Ahmad’s SAGA #013 Janji diCAPATI

***  Untuk menCARI lain-lain PenCERAHan  sila KLIK nama bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN kemudian SKROL.

(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda )

Janji diCAPATI

Janji diCAPATI adalah satu perumpamaan baru. DiCAPATI membawa maksud dilayan seperti CAPATI. Sama macam perkataan di”LEMBUi”.  Di”LEMBUi”  bermakna dilayan seperti  orang melayani  binatang bodoh yang bernama lembu.

Capati pula adalah sejenis makanan seperti roti canai yang tidak asing bagi kita semua itu. Cuma ia tidak ditebar seperti membuat roti canai. Ia juga tidak digoreng dengan menggunakan minyak seperti menggoreng roti canai. Dia hanya dibakar.  Oleh itu orang-orang yang “allergic” (alahan) kepada kolestrol eloklah makan roti capati berbanding dengan roti canai.

Apa jadi bila capati dimakan ? Biasanya apabila si pemakan capati habis memakan capati, beliau akan meninggalkan gerai makan berkenaan untuk menyambungkan aktiviti hariannya yang seterusnya. Wajah capati yang baru dimakannya dah tak ada lagi dalam ingatannya.

Pada hal semasa berhadapan dengan capati tadi, seleranya begitu besar sekali.  Begitulah nasib engkau capati. Lepas engkau dimakan belum pun engkau jadi tahi, pemakan engkau itu dah lupakan kau. Kesian kepada engkau capati.

Bila sesuatu janji itu dibuat, maka nasib janji itu ada dua kemungkinan. Pertama janji itu diTEPATI. Kalau tidak, maka diCAPATIlah jawabnya, iaitu dilupai macam capati tadi dilupai.

Ahmad diusung ke Johor Bahru dari rumahnya di Damansara Damai selepas pukul 12 pagi 3hb November. Acik (Ayah/Abang+cik) bercadang akan turut ke Johor Bahru, cuma bila matahari dah terbit nanti. Acik bersama seorang anak lelaki bernama Adam, emak Adam serta isteri Ahmad bertolak pada kira-kira pukul  8 pagi hari Sabtu dengan menaiki kereta Kelisa buruk Acik.

Dengan penuh sangkaan baik dan dengan penuh harapan positif, kami berhasrat akan bertemu dengan Ahmad di balai polis di mana beliau di tahan.

Sebenarnya kami belum tahu di balai polis mana Ahmad akan dilokap (locked up). Yang kami di beritahu ialah nombor telefon bimbit IO (Investigation Officer) atau pegawai penyiasat ke atas Ahmad yang bernama ASP Tan Seng Lee. Kami penuh konfiden (yakin) akan dapat berhubung  dengan beliau bila sampai ke Johor nanti jika kami memerlukan apa-apa nasihat darinya mengenai Ahmad.

Johor  bukan  lagi seperti negeri  yang Acik biasa lihat kira-kira lebih dari 30 tahun dahulu. Sebenarnya Acik pernah tinggal hampir tiga bulan dengan menumpang keluarga seorang sahabat  di Majidi. Ketika itu Acik ditugas oleh majikan menanggung tugas ketua MTIB cawangan Johor Bahru kerana beliau akan mengikuti suatu kursus pentadbiran di INTAN, Kuala Lumpur.

Oleh sebab tidak pernah memandu sendiri maka tak pandailah Acik tentang jalan-jalan di Johor amnya dan Johor Bahru khususnya. Tambahan pula sistem jalan raya di JB sekarang nampak berselerat sangat hingga susah nak kenalpasti  lorong mana yang betul.

Jadi bagi kunjungi ke Johor kali ini tentulah Acik teraba-raba macam si buta kehilangan tongkat, semasa memandu di Johor dan Johor Bahru. Nak cari lokasi sesatu balai polis pun terpaksa minta petua dari beberapa orang di tepi jalan. Bila sampai ke satu balai, Acik pun masuk bertanya kat kaunter kalau-kalau ada yang tahu OKT (Orang Kena Tahan) yang bernama Ahmad di bawa ke balai berkenaan.

Di balai polis pertama kami sampai itu, tak ada siapa pun di kalangan anggota polis yang berada di situ tahu menahu tentang kes Ahmad. Bila kami berterus terang kepada mereka tentang kes Ahmad dituduh menghina Sultan, masing-masing nampak macam teragak-agak untuk menasihati kami.

Kemudian kami pergi pula ke Balai Polis yang kedua. Mereka juga tidak tahu tentang kes Ahmad. Walaubagaimana di situ kami telah mendapat nasihat supaya ke balai lain bila kami menyebut nama IO kepada Ahmad iaitu ASP Tan Seng Lee.

Memang betulkan bahawa di Balai yang ketiga kami kunjungi  itu ada terpampang nama ASP Tan di pintu balai. Malangnya beliau tiada di balai tersebut.  Kami diberitahu bahawa ASP Tan masih dalam cuti. Patutlah bila Acik telefon pun beliau tak angkat.

Satu lagi nasihat yang Acik rasa amat membantu ialah supaya kami pergi ke IPK (Ibu Pejabat Kontinjen) Johor untuk berjumpa dengan pegawai yang lebih kanan daripada ASP Tan iaitu ACP Nor Azizan. Bagi Acik jika dapat berjumpa dengan seorang ACP setelah gagal untuk berjumpa dengan seorang ASP, itu adalah suatu “blessing in disguise”.  Ia ibarat gagal memdapat rm10 yang diperlukan,  tiba-tiba mendapat rm50 pula.

Kami sampai ke IPK Johor agak lewat petang. Maklumlah, terpaksa sesat jalan dulu baru sampai ke situ. Di balai menunggu di pintu masuk ke perkarangan IPK Johor itu Acik bertemu anggota yang bertugas di kaunter.

Kami diberitahu bahawa Ahmad memang ada di lokap IPK tersebut. Anggota yang bertugas di kaunter berusaha menghubungi pihak-pihak tertentu untuk membolehkan kami bertemu dengan Ahmad. Namun akhirnya memberi jawapan yang amat menghampakan Acik dan ahli keluarga yang bersama-sama Acik. Bukan kata nak berjumpa dengan Ahmad bahkan nak jumpa dengan mana-mana pegawai pun tidak diberi laluan.

Acik serta ahli keluarga “check in”i di sebuah hotel di Jalan Skudai. Kami akan tinggal di hotel berkenaan dua malam sehingga Ahmad di bawa semula ke Mahkamah Majistret JB pada hari Isnin nanti. Di hotel Acik dihubungi oleh ahli-ahli keluarga lain yang tidak dapat turut sama ke Johor bersama kami.

Berbagai-bagai spekulasi negatif menghantui pemikiran dan perasaan kami. Nampaknya masing-masing terlalu bimbang atas keselamatan Ahmad. Banyak cerita-cerita tentang penganiayaan terhadap rakyat oleh pihak istana pernah kami baca dan dengar sebelum ini.

Kegagalan kami untuk berjumpa Ahmad petang tadi menambahkan lagi kebimbangan kami sekeluarga. Anas (abang sulung Ahmad)di UK mula menghebahkan berita Ahmad ditangkap di dalam internet. Beliau mempunyai ramai rakan internet yang berada di berbagai negara.

Begitu juga dengan Aslam (adik Ahmad) yang sedang menuntut di Australia. Beliau pun mempunyai rakan internet dari pelbagai negara. Acik tidak ada kawalan langsung ke atas mereka. Masing-masing mempunyai strategi sendiri. Yang penting ialah Ahmad selamat semasa dalam tahanan polis.

Ada pula antara anak-anak Acik yang memberi nombor telefon bimbit Acik kepada pihak portal. Malaysian Insider ada menghubungi Acik. Apa yang Acik dapat maklum kepada mereka ialah bahawa kami tidak dibenarkan bertemu Ahmad. Sebagai ibu-bapa dan ahli-ahli sekeluarga dengan Ahmad kami  semua memang tersangat bimbang akan keselamatan Ahmad.

Esoknya ialah hari Ahad. Semua orang tahu bahawa hampir semua penjawat awam bercuti hujung minggu. Entah macam mana masih terlintas juga di fikiran Acik untuk cuba menghubungi  ASP Tan Seng Lee (IO keatas Ahmad) melalui telefon mudah alih beliau.

Agak mengejutkan Acik bila panggilan Acik disambut pula kali ini. Di ketika itulah Acik mengambil peluang meminta beliau mengizinkan kami bertemu Ahmad di IPK di mana beliau dilokap. Sebelum ini kami dimaklumkan oleh pelbagai pihak bahawa sebagai IO ke atas Ahmad,

Oleh itu,  ASP Tan tentulah berkuasa membenarkan kami bertemu dengan Ahmad. Malangnya, beliau sendiri tak berani membenarkan kami bertemu dengan Ahmad. Sebaliknya beliau minta Acik memohon izin dari bossnya iaitu ACP Nor Azizan di IPK Johor.

Walaupun antara percaya dengan tidak bahawa kami akan dapat berjumpa dengan ACP berkenaan, kami tetap berusaha  untuk pergi menemui Ahmad. Kami percaya Ahmad masih dilokap di IPK Johor.  Oleh itu kami pun ke IPK Johor.

Bila sampai di IPK Johor, sekali lagi Acik menghubungi ASP Tan. Harapan Acik ialah untuk bertemu dan berunding dengan beliau di IPK tersebut. Malangnya beliau  tak dapat datang.

Sebaliknya beliau menasihati Acik untuk bertemu sendiri dengan boss beliau iaitu ACP Nor Azizan. Rupa-rupanya pagi ini ACP Nor Azizan bersedia pula untuk kami temui. Pada hal, petang semalam kami gagal untuk berjumpa dengan beliau, kerana tidak diberi laluan.

Dalam pertemuan tersebut, ACP Azizan memberi jaminan kepada kami bahawa Ahmad tidak akan diapa-apakan. Oleh itu kami tak perlu bimbang apa-apa. Esoknya Ahmad akan dibawa ke mahkamah jam 8.30pagi. Jika tidak ada apa-apa, Ahmad akan dibebaskan.

Bila Acik  bertanya kepada beliau, ada kemungkinan tak Ahmad akan dibawa ke istana, kata beliau “tidak” kerana tidak ada pihak luar yang telibat. Oleh itu tidak ada kumungkinan bahawa Ahmad akan dibawa ke istana.  Kata-kata beliau membawa harapan menggunung kepada kami bahawa Ahmad tidak akan diapa-apakan. Malah berkemungkinan besar akan dibebaskan pagi esok.  Namun permintaan kami untuk berjumpa sebentar dengan Ahmad tetap tidak dibenarkan beliau.

Pada petangnya, tiga orang anak Acik dari Shah Alam sampai untuk bersama-sama kami. Esoknya kami bercadang akan berada di bangunan mahkamah sebelum pukul 8.30pagi. Asiah anak Acik yang sedang belajar undang-udang di UiTM itu telah menghubungi rakannya (seorang peguam) supaya datang ke mahkamah bagi menangani kes Ahmad.

Melalui peguam tersebut kami dapat tahu bahawa Ahmad akan dibawa ke mahkamah di sebelah petang bukan sebelah pagi seperti yang kami difahamkan oleh ACP Azizan semalam. Jadi yang mana satu betul pun kami tak pasti.

Bagi kami, bertemu dengan Ahmad adalah terlalu penting. Supaya kami tak terlepas peluang bertemu dengan Ahmad  maka kami bercadang menunggu sahaja di mahkamah tanpa ke mana-mana sebelum jam 8.30 pagi.

Memang benarlah maklumat dari peguam kami itu. Ahmad dibawa ke mahkamah di sebelah petang dengan sebuah kereta rasmi  polis. Bersama-sama beliau ialah Inspektor Nazri dan dua anggota lain yang tidak beruniform. Seorang darinya berbangsa Melayu berbaju T merah, berbadan besar dan kepala botak.

Seorang lagi berbangsa Cina, kurus sikit badannya berbanding dengan yang tadi dan tinggi lampai. Anggota berkepala botak itu memegang tengkok baju Ahmad sambil mengheretnya (sebaik saja keluar dari kereta polis itu), hingga ke Mahkamah Majistret di tingkat 3 bangunan. Cara Ahmad ditangani dengan kedua tangannya bergari memberi persepsi bahawa beliau adalah seorang penjenayah berat.

Mulai keluar dari kereta polis berkenaan hinggalah Ahmad diheret ke tingkat 3 itu Acik dan ahli-ahli keluarga tidak berpeluang langsung berkomunikasi dengan beliau. Cuma kami rasa agak lega kerana Ahmad kelihatan ceria dan tak ada tanda-tanda fisikal beliau telah diapa-apakan.

Namun Acik agak terkejut bila Ahmad sempat berbisik ke telinga Acik bahawa beliau rela menjadi seperti Teoh Beng Hock atau Sarabini dan minta Acik bersedia untuk menghadapi kemungkinan tersebut. Dalam fikiran Acik terlintas suatu persoalan, kalau sekiranya Ahmad tidak diapa-apakan bagaimana boleh terbit kenyataan tersebut dari mulutnya.

Peguam yang datang dari Shah Alam bagi membantu kami ialah Tuan Ziadi Zaidon dengan ditemani oleh Tuan Zakuan (juga seorang peguam).  Kedua-dua mereka masih muda tapi mempunyai perwatakan yang meyakinkan kami. Kebijaksanaan mereka terbukti apabila tahanan reman ke atas Ahmad dibatalkan oleh Tuan Majistret yang mengadili kes tersebut.

Semua kami menarik nafas lega termasuk Inspektor Nazri dan Cina yang datang sekereta dengan Ahmad ke mahkamah. Sebaliknya, anggota yang berkepala botak dan berbaju T merah itu lain pun nampaknya.

Anggota tersebut nampaknya begitu resah gelisah sekali apabila Ahmad dibebaskan oleh pihak mahkamah.  Beliau kelihatan sebok sekali menaip di atas telefon mudahalihnya. Dengan tak semena-mena,  beliau menarik Inspektor Nazri ke suatu jarak yang agak jauh dari kami semua.

Sebaik selepas itu, Inspektor Nazri datang kepada kami lalu memberitahu bahawa Ahmad akan dibawa balik semula ke balai polis. Kononnya masih ada hal lain yang perlu dibereskan. Ini amat menggempar dan mengecewakan kami.

Apakah ada suatu muslihat lain pula yang akan dikenakan terhadap kami ?  Siapakan anggota yang berkepala botak dan berbaju T merah itu ?  Kenapa seorang polis yang berpangkat Inspektor pun nampak begitu takut  kepada beliau ?

Semalam ACP Azizan telah berjanji bahawa, “tiada pihak luar yang akan terlibat”.  Beliau juga mengatakan bahawa Ahmad berkemungkinan akan dibebaskan. Tapi  kenapa pula bila Ahmad dibebaskan oleh pihak mahkamah kini beliau dibawa balik ke balai polis berkenaan ?

Inilah yang dikatakan “Janji diCAPATI”.  Ini baru institusi polis. Malah di dalam banyak lagi agensi-agensi kerajaan lain “Janji diCAPATI” bukan perkara yang pelik.

Tiba-tiba UMNO/BN yang memerintah negara sejak 55 tahun kini cuba mempamirkan dirinya dengan imej  “Janji diTEPATI”. Ini satu pemBOHONGan dan peNIPUan yang nyata terhadap rakyat.  Nampaknya tiada ada jalan lain lagi bagi rakyat yang inginkan keadilan untuk membenteras perlakuan buruk “Janji DiCAPATI” ini selain dari MENUKAR  kerajaan.

Wallahualam.

D  a  u  l a  t       R  a  k  y  a  t   !

Selingan:

Lagu Patriotik  : Sila KLIK

https://www.facebook.com/photo.php?v=343819829073836&set=vb.162138223914613&type=2&theater

 Lain-lain PenCERAHan yang relevan :

Ahmad’s SAGA # Index  https://4uni2c.com/2013/12/11/ahmads-saga-index/

Ahmad’s SAGA #014 : https://4uni2c.com/2012/12/13/ahmads-saga-014-adik-aminulrasyid-lebih-malang/

** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK :   http://www.4uni2c.com

@OPajar   #12Z09

Advertisements

~ by OPajar on 2012/12/09.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: