Ahmad’s SAGA #004 Persepsi Seorang “Penangite”
*** Untuk men CARI lain-lain TAJUK sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL
( Pengguna smartphone sila gunakan ruang SEARCH di penjuru kanan/ atas skrin phone anda)
Persepsi seorang “Penangite”
terhadap kes Ahmad
Acik (Ayah/Abang+cik) adalah ayah kepada Ahmad. Acik dilahirkan di negeri Pulau Pinang. Lebih tepat lagi di Butterworth, Province Wellesley, Pulau Pinang ketika itu. Oleh sebab di negeri Acik tidak ada institusi istana maka Acik tidak dapat menikmati rasa selamat seperti apa yang dinikmati oleh rakyat negeri lain yang lahir dan membesar di negeri yang beraja. Maklumlah raja itu umpama payung yang melindungi rakyat. Mungkin kerana itu kami “penangites” terpaksa belajar berdikari menyediakan payung sendiri demi keselamatan diri dan keluarga.
Walaupun tanpa payung diraja, negeri-negeri tanpa raja itu masih juga mampu melahirkan tokoh-tokoh penting (TP) negara. Contoh TP (Tokoh Penting) kelahiran Pulau Pinang ialah YB DSAI (Bekas TPM), Tuan Haji Mohd Sabu (Timbalan Presiden PAS), dan Pak Lah (Mantan PM). Dato’ Mohd Shafie Abdullah dan YB Karpal Singh yang sangat sohor di kalangan pengamal undang-undang juga adalah anak P.Pinang (jika tak silap Acik). Turut dianggap TP oleh APcik ialah Dato’ Zulkifli Sharif (TP dalam NGV Tech-syarikat pembuat kapal) dan Dr. Zulkifli (nama Islamnya) atau Jomo K.S (TP dalam dunia akademik). Bagi puluhan ribu pelajar UiTM pula, TP yang sangat dibangai mereka ialah DS Sahul Hamid, VC mereka sekarang. Malah ramai lagi jika nak disenaraikan.
Negeri Melaka juga sama statusnya dengan Pulau Pinang kerana ia juga tidak ada payung diraja yang memayungi rakyatnya. Namun Melaka juga masih mampu melahirkan TP-TP seperti YAB Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dan bapanya YB Lim Kit Siang (ahli politik terkemuka), arwah Tun Ghafar Baba (Mantan TPM), Dr Sidek Baba (TP dalam UIA), dan lain-lain. Begitu juga dengan Wilayah Persekutuan di mana Tan Sri Ambrin Buang (Ketua Audit Negara) dan Dato’ Raja Nong Cik (Menteri Wilayah) dibesarkan.
Mungkin juga kerana tiada beraja, maka sensitiviti terhadap institusi istana agak kurang malah mungkin tiada langsung di minda majoriti rakyat Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah persekutuan. Ini “merbahaya” kerana mereka berkemungkinan melanggar sensitiviti adat istiadat istana tanpa disedari akibat kejahilan atau “ignorance”. Sedangkan “ignorant of law is not an excuse” mengikut prinsip undang-undang. Agaknya, kerana kurang atau tanpa sensitiviti tersebutlah maka berbagai-bagai komen negatif terhadap institusi istana dapat kita baca di dalam laman-laman sosial internet dari masa kesemasa. Inilah agaknya yang cuba dibenteras habis-habisan oleh pihak istana dengan mengeksploitasikan pihak polis, mahkamah dan lain-lain.
Walaupun tidak membesar di negeri yang mempunyai institusi istana, Acik dapat juga mengetahui sikit sebanyak tentang institusi istana melalui pembacaan semasa di bangku sekolah duhulu. Itu sebabnya Acik dapat mengarang kisah-kisah yang berlegar di perkarangan istana. Contohnya ialah tentang Strategi Ikan Todak dan Strategi Tun Perak Melaka. Kisah-kisah tersebut dapat memberi sedikit gambaran kepada pembaca tentang suasana gerun dan cemas yang mewarnai institusi istana di zaman silam. Walaupun ada juga cerita-cerita yang positif mengenai istana, namun cerita-cerita yang sebaliknya mungkin lebih berkesan terhadap minda dan emosi kita. Bukan sekadar itu saja, bahkan ada yang sampai menghantui fikiran dan perasaan kita.
Malang sungguhlah jika sekiranya insiden-insiden yang mengerunkan itu masih lagi berlaku dalam kurun ini. Seolah-olah negeri berkenaan masih belum bertamadun. Sedangkan negara jiran yang jaraknya tak sampai satu kilometer pun sudah lama mencapai tahap negara maju. Kenyataan Acik ini adalah dipengaruhi oleh apa yang Acik dah baca dalam laporan yang ditulis oleh seorang bekas Penguam Istana (Kamal Hisham Jaafar) dalam blognya. Silalah kunjungi blog beliau dan nilai sendiri kandungannya.
Beliau hingga terpaksa berhijrah ke negara lain demi menjaga prinsip dan keselamatan dirinya dari ancaman pihak istana berkenaan. Sayang, anak Melayu yang begitu berpotensi menambahkan baktinya yang begitu berharga kepada negeri dan negaranya terpaksa memilih untuk “membuang” diri di perantauan. Bukan beliau seorang, malah ramai lagi anak2 Malaysia yang bijak pandai turut enggan pulang ke negaranya akibat sistem keselamatan yang kurang menyakinkan mereka.
Apabila anak kandung Acik sendiri ditangkap Polis untuk dibawa ke Johor atas tuduhan menghina Sultan Johor, maka sudah tentulah Acik tersangat bimbang tentang keselamatan beliau sepertimana juga bapa-bapa lain terhadap keselamatan anak-anak kandungnya. Inilah yang dikatakan fitrah yang Allah bekalkan kepada setiap ibu bapa terhadap anak kandungnya. Fitrah yang sama juga pasti ada dalam diri seorang ketua terhadap anak-anak buahnya dan raja (yang berdaulat) terhadap rakyat jelatanya jika sekiranya beliau adalah seorang ketua ataupun raja yang tulen (layak atau tidak palsu).
Soalan mudah Acik ialah, kalau ya pun Ahmad “bersalah”, apa perlunya beliau dibawa ke Johor ? Apakah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tak ada mahkamah atau hakim yang layak tak ada masa langsung untuk membicarakan kes Ahmad ni ? Bukankah ini menyusahkan semua pihak, samada pihak orang kena tuduh (OKT) maupun pihak yang akan menguruskan kes ini dari kes dibuka hingga kes ditutup. Lebih-lebih lagi tenaga polis yang sepatutnya menumpukan perhatian mereka kepada kes-kes jenayah lain yang lebih berat dan jelas mengancam keselamatan negara. Semuanya ini hanya merupakan pembaziran duit rakyat, sedangkan ia mampu dielakkan.
Acik pada mulanya difahamkan bahawa Ahmad dibawa ke Johor sebab kononnya laporan terhadap beliau telah dibuat di Johor. Oh kalau begitu, jika sekiranya ada sesiapa yang di England sana membuat laporan terhadap “kesalahan” yang dilakukan oleh Ahmad maka berpeluanglah pula Ahmad “melawat” England secara percuma. Jika tak England, di Sabah dan Sarawak pun jadilah. Bolehlah Ahmad melawat Sarawak atau Sabah jika ada orang Sarawak atau Sabah sudi membuat laporan terhadapnya. Tapi bagaimana pula dengan pihak keluarga ? Mampukah mereka menyediakan satu perbelanjaan yang besar bagi menemani Ahmad ke Sarawak atau ke Sabah. Sedangkan ke Johor Bahru pun beban kewangan yang terpaksa ditanggung sudah cukup terasa oleh keluarga Ahmad. Maka, apa lagi jika andainya Ahmad dibawa ke Sarawak atau Sabah.
Walaupun alasan awal untuk membawa Ahmad ke Johor itu amat tidak rasional pada pendapat Acik, namun itulah yang Acik difahamkan. Mau tidak mau ianya terpaksalah Acik telan kerana apa pilihan yang ada lagi selain itu ? Kata orang tua-tua, Acik ni umpama timun, mereka umpama durian. Menggolek pun luka, digolek pun luka. Sebenarnya, apa yang dapat Acik agak atau yang menjadi spekulasi Acik ialah, Ahmad akan dibawa mengadap Sultan Johor di istana dan akan dipaksa menyembah dan memohon ampun kepada baginda tuanku.
Walaupun sekadar memohon ampun bukanlah satu kerja berat, namun yang amat penting ialah implikasi dari perbuatan tersebut. Memohon ampun membawa implikasi bersalah. Sedangkan Ahmad yakin beliau tidak bersalah dan belum dibuktikan bersalah. Implikasi lebih buruk yang menjadi spekulasi Acik dan ahli-ahli keluarga Acik sakelian ialah bahawa Ahmad akan dibelasah separuh mati kemudian baru diampun. Ini adalah spekulasi yang dikongsi bersama oleh semua rakyat biasa yang dhaif seperti keluarga Acik.
Pendekata memang telah menjadi persepsi atau spekulasi umum bahawa apabila seseorang rakyat biasa ditahan oleh polis, jika ia tidak kena apa-apa “sentuhan” maka itu adalah suatu pembohongan atau agak mustahil akan jadi demikan . Lazimnya ia (OKT) pasti akan menerima “hukuman in advance” sebelum hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya di mahkamah. Sehingga kini sudah banyak kita terbaca dalam media tentang OKT mati ketika dalam “penjagaan” polis atau pihak yang bertanggungjawab. Contoh paling sohor ialah kes mendiang Teoh Beng Hock dan seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia, walaupun umum difahamkan bahawa kedua-duanya membunuh diri.
Persepsi dan spekulasi sebegitu rupa oleh masyarakat umum sebenarnya telah memberi suatu imej dan jenama yang sangat buruk kepada institutusi keselamatan kita. Ia diumpamakan “harapkan pagar, pagar makan padi”. Oleh itu satu usaha yang jujur, komprehensif dan bersungguh-sungguh harus dimulakan untuk membersihkan imej PDRM. Ia memerlukan satu anjakan paradigma dalam institusi penting itu. Ahli-ahli politik utama terutama PM dan menteri berkenaan wajib memberi sokongan jitu dan segala kerjasama yang diperlukan, bukan sebaliknya.
Jika BN tak mampu bertindak, biar rakyat seluruh Malaysia serahkan tugas mentadbir negara kepada PR pula. Kita harap, PR bukan saja akan membersihkan PDRM saja dari pencemaran yang dialaminya sekarang, malah akan membersihkan imej semua institusi-institusi penguatkuasaan lain yang wujud dalam negara kita ini.
Maafkanlah kami jika sekiranya persepsi dan spekulasi Acik sekeluarga dalam kes Ahmad itu, dianggap keterlaluan oleh mana-mana pihak. Namun secara jujur dan ikhlas Acik nyatakan, itulah persepsi dan spekulalsi sebenar yang menjelma di dalam minda Acik dan ahli-ahli keluarga Acik semua. Jika orang Mulia atau Kerabat Di Raja dari sebuah negeri yang berdaulat pun sanggup dibelasahnya, siapalah Ahmad ? Ahmad bukan dikenali oleh sesiapa pun dan tiada ada apa-apa status penting pun dalam negara hatta dalam taman perumahan di mana beliau tinggal pun tak ramai yang kenal beliau.
Yang menambahkan lagi kebimbangan Acik sekeluarga ialah bila mendengar satu cerita tentang seorang anggota PDRM sendiri yang berpangkat Inspektor dibelasah oleh pihak istana berkenaan. Sampai ke tahap itu pun, masih juga tak ada siapa pun yang berani membela beliau atau mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang dan menghalangi kerja polis itu. Kasihan kepada Inspektor tersebut khususnya dan kasihan juga kepada semua polis-polis lain yang bertugas di dalam negeri Johor amnya.
Kemana perginya menteri yang diamanahkan menjaga polis ? Beliau wajar dimaklumi tentang peristiwa-peristiwa penting seumpama itu dan wajib melindungi polis yang menjalankan tugas dengan betul mengikut SOP (Standard Operating Procedure) yang diterimapakai.
Acik bukan membuat dakwaan bahawa peristiwa (polis dibelasah pihak istana) tersebut memang benar-benar berlaku. Ia boleh saja direka oleh pihak-pihak tertentu yang tak bertanggung jawab. Cuma yang Acik nak tegaskan ialah bahawa cerita itu menjadi factor yang menambahkan lagi kebimbangan Acik anak beranak terhadap keselamatan Ahmad jika sekiranya beliau benar-benar dibawa ke istana. Samalah dengan kes kanak-kanak menonton cerita hantu di TV. Walaupun ia hanya cerita rekaan, namun ketakutan yang menyerapi perasaan kanak-kanak berkenaan (akibat dari menonton cerita seram tersebut) tetap menyusahkan ibu bapa kerana terpaksa menemani si anak walaupun ke bilik air di dalam rumah di siang hari.
Suatu ketika dahulu kononnya berlaku di negeri Perak dimana seorang pegawai tentera telah dikasari oleh pihak istana semasa beliau menjalankan tugasnya mengawal keselamatan hutan di negeri tersebut. Tun Hussein Onn (PM ketika itu) sendiri telah turun menemui pihak istana dengan memberi kata dua. Pihak istana terpaksa mengalah. Pegawai tentera tersebut lalu dipindahkan dari tempat bertugasnya itu dan dinaikkan pangkat. Bagi Acik ini adalah contoh seorang yang benar-benar pemimpin sejati kerana berani menggunakan kuasanya demi membela yang hak. Berani kerana benar takut kerana salah, kata pujangga Melayu. Si penakut yang hanya sekadar berani “baling batu sembunyikan tangan” memang tidak layak menjadi pemimpin.
Sebagai seorang yang pernah bertugas dalam angkatan tentera, Tun Hussein Onn dapat menghayati sendiri apa masaalah yang anggota tentera hadapi. Itu pentingnya pengalaman dalam hidup bagi seorang pemimpin. Itu perlunya kita melihat terlebih dahulu latar belakang seseorang itu sebelum melantiknya menjadi pemimpin. Orang yang hidupnya sejak kecil hingga dewasa tidak pernah mengalami kesusahan sudah tentu tidah tahu apa ertinya kesusahan. Orang yang tidak pernah ditangkap dan dipenjarakan tentu tidak mampu menilai samada sistem pengadilan yang diterimapakai benar-benar menjamin keadilan ataupun sebaliknya.
Berita tentang peristiwa (PM beri kata dua kepada pihak istana) tersebut mungkin tidak disiarkan oleh mana-mana media perdana ketika itu. Acik hanya terima dari sumber-sumber dalaman. Di kalangan pembaca blog Acik ini (yang juga terdiri dari bekas2 anggota tentera), mungkin ada yang dapat mengesahkan peristiwa tersebut. Andainya sikap dan keberanian Tun Hussein On itu telah turun kepada anaknya (Dato’ Hishamudin), Acik yakin kes Ahmad ini tak mungkin boleh berlaku. Malangnya, …… kuah tidak tumpah ke nasi rupa-rupanya. Mungkin ketetapan takdir ini ada hikmah di sebaliknya. Mengikut kata sebuah falsafah, “thing happens for its good reason”. Wallahu alam, Allah jua yang Maha Tahu.d
d a u l a t r a k y a t !
Ahmad’s SAGA #003 : https://4uni2c.com/2012/11/11/kisah-arnab-menjadi-beruang/
Ahmad’s SAGA #005 : https://4uni2c.com/2012/11/16/strategi-ikan-todak/
Ahmad’s SAGA # Index https://4uni2c.com/2013/12/11/ahmads-saga-index/
** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK : http://www.4uni2c.com
@OPajar #12Y16