduduk di bandar ini.
Acik percaya bahawa kereta-kereta terbiar ini bukan saja besepah di bandar PJU10 saja. Malah ia mungkin menyemak di merata tempat di seluruh negara. Sebelum memikir untuk membina kilang kereta baru, Acik rasa lebih urgent memikirkan mekanisma bagi menangani masalah kereta-kereta sampah tersebut.
Acik bimbang, bila bertambah satu lagi kilang kereta nanti, masalah kereta terbiar itu akan menjadi lebih kronik dari sekarang. Fenomina kereta terbiar itu adalah manifestasi bahawa kilang kereta baru adalah tidak relevan lagi di Malaysia sekarang.
Acik percaya majoriti ahli PH tidak setuju dengan pendapat Acik ini. Sebab, mereka terlalu taksub kepada orang yang mencetuskan idea KN3 itu. Mereka suka mengambil iktibar dari kisah Nabi Hizir a.s. dengan nabi Musa a.s. yang di tercatit di dalam al Quran, surah al Kahfi.
Nabi Hizir tahulah apa sebabnya beliau perlu bertindak sedemikian. Jadi, Nabi Musa tak perlulah tanya apa-apa. Maka kita pun janganlah bersikap seperti Nabi Musa terhadap Nabi Hizir. Bila melihat apa yang PM kita sedang dan akan buat tak payahlah bantah. Yakinilah saja bahawa semua yang dilakukan itu adalah baik dan pasti baik.
Oleh sebab Acik bukan ahli PH maka Acik taklah obliged untuk bersikap demikian terhadap ketua PH paling tinggi itu. Pada pengamatan Acik, bukan semua idea beliau terbukti menghasilkan kejayaan. Contohnya ialah Proton (kilang Kereta Nasional Pertama Malaysia), Perwaja (kilang besi), dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) dan lain-lain lagi. Jadi, adalah tidak mustahil jika projek KN3 itu juga akan turut gagal macam contoh-contoh di atas ?
Pengangkutan Awam lebih praktikal
Bagi Acik, generasi Malaysia yang akan datang lebih memerlukan pengangkutan awam dari kereta sendiri. Fenomina demikian telah pun wujud di negara-negara maju. Misalnya di United Kingdom. Majoriti rakyatnya lebih suka menaiki pengangkutan awam daripada memandu kereta sendiri.
Sebuah keluarga di Edinburgh yang Acik kenal, memiliki hanya sebuah kereta saja. Kereta itu dikongsi bersama oleh semua ahli keluarga tersebut. Sedangkan semua mereka mampu memiliki seorang sebiji kereta. Bas awamnya menyediakan perkhidmatan 24 jam. Di Malaysia ?
Baru-baru ini Acik berpengalaman lagi menaiki ETS (Express Train Servis). Kali ini dari Sungai Buluh (Selangor) ke Alor Setar (Kedah). Agak terpesona dengan perkhidmatan kenderaan awam tersebut. Ia jauh lebih selesa dari menaiki Proton yang dipandu sendiri. Ini membuat Acik rasa kesal atas pembatalan projek ECRL oleh kerajaan baru PH.
.
Kalaulah projek KN3 itu nak dijadikan sebagai ganti kepada projek ECRL yang nak dibatalkan itu, maka Acik rasa ianya sangatlah tak padan. Ia juga sangat tidak adil kepada rakyat di negeri-negeri pantai timur yang majoriti besarnya ada orang Melayu Islam. Seolah-olah majoriti orang Melayu tak layak mendapat kemajuan yang sama seperti penduduk-penduduki kosmopolitan seperti di KL, Georgetown, Johor Bahru dan seumpamanya.
Dulu katanya kos ECRL itu terlalu mahal iaitu hingga RM 55 bilion. Kononnya kos sebenar tak setinggi itu pun. Tetapi ia menjadi setinggi itu sebab mantan PM Najib ingin membuat keuntungan besar di atas projek itu. Tujuan beliau adalah untuk membayar hutang 1MDB.
Pemimpin-pemimpin PH lalu mendakwa bahawa jika projek ECRL itu tak dibatalkan nescaya Malaysia akan bankrap. Ramai rakyat yang menjadi takut negara akan jatuh bankrap jika BN terus memerintah. Lalu majoritinya pun menggundi PH hingga PH menang besar.
.
Yang peliknya, apabila kerajaan baru PH menilai sendiri projek ECRL itu, kosnya bukan menjadi lebih rendah. Sebaliknya ia menjadi jauh lebih tinggi iaitu lebih dari RM 80 bilion. Rupa-rupanya rakyat telah termakan dakwaan salah PH tentang projek ECRL itu, menjelang PRU14 dahulu.
Sekali sekala terlintas juga difikiran Acik tentang kemungkin yang menjadi sebab utama kenapa PM sekarang begitu taksub sekali kepada industri kereta. Agaknya demi menjaga kepentingan anak beliau yang menjadi saudagar minyak itu kut. Jika pengangkutan awam termasuk ECRL menjadi lebih popular maka terjejaslah perniagaan anaknya itu. Akhirnya pemilikan syarikat minyak tersebut akan ditelan oleh syarikat minyak gergasi milik GLC (syarikat berkaitan kerajaan).
Rakyat kini dah mula berminat kepada pengangkutan awam. Ianya lebih murah, selesa, efisyen dan mesra alam. Maka penggunaan kereta akan berkurangan. Akibatnya penggunaan minyak akan merosot. Ini agaknya yang ditakuti oleh saudagar-saudagar minyak di seanterio dunia.
.
Walaubagaimana pun itu hanya spekulasi Acik saja. Mungkin juga ada sebab-sebab lain yang jauh lebih penting yang mendesak PM supaya melancarkan projek KN3. Khabarnya menjelang 2020. Cuma rakyat taklah wajib tanya lebih-lebih untuk tahu. Nanti jadi macam Nabi Musa a.s. pula. Sebab banyak bertanya, maka akhirnya ditinggalkan.
Ada juga yang percaya bahawa projek KN3 bertujuan meningkatkan kemahiran jurutera-jurutera kita yang ramai masih menganggur. Tapi apakah tidak ada bidang kejuruteraan lain selain dari kejuruteraan dalam industri pembuatan kereta ? Pembuatan kenderaan awam pun boleh juga menambah kemahiran mereka.
Kenderaan awam termasuklah pembuatan sistem keretapi laju dan bas-bas perantara yang menggunakan eletrik dan bateri. Cuba kita belajar dari negara besar China tentang teknologi pengangkutan awam mereka. Jangan terlalu prejudis kepada negara itu semata-mata kerana ideologinya komunisma. Yang baik ambillah untuk tauladan. Yang sebaliknya buat saja sempadan.
.
wallahua’lam 💊
.
PenCERAHan yg relevan ⬇️
Antara ECRL dan Proton https://4uni2c.com/2018/06/01/pru14-pasca-antara-ecrl-proton/://4uni2c.com/2018/06/01/pru14-pasca-antara-ecrl-proton/
Rafizi: 3rd national car is against the wish of the rakyat https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/08/06/third-national-car-is-against-wishes-of-the-rakyat-rafizi-tells-govt/
Why we should say no to the third national car http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2018/08/04/why-we-should-say-no-to-a-third-national-car/
PenCERAHan terbaru ⬇️www.4uni2c.com
.