Islam: hakikat “kaya”
2021 Feb 23(Selasa)
🇲🇾 Apabila kita melihat seorang yang memiliki banyak harta benda, maka kita pun melabelkan beliau sebagai “orang kaya”. Sebenarnya, secara tidak sedar dalam hati kita berkata, “Jika sekiranya Aku telah memiliki apa yang beliau ini miliki, nescaya aku tidak akan memerlukan apa-apa lagi“. Namun bagi pemilik harta benda tersebut, beliau masih lagi berasa bahawa harta benda yang sedang dimilikinya itu belum lagi mencukupi buat beliau.
Seorang lain yang tersangat miskin pula berkata, “Aku ini sudah cukup miskin, …….” Kenyataan orang miskin ini memberi makna bahawa beliau sebenarnya telah kaya dengan kemiskinan. Maka beliau tidak memerlukan lagi kemiskinan.
Dalam dunia kebendaan ini, miskin dan kaya diukur dengan harta benda yang dimiliki oleh seseorang. Orang yang tinggal di rumah besar (bunglo) akan dianggap lebih kaya daripada orang yang tinggal di rumah pangsa atau flat. Orang yang memiliki kereta mahal (Honda CRV) akan dianggap lebih kaya daripada orang yang memiliki kereta murah (Produa Kancil). Begitulah seterusnya.
Namun hakikatnya, kaya itu bergantung kepada hati setiap orang. Bagi seorang yang merasa bahawa apa yang ada dengannya itu sudah cukup memenuhi keperluan hidupnya, maka beliau adalah seorang individu yang kaya, walaupun apa yang sedang dimilikinya itu tidak seberapa dari segi kuantiti dan nilai kewangannya. Sebaliknya bagi seorang jutawan yang sentiasa merasa rugi sekiranya duitnya itu tidak dilaburkan bagi menjana keuntungan, maka beliau sebenarnya adalah seorang yang miskin.
Bersedekah manifestasi orang Kaya
Apabila seseorang individu itu pemurah (suka bersedekah atau gemar menderma), walaupun hidupnya sederhana sahaja, maka itu adalah manifestasi beliau seorang yang kaya. Sebaliknya seorang yang hidupnyaf mewah, banyak harta benda yang dimilikinya, namun beliau seorang yang sangat kedekut, maka pada hakikatnya beliau adalah seorang yang miskin.
Oleh itu, hanya kita saja yang tahu samada diri kita adalah seorang yang kaya ataupun sebaliknya (miskin).
Wallahua’lam 💊
PenCERAHan yg relevan ⬇️
.
Lain² PenCERAHan ⬇️
.
PenCERAHan terakhir bagi blog ini ⬇️ http://www.4uni2c.com
