Masjid : perlukah dikunci ?
2019 Mac 30
.
Acik percaya bahawa majoriti dari orang yang membaca notis di dalam gambar di atas akan memberi penilaian yang negatif. Walaupun semua AJK masjid berkenaan mungkin yakin dan sebulat suara menyokong dan mempertahankan tindakan mengunci pintu pagar tersebut, namun majoriti anggota masyarakat tetap akan menganggap tindakan mengunci pintu tersebut adalah tidak rasional. Lebih-lebih lagi yang Muslim. Bukankah menghalang orang dari datang berjemaah di masjid itu suatu tindakan yang zalim ?
(Quran, surah al-Baqarah 2: 114)
Acik telah difahamkan bahawa pihak masjid terpaksa mengunci pintu pagar tersebut kerana ada di kalangan penduduk Apartmen Saujana selalu menyalahgunakan pintu tersebut. Yang dimaksudkan “menyalahgunakan” ialah meletak kereta di kawasan masjid kemudian menggunakan pintu tersebut sebagai jalan pintas untuk pulang ke rumah masing-masing yang berada di Apartmen Saujana.
.
Kalau dirujuk kepada peta google di atas, laluan melalui pintu tersebut dari kawasan masjid ke Apartmen Saujana memang sangat pintas. Jarak dari masjid ke blok H, Apartmen Saujana (jika melalui pintu utama AS) mungkin jauhnya sehingga hampir mencecah dua km, tetapi jika melalui pintu pagar tersebut jaraknya mungkin hanya 50 meter sahaja.
Maka tidaklah boleh dinafikan bahawa penyalahgunaan pintu itu memang berlaku di kalangan penduduk-penduduk Apartmen Saujana. Cuma soalan yang patut dijawab ialah, “berapa ramaikah penduduk Apartmen Saujana yang terlibat dengan penyalahgunaan pintu pagar tersebut, dan adakah ianya telah tersangat serius ?”
.
“Tersangat serius” yang Acik maksudkan di atas ialah, pernah berlaku dimana bakal ahli jemaah dari jauh datang untuk bersolat di masjid tersebut, tetapi semua ruang pakir telah penuh. Akibatnya bakal ahli jemaah berkenaan merajuk lalu terus meninggalkan masjid. Beliau langsung tak jadi bersolat di masjid itu. Tapi setahu Acik situasi begitu belum pernah lagi berlaku.
Sebelum berpindah ke kediaman sekarang, dahulu Acik juga seorang warga Apartmen Saujana. Ketika mula masuk duduk ke Apartmen tersebut Acik merasa amat bertuah sekali sebab dapat berjiran dengan masjid. Boleh dikatakan setiap solat fardu, Acik tunaikannya di masjid tersebut dengan berjemaah.
Sudah tentulah untuk berulang alik antara rumah dengan masjid Acik menggunakan pintu pagar tersebut. Ketika itu, tidak pernah terlintas langsung di fikiran Acik bahawa pintu pagar itu akan dikunci sepanjang masa macam sekarang.
Kalau dikunci dari lewat malam hingga menjelang subuh atas sebab keselamatan, Acik boleh faham. Tapi kalau dikunci macam sekarang, otak rasional Acik memang tak boleh kompromi. Minta maaf banyak-banyaklah.
Dari segi prinsip keadilan, orang yang tak bersalah tidak wajar dihukum. Tak dihukum baik secara langsung maupun tidak langsung.
Menutup pintu pagar tersebut mungkin dengan tujuan menghukum mereka yang menyalahgunakannya. Malangnya yang turut sama “terhukum” ialah pengguna-pengguna lain yang tidak bersalah.
Sepatutnya sesuatu tindakan atau keputusan yang nak dibuat, ia harus menganbil kira implikasi negatifnya. Jika yang melakukan kesalahan adalah A, B, C dan D sahaja, tapi jika tindakan yang nak dibuat itu akan menyebabkan E hingga Z turut “terhukum“, maka tindakan tersebut adalah suatu kezaliman.
Lebih-lebih lagi jika E hingga Z itu adalah mereka yang melakukan kebajikan. Bukankah mengimarahkan masjid itu suatu kebajikan ? Sebaliknya menghalang orang lain dari mengimarahkan masjid itulah suatu kemaksiatan.
Idea nak mengunci pintu pagar tersebut (macam sekarang ini) dah dicetuskan di kalangan AJK masjid sejak beberapa tahun dahulu. Malangnya penguatkuasaannya telah terpaksa ditangguhkan kerana sehari sebelum penguatkuasaan dimulakan daun pintu didapati telah hilang.
Kes kehilangan tersebut telah dilaporkan di balai polis. Motif kehilangan tak dapat disahkan. Mungkin ia satu kecurian biasa. Mungkin juga satu tindakan sabotaj oleh pihak yang menentang dasar “kunci pintu” pagar tersebut.
Sebenarnya tindakan mengunci pintu pagar tersebut itu telah mencetuskan satu kontroversi yang agak serius antara pihak masjid dan segelintir penduduk Apartmen Saujana (AS). Pihak masjid mendakwa bahawa ia mempunyai hak mutlak keatas pintu pagar tersebut kerana yang membina pagar tersebut ialah masjid.
Sebaliknya, penduduk-penduduk AS yang berkenaan itu pula mempertikaikan tindakan pihak masjid membina pagar tersebut. Kerana pagar itulah maka mereka terhalang daripada menggunakan jalan belakang AS itu, sebagai laluan alternatif mereka.
Di kalangan pemilik rumah di AS itu, ada yang telah pun merujuk kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung dengan status jalan yang telah disediakan oleh pemaju antara jalan besar dan masjid.
Berdasarkan keterangan pihak MBPJ, pihak masjid tidak sepatutsnya menghalang penduduk-penduduk Apartmen Saujana (AS) daripada memunafaatkan jalan tersebut sepanjang masa.
Dengan kata lain penduduk AS berhak menggunakan jalan yang disediakan oleh pihak pemaju (dari jalan besar ke AS) sebagai jalan alternatif, untuk keluar masuk ke AS.
Membina pagar bagi menghalang penduduk AS daripada menggunakan jalan tersebut adalah suatu pencabulan ke atas hak pihak lain. Hak tersebut adalah mengikut undang-undang. Oleh kerana jalan tersebut adalah laluan awam, iaitu ia bukan dikhususkan untuk masjid semata-mata, maka pihak masjid wajar mengkaji balik tindakannya mengunci pintu tersebut.
Andaikata . . . . .
Andaikata bahawa jalan yang dibina di antara masjid dan jalan utama itu adalah khusus untuk masjid sahaja, maka status jalan tersebut adalah “private road” atau jalan persendirian. Sekalipun status jalan itu begitu, apalah salahnya jika pihak masjid bermurah hati membenarkan jiran-jiran sebelahnya turut menikmati kemudahan jalan tersebut. Bukankah Islam mengajar umatnya supaya saling berbaik-baik dengan jiran sebelah ? Lagi pun jalan tersebut bukan terjejas sangat jika jiran-jiran sebelah turut menggunanya.
Sebagai sebuah institusi yang tersangat penting dalam Islam, masjid sepatutnya menjadi sumber tauladan. Bukan saja tauladan kepada umat Islam, malah kepada orang yang belum Islam. Amat rugi sekali jika masjid gagal menjadi sebuah institusi Islam yang mempraktikkan segala ajaran-ajaran Islam yang mulia.
Termasuk ajaran Islam yang mulia ialah menunjukkan sikap yang mesra dan toleransi kepada jiran sebelah walaupun ada daripada mereka yang belum kembali kepada Islam (revert). Contohnya, jika masjid memiliki banyak lot parkir yang tak dimunafaatkan sepenuhnya sejak sekian lama, apalah ruginya jika dibiarkan jiran yang tidak ada pakir menumpang pakir masjid itu.
.
Masjid membawa imej .. . . .
Imej masjid (bagi kenyakan orang) adalah manifestasi imej orang Islam terbaik. Terutama bagi persepsi non Muslim. Pada tanggapan mereka hanya Muslim yang baik sahaja layak mentadbir masjid. Logiknya, jika Muslim yang manjaga masjid pun tidak baik bagaimana pula dengan Muslim yang tidak datang ke masjid.
Oleh itu setiap masjid harus berhati-hati bila membuat sesuatu tindakan. Tindakan yang boleh mencetuskan kontrovesi bukan saja akan merosakkan imej masjid, malah turut mencemarkan imej umat Islam sejagat.
Oleh kerana itu, orang Islam yang prihatin tidak akan berpeluk tubuh bila melihat tindakan pihak masjid yang tidak betul. Mereka pasti akan merasa “obliged” untuk menegur maupun mengkritik tindakan masjid jika ianya tidak wajar ataupun tidak rasional.
Maka pihak masjid pula perlulah proaktif dengan segala tindakannya. Iaitu bersedia untuk menghadapi segala teguran dan kritikan (oleh Muslim & non Muslim) dengan sabar dan berlapang dada, demi untuk kebaikan masjid dan umat Islam sejagat.
.
Kenyataan seorang Ustaz …
Seorang Ustaz dalam sebuah kuliah magrib di sebuah masjid telah membuat satu kenyataan umum, lebih kurang seperti berikut.:
“Mereka yang mengurus masjid wajarlah di kalangan orang-orang yang berilmu”.
Acik amat sokong kenyataan Ustaz tersebut itu. Tindakan pihak masjid adalah manifestasi, tahap pendidikan atau ilmu jemaah pentadbirnya. Mereka ini termasuklah AJK dan pegawai-pegawai masjid.
Jika jemaah pentadbir masjid adalah di kalangan orang-orang berilmu, maka tidaklah berlaku tindakan yang pelik-pelik.
Contohnya, ada masjid yang melarang orang dari membaca di dalam masjid. Sebaliknya ada pula masjid yang menjemput kumpulan muzik untuk membuat persembahan di perkarangan masjid.
Yang paling membimbangkan Acik ialah bila anggota pentadbir masjid menggunakan masjid sebagai pusat kempen oleh parti politik yang mereka sokong. Ustaz-ustaz yang dijemput bagi menyampaikan kuliah magrib dan subuh adalah di kalangan penyokong-penyokong kuat parti politik tertentu.
Akibatnya, penyokong parti politik lain merasa tidak selesa untuk datang bersolat jemaah di masjid berkenaan. Pihak masjid tidak perlu mengunci pagar masjid kerana mereka ini dengan sukarela akan menjauhkan dari masjid. Masjid bukan lagi menjadi tempat penyatuan umat, tetapi sebaliknya menjadi institusi pemecah belah umat. Nauzubillah … !
Wallahua’lam.
PenCERAHan yg relevan ⬇️
Surau Jumaat amat diperlui di PJU10 (Damansara Damai) https://beappreciative.wordpress.com/2021/04/17/surau-jumaat-amat-diperlui-di-pju10/
Wajarkah masjid dipenjarakan
https://4uni2c.com/?s=Wajarkah+masjid+&submit=Search
.
PenCERAHan terakhir ⬇️ http://www.4uni2c.com
.