Ahmad’s SAGA #015 Peguam GANGGU Kerja Polis ?
Ahmad’s SAGA #015 Peguam GANGGU Kerja Polis ?
** Untuk menCARI lain-lain TAJUK sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
** Untuk Ke Blog UTAMA sila KLIK: http://www.4uni2c.com
Peguam GANGGU Kerja Polis ?
Selepas Ahmad ditahan semula sebaik saja mahkamah membebaskan beliau dari tahanan reman, Acik dengan ahli-ahli keluarga pun turut ke IPK (Ibupejabat Polis Kontinjen) Johor. Kami harap akan dapat bertemu dengan Ahmad di IPK tersebut. Mengikut kata Inspektor Nazri (selepas mahkamah membebaskan Ahmad tadi), dia (Ahmad) akan dibawa balik ke IPK kerana ada perkara yang perlu dibereskan. Oleh itu kami faham bahawa selepas perkara yang belum beres itu dibereskan, maka bolehlah kami bawa Ahmad bersama kami balik ke Lembah Kelang.
Semasa dalam perjalanan ke IPK dari mahkamah, kami menerima panggilan telefon dari Ahmad. Beliau memaklumkan kepada kami bahawa beliau ditahan lagi. Kali ini beliau akan dicaj di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia pula. Nampaknya, setelah Polis gagal menggunakan Akta Hasutan untuk mendakwa Ahmad, maka Akta lain pula digunakan. Acik rasa agak kecewa mendengar berita itu. Apakah objektif sebenar pihak polis terhadap Ahmad ?
Sampai ke IPK, Acik bertemu dengan petugas di kaunter di pondok kawalan pintu besar IPK tersebut. Acik dinasihati supaya pergi berjumpa pegawai polis di sebuah bangunan lain tak jauh dari pondok kawalan tersebut. Di sana Acik bertemu dengan seorang anggota yang berpakaian awam. Beliau telah mematahkan hasrat Acik nak berjumpa dengan Ahmad dengan mendakwa bahawa Parliamen telah memberi kuasa kepada Polis untuk tidak membenarkan ibu bapa bertemu anak semasa ia di dalam tahanan reman.
Sebaik saja Acik beredar dari anggota berkenaan, kebetulan ternampak ACP Nor Azizan keluar dari pejabat beliau. Acik pun terus meluru kepada beliau. Acik lalu memberitahu kepada belaiu bahawa Ahmad ditahan semula selepas dibebaskan oleh pihak mahkamah. Beliau tidak tekejut dengan berita tersebut malah mengesahkan bahawa ada caj lain lagi yang akan dikenakan terhadap Ahmad. Yang amat Acik terkejut ialah tentang kenyataan beliau bahawa Ahmad ditahan semula adalah akibat peguam kami telah menganggu kerja polis.
Bila Acik tanya, adakah peguam kami tidak sedar bahawa mereka telah menggaggu kerja polis, beliau menjawab bahawa sebagai peguam mereka patut tahu. Malah ACP Azizan menambah bahawa Polis boleh menahan peguam jika sekiranya mereka mahu. Ketika itu beberapa orang pegawai Polis lain turut ada bersama menemani boss mereka. Acik rasa agak terkilan terhadap ACP Azizan kerana semasa berunding dengan beliau semalam kenapa beliau tidak berterus terang melarang kami dari mendapatkan perkhidmatan peguam. Acik sedia menerima nasihat beliau untuk tidak melibatkan peguam jika itulah yang beliau sarankan semalam.
Sebenarnya Acik sangat menghormati dan menghargai nasihat mana-mana penjawat awam. Lebih-lebih lagi nasihat seorang yang berpangkat tinggi dalam organisasi yang diwakilinya. Agaknya pengalaman 25 tahun berkhidmat dalam sector awam telah mendidik Acik bersikap demikian. PDRM bukanlah satu organisasi yang asing bagi Acik. Semasa menjadi ketua MTIB cawangan Kota Bharu dulu Acik mendapat kerjasama yang baik dari PDRM bagi membantu Acik menunaikan tanggungjawab rasmi Acik. Ada diantara pegawai-pegawai polis yang Acik kenal semasa bertugas di Pantai Timur itu, kini telah menjawat pangkat lebih tinggi dari ACP. Semasa menjadi ketua MTIB cawangan Pulau Pinang pula Acik dapati bahawa timbalan KP Pulau Pinang adalah bekas pelajar semaktab dengan Acik. Beliau juga adalah kawan rapat kepada sepupu Acik yang juga seorang SAC.
Oleh sebab itu Acik rasa agak sensitif dengan apa yang berlaku terhadap Acik yang melibatkan seorang pegawai polis berpangkat ACP. Ia membuat persepsi Acik terhadap pasukan Polis berubah dari sebelumnya. Nampaknya persepsi negatif yang ada pada anak-anak Acik terhadap Polis, memang ada asasnya. Polis bukannya dilihat mereka sebagai pagar pelindung bagi tanaman, tetapi sebaliknya sebagai “pagar makan padi” Salah satu dari SMS yang Acik terima dari salah seorang anak Acik ialah, “Ayah, dah brp kali ayah kena main dgn polis ?” Ia memberi gambaran bahawa persepsi anak-anak Acik terhadap Polis memang negatif. Apakah anak-anak muda lain juga mempunyai persepsi yang sama dan beliau hanyalah mewakili mereka semua ? Jika demikianlah realitinya, bagaimana kita nak harapkan adanya kerjasama antara anak-anak muda dengan pihak Polis bagi sama-sama membenteras jenayah ?
Oleh sebab Ahmad tak boleh kami bawa balik ke Lembah Kelang pada hari tersebut, maka kami juga tidak jadi pulang ke Lembah Kelang. Kami terus tinggal di hotel yang sama untuk semalam lagi. Pada malam tersebut berita tentang penangkapan semula Ahmad telah mula merebak melalui internet ke seluruh dunia. Pihak portal juga ada menghubungi Acik. Dengan jujur Acik menceritakan segala-galanya kepada mereka. Berbagai-bagai perasaan positif menyelubungi Acik ketika itu. Rasa marah kerana dipermainkan Polis pun ada, rasa kecewa pun ada. Tapi yang mendominasikan Acik ialah rasa bimbang terhadap keselamatan Ahmad akibat hilang kepercayaan terhadap kejujuran Polis. Apakah jaminan bahawa kali ini pun Ahmad tetap tak diapa-apakan macam tiga hari yang baru lepas masih boleh dipakai ?
Yang paling mengharu birukan fikiran Acik ialah kenapa peguam dianggap Polis sebagai pengganggu kerja mereka. Bagi Acik peguam adalah salah satu komponen penting dalam sistem pengadilan selain Polis, pendakwa dan hakim. Masing-masing mempunyai peranan penting. Walaupun peranan masing-masing berbeza namum matlamat masing-masing adalah sama. Mereka adalah umpama sama-sama mencari suatu barang yang hilang. Bila barang yang hilang tersebut dapat dijumpai, maka sepatutnya semuanya akan gembira. Bukan yang gembira itu cuma orang yang menjumpai barang yang hilang itu saja. Sedangkan yang lain dukacita kerana iri hati terhadap orang yang menjumpai barang yang hilang tersebut. Dalam konteks ini, barang yang dimaksudkan ialah keadilan terhadap mangsa atau orang kena tuduh (OKT).
Wallahualam.
Ahmad’s SAGA #014 : https://4uni2c.com/2012/12/13/ahmads-saga-014-adik-aminulrasyid-lebih-malang/
Ahmad’s SAGA #016: https://4uni2c.com/2012/12/30/ahmads-saga-016-gajah-sama-gajah-berjuang/
Daulat Rakyat ! Allahuakbar ! Allahuakbar !
@OPajar #12Z17