Ahmad’s SAGA # 025 Hakim: Tanpa Takut & Ikut ?

***Untuk menCARI lain-lain TAJUK sila KLIK nama bulan di bawah ARCHIVE di kanan SKRIN, Kemudian SKROL

Hakim: Tanpa Takut &/ Ikut ?

Pada 5hb September lepas Acik (Ayah/Abang+cik) ke Johor Bahru lagi. Entahlah sudah berapa kali Acik ke Johor Bahru (JB). Ia semata-mata kerana kes Ahmad, anak Acik yang dituduh menghina Sultan Johor dalam laman sosial Facebook itu. Walaupun dakwaan terhadapnya sudah hampir setahun, namun kesnya masih belum tutup buku lagi.

Seperti biasalah, setiap sessi perbicaraan ke atas Ahmad, beribu ringgitlah Acik dan keluarga kena tanggung kosnya. Bayaran kepada peguambela saja berapa sehari. Itu belum masuk bayaran kepada saksi yang dipanggil peguambela untuk hadir beri kesaksian. Jadi busuk-busuk pun kantong keluarga Acik akan susut tidak kurang dua ribu ringgit bagi satu kunjungan ke JB selama sehari. Pernah juga mencecah empat ribu ringgit kerana sessi perbicaraan memakan masa dua tiga hari.

Bagi sessi yang lepas, tarikh sambung bicara ke atas Ahmad ialah pada 5hb dan 6hb September 2013, iaitu selama dua hari. Sesampainya kami di JB pada 5hb September, kami terus menempah bilik hotel murah untuk tinggal sehingga sessi perbicaraan selesai pada 6hb September, esoknya. Tut-tut perbicaraan hanya pada 5hb September saja bukan hingga 6hb September.

Yang agak terkilan bukan sebab apa, tetapi sebab salah seorang dari saksi-saksi pihak pendakwaan yang dipanggil oleh peguambela tidak dapat hazir. Kalau tak dapat hazir kerana ada urusan yang lebih penting satu hallah. Ni hanya kerana terlibat dengan pertandingan bowling padang. Khabarnya, bukan peringkat dunia, malah bukan peringkat nasional pun. Pada hal peguambela juga ada memohon supaya perbicaraan ditunda kerana bayinya memerlukan rawatan perubatan segera. Tetapi permohonan beliau telah tidak diluluskan. Rupa-rupanya inillah antara sebab-sebabnya mengapa sesuatu kes itu sering memakan masa yang agak lama untuk ditammatkan perbicaraannya.

Walaubagaimanapun, Acik tetap bersyukur kerana hanya seorang saksi saja yang tak dapat hadir. Yang lain tu masih hadir walaupun agak lewat. Yang patut hazir di sessi pagi, tangguh kepada sessi petang. Di akhir sessi perbicaraan pada 5hb September itu, Hakim putuskan supaya perbicaraan disambung semula pada 2hb Oktober 2013 nanti. Harap-harap saksi yang sama tak ada alasan lain pula untuk tidak hadir pada tarikh tersebut. Jika tak hazir juga, entahlah tak tahu apa nak kata lagi.

Sehingga kini, baru sekali Acik tak ikut sama ke JB menghaziri sessi perbicaraan Ahmad, iaitu sessi sebelum ini. Sessi tersebut dijalankan dalam bulan puasa Ramadhan. Jadi, Acik sengaja memilih untuk tidak turut sama berada dalam mahkamah. Acik rasa kurang selesa mengikuti apa-apa sessi perbicaraan dalam bulan puasa. Ini demi menghormati kesucian bulan Ramadan al-mubarak tersebut. Maklumlah, dalam setiap sessi perbicaraan tak semua saksi akan berkata benar. Walaupun telah mengangkat sumpah, “tidak ada yang tidak benar melainkan yang benar-benar belaka”, namun hakikatnya kesaksian tidak pernah sunyi dari pembohongan.

Namun begitu, Acik rasa agak kesal juga kerana tak hazir dalam sessi tersebut. Ini kerana isteri Acik beritahu Acik, sessi perbicaraan tersebut memang sangat menarik. Kehaziran saksi-saksi “hebat” bagi pihak pembelaan, mengkagumkan semua yang hadir. Saksi-saksi yang Acik maksudkan itu ialah adik Khalid Ismath dan seorang lagi rakan beliau. Kedua-dua mereka adalah aktivis muda. Mengikut cerita isteri Acik, adik Khalid Ismath memang “power”. Kononnya, karismanya hingga dapat mengalahi pendakwa. Beliau amat petah berhujah ketika menjawab soalan-soalan yang dilemparkan terhadapnya. Acik boleh terima penilaian isteri Acik itu (terhadap saksi) sebab isteri Acik itu adalah seorang bekas pembahas terbaik bagi pertandingan bahas Piala Perdana Menteri ketika di alam persekolahannya dahulu. YM Tengku Kamariah (kekanda kepada DYMM Sultan Johor sekarang) mungkin dapat mengesahkan ini. Baginda sama sekolah dengan isteri Acik itu ketika mereka di Sekolah Tun Fatimah dahulu. Begitu juga Tengku Azizah, isteri Tengku Mahkota Pahang sekarang.

Sessi 5hb September lepas pun mungkin tak kurang menarik. Apa yang dapat Acik faham ialah peguambela cuba membuktikan tentang status dua pucuk dokumen. Katakanlah satu dokumen “Ba” dan satu lagi dokumen “Bi”. (“Ba” ialah huruf kedua dalam tulisan jawi, manakala “Bi” adalah huruf kedua dalam tulisan rumi).

Dokumen-dokumen tersebut adalah senarai barang-barang yang dirampas oleh pihak Polis untuk dijadikan bahan bukti. Mengikut Ahmad, dokumen yang beliau tanda tangani ialah dokumen “Ba”. Tetapi sebaliknya mengikut pihak pendawaan, yang Ahmad tanda tangani itu ialah dokumen Bi bukan dokemun “Ba”.

Malah pada peringkat awalnya, pihak pendakwaan cuba menafikan langsung tentang kewujudan dokumen “Ba” itu. Walaubagaimanapun, atas kebijaksanaan peguambela penafian tersebut telah berjaya disangkal. Namun, pihak pendakwaan terus mendesak agar dokumen “Bi” digunakan bagi mengganti dokumen “Ba”. Alasannya ialah salinan asal dokumen “Ba” tidak dapat dikesan. Siapakah yang menghilangkannya ? Tentulah “tak ada siapa yang akan mengaku berak di atas jalan”, kata orang tua-tua.

Pada mulanya Acik sendiri tidak faham, kenapa pihak pendakwaan beria-ia sangat menolak dokumen “Ba” supaya dapat digantikannya dengan dokumen “Bi”. Kemudian baru Acik tahu bahawa suatu item yang tersangat penting bagi pihak pendakwaan telah tidak dicatit dalam dokumen “Ba”. Item yang dimaksudkan itu ialah sebuah telefon mudah alih berjenama “i-phone”. Samada pencatit sengaja tidak mencatit atas muslihat tertentu, ataupun tercicir dari catitan secara kebetulan, hanya Allah SWT jua yang tahu. Sebaliknya item berkenaan ada tercatit dalam dokumen “Bi”. Ini ada hikmahnya. Maksud Acik, masih ada peluanglah lagi bagi Ahmad untuk menuntut balik i-phone yang dirampas itu sebab ada dalam catitan. Telefon bimbit tersebut baru saja dibeli Ahmad ketika dirampas dulu.

Yang menjadi isunya ialah Ahmad sebagai OKD (Orang Kena Dakwa) menafikan bahawa beliau pernah menurunkan tandatangannya ke dalam dokumen “Bi” tersebut. Dengan kata lain tandatangan yang di dalam dokumen “Bi” tersebut adalah tandatangan orang lain, bukannya tandatangan Ahmad. Implikasi dari penafian Ahmad tersebut ialah tandatangan tersebut adalah tandatangan yang tidak tulen atau tandatangan yang telah dipalsukan.

Walau apapun, pihak pendakwaan tetap menegaskan bahawa tandatangan dalam dokumen “Bi” itu adalah tandatangan Ahmad yang tulen. Sekiranya Tuan Hakim mengiktiraf dokumen “Ba” (dan menolak “Bi”), maka implikasinya ialah kes Ahmad itu akan tutup buku di situ saja. Maknanya, perbicaraan tidak perlu dilanjutkan lagi. Sebabnya ialah telefon bimbit tersebut adalah merupakan anak kunci kepada pembuktian yang boleh mensabitkan Ahmad dengan kesalahan yang didakwa ke atasnya.

Kononnya maklumat penting yang relevan telah dijumpai tersimpan dalam telefon bimbit tersebut. Tanpa maklumat-maklumat tersebut tuduhan terhadap Ahmad akan hilang kredibilitinya sama sekali. Dengan kata lain, pembuktian bahwa Ahmad bersalah tidak akan berjaya mencapai tahap, “melampaui keraguan yang munasabah” (beyond reasonable doubt) jika tiadanya telefon mudahalih tersebut.

Supaya perbicaraan terhadap Ahmad dapat diteruskan, mau tak mahu pihak pendakwaan wajib meyakinkan Tuan Hakim bahawa dokumen yang sah untuk diterimapakai bagi tujuan perbicaraan tersebut adalah dokumen “Bi”. Ini kerana dalam dokumen “Bi” saja yang ada tercatit sebuah telefon bimbit sebagai bahan bukti yang turut dirampas. Samada OKD (Ahmad), mengakui atau menafikan pernah menurunkan tandatangannya di atas domumen “Bi”, itu adalah isu lain. Asalkan Tuan Hakim bersetuju saja supaya dokumen “Bi” diterimapakai sebagai bahan bukti, maka perbicaraan layaklah diteruskan.

Tanpa hati yang berbelah bahagi, Ahmad dengan istiqamah tetap mendakwa bahawa domumen yang ditandatanganinya dulu ialah dokukemen “Ba” bukan dokumen “Bi”. Salinan kepada dokumen “Ba” yang diberi kepadanya oleh pegawai Polis berkenaan itulah yang diserah Ahmad kepada Peguambela. Ahmad tak pernah tahu pun tentang kewujudan dokumen “Bi” sebelum ini. Apa lagi menandatangi dokumen “Bi” tersebut. Oleh itu, bagi Ahmad dokumen “Bi” itu sengaja diwujudkan supaya dapat dimasukkan ke dalamnya satu lagi item yang dianggap maha penting itu (iaitu sebuah telefon bimbit). Seperti telah disebut di atas, hanya dengan kehadiran telefon bimbit tersebut maka barulah ada sedikit asas untuk meneruskan perbicaraan terhadap OKD (Ahmad)

Bagi mengukuhkan lagi dakwaan pembelaan bahawa dokumen “Ba” adalah dokumen sebenar yang ditandatangani oleh Ahmad, peguambela telah memanggil seorang saksi (Saudara Zakuan). Saksi ini adalah seorang peguam. Beliau berada berhampiran dengan Ahmad ketika satu salinan dokumen “Ba” diserahkan oleh pegawai Polis berkenaan kepada Ahmad (yang ketika itu masih berstatus OKT-Orang Kena Tahan). Ini berlaku pada tarikh Ahmad ditahan. Saudara Zakuan diminta oleh keluarga OKT untuk berperanan sebagai peguam bidan terjun bagi OKT, sementara mereka berusaha mendapatkan seorang peguambela lain bagi prosess pengadilan seterusnya.

Semasa saudara Zakuan memberi kesaksian beliau di dalam kandang saksi, Pendakwa cuba mempertikaikan kredibiliti beliau. Pendakwa macam tidak percaya bahwa saudara Zakuan benar-benar mempunyai kelayakan seorang peguam ketika Ahmad ditangkap. Pendakwa juga seolah-olah mengugut saksi dengan kemungkinan beliau dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak dapat mengemukakan bukti bahwa beliau seorang peguam yang layak ketika itu. Pendakwa kemudiannya meminta saksi mengemukakan sijil pendaftaran beliau dangan Majlis Peguam Malaysia (Malaysian Bar Council)

Kebetulan ketika itu ada seorang rakan saksi (saudara Ziadi Zaidon) yang turut hazir dalam mahkamah mengikuti perbicaraan tersebut. Saudara Ziadi juga seorang peguam. Saudara Ziadi terus melayari “website” Majlis Peguam Malaysia dengan telefon bimbitnya yang agak canggih itu. Dalam senarai pendaftaran dengan Majlis Peguam Malaysia itu, nama saudara Zakuan memang telah wujud. Saudara Ziadi menunjukkan telefon bimbitnya itu kepada Peguambela. Peguambela pula cuba meyakinkan Tuan Hakim dengan menunjukkan telefon bimbit tersebut kepada beliau.

Sepatutnya selepas merujuk kepada laman web Majlis Peguam tersebut, hilanglah kesangsian terhadap kredibiliti saksi ini (saudara Zakuan). Tetapi malangnya, Pendakwa masih menuntut agar saksi mengemukakan juga sijil pendaftaran beliau dalam bentuk “hard copy”. Tuan Hakim setuju saja dengan tuntutan Pendakwa tersebut. Yang agak menghairankan Acik ialah kenapa Pendakwa mendesak agar saksi datang sendiri membawa sijil “hard copy” tersebut pada sessi perbicaraan yang akan datang.

Peguambela memohon agar Pendakwa tidak mewajibkan saksi datang sendiri ke mahkamah pada sessi perbicaraan nanti. Sangat tidak berbaloi rasanya jika saudara Zakuan hadir hanya sekadar untuk menyerahkan sijil “hard copy” berkenaan. Peguambela boleh saja menyerahkannya kepada Pendakwa bagi pihak saudara Zakuan. Malangnya Pendakwa tetap berkeras juga dengan tuntutannya supaya saksi datang sendiri pada sessi perbicaraan 2hb Oktober nanti. Hakim setuju saja dengan tuntutan tersebut tanpa sebarang komen.

Bagi Acik, apa yang Pendakwa mahu itu adalah agak keterlaluan. Maklum sajalah, kedatangan saksi tersebut dari Kuala Lumpur akan melibatkan kos yang agak tinggi. Apa salahnya jika sijil dalam bentuk “hard copy” yang dikehendaki Pendakwa itu diserahkan saja kepadanya oleh Peguambela tanpa kehadiran saudara Zakuan. Sekurang-kurangnya kos perbicaraan dapat dijimatkan. Saudara Zakuan pula ialah seorang peguam. Masa beliau agak berharga bukan untuk dirinya saja malah bagi masyarakat.

Desakan Pendakwa tersebut telah mencetuskankan dua spekulasi dalam pemikiran kritis Acik. Pertama mungkin kerana tahap pengetahuan komputer Pendakwa masih terlalu rendah. Kedua mungkin semata-mata hendak “mendera” OKD, keluarganya dan juga saksi sendiri. Kedua-dua spekulasi tersebut hanyalah berdasarkan persepsi Acik saja. Persepsi Acik itu pula terbentuk berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan kepada saksi-saksi oleh Pendakwa sepanjang sessi perbicaraan. Kadang-kadang nak ketawa pun ada sebab soalan yang ditanya terlalu asas (basic). Ia umpama melontarkan soalan, “apakah jawapannya jika dua ditambah dua” kepada calon PMR Sekolah Menengah Sains.

Dalam era teknologi maklumat sekarang, banyak urusan telah dipermudahkan. Kalau dahulu, tiket kapal terbang adalah begitu “impressive” sekali bentuk fisikalnya (hard copy) hingga mengalahi wang kertas RM100 semasa. Tetapi, sekarang ini ianya hanya sekeping kertas biasa saja. Namun tak dengar pula ada bakal penumpang kapal terbang yang mempertikaikan ketulenan tiket-tiket yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan berkenaan.

Contohnya, tiket kapal terbang yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan Air Asia. Jadi, apa yang lebih penting dalam era kecanggihan komputer sekarang ini ialah, apa yang tersimpan dalam pengkalan data komputer. Sesuatu dokumen (hard copy) itu mungkin tidak laku jika kewujudannya tidak dapat dikesan dalam sistem maklumat berkomputer.

Baru-baru ini kad ATM anak bongsu Acik ditelan oleh mesin ATM. Beliau memohon untuk mendapatkan kad baru kerana kad lama pun dah agak teruk. Malangnya pihak bank tidak dapat memproseskan permohonan beliau kerana kad penganalan (mykad) nya tidak dapat dibaca oleh mesin pengesan tandatangan. Ini menyebabkan mykad anak Acik itu diragui ketulenannya. Beliau dinasihati memohon mykad baru di pejabat pendaftaran. Ini satu contoh dimana maklumat yang disimpan dalam pengakalan data eletronik pihak Jabatan Pendaftaran Negara itu adalah lebih penting dari mykad fisikal yang masid ada di dalam simpanan anak Acik itu.

Begitulah juga dengan sijil pendaftaran saksi (saudara Zakuan) dengan Majlis Peguam Malaysia. Yang lebih penting bukan dokumen fisikalnya (hard copy), tetapi “salinan” nya yang tersimpan dalam pengkalan data eletronik milik Majlis Peguam Malaysia. Bagi Acik, jika dalam “website” badan berkenaan sudah terbukti bahawa saudara Zakuan telah pun berdaftar, maka kesahihan pendaftaran tesebut tak perlulah nak disahkan pula dengan “print out” atau “hard copy”nya. Lainlah jika “print out” itu adalah untuk tujuan lain atau untuk disimpan dalam fail. Jika ini tujuannya pun, ia masih tak wajar dijadikan justifikasi untuk menunutut saksi datang sendiri menyerahkan “hard copy” tersebut kepada Pendakwa.

Tapi apa boleh buat, Tuan Hakim pun dah setuju dengan tuntutan Pendakwa tersebut. Bagi pihak OKD, Acik redha sajalah. Namun dalam hati, Acik tetap menganggap tuntutan Pendakwa itu tidak menyumbang apa-apa yang positif kepada proses perbicaraan. Malah sebaliknya.
Maklumat Penting Dalam Telefon Mudah Alih Ahmad:

Mengikut pihak pendakwaan, beberapa data dan maklumat yang tersimpan dalam telefon bimbit OKD yang dirampas itu adalah bukti-bukti penting bahawa OKD memang mampu melakukan kesalahan sebagaimana yang didakwa. Kononnya, dalam telefon bimbit itulah dijumpai “kata laluan” (password) untuk memasuki laman Facebook yang menggunakan profile “Zulyahya” itu. Kononnya lagi, dengan menggunakan kata laluan itulah maka Ahmad telah berjaya memasuki (log in) ke laman Facebook “Zulyahya”. Kemudian Ahmad telah memuatnaikkan satu status menghina DYMM Sultan Johor ke dalam laman Facebook Zulyahya itu.

Mengikut Laporan Polis terhadap Ahmad, yang dibuat oleh individu-individu berkenaan, kerja bodoh memuatnaikkan status menghina DYMM Sultan Johor itu ke dalam laman sosial Facebook telah dilakukan pada 10hb Oktober dan 12hb Oktober 2012. Walaubagaimana pun adalah didapati kemudiannya bahwa tidak ada kes prima facie bagi kerja bodoh yang dilakukan Ahmad pada 12hb Oktober 2012. Kes prima facie hanya wujud bagi kerja bodoh yang dilakukan Ahmad pada 10hb Oktober. Oleh itu pendakwaan kini tertumpu sepenuhnya kepada kerja bodoh yang dilakukan OKD (Ahmad) pada 10hb Oktober 2012.

Acik pernah kagum dengan kebijaksanaan dan kepakaran pihak Polis bagi mengesan pengguna-pengguna laman web yang menyalahgunakan laman web mereka. Sebelum ini Acik memang percaya bahawa Ahmad bukanlah seorang mangsa “pendakwaan terpilih” (selective prosecution). Dengan kata lain, orang kena tuduh (OKT) hanya dikenalpasti sebagai Ahmad setelah pemeriksaan dibuat ke atas semua komputer yang ada dalam pejabat tempat Ahmad bekerja. Sebelum ini Acik percaya bahawa pasukan Polis yang datang dari Johor Bahru hanya mahu menangkap pemilik akaun Facebook yang bergelar “Zulyahya”. Mereka belum tahu (ketika itu) bahawa individu yang menggelarkan dirinya “Zulyahya” itu adalah Ahmad bin Abd Jalil.

Kononnya, Polis hanya dapat mensyaki bahawa “Zulyahya” ketika memuatnaikkan status menghina Sultan itu berada di pejabat di mana Ahmald bekerja. “Zulyahya” tersebut tak semestinya Ahmad. Beliau mungkin Bakar atau Chandra atau Daud atau mana-mana individu yang berkerja dengan syarikat Ahmad berkerja. Malah tak mustahil bahawa individu tersebut mungkin taukeh syarikat itu sendiri.

Setelah menggeledah segala isi perut semua komputer yang ada di Pejabat Ahmad, rupa-rupanya didapati bahawa “Zulyahya” yang dicari oleh Polis itu adalah Ahmad. Jadi Ahmadlah orangnya yang memuatnaikkan ke dalam laman sosial Facebooknya satu status yang ditakrifkan sebagai menghina DYMM Sultan Johor. Facebook tersebut telah menggunakan profile “Zulyahya” supaya tidak dapat diketahui siapa pemiliknya.

Suatu pengakuan yang agak memeranjatkan Acik dan semua kami yang hazir di mahkamah petang itu ialah jawapan saksi kepada satu soalan peguambela. Saksi yang dimaksudkan itu ialah seorang pegawai Polis berpangkat Inspektor. Soalan tersebut berbunyi kira-kira begini, “macam mana awak tahu bahwa orang yang akan ditahan itu ialah Ahmad ? ”. Saksi tersebut secara spontan menjawab bahawa, beliau telah pun diberitahu terlebih dahulu.

Mengikut saksi tersebut, sebelum bertolak ke Kuala Lumpur dari Balai Polis di Johor pada hari berkenaan, beliau telah turut sama mendengar taklimat ketuanya. Dalam taklimat tesebut, mereka yang hadir telah diberitahu bahawa nama individu yang hendak ditangkap adalah Ahmad bin Abd Jalil khususnya. Jawapan saksi ini adalah bercanggah samasekali dengan gambaran yang kami dapat sebelum ini iaitu pihak Polis belum tahu siapakah individu yang sedang dijejaki. Oleh itu, kalau dahulu tidak timbul isu “selective prosecution” terhadap mana-mana individu termasuk Ahmad, senarionya kini telah berubah 180 darjah.

“Selective prosecution” boleh membawa implikasi yang amat negatif terhadap OKT. Ia adalah sesuatu yang dirancang bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Jika pihak Polis memang mensasarkan Ahmad sebagai mangsa tangkapan, maka perancangan khusus sudah tentu dilakukan supaya usaha tersebut tidak kantoi. Ini termasuklah merekacipta suatu pertuduhan yang benar-benar berkesan agar mangsa akhirnya akan berjaya dihukum. Jika kesalahan yang dilakukan mangsa hanya satu kesalahan kecil yang mungkin dianggap remeh oleh rakyat biasa, maka suatu kesalahan yang lebih serious perlulah direkacipta untuk ditempelkan ke atas mangsa.

Contohnya, jika seseorang penjenayah hendak disabitkan dengan satu kesalahan berat, maka sesuatu yang licik akan dilakukan hingga OKT akan tertuduh memiliki sejata api. Sedangkan hakikat sebenarnya, dia hanya memiliki sebilah parang kontot saja. OKT (Ahmad) mungkin juga telah pernah membuat sesuatu kenyataan yang agak negatif terhadap DYMM Sultan. Namun, Acik percaya, tidaklah sampai ketahap begitu buruk hingga tidak seorang pun dari rakyat baginda akan sudi memaafkan OKT tersebut walaupun berasa kasihan terhadap beliiau.

Jika seorang Muslim mencuri seringgit dari tabung masjid, kewajaran beliau dihukum tidaklah dipertikaikan. Tetapi jika kerana seringgit itu dia nak dihumban ke dalam penjara sehingga 10 tahun lamanya, maka ini zalim namanya. Apa lagi jika ada rakyat lain yang mencuri berjuta-juta ringgit, tetapi ia hanya dihukum setahun penjara sahaja. Status sebagai seorang VVIP bukanlah satu justifikasi yang layak dan wajar digunakan bagi mendiskriminasikan seseorang rakyat dengan seorang rakyat yang lain. Lebih-lebih lagi di Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

Setelah mengikuti sessi perbicaraan ke atas anak Acik itu dari mula hingga kini, rasa-rasanya Acik dah mampu membentuk satu persepsi sendiri terhadap sistem pengadilan yang wujud di Malaysia. Mengikut persepsi Acik, sistem pengadilan yang diamalkan kini, agak menyusahkan dan ketinggalan zaman. Sepatutnya, sejajar dengan kemajuan IT yang telah dicapai, saksi-saksi tidak perlu hazir di mahkamah di mana perbicaraan dijalankan. Contohnya, saksi-saksi dari Kuala Lumpur hanya perlu menghazirkan diri di mana-mana mahkamah di Lembah Kelang. Dari sana beliau berkomunikasi dengan pihak mahkamah di Johor Bahru melalui “video conferencing” secara “live” (langsung). Bayangkanlah, berapa banyak kos yang akan dapat dijimatkan. Setiap sen kos yang dijimatkan, bermakna satu penjimatan kepada negara. Tak kiralah siapa yang berjaya melakukan penjimatan tersebut. Samada seorang rakyat biasa, lebih-lebih lagi seorang anggota penting dalam sebuah jabatan kerajaan.

Satu lagi kelemahan yang Acik nampak sebagai mendominasikan sistem pengadilan dalam negara kita ini ialah dari aspek keselamatan. Aspek ini amat luas jika hendak dibahaskan keseluruhannya. Jadi biarlah Acik menyentuh satu dua saja di dalam penCERAHan ini sebagai contoh.

Acik ingin mengimaginasikan diri Acik sebagai seorang Hakim yang mengadili satu kes yang agak kontroversi. Status kes tersebut adalah ibarat, “ditelan mati emak, diluah mata bapa”. Biasanya kes ini melibatkan dua pihak, katalah pihak “Ba” dan “Bi”. Andaikanlah bahawa “Ba” adalah seorang yang sengat penting lagi berkuasa dalam negara. Sebaliknya “Bi” hanyalah seorang rakyat marhaen yang dhaif macam anak Acik tu.

Bagi kes-kes yang jelas bahawa pihak yang bersalah ialah “Bi”, maka ia tidaklah menjadi apa-apa masalah bagi Hakim berkenaan untuk menjatuhkan hukuman. Sebaliknya, jika yang didapati bersalah itu adalah “Ba”, apa agaknya tahap tekanan jiwa yang terpaksa ditanggung oleh Hakim tersebut ?. Setakat ini, dalam perbicaraan kes-kes yang melibatkan dua pihak yang berbalah, belum pernah lagi Acik dengar maupun terbaca, Tuan Hakim menghukumkan “menang” bagi kedua-dua belah pihak. Begitu juga sebaliknya, iaitu kedua-duanya “kalah”. Oleh yang demikian mahu tidak mahu, Hakim mesti menghukum “bersalah” samada ke atas “Ba” ataupun “Bi”.

Yang menjadi persoalan besar ialah, adakah wujud situasi dimana Hakim benar-benar dalam environment yang kondusif untuk membuat keputusan tanpa “takut” dan/atau “ikut”. Kata orang putih, “without fear or/and favour”. Acik lebih suka guna perkataan “ikut” daripada “favour”. Bukankah “favour” dilakukan dengan mengikut apa yang dihasratkan oleh individu atau pihak berkenaan terhadap kita ? Ini adalah satu situasi yang terlalu ideal atau utopia. Entahlah kalau-kalau ada orang lain yang percaya bahawa situasi ini adalah sesuatu yang biasa dalam semua mahkamah pada semua masa. Namun fikiran rasional Acik tetap menafikan kemungkinan situasi ideal tersebut wujud di mana-mana Mahkamah, khususnya di Malaysia.

Acik tidak pernah melabelkan seseorang Hakim itu selain dari seroang insan biasa macam diri Acik sendiri. Sifat mementing dan mengutamakan diri sendiri tetap ada dalam diri semua insan. Hakim pun tidak terkecuali. Walaupun kadangkala seseorang individu itu nampaknya seolah-olah mengutamakan pihak lain, namun hakikatnya ia tetap lebih mengutamakan dirinya sendiri.

Acik suka ambil satu contoh bagi menjustifkasikan dakwaan tersebut. Katakanlah berlaku kebakaran ke atas rumah jiran sebelah kita. Tiba-tiba kita ternampak seorang kanak-kanak sedang merangkak dalam rumah tersebut. Dengan pantas kita menerpa masuk ke dalam rumah tersebut demi menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak tersebut pun terselamat hasil dari pengorbanan dan risko yang telah kita sanggup hadapi. Laku kita pun mendakwa bahawa demi menyelamatkan seorang kanak-kanak kita sanggup bergadai nyawa. Memanglah wajar kita berasa bangga atas keberanian dan keikhlasan kita menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Tetapi dakwaan kita itu bukanlah justifikasi sebenarnya.

Bagi Acik itu hanyalah justifikasi biasa yang mudah diterima dan difahami oleh semua orang. Tetapi apa yang tak ramai orang fahami ialah hakikat sebenar yang menyebabkan kita bertindak sedemikian rupa. Tindakan kita itu sebenarnya adalah untuk kepentingan diri kita sendiri. Apa akan orang lain kata terhadap kita jika kita tidak melakukan sesuatu untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Sedangkan hati kecil kita sedar bahawa peluang dan kemampuan kita untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut pada saat-saat kritikal itu adalah sangat baik. Oleh itu, tindakan kita menyelamatkan kanak-kanak tersebut adalah demi untuk menyelamatkan diri kita sendiri. Kepentingan yang dimaksudkan ialah keselamatan diri dan maruah diri dari diancam atau dicemari oleh berbagai komen-komen negatif yang bekemungkinan timbul di kemudian hari.

Seorang Hakim adalah juga sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman akibat dari keputusan yang dibuatnya di dalam mahkamah di akhir sessi perbicaraan. Walaupun di negara kita belum pernah belaku kejadian di mana Hakim dijumpai mati selepas menjatuhkan hukuman terhadap pesalah di dalam mahkamah, namun kejadian ini telahpun berlaku di beberapa negara luar. Acik yakin ramai Hakim maklum fenomena ini. Acik percaya semua Hakim sangat peka terhadap tahap jaminan keselamatan untuk diri dan orang-orang di sekeliling mereka yang sangat dikasihi. Kepekaan ini pasti akan mempengaruhi jiwa dan minda masing-masing semasa hendak menjatuhkan sesuatu hukuman ke atas “pesalah tegar lagi ganas”.

Acik rasa memadailah dulu sekadar ini PenCERAHan Acik untuk kali ini. Untuk memahami dengan lebih mendalam makna yang tersirat dalam PenCEERAHan Acik ini, silalah baca CEREKANA Acik yang bertajuk “Walaupun Berhakimkan Kancil

..

W a l l a h u ‘a q l a m 🌷

.

Lain-lain PenCERAHan yg relevan

.

Ahmad’s SAGA # Index

https://4uni2c.com/2013/12/11/ahmads-saga-index/

.
Walaupun Berhakimkan Kancil https://4uni2c.com/2013/10/06/cerekana-13×06-walaupun-berhakimkan-kancil/

.
Ahmad’s SAGA # 024 Garbage in Garbage out (GiGo) https://4uni2c.com/2013/09/19/ahmads-saga-24-garbage-in-garbage-out-gigo/

.
Ahmad’s SAGA # 026 : Terhukum Sebelum Disabitkan Kesalahan: https://4uni2c.com/2013/10/17/ahmads-saga-026-terhukum-sebelum-disabitkan-kesalahan/?preview=true&preview_id=809&preview_nonce=d467393730

.

PenCERAHan Terbaru: ⬇️

Terbaru: ⬇️

http://www.4uni2c.com

.

@OPajar # 13X09

~ by OPajar on 2013-10-09.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: