Ahmad’s SAGA # 024 Garbage In Garbage Out (GIGO)

***Untuk men CARI lain-lain TAJUK sila KLIK nama bulan di bawah ARCHIVE di kanan SKRIN, Kemudian SKROL

Garbage In Garbage Out (GIGO)

Semasa baru balik dari belajar di luar negara dahulu, Acik ghairah untuk melihat organisasi tempat Acik berkhidmat itu memenafaatkan teknologi komputer. Pada awal tahun 80an itu komputer peribadi baru mula diperkenalkan. Komputer “note book” belum dicipta. Komputer “lap top” berjenama Toshiba pun baru ada di pasaran Malaysia beberapa tahun kemudian. Sebuah “lap top” adalah kira-kira dua kali ganda lebarnya dari komputer “note book”. Begitu juga dengan tebalnya. Beratnya mungkin empat kali ganda atau lebih dari berat kebiasaan komputer “note book” sekarang. Namun dari segi kemampuan menghasilkan “output”,  ia amat jauh ketinggalkan berbanding dengan kemampuan kebanyakan komputer “note book” sekarang.

Acik mula didedahkan dengan teknologi komputer di universiti luar negara tempat Acik menuntut. Bagi membalas jasabaik majikan Acik kerana telah membolehkan Acik membawa keluarga bersama-sama ke luar negara, maka Acik berazam melakukan sesuatu perubahan positif yang ketara di dalam organisasi Acik. Kebetulan organisasi Acik ketika itu masih belum peka dengan teknologi komputer yang mulai berkembang pesat. Komputer meja yang sudah dibeli hanya digunakan seperti mesin taip saja, iaitu untuk menulis surat dan menyediakan dokumen-dokumen dalam bentuk tulisan. Satu dari komputer-komputer meja di pejabat Acik itu berjenama Radioshak.  Satu lagi IBM. Kemudiannya dibeli pula beberapa unit berjenama Hewlett Packet (HP).

Sebenarnya pada masa itu sistem komputer tidak seragam. Radioshak tak sama dengan IBM dan HP. Begitu juga dengan perisiannya atau “software”. Akibatnya pengguna Radioshak tidak mungkin boleh menyambung kerjanya dengan menggunakan HP atau IBM, jika sekiranya kerjanya itu dimulakan dengan mengguna komputer Radioshak. Begitulah juga, jika seorang anggota yang memulakan kerjanya dengan menggunakan komputer IBM di pejabatnya, beliau tak mungkin dapat menyiapkan kerjanya itu di rumah sekiranya komputer di rumahnya itu berjenama Apple.

Fenomena tersebut belum dapat difahami kebanyakan pegawai-pegawai atasan ketika itu. Oleh sebab itu apabila ada cadangan dari anggota bawahan kepada pihak pengurusan agar bilangan komputer ditambah, cadangan tersebut agak sukar dilayan. Pihak pengurusan suka menganalogikan komputer sebagai kereta. Semua kereta mampu membawa kita ke destinasi-destinasi yang sama, tidak kira jenama apa pun kereta berkenaan. Dengan melihat setiap masa ada saja satu atau dua komputer tidak digunakan, maka pihak pengurusan menganggap masih belum ada keperluan untuk menambahkan bilangan komputer di pejabat tersebut. Malangnya analogi tersebut adalah salah. Acik sendiri pun pernah menghadapi masaalah untuk meyakinkan boss tentang keperluan komputer tambahan berjenama IBM.

Fenomena yang sama seperti di atas telah tidak wujud lagi sekarang ini. Mungkin telah ada “consensus” di kalangan pengeluar-pengeluar komputer supaya setiap komputer  diseragamkan pada aspek-aspek asas tertentu dalam sistem komputer keluaran masing-masing. Dengannya maka pengguna-pengguna teknologi komputer kini tidak lagi menghadapi masaalah seperti yang dijelaskan di atas.

Walaupun fenomena tersebut di atas tidak lagi relevan pada hari ini, namun ia tetap menjadi pengetahuan yang amat berguna bagi Acik. Pengalaman yang boleh Acik ambil sebagai iktibar  ialah bagaimana sukarnya hendak memahamkan boss tentang komputer agar beliau dapat membuat satu keputusan yang adil. Keputusan adil yang Acik maksudkan itu ialah meluluskan permohonan anggota-anggota bawahan agar bilangan komputer IBM di pejabat ditambah. Nasihat begitu tidak perlu pun sekiranya boss Acik itu juga seorang yang arif tentang komputer ketika itu.

Jika pengalaman tersebut hendak dibandingkan dengan kes Ahmad, maka Hakim bolehlah diibaratkan sebagai boss Acik tersebut. Peguambela pula adalah Acik sendiri dalam senario tersebut. Sebelum Acik terus membuat perbandingan tersebut, biarlah sama-sama kita belajar dulu tentang satu konsep penting yang sangat relevan dalam era komputer sekarang. Konsep tersebut ialah “garbage in garbage out” atau “acronym”nya GIGO.

Sebenarnya konsep GIGO ini Acik belajar dari seorang individu bernama Won Tze Ya (WTY). Entah dari mana beliau kutip konsep GIGO ini, kurang periksalah pula Acik. Saudara WTY adalah seorang pengatur program komputer (computer programmer). Bagi menjayakan projek pengkomputeran organisasi Acik ketika itu, saudara WTY telah Acik perkenalkan untuk diambil oleh organisasi Acik sebagai “consultant” (juru runding) komputer.

Malangnya saudara WTY hanya sudi berkhidmat dengan organisasi Acik selama dua tahun sahaja. Selepas itu beliau berhijarah ke Singapura untuk menerima suatu jawatan yang berpendapatan belasan ribu ringgit sebulan. Sedangkan organisasi Acik hanya membayar gaji tidak sampai tiga ribu ringgit pun sebulan. Dah lah gajinya itu tidak setimpal dengan kepakaran beliau, bermacam-macam pula bentuk tekanan dan kutukan yang diterimanya dari boss-bossnya. Padahal mereka itu bukan tahu sangat tentang komputer, cuma lagaknya saja yang lebih-lebih, malah “beyond reasonable doubt”. Ini satu lagi contoh dari banyak contoh-contoh lain, dimana individu hebat lagi berbakat tidak pandai dimenafaatkan oleh negara kita ini untuk memajukan negara dan bangsa.

Mengikut saudara WTY komputer adalah alat yang dapat menjana berbagai-bagai “output” untuk dimunafaatkan oleh manusia. “Output” yang dihasilkan adalah bergantung kepada “input” yang digunakan bagi menjana “output” berkenaan. “Input” adalah umpama ramuan-ramuan, manakala “output” umpama makanan yang dihasilkan dari masakan campuran ramuan-ramuan berkenaan. Jika ramuan-ramuan yang digunakan tidak berkualiti, maka hasilnya pun tentulah kurang berkualiti juga. Konsep ini lebih kurang serupa dengan konsep “form and substance” yang Acik sentuh dalam artikel Acik bertajuk, “Dasar PPSMI dan Menteri Yang Gopoh”.  Konsep ini sesuai dengan suatu sunnatullah (peraturan/hukum Allah) yang wajar diterima dan difahami oleh setiap orang yang berakal dan berfikiran rasional.

Begitulah juga dalam aspek pengurusan. Sesuatu keputusan yang dihasilkan adalah bergantung kepada input-input yang dijadikan asas atau ramuan bagi proses membuat keputusan berkenaan. Jika input-input tersebut tidak berguna (seperti  sampah=GARBAGE), maka keputusannya nanti juga adalah keputusan yang tidak berguna (sampah=GARBAGE). Oleh itu pembuat keputusan perlulah memastikan bahawa input-input yang diberi kepadanya adalah input-input yang benar dan “reliable”. Dengan input-input yang bersifat demikian, barulah keputusan yang dihasilkan nanti adalah keputusan yang adil, yang bukan sampah.

Malangnya ramai KETUA jabatan (CEO) sering mendakwa tidak ada masa dan cara untuk memastikan bahawa input-input yang diterima dari orang kanannya adalah input-input yang bernas dan “reliable” (boleh dipercayai). Akibatnya, beliau terpaksa menanggung risko yang tinggi sebab keputusan yang dibuatnya tidak terjamin yang terbaik, malah kerap kali juga SILAP hingga memakan dirinya sendiri. Bagi mengurangkan risko tersebut, mahu tidak mahu setiap ketua jabatan perlulah mengenali degan tepat kredibiliti orang kanannya yang menjadi sumber utama baginya mendapatkan input-input penting.

Faktor yang maha penting ialah KEJUJURAN orang kanan tersebut. Faktor kedua yang penting ialah KEMAHIRAN dan KEPAKARANnya mengenalpasti dan menapis input-input sebelum disampaikan kepada ketua jabatannya. Jika kedua-dua faktor tersebut tidak ada, maka kehancuranlah yang akan menjadi kenyataan. Dengan kata lain,  jika kebetulan orang kanan yang sangat dipercayai ketua jabatan itu adalah seorang yang TIDAK jujur serta BODOH pula, maka MALANGlah yang akan menimpa beliau. Malah implikasi jangka panjang terhadap jabatan yang diketuainya itu mungkin jauh lebih buruk lagi.

Berhubung dengan kes Ahmad, Acik rasa konsep GIGO ini sangat penting diberi perhatian. Dalam mahkamah Tuan Hakim adalah ibarat CEO bagi satu institusi yang sangat kritikal dari segi kepentingannya dalam masyarakat dan negara. Keputasan yang bakal dibuat oleh CEO ini mempunyai implikasi yang sangat besar. Percayalah, dalam era dunia tanpa sempadan ini, kes Ahmad sedang diikuti dan dipantau dari seluruh pelusuk dunia.

Ketika Ahmad ditangkap dan dibawa ke Johor setahun dahulu, berita tersebut merebak dengan begitu pantas sekali ke merata negara. Ia bukan saja dibaca di skrin komputer, malah banyak akhar turut menyiarkannya dalam akhbar-akhbar utama di beberapa buah negara maju. Entahlah kalau-kalau berita kes Ahmad ini telah berjaya digelapkan. Namun Acik masih percaya bahawa kes Ahmad ini masih diikuti dan dipantau oleh ramai pengamal-pengamal Facebook di seluruh dunia. Apa pun, yang maha penting lagi ditunggu-tunggu sekarang ialah apakah yang bakal dihasilkan sebagai “output” oleh CEO yang Acik maksudkan di atas.

Sebagaimana yang kita semua dah fahami, keputusan yang bakal dibuat oleh CEO mahkamah yang mengadili kes Ahmad sangat bergantung kepada “input-input” yang dibekalkan kepada beliau oleh  pelbagai pihak. Dari pihak pendakwaan sumber-sumber input terdiri dari pelapor-pelapor yang membuat laporan polis terhadap Ahmad, anggota-anggota polis pelbagai pangkat, saksi-saksi, bahan-bahan bukti, hatta Timbalan Pendakwaraya sendiri. Manakala di sebelah pihak pembelaan pula, sumber input ialah Peguambela, saksi-saksi, hatta OKD (Orang Kena Dakwa) sendiri. Acik dan ahli-ahli keluarga hanyalah sebagai pemerhati saja. Namun, kami juga kini menjadi penilai terhadap sistem pengadilan yang sedang beroperasi dalam negara sendiri.

Sepanjang pemerhatian Acik semasa mengikuti perbicaraan kes Ahmad, banyak input-input yang meragukan telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Dalam mana-mana perbicaraan pun, input-input yang diragui kebenarannya adalah benda yang disukai oleh pihak pembelaan. Input-input inilah sebenarnya yang akan menyumbang kearah membina suatu “keraguan yang munasabah” terhadap sesuatu pertudahan. Kalau nak disenaraikan semuanya tentulah terlalu panjang jadinya. Jadi biarlah Acik sentuh satu dua perkara yang ketara saja.

Mula-mula Ahmad dituduh sebagai pemilik akaun Facebook Zulyahya. Tapi kini terbukti bahawa Ahmad bukanlah pemilik akaun Facebook tersebut. Kini Ahmad dituduh menggunakan akaun facebook tersebut untuk memuatkan satu status menghina Sultan. Bagi tuduhan awal Ahmad dituduh memuatnaikkan satu status menghina Sultan di suatu tempat di Johor. Kemudiannya dipindah lokasinya menjadi di pejabatnya sendiri di Kuala Lumpur. Pegawai Polis yang datang menangkap Ahmad dalam keterangan awalnya mengatakan Ahmad sedang berada di pejabatnya ketika beliau sampai ke pejabat Ahmad untuk memeriksa komputernya. Tetapi kemudiannya mengakui bahawa Ahmad hanya sampai ke pejabatnya setelah pemeriksaan ke atas komputernya telah siap dijalankan. Ini bermakna apa-apa juga boleh dilakukan terhadap computer tersebut semasa ketiadaan beliau.

Satu lagi yang menimbulkan keraguan ialah hasil pemeriksaan terhadap computer meja Ahmad yang dirampas sebagai bahan bukti. Mengikut dakwaan pihak Polis forensic kata laluan yang digunakan oleh Ahmad bagi memasuki (log in) laman Facebook Zulyahya telah berjaya dijumpa dalam computer meja Ahmad. Tetapi sebaliknya pihak Cyber Securiti pula mendakwa kata laluan tersebut tidak dapat dijumpai dalam komputer yang sama. Katanya lagi apa-apa maklumat bertaraf “sulit” yang ditaip kedalam mana-mana komputer tidak akan dapat dikesan oleh mana-mana pihak. Kata laluan berkenaan adalah juga termasuk dalam kategori maklumat yang bertaraf sulit.

Dakwaan pihak Cyber Security ini lebih rasional bagi Acik. Jika maklumat yang diistiharkan sebagai sulit pun masih dapat dikesan oleh mana-mana pihak maka tak ada maknalah ia didakwa sebagai maklumat sulit. Apakah pihak PDRM kita secara tidak langsung mempertikaikan kredibiliti syarikat pengeluar komputer dan kredibiliti syarikat yang menyediakan laman sosial Facebook ?

Mempertikaikan kredibiliti pengeluar komputer (hardware), bermaksud dari apspek teknikalnya saintis yang merekacipta komputer Ahmad itu belum cukup pandai. Akibat belum cukup pandai maka saintis berkenaan tidak tahu nak buat supaya maklumat yang dikategorikan “sulit” tidak terakam dalam hard disk atau mana-mana ruang dalam komputer yang diciptanya itu. Makanakala syarikat yang menyediakan applikasi laman sosial Facebook pun begitu juga. Programmernya yang mencipta “sofeware” applikasinya belum cukup pandai mencipta applikasi Facebook. Akibatnya, maklumat bertaraf “sulit” pun masih boleh dikesan dan tiru oleh pengguna komputer tanpa diizin oleh pemiliknya.

Satu perkara lagi yang dipertikaikan ialah dua buah dokumen yang mengandungi senarai barang-barang yang dirampas oleh pihak Polis untuk dijadikan bahan bukti. Acik tidak bercadang menjelaskan perkara ini dengan panjang lebar di sini.  Biarlah ianya Acik terangkanya dalam “pencerahan” Acik yang berikut nanti, insya Allah

Setakat ini pun Acik rasa telah mampu membuat rumusan awal terhadap kes Ahmad. Mengikut persepsi Acik banyak input-input yang dipersembahkan kepada Tuan Hakim umpama “garbage”. Acik percaya persepsi ini dikongsi bersama oleh setiap individu yang mengikuti perbicaraan kes Ahmad dari mula hingga sekarang. Persepsi kami terhadap input-input tersebut sudah cukupp untuk dibuat rumusan bagi perbicaraan tersebut. Nampaknya Penguambela seakan-akan telah berjaya membentuk satu keraguan melebihi tahap “keraguan yang munasabah”.

Walau apa pun persepsi kami, ia tidak semestinya sama dengan persepsi dan penilaian Tuan Hakim yang arif itu. Sesuatu objek yang kami semua nampak macam hitam, mungkin nampak putih bagi Tuan Hakim. Mungkin juga objek tersebut memang pada hakikatnya putih sebagaimana yang Tuan Hakim seorang nampak. Jadi biarlah kita sama-sama tunggu dengan penuh sabar apakah keputusan Tuan Hakim di akhir perbicaraan kes Ahmad itu nanti. Jika “input-input” yang dipilih Tuan Hakim adalah “garbage”, maka “garbage” lah yang bakal diterima Ahmad.  Sebaliknya, jika “input-input” yang dipilih itu yang tulen maka selamatlah Ahmad. Wallahulam.

 Lain-lain tajuk yang relevan:

Ahmad’s SAGA #023 Wujud Kes Prima Facie  https://4uni2c.com/2013/06/27/ahmads-saga-023-wujud-kes-prima-facie/

Ahmad’s SAGA # 025 Hakim: Tanpa Takut &/ Ikut    https://4uni2c.com/2013/10/09/ahmads-saga-025-hakim-tanpa-takut-ikut/

*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK:   http://ww.4wuni2c.com

 

@OPajar  #13919

~ by OPajar on 2013-09-19.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: