Agama: Islam anti keganasan
2020 Nov 13 (Jumaat)
.
🇲🇾 Ketika belum pergi ke SBP (Sekolah Berasrama Penuh) dahulu Acik dengan ayah Acik sangat rapat. Sikap ayah Acik banyak menjadi tauladan kepada Acik. Antaranya ialah suka meneliti untuk memahami bagaimana sesuatu itu berfungsi.
Contohnya tentang enjin motorsikal Honda50 yang beliau miliki. Acik sendiri pernah menyaksikan bagaimana beliau membedah dan membaiki enjin motorsikal tersebut di rumah. Pada hal beliau bukannya seorang mekanik. Bersekolah sehingga darjah empat sahaja.
Dalam masyarakat di kampung Acik tinggal, ayah Acik agak dikenali. Beliau adalah antara kaki² masjid, tapi taklah sampai 5 kali sehari. Ketika itu tak banyak masjid yang mengerjakan setiap solat fardu secara berjemaah. Solat fardu 5 kali sehari di masjid hanya menjadi fenomina setelah adanya gerakan Tabligh di Malaysia.
Suatu pagi ayah Acik mengajak Acik. Kemana ? Rupa-rupanya ke rumah jiran yang tak berjauhan dengan rumah kami. Ada apa di sana ? Jiran berkenaan sedang mengikat kedua-dua tangan anaknya ke dahan pohon pauh di sebelah rumahnya.
Mula-mula ayah dan Acik cuma memerhati dari jauh saja. Tapi apabila si bapa mula memegang rotan, kami pun bergerak pantas ke rumah tersebut.
Sebaik saja mendekati pohon pauh tersebut ayah Acik pun lantang bersuara, “kamu ingat itu lembukah ?”, sambil jarinya menuding kearah si anak itu. Jiran itu tersentap. Terkejut beruk agaknya.
Tanpa berkata apa-apa beliau dengan perlahan-lahan merongkaikan ikatan pada kedua-dua pergelangan tangan anaknya itu. Kemudian beliau membawa anaknya itu masuk ke dalam rumah. Acik dan ayah Acik pun pulanglah ke rumah dengan merasa lega. Lega kerana telah berjaya menghalang suatu penderaan keatas kanak².
.
B e r s a m b u n g …..
.