4uni2c#13131 Dasar PPSMI dan Menteri Yang Gopoh

4uni2c #13131 Dasar PPSMI dan Menteri Yang Gopoh
*** Untuk menCARI lain-lain TAJUK sila KLIK nama bulan di bawah ARCHIVES di sebelah kanan SKRIN, kemudian SKROL.
*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: http://ww.4wuni2c.com

(Catitan: artikel ini telah siap ditulis pada 1hb.Dis.2011)

Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini mengakui bahawa dasar PPSMI gagal mencapai objektif yang dihasratkan. Justeru itu membuat cadangan agar dasar tersebut dimansuhkan pada tahun depan 2012. Namun tidak berapa lama kemudian mencadangkan pula agar PPSMI dimasuhkan sepenuhnya hanya pada 2016 di sekolah rendah dan 2021 di sekolah menengah. Dasar ini akan digantikan dengan dasar baru iaitu Memertabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Namun begitu isu PPSMI masih hangat diperkatakan kerana ada pihak yang masih belum putus asa berusaha agar pemansuhan itu dibatalkan. Kumpulan ini menuntut supaya dasar PPSMI terus dikekalkan. Itu sebabnya Acik ( Ayah/Abang+cik) kata TPM sekadar membuat cadangan saja. Acik tak kata TPM membuat keputusan kerana kita semua boleh lihat bahawa TPM sebenarnya tidak ada kuasa untuk membuat apa-apa keputusan.

Bagi Acik, PPSMI adalah satu dasar yang tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Ia bercanggah dengan sunnatullah atau hukum alam (natural law). Ini kerana ia menuntut guru dan murid menjayakan sesuatu yang di luar kemampuan fitrah masing-masing. Acik tak naklah sampai melabelkan PPSMI itu sebagai satu dasar yang bodoh. APcik lebih selesa melabelkan dasar PPSMI sebagai satu dasar yang gopoh. Biasanya sesuatu yang dilaksanakan dengan tergopoh gapah, ia hanya akan membantutkan usaha untuk mencapai sesuatu yang dihasratkan. Dengan lain perkataan, jika sesuatu objektif itu mampu dicapai dalam tempoh beberapa tahun sahaja, ia mungkin mengambil masa hingga berpuluh-puluh tahun. Kata peribahasa Inggeris, “more haste less speed”. Malah mungkin apa yang dicita-citakan itu hanya akan tinggal cita-cita sahaja. Objektifnya langsung tidak dapat dicapai. Akhirnya, kata orang Penang, “habuk pun tarak !”

Sebenarnya Acik tetap tak boleh terima hujah yang terlalu taksub kepada bahasa Inggeris, dulu, kini dan selama-lamanya. Yang dikatakan taksub itu ialah, mengatakan bahawa jika tidak pandai berbahasa Inggeris kita tidak boleh maju. Kononnya, jika rakyat rata-tata tidak pandai berbahasa Inggeris maka negara mustahil boleh maju. Ini adalah satu kenyataan yang amat salah. Ia hanya keluar dari mulut orang yang jahil tentang hukum alam atau sunnatullah. Dan yang akan mempercayainya hanyalah mereka yang jumud yang diibaratkan seperti “katak di bawah tempurung”.

Mari kita lihat duhulu dunia keseluruhannya. Kita akan dapati bahawa negara-negara yang maju adalah negara-negara yang memunafaatkan bahasa ibundanya dengan sepenuhnya. Negara yang rakyatnya tahu menghargai dan bersyukur kepada Allah kerana menganugerahi mereka suatu nikmat, iaitu suatu bahasa. Bermula dari situ mereka terus berusaha memajukan dan memertabatkan bahasa mereka, bukannya seolah-olah “mencampakkannya” ke dalam tong sampah. Mereka menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara masing-masing. Contohnya ialah negara China, Jepun, Korea, Rusia, England, Perancis, Jerman, Findland, Turkey, Iran dan lain-lain. Sebaliknya negara-negara yang memperlecehkan bahasa ibundanya sendiri lalu mengambil bahasa penjajah sebagai bahasa pembelajaran, rata-rata gagal untuk mencapai status negara maju. Contohnya negara Somalia, Nigeria, Ghana, Utopia dan banyak lagi negara-negara di benua Afrika sana. Acik pernah tinggal di Manila selama dua bulan semasa mengikuti suatu kursus di Asian Institute of Management (AIM) pada awal tahun 90an dulu. Acik dapati rata-rata rakyat Filipina mahir berbahasa Inggeris. Tapi sudahkah negara tersebut mencapai tahap sebuah negara maju ? Jika demikian, adakah kita rakyat Malaysia pun masih ghairah ingin mengikut jejak langkah negara Filipina maupun negara-negara di benua Afrika itu ?

Dasar PPSMI bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia di masa akan datang. Bagi menghasilkan fenomina tersebut, maka kononnya usaha mesti dimulakan di kalangan murid-murid sekolah di peringkat rendah lagi. Malah kalau boleh mula sejak baru lahir lagi, itu lebih bagus. Itu justifikasi yang diberi. Namun, bagi tujuan tersebut mengapakah subjek yang dipilih untuk diajar dalam bahasa Inggeris itu adalah subjek Sains dan Matematik ? Kenapa tidak subjek lain seperti sejarah, jeografi, akaun dan sebagainya ? Apa yang Acik dapat fikirkan ialah kerana dua subjek tersebut ialah subjek yang dianggap paling penting oleh semua orang. Oleh sebab ia dianggap penting, maka majoriti pelajar dan ibu bapa pasti tidak akan sanggup ketinggalan dalam kedua-dua subjek tersebut. Justru itu, mahu tidak mahu, masing-masing terpaksalah berusaha bertungkus lumus bagi memahirkan diri dalam bahasa Inggeris demi membolehkan mereka menerima ilmu Sains dan Matematik dengan berkesan. Agaknya itulah strategi yang diaplikasikan oleh pihak yang membuat dan melaksanakan dasar PPSMI itu.

Malangnya, fenomina yang terhasil bukannya sebagaimana fenomina yang dispekulasikan itu. Sebaliknya apa yang terhasil ialah, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”. Bukan saja PPSMI telah gagal meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris di kalangan majoriti pelajar, malah ilmu Sains dan Matematik telah menjadi korban. Bila subjek Sains dan Matematik dihalang dari disampaikan kepada pelajar dalam bahasa yang mereka faham, maka apakah hasil yang boleh kita harapkan ? Akibatnya ialah kebanyakan murid-murid sekolah yang menjadi mangsa dasar PPSMI telah gagal memahami subjek Sains dan Matematik dengan baik. Mereka telah dinafikan hak untuk menikmati pembelajaran Sains dan Matematik sepertimana dinikmati oleh abang-abang dan kakak-kakak mereka dahulu. Ini tentu amat mengecewakan mereka sendiri dan merugikan negara, memandangkan kedua-dua subjek itu adalah subjek yang sangat penting di zaman teknologi IT ini. Lebih parah lagi ialah bila ramai dari kalangan pelajar mula hilang minat malah jemu terhadap kedua-dua subjek tersebut akibat tidak faham apa yang diajar guru. Cubalah kita bayangkan suatu suasana dalam kelas ketika gurunya terhegeh-hegeh cuba menyampaikan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa yang beliau sendiri belum mahir, manakala murid-murid pula terkebil-kebil cuba meneka apa yang cikgu mereka ingin sampaikan.

Bila Acik kata dasar PPSMI adalah satu projek gopoh, teringat Acik akan suatu kisah tentang seorang menteri yang gopoh. Beberapa dekad yang lalu kononnya ada sebuah negara di benua Afrika sana yang baru diberi kemerdekaan oleh bekas penjajahnya. Sebaik saja ditabalkan sebagai Perdana Menteri (PM) bagi negaranya, maka si menteri Perdana tersebut pun mulalah mundar madir ke negara-negara jiran bagi “mengiklankan” dirinya kepada rakan-rakan sejawatnya bahawa beliau sekarang adalah seorang PM. PM tu adalah rengkasan kepada “Pi Mai”, kata seorang anak jati Penang. Maksud pi mai pi mai ialah tak dok diam di satu-satu tempat. Di dalam negara sendirilah misalnya. Sat-sat (sekejap-sekejap) ke negara sana (pi/jauh), sat-sat ke negara sini (mai/dekat). Di samping itu, untuk mengelakkan dari ditohmah sebagai pembazir wang rakyat yang rata-rata miskin itu, maka PM tersebut mendakwa bahawa lawatannya adalah buat mencari ilham untuk membangunkan negara ikut acuan sendiri, demi untuk kebahgian rakyat yang didahulukan.

Sebaik selesai menjelajah negara-negara yang berjiranan dengan negaranya, si PM yang gopoh tu menerima pula undangan ke suatu mesyuarat penting di negara bekas penjajahnya. Apa lagi, “umpama si mengantuk disorong batal” lah. APcik Ingat kut baju yang akan ditempah oleh si PM tu untuk dipakainya semasa menghadiri mesyuarat nanti, adalah pakaian tradisional negaranya sebagai lambang pemimpin yang patriotik 101%. Rupa-rupanya tak macam tu pula jadinya. Sebaliknya yang ditempahnya ialah baju kot. Maka bila dipakainya oleh si PM yang hitam metalik tu, maka jadilah ia sebagai seorang WOG. WOG ialah rengkasan bagi “Western Oriented Gentleman”. Acik rasa WOG merupakan istilah yang dicipta khas oleh Orang Putih bagi melabelkan mana-mana individu dari timur (termasuk juga Acik), yang suka berlagak macam orang barat. Dulu pernah juga seorang rakyat Malaysia dilabelkan dengan gelaran tersebut oleh Perdana Menteri Australia ketika itu, tapi Acik tak nak dedahlah siapa anak Malaysia yang disohorkan oleh PM Australia tu.

Maka tibalah si PM tersebut di negara bekas penjajahnya itu. Ini adalah kali pertama si PM tersebut berpeluang melawat sebuah negara maju di zamannya itu. Beliau amat kagum, terpegun dan teruja dengan segala pembangunan yang dilihatnya di negara tersebut. Namun objek yang amat teruja bagi beliau ialah peti-peti televisyen di negara tersebut. Ini kerana televisyen di negara bekas penjajahnya itu semuanya berwarna warni. Sedangkan gambar dalam televisyen di negaranya sendiri hanya dalam hitam putih sahaja. Direngkaskan cerita, maka dibelinya sebuah peti tv berwarna itu lalu dibawa pulang ke negaranya. Tujuan beliau ialah untuk mempekenalkan televisyen berwarna-warni itu kepada rakan-rakan menterinya. Seterusnya akan mengarahkan Menteri Seronok beliau mengimport peti-peti tv berwarna-warni itu secara komersial. Dengan bersepahnya peti-peti tv berwarna warni di seluruh negaranya nanti, maka akan bertambah ceria dan meriahlah negaranya itu. Ini adalah satu bentuk kemajuan khusus dalam aspek penyiaran dan hiburan. Namun, matlamat tersembunyinya ialah, “biar rakyat rata-rata asyik dengan hiburan hingga mereka lalai terhadap urusan pentadbiran negara”. Semuanya ini akan memudahkan kerja beliau dan rakan-rakan menterinya dalam urursan memerintah Negara, tanpa banyak gangguan.

Agaknya strategi yang samalah yang sedang diaplikasikan di negara kita sendiri sejak dulu, kini dan selama-lamanya. TV di negara kita Malaysia adalah objek yang majoriti rakyat menghalakan mukanya hampir setiap masa. Ia nampaknya dah jadi lebih penting daripada “berhala” bagi majoriti rakyat Malaysia. Ini kerana, muka dihadapkan ke hala berhala jarang-jarang ataupun hanya sekejap-sekejap saja. Tetapi muka dihadapkan ke hala TV jauh lebih kerap dan lebih lama daripada dihadapkan ke hala berhala tersebut. Apabila pemerintah telah begitu berjaya menjadikan TV lebih penting daripada berhala bagi rakyatnya, maka fikir-fikirlah sendiri apa implikasinya terhadap masa hadapan negara.

Kepulangan si PM tersebut disambut meriah di lapangan terbang. Semua menteri, timbalan menteri dan seluruh kakitangan kerajaan diwajibkan hadir di lapangan terbang tersebut bagi meraikan ketibaan PM sanjungan mereka itu dari negara bekas penjajah mereka. Si PM amat ghairah untuk memperkenal dan mempamirkan peti TV berwarna yang beliau bawa balik bersamanya sebagai ole-ole untuk rakyatnya. Semua yang datang menyambut kepulangannya itu tak sabar-sabar lagi nak menyaksi peti ajaib yang diwar-warkan sebaik saja si PM muncul dari pesawat yang membawanya pulang itu. Maka peti TV tersebut pun diletak di atas bumbung sebuah van Jabatan Penyiaran Negara negara tersebut agar dapat disaksi oleh semua yang berada di lapangan terbang tersebut.

Malangnya, apabila di “on”kan peti TV tersebut, gambar yang terbit di skrin peti TV tersebut sama saja dengan peti-peti TV lain yang terdapat di perkarangan lapangan terbang tersebut. Ini sungguh mengcewa lagi memalukan si PM tersebut apabila apa yang diwar-warkan sebelum itu tidak menjadi kenyataan. Yang diwar-warkan itu ialah bahawa gambar yang akan terbit di skrin peti TV tersebut adalah berwarna warni. Maka mulalah tercetus bermacam-macam reaksi lucu di kalangan khalayak yang dengan tidak sabar-sabar menanti sejak dari tadi lagi. Wah ! Menyumpah sungguh si PM itu sambil menuduh bahawa bangsa penjajahnya adalah bangsa penipu. Kedai di mana peti TV berkenaan dibeli, telah menipu beliau hidup-hidup, kata orang Penang. Beliau tak dapat menerima hakikat bahwa beliau telah ditipu kerana beliau ialah seorang PM. Mana mungkin seorang yang berpangkat PM boleh tertipu dengan begitu mudah. Tertipu membawa implikasi bodoh kerana hanya orang yang bodoh sahaja mudah tertipu. Mana mungkin PM seorang yang bodoh kerana orang bodoh tak akan layak menjadi seorang PM. Itulah leteran si PM dalam hatinya.

Direngkaskan lagi cerita, kerana tak tahan dengan perasaan malu yang teramat sangat kepada rakan-rakan menteri dan semua rakyat jelata yang hazir pada ketika itu, maka si PM langsung menghilangkan diri. Berita kehilangan beliau heboh di seluruh negara berkenaan. Ini membesarkan lagi “kemaluan” si PM tersebut. Maka lebih menjauhkan diri lagilah si PM itu dari dijejaki. Kononnya, beliau telah berhijrah ke negara lain bagi menghilangkan kemaluannya itu. Namun, selang beberapa tahun kemudian beliau pun kembalilah semula ke negara asalnya itu dengan senyap-senyap. Setibanya di kampung halamannya, maka mantan PM tersebut pun masuk ke rumah asalnya. Bila beliau masuk ke ruang tetamu di rumahnya itu, maka terpandanglah beliau kepada sebuah peti TV yang sedang menayangkan gambar yang berwarna warni. Agak terpegun juga beliau. Terpegun bukan kerana diluar sana belum ada peti TV yang berwarna warni. Tetapi beliau hairan kerana peti TV tersebut adalah peti TV yang sama yang beliau bawa balik dari negara penjajahnya beberapa tahun dahulu. Peti TV itulah yang memalukannya dengan amat sangat satu ketika dahulu, hingga sampai kini pun beliau masih belum sanggup menunjuk wajahnya kepada rakyat negaranya.

Kemudian beliau naik pula ke kamar tidurnya di tingkat atas. Peti TV lamanya masih ada di atas meja yang sama di penjuru ruang kamarnya itu. Beliau lantas meng”on”kan peti TV tersebut. Sekali lagi beliau hairan kenapa gambar yang terbit di skrin peti TV tersebut tidak pula berwarna warni seperti peti TV yang di ruang tetamu di tingkat bawah itu. Mulai dari situ barulah mantan PM tersebut sedar bahawa dirinya itu sebenarnya adalah jahil tentang sistem komunikasi. Ketika membawa balik peti TV berwarna beberapa tahun dahulu, stesyen pemancar TV di negaranya ketika itu belum mampu menghantar gambar berwarna seperti sekarang. Oleh sebab itu peti TV yang di ruang tetamu di tingkat bawah itu tidak dapat menayangkan gambar yang berwarna warni pada masa itu. Tetapi sekarang ini sistem pemancaran TV di negaranya telah canggih, maka gambar berwarna warni telah mampu dipancarkan. Namun begitu, bagi peti TV yang di dalam kamar tidurnya itu, ia tetap menerbitkan gambar hitam putih kerana sistem penerimaannya (reception) tetap tidak mampu menerima gambar berwarna warni seperti TV-TV sekarang.

Berdasarkan cerita menteri yang gopoh tersebut, maka dapatlah Acik bayangkan satu kemungkinan yang telah berlaku dalam isu dasar PPSMI itu. Kemungkinan apakah itu ?

Acik percaya bahawa semasa dasar PPSMI di gubal dulu, kajian mungkin tidak dibuat. Jika ia dibuat sekalipun, ia tidak dibuat dengan teliti dan berhati-hati. Sepatutnya sebelum sesuatu dasar nak diterimapakai, ia mestilah terlebih dahulu dikaji dengan cara yang komprehensif, tanpa tergesa-gesa. Samalah seperti hendak menjayakan sesuatu projek. Ia mesti dimulai dengan kajian “feasibility”. Faktor “feasibility” terbahagi kepada beberapa aspek. Yang penting ialah dari aspek teknikal. Pengkaji akan lihat samada projek itu bercanggah ataupun tidak dengan hukum alam atau sunnatullah. Jika ia bercanggah, maka projek tersebut akan digugurkan serta merta. Contohnya, projek bagi mencipta nyawa palsu. Tujuan mencipta nyawa palsu itu ialah untuk dimasukkannya ke dalam robot agar robot boleh hidup macam maknusia tulin. Kalau projek semacam nilah, Acik akan siang-siang lagi nasihatkan supaya tak payah merepet dan membuang umurlah. Quran dah beritahu kita semua sejak 1400 tahun dulu lagi bahawa maknusia tak akan dapat mencipta nyawa. Apakah kita tak yakin kepada kebenaran fakta dalam Quran ?

Acik taklah mendakwa bahawa dasar PPSMI mustahil dijayakan seperti mustahil bagi projek mencipta nyawa di atas. Namun, jika diambil kira faktor-faktor yang sedia wujud di negara Malaysia khususnya, Acik yakin PPSMI tidak akan berjaya mencapai objektifnya. Sebaliknya ia akan merugikan negara amnya dan orang-orang Melayu khususnya pada jangka masa yang panjang. Ini kerana faktor-faktor yang diperlukan sebagai ramuan bagi menjayakan dasar PPSMI tidak semuanya wujud. Faktor yang sedia wujud pula belum mencukupi dari aspek kuantiti maupun kualiti. Sedangkan berdasarkan sunnatullah, usaha bagi menyediakan ramuan-ramuan secukupnya hampir mustahil direalisasikan. Ia umpama nak membuka ladang epal di Malaysia secara komesial bagi tujuan mengeluarkan cuka epal untuk pasaran eksport. Walaupun sekirannya projek seumpama ini masih tak mustahil 100% dilaksanakan tetapi berbaloikah ? Apa gunanya jika yang untungnya secupak, sedangkan ruginya segantang.

Di sini Acik ingin menarik perhatian pembaca semua tentang satu hukum alam yang perlu kita fahami. Dalam terjemahan Al-Quran surah 36 ayat 36 Allah menyatakan, “Maha Suci (Allah) yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan, baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka sendiri, mahupun daripada apa yang tidak mereka ketahui”. Pasangan bagi faktor “transmission” ialah “reception”. Bila kedua-dua faktor ini dicantumkan maka barulah ia akan menghasilkan komunikasi. Ini juga termasuk dalam hukum alam atau sunnatullah yang dinyatakan dalam ayat Quran tersebut. Faktor “transmission” dan “reception” bukan sahaja perlu wujud bagi menghasilkan komunikasi, malah kedua-dua faktor tersebut mesti diserasikan antara satu dengan yang lain. Tanpa keserasian tersebut maka tak mungkin akan berlaku komunikasi. Bolehkah kita nafikan hukum alam yang ditetapkan oleh Allah ini ? Hanya orang yang jahil saja yang berkata “boleh”.

Dalam aktiviti pembelajaran, guru bolehlah dianalogikan sebagai faktor “transmission” manakala murid pula ialah faktor “reception”. Bahasa yang digunakan guru adalah ibarat gelombang (wave). Jika gelombang yang dihantar oleh guru ialah gelombang “Inggeris” maka murid pula mesti ada kemampuan khusus bagi menyerap gelombang “Inggeris” tersebut. Inilah yang dinamakan keserasian antara penghantaran (transmission) dan penerimaan (reception). Dalam aktiviti pembelajaran, kedua-dua faktor tersebut (transmission & reception) mesti serasi baru proses komunikasi dapat berlaku. Jika tidak ada keserasian maka tidak mungkin komunikasi boleh berlaku. Tanpa komunikasi maka tiadalah boleh berlaku pembelajaran. Orang kampung yang tak pernah bersekolah pun boleh faham dengan analogi, “umpama itik bercakap dengan ayam”. Si itik dengan bahasa itiknya, manakala si ayam dengan bahasa ayamnya.

Dalam pelaksanaan dasar PPSMI kita boleh nampak sendiri bahawa keserasian tersebut tidak wujud ataupun wujud tapi tahapnya belum cukup. Guru menyampaikan ilmu dalam bahasa Inggeris kepada murid, sedangkan murid-murid belum bersedia atau belum ada kemampuan menerima (kerana belum mahir berbahasa Inggeris) ilmu yang disampaikan guru. Jadi macam mana proses pembelajaran akan boleh berlaku. Andai kata murid sudah pun pandai berbahasa Inggeris sedangkan gurunya masih terkial-kial cuba menyampaikan sesuatu dalam bahasa Inggeris, itu pun akan menjadi masaalah juga. Murid akan memperlekehkan guru dan guru pula merasa malu untuk meneruskan pengajaran. Jadi kenapa kita mahu teruskan lagi dasar PPSMI yang boleh menimbulkan masaalah hubungan antara murid dan guru itu ? Realiti yang ada di dalam negara Malaysia ketika PPSMI mula dilaksanakan ialah kedua-dua faktor tersebut adalah masih belum wujud atau pun terlalu lemah. Guru sebagai “transmitter” yang lemah, manakala murid-murid pula sebagai “receiver” pun lemah.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa bagi menghasilkan ramai Saintis di masa hadapan maka usaha mestilah dimulakan seawal mungkin. Lagi awal lagi baik. Oleh itu dasar PPSMI adalah usaha yang dianggap sangat relevan dan praktikal. Mengikut persepsi pihak yang mencetuskan dasar PPSMI tersebut, ilmu Sains dan Matematik memerlukan bahan rujukan yang banyak. Bahan rujukan dalam bahasa Melayu kononnya amat terhad. Bila seorang pelajar yang belajar mata pelajaran Sains dan Matematik telah mencapai suatu tahap yang agak tinggi, maka beliau mahu ataupun tidak, akan terpaksa mendapatkan ilmu Sains dan Matematik dari sumber yang didokumentasikan dalam bahasa Inggeris. Di sini pelajar berkenaan akan mula menghadapi masaalah besar jika beliau kurang mahir berbahasa Inggeris. Jadi bukankah lebih baik memulakan usaha melengkapkan diri sejak dari darjah satu lagi ?

Seimbas pandang dari jauh, hujah di atas memang nampak sangat rasional. Namun bila mendekatinya, hakikatnya tidak pula berlaku begitu. Umpama melihat sebuah bukit yang jauh. Nampaknya biru. Tapi bila mendekati baru tahu rupa-rupanya hijau. Faktor awal memulakan sesuatu usaha sebenarnya tidak menjamin bahawa kejayaan akan lebih cepat dicapai. Beberapa tahun dahulu Acik secara kebetulan bertemu dengan seorang rakan sesekolah (school mate). Beliau menjadi seorang penjaga pakir (medan letak kereta). Pada hal semasa Acik baru masuk ke sekolah aliran Inggeris dahulu, beliau telah enam tahun berada di dalam aliran Inggeris. Dah pandai “speaking” pun. Namun, apa yang Acik dah berjaya capai hingga sekarang adalah jauh mengatasi apa yang beliau mampu capai. Tetapi apa yang dah Acik capai, masih tersangat rendah jika dibandingkan pula dengan seorang sepupu kepada isteri Acik. Beliau ini telah bersara sebagai seorang Professor penuh di fakulti perubatan, UKM. Professor ini belajar di aliran Melayu dari darjah satu hingga tamat ijazah pertama. Kemudian baru mengikuti aliran Inggeris ketika di peringkat Sarjana dan PhD. Acik juga dimaklumkan oleh seorang individu bahawa Naib Canselor Universiti Tun Hussain Onn sekarang ini juga boleh dijadikan sebagai contoh kedua. Individu tersebut pernah tinggal serumah dengan Naib Canselor tersebut semasa mereka sama-sama belajar di England dahulu. Kedua-dua “academician” ini terbukti lebih berjaya berbanding dengan begitu ramai pelajar-pelajar Malaysia yang lebih awal mahir berbahasa Inggeris. Oleh itu faktor awal dan lewat memulakan sesuatu usaha bukanlah satu-satunya faktor asas yang menentukan kejayaan ataupun kegaglan usaha tersebut bagi mencapai objektifnya.

Andainya kerajaan kita masih taksub dengan faktor awal, kenapa pula dalam masa yang sama tidak galakkan pelajar-pelajar berlatih berpolitik ketika masih di universiti lagi. Bukankah jika mereka lebih awal belajar berpolitik maka lebih awallah mereka akan mahir berpolitik. Kita amat memerlukan pemimpin-pemimpin politik yang benar-benar berkalibar. Bukan sekadar macam yang sedia ada sekarang ni. Malangnya, kerajaan bukan sekadar tidak menggalak, malah menghalang pula pelajar-pelajar dari berpolitik. Akta yang dinamakannya AUKU dicipta khusus bagi mengekang pelajar-pelajar supaya tidak berpolitik. Tetapi ironinya kursus Sains Politik masih terus diajar di universiti. Dan dalam masa yang sama diwar-warkan untuk mewujudkan rakyat yang celik politik sejajar dengan sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan di negara kita sejak merdeka lagi.

Selingan: Sebenarnya dalam sistem pemerinthan demokrasi, setiap ahli politik adalah diiktiraf sebagai penyumbang positif kepada penambahbaikan kualiti pentadbiran negara. Samada dia berada bersama-sama parti yang memerintah, maupun di sebelah parti pembangkang. Tanpa parti pembangkang maka tidaklah boleh dinamakan ia kerajaan demokrasi. Tambahan pula perlembagaan negara sendiri mengizinkan semua warga negara Malaysia berpolitik.Pelajar-pelajar pun tidak terkecuali.

Acik sendiri rasa pelik dengan sikap kerajaan kita yang tidak “consistent”. Kerajaan yang sama sedang paksa rakyat cepat-cepat mula belajar bahasa Inggeris kerana percaya bahawa dengan cara itu saja rakyat akan cepat pandai berbahasa Inggeris. Tapi dalam aspek politik pula kerajaan yang sama juga tidak percaya pula bahawa dengan cepat mula belajar berpolitik maka rakyat akan cepat celik politik. Bukankah ini satu sikap yang takconsistent” dan “double standard” namanya ?

Jika kita rajin perhati tanda-tanda isyarat jalan raya (road signs) yang tak “consistent” maka itu adalah manifestasi sifat kerajaan yang memerintah negara kita sekarang. Contohnya, di satu simpang berlampu isyarat, jika anda berada di lorong kanan maka anda masih boleh berjalan terus ke hadapan. Tetapi di satu lagi simpang yang tidak berapa jauh dihadapannya pula, jika anda berada di lorong kanan maka anda wajib belok ke simpang kanan. Sedangkan anda ingin terus ke hadapan. Tidak kelirukah rakyat dengan tanda-tanda isyarat jalan yang tak “consistent” itu? Agaknya, itu adalah salah satu faktor penting yang menyumbang kepada jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi di Malaysia.Namun ironinya, statistik yang dikemukakan oleh pihak PDRM mendakwa bahawa kadar kemalangan jalanraya dan jenayah semakin menurun.

Jika faktor awal dan lewat bukanlah faktor penting yang menentukan kejayaan seseorang itu dalam usahanya mendapat sesuatu kemahiran, maka faktor apakah yang penting ?

Sekarang Acik ingin pula menarik perhatian pembaca tentang satu lagi hukum alam iaitu hukum “form and substance”. Ia adalah hasil gabungan dua faktor iaitu faktor sifat atau bentuk (form) dan faktor zat (substance) bagi menghasilkan satu keupayaan. Contohnya ialah sebilah pisau. Keupayaan pisau ialah memotong. Keupayaan memotong boleh dihasilkan bila suatu bahan (iaitu besi) diolah menjadi bentuk sebilah pisau. Besi adalah zat (substance) yang berpotensi untuk memotong, manakala pisau ialah sejenis bentuk (form) yang dipakaikan kepada besi. Kedua- dua faktor tersebut adalah sama-sama penting bagi menghasilkan keupayaan memotong.

Jika besi tersebut adalah besi yang berkualiti tinggi, maka keupayaan memotong yang boleh dihasilkan oleh pisau tersebut adalah cemerlang. Namun pisau dari besi berkualiti sekali pun, jika tidak diasah hingga tajam, maka pisau tersebut tidak juga mampu memotong dengan baik. Lebih baiklah pula pisau yang dibuat dengan bahan lain. Misalnya pisau yang diperbuat daripada kayu. Sekurang-kurangnya ia boleh juga memotong dengan baik objek-objek lembut seperti kek, agar-agar, tepung talam dan seumpamanya. Ya, selain besi, kayu dan juga bahan-bahan lain pun boleh dibuat pisau. Tetapi berbezanya pisau dari bahan-bahan tersebut dengan pisau daripada besi ialah ia tidak akan mampu berfungsi sehebat pisau besi. Keupayaan memotong oleh pisau bukan besi tersebut adalah amat terhad seperti yang Acik baru sebut di atas.

Murid-murid sekolah bolehlah dianalogikan sebagai bahan yang akan digunakan bagi membuat pisau. Sistem pendidikan (termasuk guru) adalah umpama kilang yang akan memproseskan bahan tersebut hingga menjadi pisau yang paling sempurna sifat atau bentuknya. Murid-murid yang dianugerahi Allah potensi yang tinggi adalah umpama besi yang berkualiti tinggi. Sebaliknya murid-murid yang kurang berpotensi adalah umpama kayu. Dari segi sunnatullah, besi akan mampu menghasilkan pisau yang berkualiti. Manakala kayu, walaupun masih mampu dibentuk menjadi pisau, namun keupayaannya memotong tidak akan setanding dengan pisau besi.

Hukum “form and substance” ini perlu difahami baik-baik oleh semua kita. Tanpa memahaminya kita tidak mungkin akan bertindak adil dalam banyak perkara. Seorang ibu misalnya, telah meletakkan suatu harapan yang terlalu tinggi kepada salah seorang dari anak-anaknya. Misalnya untuk menjadikan anak tersebut seorang doctor perubatan. Sedangkan anak itu adalah anaknya yang paling rendah potensinya berbanding dengan anak-anaknya yang lain. Pasti sakit jiwa si anak tersebut dibuatnya. Silap-silap haribulan, bukan anak tersebut yang merawat pesakit, sebaliknya dia pula yang menjadi pesakit otak. Pokoknya, cita-cita ibu yang murni itu tidak akan kesampaian.

Berbalik kita kepada isu dasar PPSMI, potensi yang Allah anugerahkan adalah amat berbeza antara seorang murid dengan yang lain. Tindakan menggolongkan semua murid di seluruh Malaysia ke dalam satu kategori atau satu bakul yang sama, adalah satu kerja yang bebal dan bodoh. Ia adalah satu bentuk penafian terhadap hukum alam atau sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Penafian terhadap mana-mana hukum alam tidak akan dibuat melainkan oleh orang yang terlalu jahil ataupuan terlalu angkuh. Punca sebenar yang menghalang maknusia dari maju ke hadapan ialah sikap tidak menerima ketetapan Allah seadanya. Malah lebih teruk lagi apabila cuba pula melakukan sesuatu yang bercanggah dengan mana-mana hukum alam. Mengubah perjalanan jam (supaya lebih cepat ataupun lebih lewat) dari sedia ada, mungkin boleh diambil sebagai satu contoh (walaupun contoh yang agak kurang tepat) penafian terhadap hukum alam (jeografi).

Berdasarkan realiti semasa, potensi anak-anak Melayu kita di kampung-kampung dalam aspek pelajaran adalah rata-rata masih jauh ketinggalan jika dibanding dengan mereka yang di bandar. Kenapa masih demikian ? Bagi Acik, ini adalah manifestasi kegagalan UMNO membela orang-orang Melayu yang majoritinya masih tinggal di kampung. Acik tak cadang nak bincang lebih lanjut tentang ketinggalan orang-orang Melayu kampung di sini kerana ia memerlukan satu sessi lain. Cuma yang ingin Acik tegaskan ialah anak-anak Melayu kita di kampung-kampung memang belum mampu menerima sebarang ilmu kecuali jika disampaikan dalam bahasa ibundanya iaitu bahasa Melayu. Jika sekarang pun mereka masih belum mampu, bagaimana ketika dasar PPSMI mula dilaksanakan dengan tergopoh gapah dalam tahun 2003 dahulu. Kerana inilah maka APcik labelkan dasar PPSMI sebagai dasar yang gopoh.

Sebagai seorang anak Melayu yang sayangkan bahasa ibundanya, Acik turut peka dan prihatin terhadap isu PPSMI sejak awal-awal lagi. Acik dari awal-awal lagi amat curiga atau “skeptical” terhadap dasar tersebut. Soalan pertama yang terlintas di fikiran Acik ialah tentang kemampuan. Adakah mampu guru-guru yang selama ini mengajar dalam bahasa Melayu, tiba-tiba di”paksa” mengajar dalam bahasa Inggeris. Ini kerana kebanyakan guru berkenaan, sejak dari sekolah rendah hingga tamat pengajian di universiti tidak biasa diajar ataupun belajar apa-apa matapelajaran dalam bahasa Inggeris.

Soalan kedua ialah logikkah murid-murid yang baru nak berkenalan dengan bahasa Inggeris telah di”paksa” belajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Lebih lucu lagi bila dasar yang sama dilaksanakan juga di sekolah orang Asli seperti Sekolah Kebangsaan Pos Brooke (Lojing, Gua Musang, Kelantan). Memanglah tak 100 % mustahil bahawa ada guru dan murid yang mampu mengajar dan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Tetapi berapa peratuskah yang tergolong dalam kategori ini. Mungkin tak sampai lima peratus pun jika diselidiki dengan jujur dengan menggunakan fakta-fakta yang tulin. Jika yang digunakan adalah fakta-fakta yang telah dimanipulasikan, memangkan kebenaran ini tidak akan diperolehi.

Acik sendiri telah belajar dalam bahasa Inggeris sejak dari tingkatan satu (1966) hingga ke universiti (1973-77). Tapi masih tidak berani mendakwa sudah mahir berbahasa Inggeris. Jadi macam mana pula guru-guru yang dilatih selama tempoh beberapa bulan saja akan mampu menyampaikan pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Itu tentang kemampuan guru-guru. Bagaimana pula dengan murid-murid ?

Murid-murid yang baru masuk darjah satu, bahasa ibunda sendiri pun belum benar-benar mahir. Ini dah nak diajar pula dalam bahasa yang asing bagi mereka. Begitu juga dengan murid-murid yang baru tamat darjah 6 sekolah rendah. Di sepanjang tempoh 6 tahun persekolahan mereka iaitu dari darjah satu hingga darjah enam, mereka semua diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Dengan kata lain, selain mata pelajaran Bahasa Inggeris, semua mata pelajaran lain adalah diajar dalam bahasa yang mereka fahami. Tiba-tiba masuk saja ke tingkatan satu, diajar dalam bahasa yang mereka kurang faham pula. Sebab apa boleh berlaku demikian ? Mereka sendiri pun ramai yang tak faham kenapa. Ini satu kejutan budaya bagi mereka yang pasti membantutkan kemajuan mereka dalam subjek Sains dan Matematik.

Namun kita selalu dengar dakwaan lepas dakwaan yang mengatakan bahawa dasar PPSMI tidak menjejas malah meningkatkan pencapaian murid dalam dua mata pelajaran penting tersebut. Acik berhak untuk tidak percaya 100 % kepada dakwaan tersebut berdasar beberapa faktor. Pertama dari logik akal Acik sendiri, dakwaan tersebut tidak masuk akal. Ketika murid-murid diajar mata pelajaran tersebut dalam bahasa yang masing-masing faham, itu pun majoriti dari mereka merasa susah untuk memahami subjek tersebut. Tiba-tiba bila diajar dalam bahasa yang mereka kurang faham pencapaiannya boleh meningkat. Peribahasa Melayu ada mengatakan, “sedangkan bah kapar tak hanyut, ini kan pula kemarau panjang”. Maksudnya ialah jika sekiranya dalam keadaan yang kondusif pun sesuatu perkara itu tidak berlaku, bagaimana dalam keadaan sebaliknya perkara tersebut boleh berlaku.

Faktkor kedua, Acik juga berhak untuk tidak percaya 100% bahawa dakwaan tersebut adalah hasil dari maklumat yang jujur lagi sahih. APcik tahu bahawa ramai guru-guru bagi subjek Sains dan Matematik yang tidak mengajar dalam bahasa Inggeris seperti yang diwajibkan. Namun bila ditanya kepada mereka tentang dasar PPSMI masing-masing tidak berani memberi fakta yang sebenarnya kerana takut kepada implikasinya. Jika mereka dengan jujur memberi fakta yang sebenarnya, mungkin keselamatan mereka akan terancam. Jika kejujuran mereka membawa kepada pemansuhan segera dasar tersebut rakan-rakan mereka akan kehilangan ganjaran 10% (dari gaji pokok) sebagai elaun PPSMI.

Pendek kata, rata-rata mereka tak berani bersuara menentang dasar tersebut. Ini kerana ia boleh ditakrifkan sebagai engkar perintah yang boleh mengundang mala petaka. Lebih-lebih lagi guru-guru yang sedar bahawa dirinya telah dikenalpasti sebagai bukan penyokong tegar parti pemerintah. Dalam keadaan dimana jika menjadi menyokong akan dapat “lobak/carrot” (elaun PPSMI 10%), jika sebaliknya akan menerima “ranting kayu/stick” (dituduh engkar perintah), maka lebih baiklah “menyokong !” walaupun secara berpura-pura.

Di sini Acik nak ucapkan syabas kepada guru-guru yang berani mengaplikasikan strategi Tun Perak. Dalam sejarah Melaka, (dapatkan dalam https://4uni2c.com/2012/11/29/strategi-tpm-tun-perak-melaka/ )Tun Perak masyhor sebagai seorang Bendahara yang terbilang. Apabila raja memerintahkan beliau menjalankan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah, beliau tidak terus dengan gopoh melaksanakan perintah baginda. Beliau tak gopoh macam PM sebuah negara di benua Afrika yang Acik ceritakan dalam CEREKANA (CErita REKaan ANAlogi) di atas. PM tersebut gopoh ketika hendak membeli peti TV berwarna di negara bekas penjajahnya itu. Kemudian sekali lagi dengan gopoh pula nak mempamirkan peti TV tersebut sebaik tiba di lapangan terbang di negaranya. Orang “test”lah dulu !

Sebaliknya Tun Perak menyembunyikan sahaja Hang Tuah di Hulu Melaka. Beliau tahu bahawa raja telah bersikap gopoh memutuskan hukuman mati itu terhadap Hang Tuah. Tun Perak yang berfikiran waras dan panjang itu tidaklah pula turut gopoh (macam bossnya) melaksanakan keputusan tersebut.

Mujur juga kita ada guru-guru Sains dan Matematik yang berani dan cerdik macam Tun Perak tu. Kalau tidak, entah apa dah jadi dengan kebanyakan anak-anak Melayu kita di kampung. Allah jualah yang Mahatahu, bukannya Maha-tiri ataupun Maha-tiru. Mungkin mengira campur dan tolak pun majoritinya belum mahir walaupun dah tamat darjah enam. Justeru itu marilah kita sama-sama ucapkan syabas dan setinggi-tinggi terima kasih kepada guru-guru tesebut.

Pertama kerana mereka benar-benar tahu memilih antara yang buruk dengan yang lebih buruk. Tidak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah buruk kerana tidak mematuhi perintah yang diwajibkan ke atas mereka. Namun yang lebih buruk ialah membuat kerja yang merugikan anak bangsa sendiri, semata-mata kerana arahan, iaitu taat secara membuta tuli atau membabi buta. Sedangkan yang akan menanggung akibat buruk jangka panjang nanti ialah murid-murid anak bangsa sendiri. Samalah macam perintah raja Melaka kepada Tun Perak supaya Hang Tuah dibunuh. Apa akan terjadi kepada rakyat Melaka ketika itu jika sekiranya Hang Tuah telah dibunuh oleh Tun Perak seperti diperintahkan raja.

Nanti ada pula yang akan menyalahkan guru-guru yang bersikap“Tun Perak” itu sebagai punca kenapa dasar PPSMI gagal. Bagi Acik nak jawab hujah tersebut senang saja. Masing-masing kita tahu berapa panjangkah tangan kita. Jika disuruh kita memeluk gunung perlukah kita berusaha, sekali pun sekadar mencuba saja ? Tak kiralah walaupun yang mengarahkan itu ialah orang nombor satu dalam era semasa. Firaun pun orang nombor satu juga, tapi dalam era pemerintahannyalah. Namun, adakah perintah Firaun yang zalim itu ditaati semuanya oleh Nabi Musa ? Demikianlah juga jika arahan tersebut datang dari pemimpin yang kadang-kadang sedar kadang-kadang tidak. Ingat kut tak sedar tu sebab dia ngantok, tapi rupa-rupa dia nyanyok. Kepada pengarah yang demikian, Acik cuma akan kata, “niat di hatiku nak peluk gunung, apakan daya tanganku tak sampai”. Kalau dia masih tak percaya kepada Acik, silalah dia ukur sendiri. Macam kata abu Nawaslah kepada sesiapa yang tak percaya bahawa lokasi yang dikenalpastinya sebagai pusat bumi itu adalah pusat bumi sebenar, maka “silalah sukat !

Guru-guru kita semuanya tahu akan tahap kemampuan yang telah dianugerahkan Allah kepada masing-masing. Malangnya ada juga di antara mereka yang agak takabbur. Orang yang takabbur ialah orang yang susah menerima hakikat bahawa dirinya lemah, malah tak berani mengakui kelemahan dirinya. Dia dengan mudah mendakwa ini boleh, itu pun boleh. Tak ada yang tak boleh. Pada hal hakikatnya ialah, ada yang boleh tetapi banyak juga yang tak boleh. Bila orang macam ni diangkat menjadi ketua, itu yang menyusahkan orang-orang bawahan. Perkara yang dikatannya boleh, sebenarnya dia sendiri pun belum pernah buat. Namun jika anak buahnya kata tak boleh, dia pula kata anak buahnya tu nak cuba mengelat. Seterunya katanya lagi, “jika hendak seribu daya, tak hendak seribu daleh”. Itulah akibatnya jika terlalu taksub kepada teori motivasi. Bukan Acik tak percaya langsung kepada motivasi. Tapi janganlah sampai begitu taksub hingga perkara yang mustahil dari segi sunnatullah pun nak dibolehkan juga. Contohnya, mengharapkan guru yang sangat lemah berbahasa Inggeris akan pandai berbahasa Inggeris selepas menghaziri kursus selama tiga bulan sahaja. Sedangkan maknusia biasa mengambil masa bertahun-tahun baru boleh mahir.

Acik percaya mereka yang membuat dasar PPSMI itu juga tidak betul-betul faham bagaimana sistem pendidikan berfungsi. Serupa macam PM yang digambarkan dalam kisah “Menteri yang gopoh” di atas yang sebenarnya tidak tahu bagaimana sistem komunikasi negaranya berfungsi. Jika mereka yang membuat dasar PPSMI tersebut benar-benar faham mekanisma dalam sistem pendidikan negara Malaysia khususnya, necaya tidak akan wujud dasar PPSMI. Dasar PPSMI itu adalah bertujuan melahirkan rakyat yang rata-rata mahir berbahasa Inggeris. Bukan sekadar itu sahaja, malah disasarkan agar ramai dari anak-anak Malaysia akan berdaya saing untuk menjadi saintis bertaraf global. Malangnya setelah sekian lama ia dilaksanakan, apa yang berjaya dicapai tidak banyak yang boleh dibanggakan. Itu sebabnya maka dasar tersebut ditentang habis-habisan oleh perbagai pihak. Hatta ditubuhkan suatu gerakan yang dinamakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Terkini timbul pula satu lagi kumpulan baru yang dinamakan PAGE (Parent Action Group for Education). Kumpulan ini mendesak supaya dasar PPSMI diteruskan. Acik tidak hairan wujudnya kumpulan yang berpandangan sedemikian. Jika ditanya kepada ibu bapa di kampung yang tidak tahu menulis dan membaca, mereka juga akan mudah bersetuju supaya anak-anak mereka diajar dalam bahasa Inggeris. Malah ramai yang bersyukur kerana anak-anak mereka berpeluang belajar dalam bahasa Inggeris. Ini kerana mereka dulu pun teringin juga untuk pandai berbahasa Inggeris tapi tidak pernah mendapat peluang keemasan seperti yang “dinikmati” oleh anak-anak mereka sekarang.

Mereka ini pun macam PM yang gopoh dalam CEREKANA di atas. Mereka mungkin langsung tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di sekolah yang melibatkan anak-anak mereka. Mereka lebih tahu apa yang dijaja dan dijanji oleh pemimpin-pemimpin parti politik yang menjadi idola mereka. Yang dijaja dan dijanji itu tak lain tak bukan ialah bahawa dasar PPSMI adalah demi untuk masa depan anak-anak mereka. Kononnya PPSMI akan membolehkan anak-anak mereka meneruskan pelajaran mereka hingga ke luar negara. Samada anak mereka itu “besi” kah atau “kayu” kah, itu langsung tak terfikir oleh mereka. Takut-takut kemampuan anak mereka adalah lebih rendah dari kawan Acik yang menjadi penjaga pakir tu. Lebih malang lagi jika dasar PPSMI menyebabkan anak-anak mereka langsung tak mahir mengira campur dan tolak. Abang-abang dan kakak-kakak mereka boleh juga mengira campur dan tolak dengan baik walaupun buta Bahasa Inggeris.

Gambaran yang berbeza hanya akan dapat diperolehi jika ditanya kepada guru-guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik. Jangan hanya tanya kepada guru-guru ini bagaimana susahnya mereka untuk menyampaikan ilmu tersebut dalam bahasa Inggeris. Tapi tanyalah mereka adakah murid-murid yang diajari mereka itu lebih berminat belajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ataupun dalam bahasa ibunda mereka. Jika rata-rata murid-murid tidak berminat belajar dalam bahasa yang mereka tak faham, apa usaha yang telah dilakukan untuk membuat mereka berminat. Kepada guru-guru bolehlah juga digula-gulakan dengan elaun PPSMI 10% agar mereka berminat untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Tapi kepada murid-murid ?

Sebagai ayah kepada 10 orang anak, Acik sendiri pun turut pening ketika memikirkan kaedah yang praktikal lagi berkesan untuk memberi minat kepada anak-anak sendiri supaya mereka terus mengikuti subjek Sains dan Matematik. Kalau sekadar untuk beri minat agar mereka rajin datang ke sekolah, itu taklah susah sangat. Tapi nak buat supaya mereka berminat belajar subjek yang mereka tak faham apa yang cikgu ajar, memang tenggelam punca bagi semua ibu bapa macam Acik ni. Entahlah kut kut ada ibu-bapa ibu-bapa lain yang ada fomula masing-masing agar kita semua dapat kongsi bersama.

Bagi Acik faktor minat memang tersangat penting. Jika kita bejaya meningkatkan minat murid terhadap sesuatu subjek, ia adalah merupakan satu dari tanda-tanda kejayaan boleh dicapai. Itu baru tanda-tandanya saja. Kejayaan sebenar yang ingin dicapai adalah masih jauh. Masih memerlukan usaha berterusan oleh murid-murid dan guru. Jika kita tak mampu untuk meningkatkan minat tersebut, janganlah pula melakukan sesuatu yang boleh menyusutkan minat tersebut. Tapi yang Acik dapat lihat, apa yang telah berlaku akibat perlaksanaan dasar PPSMI sejak 2003, itulah dia. Majoriti murid-murid hilang minat terhadap subjek Sains dan Matematik. Mahu tak mahu, guru-guru yang waras dan peka terhadap nasib masa depan murid-muridnya terpaksa juga mengajar dalam bahasa yang murid-muridnya faham demi mengekalkan minat mereka. Rasa-rasa Acik, umur budaya Mat Rempit itu kalau tak sebaya pun mungkin muda sikit saja dari umur dasar PPSMI. Takut-takut, budaya Mat Rempit adalah salah satu dari produk sampingan dasar PPSMI. Kata orang statistik ada “correlation” antara kedua-dua faktor tersebut. Cubalah buat kajian, mana tahu !

Mungkin ada yang akan kata dan bertanya kepada Acik , “mengkritik dasar PPSMI saja tak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah apakah usaha alternatif yang anda sendiri dah buat bagi meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris seperti yang ingin dihasilkan oleh dasar PPSMI ?”

Mengharapkan agar insan kerdil macam Acik ni berusaha untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris di kalangan seluruh rakyat Malaysia, maka itu tentulah tidak mampu atau mustahil bagi Acik melakukannya. Cuma yang Acik telah usahakan ialah menentukan supaya semua anak-anak Acik berjaya mencapai satu tahap sederhana dari segi kemahiran berbahasa Inggeris. Alhamdulillah, kalau pun tak semua mereka berjaya skor gred A bagi subjek Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM, namun sekurang-kurangnya setiap mereka telah berjaya skor gred A dalam UPSR dan PMR masing-masing.

Hasrat Acik memanglah untuk memastikan supaya kesemua mereka berjaya skor gred A dalam SPM, selain PMR dan UPSR, tapi apakan daya, tiada kemampun. ”Niat di hati memang nak ku peluk gunung, tetapi apakan daya tanganku tak sampai”. Maklumlah, bukan kesemua 10 orang anak Acik tu terdiri dari “besi waja” belaka. Rupa-rupaya ada juga “kayu Petai”. Itu sebabnya Acik tak sokong dasar PPSMI diteruskan. Lainlah dengan anak-anak orang PAGE. Anak-anak mereka semua itu adalah “besi-besi waja” belaka.

Sebelum mengundur diri, ada sikit lagi yang Acik nak sebut. Jika dirujuk balik kepada kisah menteri yang gopoh di atas, Acik rasa rakyat negara Afrika berkenaan lebih bernasib baik juga. Ini kerana mantan PM mereka tu adalah seorang yang ada “kemaluan”. Sebab tu beliau cepat-cepat “belah” meninggalkan jawatan PMnya bila terbuat satu kerja bodoh. Kalau di negara kita ni, entahlah apa yang akan terjadi ! Maklumlah, yang dah nyanyuk pun masih nak duk tunggu tangtu juga. Yang dah istihar pencen pun masih lagi nak menyebok lagi. Silap-silap langkah bukan menjadi pembantu, sebaliknya sebagai “sokong membawa rebah”. Wallahualam.

@OPajar #11Z01

Pengarang :

Nama: Abd Jalil b Abd Rahman K/P : 520919-07-5307

Pengarang ialah seorang OP (Orang Pencen). Beliau pernah bekhidmat di bawah Tan Sri Dato’ Hj. Ambrin Buang (Ketua Audit Negara). Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Bagan Ajam (Butterworth), Sekolah Menengah St. Mark’s (Butterworth), Maktab Tentera Diraja & Universiti Malaya. Juga pernah mengikuti kursus di Institiut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Penn State University (Amerika Syarikat) dan Asian Institute of Management (AIM), Manila (Filipina) dan UiTM Shah Alam. Pernah tinggal di Pulau Pinang, Lembah Kelang (Selangor), Kota Bharu (Kelantan), Kemubu (Kuala Krai, Kelantan), Lojing (Gua Musang, Kelantan) dan Cameron Highlands (Pahang). Isteri ialah seorang bekas guru bahasa Inggeris yang pernah terlibat secara aktif bagi menjayakan perlaksanaan dasar PPSMI. Beliau pernah mengajar di sekolah-sekolah pendalaman, Sekolah Anak-anak Orang Asli dan di sekolah-sekolah bandar termasuk Sek.Keb. Convent, Cameron Highlands.

**********************

Lain-lain PenCERAHan yg relevan

Dari ABIM

Tiada data PPSMI beri kelebihan, tegas ABIM

.

Pandangan seorang bekas Professor matematik https://www.facebook.com/701822870/posts/10158749985082871/

.

PenCERAHan terbaru

http://www.4uni2c.com

~ by OPajar on 2013-01-31.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: