CEREKANA # 13X06 Walaupun Berhakimkan Kancil

***Untuk men CARI lain-lain TAJUK sila KLIK nama bulan di bawah ARCHIVE di kanan SKRIN, Kemudian SKROL

(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)

.

Walaupun Berhakimkan Kancil

.

Pada zaman dahulu kala kononnya ada sebuah Negara Binatang (NB). Rakyat NB ini terdiri dari sekecil-kecil serangga seperti semut dan nyamuk Aedis hinggalah sebesar-besar haiwan seperti Gajah dan ikan Paus. NB tersangat sohor seanterio dunia. Sohor bukan kerana kekayaannya. Tetapi sohor kerana keamanan, kesejahteraan dan kehormanian yang dinikmati oleh seluruh rakyatnya. Nikmat ini adalah hasil dari bebasnya diri tiap-tiap rakyat NB dari sifat-sifat mazmumah.

Antara sifat-sifat mazmumah (keji) tersebut ialah suka makan secara berlebihan, tamak, tidak jujur,  bakhil, tak tahu syukur, dengki, khianat, pecah amanah, takabbur, pemarah, rasuah, dan sebagainya. Tanpa sifat-sifat mazmumah itu sebagai “input”, maka “output”  yang dihasilkan adalah keadilan. Dengan output keadilan inilah maka setiap warga NB merasa aman sentosa yang tidak ada tolok bandingnya pada zaman yang sewaktu dengannya. Jika nak dibandingkan dengan negara jirannya yang bergelar BN itu, ia adalah ibarat air dengan api. NB ibarat air, manakala BN ibarat api.  Air menumbuh dan meyuburkan segala hidup-hidupan. Sedangkan api, lambat lepa saja akan membakar dan memusnahkan segala kebaikan.

Keadilan itu bermakna sesuatu itu diletak di tempatnya mengikut fitrah alam atau sunnatullah. Jika sunnatullah menetapkan Sang Katak itu adalah makanan Sang Ular, maka perbuatan memakan Sang Katak oleh Sang Ular adalah dikira adil. Ia tidak lagi dikatakan adil apabila Sang Katak dibunuh oleh Sang Ular tetapi tidak dimakannya. Yakni dibunuh hanya untuk suka-suka saja tanpa tujuan menghilangkan kelaparan. Begitu juga perbuatan menangkap dan memakan Sang Rusa atau Sang Babi oleh Sang Harimau. Ianya dikatakan adil selagi tujuannya untuk merawat kelaparan yang dideritai oleh Sang Harimau.

Mengikut sunnatullah juga, adalah menjadi dasar hukum rimba bahawa hanya yang masih layak untuk hidup saja yang akan selamat dari pemangsa. Yang tidak layak dikalangan kaum masing-masing akan terlebih dahulu mati dimakan pemangsa. Bagi yang masih layak untuk meneruskan kehidupan hari ini, juga akan hilang kelayakannya pada masa akan datang lalu menemui juga dengan ajalnya. Lazimnya kubur bagi kebanyakan binatang adalah perut pemangsanya. Contohnya, kubur bagi Sang Rusa dan Sang Babi adalah Sang Harimau, Sang Singa atau binatang-binatang “carnivorous” yang lain.

Rakyat jelata Negara Binatang (NB) berkenaan rata-rata telah faham akan hukum rimba tersebut. Masing-masing telah redha dengan ketetapan Allah tersebut. Walaupun nampaknya ia seolah-olah zalim terhadap binatang-binatang yang lebih kecil dan lemah, namun tiada binatang yang merasakan hukum itu tidak adil. Masing-masing dah terima hakikat bahawa semuanya akan mati akhirnya. Cuma giliran masing-masing saja berbeza. Ada yang matinya lebih cepat, ada pula yang menungkat langit dahulu baru mati. Jika hidup terlalu lama semata-mata untuk mebuang beras saja, lebih baiklah cepat mati. Lebih-lebih lagi jika makin menyusahkan anak pinak dan masyarakat.

Rakyat Negara Binatang yang kecil-kecil lagi lemah itu tidak pernah bantah jika ada saja anggota mereka menjadi mangsa binatang lain. Mereka redha, asalkan pemangsa adalah binatang yang dijadikan Allah sebagai pemakan mereka. Mereka anggap tubuh badan mereka adalah ubat. Kelaparan adalah satu kesakitan atau pun penderitaan bagi mereka, makluk Allah yang berbangsa binatang. Pemakan mereka yang sedang dalam kelaparan memerlukan darah daging mereka bagi mengubati kesakitan akibat kelaparan tersebut. Oleh sebab mereka  menganggap dimakan pemangsa itu adalah sunnatullah (ketetapan Allah), maka pengorbanan mereka adalah satu jihad. Lagi pun yang dimakan oleh pemangsa mereka adalah ahli-ahli mereka yang sudah hilang kelayakan untuk terus hidup. Tetapi bagi mereka yang masih memiliki kelayakan untuk terus hidup tidak akan mampu dikejar dan ditangkap oleh pemangsa mereka.

Ditangkap dan dimakan oleh pemangsanya bila tempoh hanyatnya telah berakhir, ada baiknya juga. Jika mereka dibiarkan terus hidup akhirnya mereka akan menyusahkan anak pinak sendiri, malah masyarakatnya. Bila mereka tidak lagi mampu mencari makan sendiri tentulah menyusahkan diri mereka dan pihak lain. Bila dah mati pula bangkai mereka pasti membusukkan seluruh kawasan tempat mereka tinggal. Satu masalah lain pula bagi yang masih hidup untuk menanam bangkai-bangkai mereka sebelum ia mulai berbau busuk. Oleh itu masing-masing mengakui tentang kebaikan sistem hukum rimba tersebut.

Bila setiap binatang redha dengan sunnatullah, maka wujudlah suasana harmoni di dalam Negara Binatang tersebut. Masing-masing faham dan menghormati hak dan batas-batas larangan yang ditetapkan terhadap mereka. Tidak berlakulah pembunuhan yang sesia. Tidak berlakulah pembaziran bila setiap ahlinya hanya makan sekadar yang perlu saja. Tidak ada yang makan hingga terlalu kenyang hingga rezeki pihak lain pun turut dikebas. Sebagai manifestasi kepada sifat mereka yang tidak terlebih makan itu ialah anggota fisikal mereka yang begitu sederhana. Jarang ada binatang yang gemuk gedempol kerana terlebih makan. Walaupun mereka tiada agama yang menyuruh agar tidak terlebih makan, fitrah yang dibekalkan Allah kepada masing-masing dapat mengawal habit pemakanan mereka.

Nampaknya hukum rimba yang diamalkan di dalam NB itu amat selari dengan ajaran Islam yang dianuti oleh manusia. Agama Islam juga mengajar umatnya supaya bersederhana. Bukan hanya tak banyak makan supaya tak gemuk gedempol, malah dalam aspek-aspek lain juga disuruh bersederhana.  Islam tidak suruh umatnya berebut-rebut mengambil lebih dari apa yang benar-benar dikeperluan. Islam tidak menyuruh umatnya tamak haloba mengumpul harta hingga terambil hak orang lain baik secara nyata maupun sebaliknya. Contohnya, yang dikaut untuk dirinya sendiri 100, tetapi yang ditinggalkan untuk dikongsi oleh orang lain hanya satu atau dua sahaja. Kemudian diinfakkan hanya satu atau dua saja. Itu pun untuk menunjuk-nunjuk akan kemurahan hatinya itu. Umur dihabiskan bagi mengumpul harta dan menikmati keselesaan dunia. Hingga tiada masa lagi yang tinggal untuk menimba ilmu dan mengumpul saham akhirat.  Seolah-olah tak rasa malu kepada makluk Allah yang berbangsa binatang itu.

Jika dilihat dengan mata kasar, suasana aman damai kehidupan yang diharungi oleh rakyat NB adalah ibarat air sungai yang tenang. Namun kadang-kala, “jangan ingat air yang tenang itu tiada ada buaya”. Begitulah juga dengan NB. Jika bagi sungai yang tenang itu yang menjadi kacang hantunya ialah Buaya, maka bagi NB pula yang menjadi kacang hantunya ialah Sang Harimau. Dengan kehadiran Sang Harimaulah maka ramai binatang-binatang kecil sentiasa merasa terancam keselamatan mereka. Namun masih ada lagi sedikit kelegaan dalam jiwa dan minda masing-masing disebabkan kewujudan kuasa Raja Sulaiman. Raja Sulaiman adalah merupakan simbol segala kebaikan. Simbol keadilan, keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan di dalam alam semesta ketika itu.

Raja Sulaiman sangat terkenal sebagai raja yang sangat berkuasa ketika itu. Kononnya, semua negara di seluruh dunia berada di bawah pemerintahan baginda. Bukan negara makluk yang berstatus manusia saja yang duduk di bawah jajahan takluk baginda, hatta segala negara binatang termasuk NB pun. Juga tidak ketinggalan, makluk Allah yang turut menjadi rakyat jelata baginda ialah jin. Ramai rakyat baginda dari bangsa jin menjadi penyiasat professional (special branch) untuk kerajaan baginda. Sedangkan mata-mata adalah setiap rakyat kerana setiap rakyat peka kepada perlakuan jenayah dari sekecil-kecil jenayah hingga sebesar-besarnya.  Oleh kerana itu banyak maklumat dapat sampai ke pengetahuan baginda walaupun tentang peristiwa yang jauh dari istana. Ini membuat baginda dianggap seorang raja yang sangat terus mata dan berpengetahuan luas. Baginda sangat dihormati lagi ditaati bukan semata-mata kerana ilmu pengetahuan baginda, malah kerana baginda tersangat adil.

Rakyat jelata baginda yang terdiri dari seluruh makluk Allah di atas muka bumi ini sangat merasai kehadiran baginda di mana-mana juga mereka berada. Sifat ini diistilahkan sebagai “ehsan”. Walaupun rakyat tidak nampak kehaziran fisikal baginda di hadapan mata, namun jiwa dan minda masing-masing terasa seolah-olah baginda sentiasa memerhati mereka. Dengan adanya elemen “ehsan” di dalam diri setiap rakyat baginda terhadap kehadiran dan kekuasaan baginda, maka NB menjadi tempat paling selamat di atas muka bumi pada zaman itu. NB ibarat satu negara utopia yang tidak pernah wujud baik sebelum, maupun selepas pemerintahan Raja Sulaiman, hatta sehingga hari kiamat.

Tidak ada mana-mana rakyat yang berani melakukan apa-apa juga kesalahan. Tidak ada penganiayaan dan penindasan antara sesama rakyat. Jika ada pun ia merupakan kes-kes yang amat terpencil. Itu pun sangat jarang berlaku. Jika berlaku pun nescaya tidak lama kemudian akan tertangkaplah pesalah berkenaan. Maklumlah dengan wujudnya mata-mata di mana-mana, Raja Sulaiman akan cepat maklum lalu menghantar pasuksan penyiasat yang terdiri dari sekecil-kecil Toyol hingalah sebesar-besar Hantu Raya. Anggota penguatkuasaan dalam kerajaan Raja Sulaimanan tidak ada yang korap. Negara yang korap ketika itu diistilahkan “negara karipap”. Maka NB bukanlah sebuah “negara karipap”, seperti tanah tumpah darahku.  Semua rakyatnya jujur lagi ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang  diamanahkan Raja Sulaiman ke atas mereka. Tidak ada konspirasi di kalangan pemimpin-pemimpin dalam semua peringkat, baik diperingkat paling rendah lebih-lebih lagi diperingkat paling atas.

Al kisah, kononnya di sebuah daerah di pelusuk Negara Binatang (BN) berkenaan, telah berlaku suatu perbalahan antara dua warga binatang. Khabarnya Sang Harimau  yang mencetuskan angkara. Sang Harimau telah menceroboh kawasan yang dihuni oleh sekumpulan Sang Arnab. Beberapa ekor anak Sang Arnab telah mati terpijak, disyaki oleh Sang Harimau.  Sang Arnab tidak boleh bertoleransi lagi dengan kezaliman Sang Harimau. Kaum Sang Arnab bukannya wajar menjadi makanan Sang Harimau pun. Makanan Sang Harimau adalah rusa, lembu dan seumpamanya. Daging mereka jauh lebih banyak berbanding dengan isi tubuh Sang Arnab. Mayat anak-anak Arnab yang telah mati terpijak itu bukan dimakan Sang Harimau pun. Ini menambahkan beban pula kepada ibu dan bapa mereka untuk menanamnya sebelum ianya berbau busuk.

Sang Harimau memang sangat terkenal sebagai warga yang paling suka membuli binatang-binatang lain. Lebih-lebih lagi binatang kecil termasuk Sang Arnab dan Sang Kancil. Hanya sejak Raja Sulaiman menduduki takta kerajaan, perangai Sang Harimau agak berbeza. Berubah sedikit menjadi lebih baik. Sebelum itu, ada saja warga binatang yang menjadi mangsa bulinya. Pendek kata, hari-hari dia mau membuli binatang lain. Agaknya, itulah sebabnya maka dia digelar “Hari-mau” iaitu rengkasan kepada “Hari-hari mau”. Mangsa bulinya itu bukan untuk menghilangkan lapar atau memenuhi tuntutan fitrah kehaiwanannya. Sebaliknya dimatikan untuk suka-suka saja atau untuk menguji ketajaman kuku dan taringnya saja.

Masyarakat Sang Arnab yakin bahawa mereka berhak untuk hidup tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak. Samalah seperti yang dinikmati semua binatang-binatang lain, tidak kira kecil maupun besar. Yang memberi jaminan keselamatan terhadap mereka ialah Raja.  Raja yang dimaksudkan bukan sebarang Raja. Ia bukannya Raja Gopal, Raja Kapur ataupun lain-lain Raja. Akan tetapi yang menjanjikan keselamatan itu ialah Raja Sulaiman. Kononnya baginda bukan sekadar Raja malah seorang Rasul.  Oleh itu, jaminan yang dijanjikan itu bukanlah suatu janji kosong. Ia adalah “janji ditepati” bukan “janji dicapati”.

Jaminan keselamatan bukanlah suatu perkara mustahil untuk dijadikan realiti. Dengan adanya prasarana yang cukup kondusif, maka segala-galanya boleh dilakukan. Prasarana yang dimaksudkan ialah bebas dari segala sifat-sifat mazmumah dari setiap jiwa dan minda rakyat jelata. Ini disokong pula oleh mekanisma keselamatan yang changgih. Mekanisma yang menggunakan segala alat khusus yang telah direkacipta dan dipraktikkan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Antaranya ialah alat pandang dengar yang canggih yang dipasang di seluruh pelusuk negara di atas muka bumi. Ini berjaya membuat setiap rakyat berani mengamalkan amal ma’ruf dan nahi mungkar tanpa takut dan ragu-ragu. Yang ditakuti bukan kepada kekuasaan pihak yang ditegur. Tetapi yang lebih ditakuti dan dihormati ialah kebenaran. Dengan kata lain, jika kebenaran itu adalah dipihak pemangsa yang lebih berkuasa maka dialah yang akan menang. Sebaliknya jika kebenaran itu bersama dengan mangsa, nescaya mangsalah yang akan menang walaupun dia adalah selemah-lemah makluk.

Senario tersebut wujud ketika itu. Kewujudannya itu adalah disedari dan dirasai oleh setiap warga NB tersebut. Oleh itu Sang Arnab pun tidak takut dan teragak-agak untuk melancarkan protes secara terang-terangan terhadap Sang Harimau yang dianggap biadap dan zalim itu. Protes mereka itu telah menarik perhatian seluruh warga NB tersebut. Hampir semua jenis binatang bersimpati dengan kaum Sang Arnab yang dicerobohi dan dizalimi Sang Harimau itu. Masing-masing mahukan Sang Harimau dihukum dengan setimpal, demi menegakkan keadilan dan menjadi sempadan kepada semua warga NB. Sang Harimau yang hari-hari mau itu perlu diajar dan didisiplinkan. Nafsunya mesti dikekang supaya binatang lain tidak terus menjadi mangsanya.

Walau apa pun, masing-masing juga faham bahawa pesalah tidak boleh dihukum begitu sahaja. Sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, mesti melalui suatu proses pengadilan. Mesti ada proses perbicaraan terlebih dahulu. Proses ini maha penting bagi menentukan dua perkara. Yang pertama dan sangat penting ialah bagi mengesahkan bahawa yang dituduh benar-benar telah melakukan kesalahan sebagaimana dituduh. Yang kedua, juga tidak kurang penting ialah bagi mengukur tahap kesalahan yang telah dilakukan. Samada ianya dilakukan dengan segaja atau dipaksa, terpaksa, tanpa disedari ataupun sebagainya.

Melalui perbicaraan jugalah baru dapat ditentukan apakah jenis hukuman setimpal yang wajar dikenakan terhadap pesalah berdasarkan piawai keadilan yang sejagat. Dengan prinsip inilah maka Sang Harimau mesti terlebih dahulu dibicarakan sebelum dihukum. Disaat inilah berlakunya proses pemilihan Tuan Hakim dari kalangan binatang-binatang yang hadir dalam sebuah perhimpunan raksasa yang diadakan di atas satu padang tak jauh dari tempat Sang Arnab tinggal.  Dengan persetujuan sebulat suara maka terlantiklah Sang Kacil  sebagai Tuan Hakim, khususnya bagi membicarakan kes Sang Arnab lawan Sang Harimau.

Sang Kancil dipilih sebagai Hakim bukan secara kebetulan. Sang Kancil bukanlah binatang yang besar macam gajah. Maka sudah tentu dia dilantik bukan kerana kebesarannya. Sang Kancil juga bukannya garang macam singa. Maka sudah tentu dia dilantik bukan kerana kegarangannya yang ditakuti oleh semua warga NB itu. Sang Kancil juga bukan macam Helang yang mampu ke sana sini dalam masa yang begitu singkat.  Maka sudah tentu beliau dilantik bukan kerana kemampuannya untuk terbang. Oleh itu, mesti ada keistimewaan tertentu pada diri Sang Kancil yang menyebabkan beliau dipilih dengan sebulat suara untuk menjadi Hakim.  Keistimewaan apakah itu, sila anak-anak dan adik-adik Acik  teka ?

Ya betul !  Sang Kancil dipilih kerana kepintarannya. Kerana kecerdikannya. Kerana fikirannya yang tajam. Kerana pengetahuannya yang luas kerana berkawan baik dengan burung-burung yang membawa balik bermacam-macam berita. Kerana kepetahannya berhujah. Kerana beliau popular di kalangan binatang-binatang kecil dan beberapa lagi factor lain. Ada juga yang kata kerana Sang Kancil berani. Tetapi biar factor ini kita jangan di”ya”kan dulu hingga tamat kita membaca cerita ini. Ada juga yang kata Sang Kancil tidak tahu mementingkan diri sendiri. Fakktor ini pun biarlah kita analisis dulu hingga tamat membaca cerita ini.

Apabila tiba pada hari perbicaraan akan dijalankan maka berhimpunlah berbagai jenis binatang di padang yang sama di mana pemilihan Hakim dilakukan dahulu. Beberapa saksi dari kedua-dua pihak telah ditampilkan di hadapan Hakim (Sang Kancil). Nampaknya perbicaraan agak ketara berpihak kepada Sang Arnab kerana hujah-hujah oleh saksi-saksi Sang Harimau semuanya tersangat lemah. Semuanya sampah. Jika “input”nya sampah sudah pasti “output” yang bakal dihasilkan nanti pun sampah juga. Inilah yang dinamakan konsep “GIGO” atau “garbage in garbage out”.  Di hujung sessi perbicaraan tersebut, Hakim pun menetapkan bahawa keputusan akan diumumkan tiga hari kemudian. Tujuan Sang Kancil menangguhkan keputusan ialah bagi mendapatkan restu dari istana terlebih dahulu atas keputusan yang dibuatnya, sebelum diumumkan.

Sang Kancil pun menugaskan sepasang burung Merpati Putih (MP) untuk terbang ke istana mengadap sendiri dengan Raja Sulaiman. Perjalanan pergi akan mengambil masa sehari suntuk. Begitu juga dengan perjalanan pulang. Sehari menjelang pengumuman keputusan, beberapa persediaan lain perlu disiapkan. Takut-takut akan tercetus huru hara bila keputusan diumumkan. Maklum sajalah dengan kes yang melibatkan pihak berkuasa. Jika yang bakal memenangi kes adalah yang berkuasa, tak ada benda yang nak dibimbangkan. Tapi dalam kes Sang Arnah lawan Sang Harimau ini, gara-gara kemenangan akan berpihak kepada Sang Arnab.

Namun Si Hakim (Sang Kancil) tetap dengan penuh yakin bahawa di bawah pemerintahan Raja Sulaiman, keadaan akan pasti dapat dikawal. Oleh itu, sebagai Hakim, Sang Kancil tidak rasa akan ada apa-apa yang akan menghalang beliau menjatuhkan hukuman dengan seadil-adilnya. Dengan kata lain, tidak ada apa-apa elemen yang akan mendorong atau memaksa beliau supaya tidak  membuat keputusan tanpa ketakutan atau tanpa pilih kasih. Kata orang Putih, “without fear and/or favour”.

Setelah dua hari meninggalkan Sang Kancil kerana ke istana Raja Sulaiman, pasangan MP belum juga kembali menemui beliau. Sang Kancil mulai cemas. Takut-takut sesuatu musibah telah menimpa kedua-dua MP tersebut. Jika mereka tidak kembali membawa restu dari Raja Sulaiman keputusan perbicaraan mungkin tidak dapat diumumkan. Jika diumumkan juga keputusan yang memenangkan Sang Arnab itu, keselamatan tidak dapat dijamin. Sang Harimau pasti akan mempertikaikan kesahihan keputusan tersebut dari aspek perundangan. Salah-salah haribulan, Sang Arnab sendiri akan dilanyaknya hingga separuh nyawa kalaupun tidak sampai mampus. Spekulasi ini membuat Sang Kancil agak runsing.

Sangkaan buruk Sang Kancil itu,  walaupun kurang tepat, masih ada asas kebenarannya. Pasangan MP sampai kembali pada hari ketiga iaitu menjelang hari keputusan perbicaraan akan diumumkan. Sang Kancil melihat kedua-dua MP tidak dengan wajah ceria sepertimana meninggalkan beliau dahulu. “Mungkina ada apa-apa angkara yang telah menimpa mereka  berdua”  berkata Sang Kancil di dalam hati kecilnya. “Agaknya mereka terlalu penat kut, maklum sajalah, terlalu jauh terbang” katanya lagi dalam hati bagi melegakan perasaan bimbang tersebut. Niat Sang Kancil nak suruh saja kedua-dua MP tersebut masuk berehat dulu. Namun dengan tak semena-mene MP jantan membuka mulut.

“Habis kita, habis kita !” mengeluh MP jantan tersebut.

“Tidak ada jaminan lagi kita akan selamat” sambung lagi MP itu dengan kata-katanya.

“Raja yang kita sayangi itu telah pulang ke rahmatullah” kata MP tersebut lagi sambil mengesat matanya yang mulai berair.

“Berita kemangkatan beginda pasti akan sampai ke sini sedikit hari lagi. Kami lihat ramai burung-burang yang telah mula berterbangan ke merana tempat untuk menyampaikan berita sedih ini supaya rakyat berkabung. Semua akan diperintah memohon doa semoga roh baginda diberkati Allah” terang MP jantan itu dengan agak panjang lebar.

Sang Kancil tergamam mendengar berita tersebut dari mulut MP jantan, rakan rapat beliau yang sangat diseganinya itu. Bagi Sang Kancil, tidak timbul sebiji habok pun keraguan tentang apa yang disampaikan MP itu kepadanya. Apa yang nak diragukan. Bukannya MP akan dapat apa-apa keuntungan pun jika beliau berdusta. Lainlah jika ada konspirasi antara beliau (MP) dengan Sang Harimau untuk mengubah keputusan yang telah dibuat. Namun, bagi Sang Kancil ini tidak mungkin, malah mustahil dilakukan MP.

Siapa yang tak kenal dengan MP yang sangat sohor sebagai individu yang sangat jujur lagi ikhlas itu. Kedua-duanya sentiasa lebih mementingkan keadilan dari segala-galanya. Mereka berdua langsung tidak makan saman oleh sebarang ugutan, tak kira dari siapa pun.  Apa nak dibimbangkan mereka dengan ugutan atau ancaman. Susah-susah sangat, hajrah saja ke tempat lain. Jika ke gunung pun masih rasa tak selamat, boleh saja terbang ke pulau-pulau nun jauh di seberang lautan sana.

Malangnya pilihan yang sama tidak ada buat Sang Kancil. Beliau tidak mampu terbang macam MP bagi membebaskan diri dari apa-apa ancaman atau marabahaya. Kudratnya terlalu lemah jika nak dibandingkan dengan kebanyakan binatang berkaki empat. Apa lagi jika nak dibandingkan dengan kekuatan Sang Harimau. Beliau terpaksa menerima realiti bahawa dirinya tersangat kerdil. Kekerdilannya membuat dia rasa sudah kalah sebelum memulakan pergaduhan fisikal dengan mana-mana binatang lain. Mujur juga dirinya dianugerahi Allah sedikit kelebihan iaitu akal fikiran. Hanya akal fikiran inilah saja yang tinggal untuk digunakan bagi melepaskan diri dari segala ancaman dan marabahaya.

Apapun, berita kemangkatan Raja Sulaiman telah membuat semangatnya benar-benar runtuh. Hancur luluh bak kaca terhempas ke batu. Lebih-lebih lagi ketika menghadapi saat-saat genting bilamana beliau terpaksa mengumumkan keputusan kes perbicaraan yang tidak berpihak kepada yang lebih berkuasa. Apakah akibatnya nanti ?   Semua pihak hanya pandai menuntut supaya setiap Hakim mesti berlaku adil. Semua Hakim mesti menjatuhkan hukuman tanpa takut dan pilih kasih. Namun, adakah mereka peduli akan akibat yang bakal dihadapi oleh Hakim nanti ?  Dengan perkataan lain, adakah dengan berlaku adil Hakim akan terjamin keselamatan diri dan orang-orang yang dikasihi ?

Mata Sang Kancil tidak dapat dipejam semalaman. Fikirannya khusut. Jiwanya gundah gulana. Perasaannya amat tertekan. Mujur juga hati kecilnya masih lagi tenteram. Mungkin kerana banyak berzikir kepada Allah maka dianugerahiNya sedikit ketenangan di saat-saat kritikal begitu. Alhamdulillah.

Sebenarnya berita tentang kemangkatan Raja Sulaiman belum lagi diketahui masyarakat binatang di situ. Yang sudah maklum hanyalah pasangan Marpati Putih yang baru balik dari istana Raja Sulaiman. Sang Kancil tahu pun setelah diberitahu mereka. Sang Kancil minta kepada MP supaya tidak mendedahkan berita tersebut hinggalah keputusan perbicaraan kes Sang Arnab lawan Sang Harimau diistiharkan. Namun dalam hati kecil Sang Kancil penuh dengan kembimbangan. Apa kata sekiranya berita itu telah diketahui oleh binatang-binatang lain melalui pihak lain. Ini menyebabkan Sang Kancil mengubah keputusan asalnya. Keputusan asalnya ialah Sang Arnab sebagai pemenangnya. Tetapi atas aspek keselamatan diri maka beliau tidak pilihan lain melainkan memenangkan juga Sang Harimau.

Walaupun memang hasrat Sang Kancil untuk bertindak adil, namun beliau tidak sanggup menanggung risko. Kemangkatan Raja Sulaiman bukan satu faktor kecil. Dengan ketiadaan baginda macam-macam boleh berlaku. Kebanyakan binatang akan berasa bebas untuk melakukan apa saja tanpa dihalang oleh perasaan ehsan terhadap kuasa Raja Sulaiman. Binatang besar tidak lagi hormat hak binatang kecil

Elemen sebenar yang membuat dirinya susah adalah “dilema”.  Dilema adalah umpama “ditelan mati emak, diluah mati bapa”.  Sedangkan kedua-dua individu tersebut adalah orang yang sama-sama dicintai. Memang tidak sanggup membiarkan mereka mati walaupun salah seorang saja darinya. Dilema sebeginilah yang sedang memerangkap jiwa dan minda Sang Kancil dalam menghadapi kes perbicaraan Sang Arnah lawan Sang Harimau. Jika tak dimenangkan Sang Arnab, maka itu adalah pelanggaran prinsip keadilan. Sebaliknya, jika dimenangkan Sang Arnab, apa pula bahaya yang bakal menimpa. Jika tidak atas diri sendiri, mungkin terhadap insan yang dikasihi.

Kemangkatan Raja Sulaiman adalah lambang kepada kehancuran jaminan keadilan dan keselamatan bagi seluruh NB berkenaan. Sistem keselamatan yang menjamin tidak akan berlaku penganiayaan terhadap sesiapa oleh mana-mana pihak, kini telah lumpuh. Dalam situasi sistem keselamatan tersebut tidak berfungsi maka sistem rimba mulai kembali mendominasikan keadaan. Siapa kuat dialah yang akan menang. Yang lemah pula akan sentiasa menjadi mangsa. Elemen “ehsan” terhadap kekuasaan pemerintah mungkin telah terlucut seluruhnya dari hati majoriti warga NB. Oleh itu ramai dari mereka kini kembali berani melakukan apa saja, asalkan tidak ada cabaran dari pihak yang lebih kuat dari mereka.

Mau tidak mahu Sang Kancil mesti mengiktiraf realiti yang baru berubah itu. Realiti semasa Raja Sulaiman masih memerintah tentu tidak lagi sama dengan realiti selepas baginda mangkat . Di bawah pemerintahan baginda, prinsip “berani kerana benar, takut kerana salah” memang dihormati lagi diperkasakan. Namun kini belum tentu begitu. Jika dahulu mempertahankan keadilan dianggap satu keberanian yang terpuji, kini ia mungkin dianggap satu kebodohan yang merugikan. Jika dahulu fakta dianggap suatu hakikat, kini ia tidak semestinya demikian. Fakta boleh diolah-olah supaya maklumat yang dihasilkan terbentuk sepertimana yang dihasratkan. Pendek kata keadaan dan suasana kini telah berubah 180 darjah. Jika dulu menghala ke barat kini telah bertukar mengarah ke timur.

Setelah berfikir panjang, hati Sang Kancil kembali stabil seperti biasa. Fikiran rasionalnya telah berjaya mempengaruhi hatinya untuk yakin bahawa, jika terpaksa pilih antara yang buruk dengan yang lebih buruk, maka yang buruk itulah yang harus dipilih. Oleh itu sekiranya lebih selamat jika Sang Harimau dimenangkan dalam kes Sanag Arnab lawan Sang Harimau, maka tentulah wajar Sang Harimau dimenangkan. Ini kerana Sang Harimau lebih berpotensi menimbulkan mudarat yang jauh lebih besar dari Sang Arnab. Jika Sang Arnab yang tidak berpuashati dengan keputusan Si Hakim, besar manalah sangat tindakbalas negatif yang mampu disasarkan terhadap Si Hakim. Tetapi jika Sang Harimau yang tidak berpuashati dan marah terhadap keputusan Hakim, maka padahnya akan tersangat buruk buat Si Hakim. Jadi, demi mengelakkan mudarat yang lebih buruk, maka tentulah wajar Sang Harimau dimenangkan.

Maka tibalah harinya dimana keputusan perbicaraan kes Sang Arnab lawan Sang Harimau akan diistiharkan. Semua yang hadir tidak sabar menunggu ketibaan Si Hakim. Majoritinya telah membuat spekulasi yang memihak kepada Sang Arnab. Dari segi prinsip keadilan sejakat pun memang Sang Harimau telah sah-sah menceroboh kawasan yang diduduki Sang Arnab dan kaum kerabatnya.  Mereka bukan baru bermustautin di situ. Sejak dua tiga jenerasi Sang Arnah dan kabilahnya itu telah berhijrah lalu berkampung di situ. Tiba-tiba Sang Harimau, pendatang tanpa izin itu, telah datang menggangu ketenteraman mereka. Hatta telah menyebabkan beberapa anak mereka mati terpijak. Entah dari negeri atau kawasan mana datangnya Sang Harimau, Sang Arnab sendiri pun tidak pernah bayangkan. Samada diketahui oleh Sang Arnah ataupun tidak asal usul Sang Harimau, itu tidaklah penting. Apa yang penting ialah keselamatan dan keamanan bagi Sang Arnah, anak pinak dan kaum kerabatnya. Akibat pencerobohan Sang Harimau itu, kedamaian dan keamanan tersebut kini telah musnah.

Keyakinan bahawa Sang Kancil akan memenangkan Sang Arnah adalah tersangat tinggi di kalangangan binatang-binatang yang hadir di majlis berkenaan. Soal pilih kasih terhadap Sang Arnah dan sentimen kebencian terhadap Sang Harimau tidak timbul dalam kes ini. Yang penting bagi mereka adalah keadilan sejagat. Sang Kancil lebih faham konsep keadilan sebab beliau binatang yang paling pintar. Lagi pun beliau sering berhadapan dengan ancaman bunuh oleh Sang Harimau. Mujur kerana takutkan kepada Raja Sulaiman maka Sang Kancil tidak berani diapa-apakan oleh Sang Harimau.

Tiba-tiba suasana bertukar menjadi riuh rendah. Si Hakim (Sang Kacil) baru saja mengumumkan keputusan yang ditunggu-tunggu itu. Yang mengejutkan semua yang hadir ialah, kemenangan bukan berpihak kepada Sang Arnah.  Tetapi sebaliknya berpihak kepada Sang Harimau. Di kalangan binatang-binatang yang hadir, ada yang menjerit-jerit mengecam keputusan Si Hakim (Sang Kancil). Kebanyakan mereka rasa teramat kecewa dengan keputusan Sang Kacil sebagai Hakim. Lebih-lebih lagilah Sang Arnah dan kaumnya. Mereka rasa seperti, “sudah jatuh ditimpa tangga”. Sudahlah anak-anak Sang Arnab mati dipijak Sang Harimau, kini kalah pula ia dalam kes mahkamah melawan musuhnya itu.  Sedangkan yang menghakimi perbicaraan tersebut ialah Sang Kancil, rakannya yang berseteru dengan Sang Harimau.

Kekalahan membawa implikasi tersangat buruk terhadap Sang Arnah. Hujah Hakim mengatakan bahwa Sang Arnab bersalah kerana tidak pandai menjaga keselamatan anak-anaknya sendiri tidak dapat diterima sama sekali oleh Sang Arnab. Jika kematian anak-anaknya itu berlaku di tempat lain hujah tersebut masih boleh diterima. Tetapi anak-anak Sang Arnab mati di dalam kawasan mereka sendiri. Cuma ia bukan dalam kawasan yang berpagar saja.

Kemenangan yang berpihak kepada Sang Harimau itu juga mempunyai implikasi buruk kepada masyarakat binatang keseluruhannya. Sang Harimau tidak akan merasa insaf akan kesalahannya.  Malah mungkin akan bertambah meningkat lagi egonya. Sebenarnya Sang Harimau sendiri  tahu bahawa dirinyalah yang sebenarnya bersalah. Bukan Sang Arnab. Oleh sebab Sang Kancil takut kepadanyalah maka beliau terpaksa dimenangkan. Siapalah Sang Kancil jika dibandingkan dengan diri Sang Harimau. Walaupun Sang Kancil bijak, namun dalam masyarakat binatang, kekuatan fisikal adalah kuasa yang lebih penting.

Si Hakim juga tahu bahawa keputusan yang dibuatnya itu adalah zalim kerana tidak memenangkan pihak yang tak bersalah. Namun, sebagai Hakim yang terpaksa menjatuhkan hukuman dalam situasi yang tidak kondusif untuk berlaku adil, maka itulah keputusan yang terbaik. Terbaik bukan untuk dirinya saja, malah terbaik untuk semua yang hadir. Bayangkanlah situasi dimana Sang Harimau mengamuk kerana tidak berpuashati dengan keputusan Hakim. Sepuluh Sang Arnah mengamuk tentu masih tidak seburuk jika nak dibandingkan dengan Sang Harimau seekor yang mengamuk. Begitulah seadanya.

Nilai Moral dari CEREKANA di atas

1.Walau sesiapa pun menjadi Hakim, faktor keselamatan dirinya sendiri akan tetap menjadi keutamaan. Tidak ada Hakim yang akan sanggup menempah risko yang tinggi semata-mata untuk membuat keputusan yang adil sekiranya keadilan itu akan memudaratkan dirinya sendiri atau orang-orang yang dikasihi.  Demikianlah juga seorang Hakim yang sangat Arif.

2.Bagi membolehkan Hakim membuat keputusan yang adil, situasi yang kondusif perlulah diwujudkan terlebih dahulu. Yang dimaksudkan dengan situasi kondusif ialah wujudnya jaminan yang menyakinkan Hakim, bahawa keselamatan beliau dan ahli-ahli keluarganya tidak akan terjejas walau apa pun keputusan yang dibuatnya.

3.Tanpa jamiman keselamtan tersebut, tak mungkin Hakim bersedia menjatuhkan hukum tanpa dipengaruhi ras takut atau/dan pilih kasih (without fear or/dan pilih kasih)

4. Situasi yang selamat seumpama itu hanyalah suatu utopia. Ia tidak akan wujud terutama di negara tumpah darah ku.

5.Keputusan perbicaraan di mahkamah amat bergantung kepada nasib orang kena dakwa (OKD). Jika untung sabut maka timbullah ia. Jika untung batu maka tenggelamlah ia. Oleh itu OKD kenalah banyak bertawakal.

Lain-lain PenCERAHan yang relevan :

Ahmad’s SAGA # 025 Hakim: Tanpa Takut dan/atau Ikut   https://4uni2c.com/2013/10/09/ahmads-saga-025-hakim-tanpa-takut-ikut/

*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK :   www.4uni2c.com

~ by OPajar on 2013-10-06.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: