Ahmad’s SAGA #023 Wujud kes prima facie
*** Untuk men CARI lain-lain TAJUK sila KLIK nama bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: http://www.4uni2c.com
Wujud kes prima facie angkara hina Sultan Johor
Dalam akhbar KOSMO bertarikh 15 Jun 2013 di muka surat 2, ada sebuah tajuk berbunyi, “Eksekutif guna kata-kata kesat di Facebook diarah bela diri angkara hina Sultan Johor. Malah di bawah gambar OKD (Orang Kena Dakwa) ada dicatit perkataan “didapati bersalah”. Ia adalah merujuk kepada kes dakwaan terhadap anak Acik yang bernama Ahmad Abd Jalil itu. Khabarnya, berita yang sama juga terbit dalam akhar Berita Harian dan Harian Metro pada tarikh yang sama (15 Jun 2013). Tajuk tersebut agak menarik perhatian Acik dan mendorong Acik untuk menulis sikit komen di sini.
14June 2013 yang lepas adalah tarikh dimana Tuan Hakim yang membicarakan Ahmad atas tuduhan berkenaan, membuat keputusan. Dari dua tuduhan yang didakwak terhadap Ahmad, satu daripadanya didapati tidak wujud kes prima facie. Alhamdulillah. Walaubagaimanapun, bagi tuduhan yang satu lagi itu, Ahmad diarah membela diri pada 25 dan 26 Julai akan datang. Dalam kes tersebut Ahmad dituduh telah memuatnaikan satu status menghina YM Sultan Johor ke dalam Face Booknya yang menggunakan profile “Zul Yahaya”. Tuduhan pertama ialah, beliau telah melakukan jenayah berkenaan pada 10 Oktober 2012 dan tuduhan kedua pula ialah beliau telah melakukan jenayah yang serupa pada 12 OKtober 2012. Yang didapati tidak wujud kes prima facie ialah bagi tuduhan kedua.
Kata peribahasa Melayu, “JAUHARI juga yang kenal MANIKAM”. Apa tidaknya, kan kedua-dua mereka adalah “sahabat” rapat walaupun berlainan “bangsa”. Oleh sebab Acik bukanlah jauhari maka tak mungkin Acik berani mendakwa kenal dengan manikam. Walaubagaimana pun, dengan membelek-belek batu-batu yang dikatakan manikam itu, nescaya sikit sebanyak akan mampu juga Acik membuat sedikit penilaian terhadap manikam-manikam itu. Sekurang-kurang tahu juga membezakan yang mana kilauannya lebih baik dari yang lain. Yang mana bentuknya lebih menarik dari yang lain. Dan jika nak dijual, yang manakah yang akan mampu meraih harga yang lebih mahal dari yang lain. Begitu juga bagi seorang yang bukan pakar emas. Oleh kerana beliau telah pernah membeli gelang emas untuk anak-anak perempuannya beberapa kali, nescaya sikit sebanyak tahu juga ia membezakan antara emas tulen dengan emas ZHULiAN.
Begitulah dalam proses perbicaraan. Kerana telah mengikuti sessi perbicaraan terhadap Ahmad sejak dari awal, maka sikit sebanyak mampulah juga Acik membuat penilaian terhadap perbicaraan tersebut, walaupun Acik bukanlah “jauhari” dalam bidang undang-undang. Yang dianggap paling ”jauhari” dalam bidang undang-undang, yang dapat membezakan dengan tepat antara “adil” dan “zalim” adalah hakim. Pendakwa raya dan juga peguam bela pun masih dikira kurang mahir dalam proses menjatuhkan hukuman ke atas OKD (Orang Kena Dakwa) berbanding dengan hakim yang ditugaskan mengadili OKD.
Peranan pendakwa ialah berusaha mewujud kes prima facie bagi tuduhan yang dilemparkan terhadap OKD. Bermacam-macamlah bukti akan diketengahkan demi mempengaruhi hakim agar yakin bahawa tuduhan yang didakwa terhadap OKD adalah berdasarkan asas atau bukti-bukti yang kukuh, tanpa ada keraguan yang munasabah. Mungkin pembaca masih boleh ingat lagi bagaimana sebuah tilam besar diusung ke Mahkamah ketika kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (Mantan TPM) dibicarakan atas tuduh liwat dahulu. Tujuannya adalah semata-mata bagi menyakinkan hakim bahawa tuduhan tersebut benar-benar berasas dan sang tilam itu adalah sebagai buktinya.
Sebaliknya, peranan peguam bela adalah berbeza 180 darjah. Jika pendakwa kata kanan, maka peguam bela akan cuba mendustakannya dengan membuktikan ia bukan kanan tetapi kiri. Peguam bela akan berusaha gila-gila untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap dakwaan pihak pendakwa raya tadi. Peguam bela akan berusaha supaya keyakinan hakim tersebut terhadap pihak pendakwaan menjadi cair. Dengan kata lain, membuat hakim meragui bukti-bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Di hadapan hakim mungkin ada 1,000 pasang mata yang memerhati dengan pandangan yang tajam. Di hadapan hakim juga mungkin ada 1,001 pasang telinga yang mendengar dengan teliti. Namun kehadiran mereka ini tidak punyai apa-apa makna sekiranya si hakim lebih percaya hujah atau taksub kepada pendakwa. Begitu juga, kehadiran mereka semua tidak punyai apa-apa makna sekiranya si hakim lebih percaya hujah atau taksub kepada peguam bela. Pendek kata, jika hakim percaya sesuatu itu sebagai berwarna putih (kerana terpengaruh dengan hujah pendakwa), sedangkan seluruh mata yang ada dalam mahkamah itu melihatnya sebagai kelabu, maka keputusan muktamatnya adalah tetap putih, bukan kelabu. Begitu juga, jika hakim lebih percaya bahawa bunyi yang dirakam pihak pendakwaan itu adalah bunyi tembakan senapang M16, sedangkan 1001 pasang telinga yang berada dalam mahkamah itu lebih percaya ianya bunyi mercun, maka keputusan muktamadnya ialah bunyi tersebut tetap bunyi tembakan M16 bukan bunyi mercun.
Begitu sekali “power”nya hakim dalam setiap proses perbicaraan. Begitu berkuasanya hakim ketika membuat sesuatu keputusan. Bagi Acik, keputusan hakim adalah dianggap lebih maksum dari keputusan Nabi s.a.w. Ketika baginda memutuskan untuk menentukan kedudukan atau lokasi pasukan tenteranya dalam satu peperangan, tiba-tiba datang seorang sahabat kehadapan baginda. Sahabat berkenaan bertanya kepada baginda s.a.w. samada baginda mendapat wahyu untuk berbuat demikian. Apabila baginda berterus terang menyatakan bahawa itu adalah idea baginda sendiri, maka sahabat tersebut pun mengemukakan ideanya sebagai satu alternatif. Memandangkan sahabat tersebut adalah terkenal sebagai seorang yang pakar dalam strategi peperangan berbanding dengan diri baginda sendiri, maka baginda dengan tawadhu menerimapakai usul sahabatnya itu serta meninggalkan ideanya sendiri. Senario begini tidak pernah berlaku dan tak mungkin akan berlaku di dalam mana-mana mahkamah di dunia ini.
Oleh yang demikian, apa yang diputuskan oleh Tuan Hakim, maka ianya adalah dianggap paling tepat dan muktamad. Tidak ada pihak yang berada di dalam mahkamah ketika itu yang boleh mempertikaikan keputusan beliau itu. Pendek kata, jika putih kata Hakim maka putihlah ia, jika kelabu (malah hitam) kata Hakim maka kelabulah (malah hitamlah) ianya. Kalau setuju pun terima, jika tak setuju pun kena redha. Jika tidak terima atau tidak redha dengan keputusan Hakim pun, maka diam adalah reaksi paling selamat. Jika ada mana-mana induvidu yang melahirkan rasa tidak puas hati atau tidak redha dengan keputusan Tuan Hakim itu, dia akan dikira menghina mahkamah.
Dalam sejarah mahkamah di Malaysia, bukan tak ada langsung orang yang berani menzahirkan ketidakpuasan hatinya terhadap keputusan yang dijatuhkan oleh Tuan Hakim. Jika pembaca masih ingat, dulu kan ada satu kes dimana orang yang kena tuduh telah membaling selipar kearah Tuan Hakim sebab tak berpuas hati dengan keputusan Tuan Hakim. Akibatnya beliau didakwa menghina mahkamah lalu dijatuhi hukuman penjara.
Sebenarnya keputusan yang dianggap tidak adil adalah merupakan satu provokasi terhadap mangsa ketidakadilan tersebut. Namun, Acik lebih suka menganggap ianya sebagai suatu ujian kepada pihak yang dihukum “bersalah” tentang aspek kesabaran. Sewajarnya, sebagai seorang OKD dia kenalah terima hakikat bahawa dia adalah seperti mentimun. Sedangkan Tuan Hakim adalah ibarat durian. Jika dirempuh pun dia (OKD) cedera, jika merempuh pun dia (OKD) cedera, malah akan lebih parah lagi kecederaannya itu.
Walau apapun, semua orang wajar yakin terhadap kearifan dan kejujuran Tuan Hakim. Bukan saja arif (bijaksana) dan jujur, malah Tuan Hakim juga wajar dianggap sebagai individu yang berpegang teguh dengan prinsip keadilan. Rata-rata, hakim akan berpegang kepada prinsip yang mengatakan bahawa “menghukum seorang OKD yang tak bersalah adalah lebih buruk dari melepaskan sepuluh orang OKD yang bersalah”.
Maksudnya ialah, dalam setiap perbicaraan, tuan hakim tidak dapat elak dari kemungkinan melakukan salah satu dari dua kesilapan. Kesilapan pertama ialah seseorang OKD yang dihukum sebagai bersalah itu adalah pada hakikatnya tidak bersalah. Hanya Allah saja tahu bahawa beliau tidak bersalah sebagaimana beliau didakwa. Namun atas kelemahan tertentu dalam sistem pengadilan, maka OKD berkenaan akhirnya diputuskan bersalah lalu dijatuhi hukuman.
Kesilapan kedua pula ialah OKD berkenaan memang telah melakukan kesalahan dan wajar menerima hukuman yang setimpal. Namun begitu, beliau telah dibebaskan oleh hakim kerana ada benda-benda tertentu yang telah menimbulkan keraguan di hati hakim terhadap bukti-bukti yang kemukakan kepadanya sebagai asas pendakwaan.
Pendakwa dan peguam bela dikira telah melaksanakn peranan masing-masing sebagai penyumbang kepada usaha menegakkan keadilan. Keadilan yang Acik maksudkan ialah membebas dan melepas OKD yang tak bersalah dan menghukum OKD yang bersalah. Namun khususnya bagi kes Ahmad, kemungkin yang wujud ialah Ahmad diputuskan bersalah lalu dijatuhi hukuman yang dikira setimpal dengan kesalahannya. Ataupun Ahmad diputuskan tak bersalah lalu dibebas dan dilepaskan.
Pihak yang membuat dakwaan terhadap Ahmad mungkin tidak menerima apa-apa hukuman sekiranya dakwaannya itu kantoi. Begitu juga dengan pihak yang membuat laporan polis yang mengatakan Ahmad telah memaki YM Sultan itu. Mereka ini tidak menanggung apa-apa kerugian walaupun dakwaan yang dicetuskan oleh mereka itu terbukti tidak berasas.
Senario yang kita boleh lihat dalam undang-undang hudud adalah agak berbeza. Misalnya, seorang hamba Allah telah dituduh melakukan maksiat zina. Maka si penuduh adalah bertanggungjawab untuk mengemukakan empat orang lelaki sebagai saksi. Keempat-empat saksi tersebut hendaklah terdiri dari individu yang kredibilitinya tidak ada kontroversi. Dan keempat-empat saksi tersebut mestilah benar-benar melihat perlakuan zina oleh OKD (Orang Kena Dakwa) sepertimana melihat keris masuk ke dalam sarung. Akan tetapi, sekiranya salah seorang saja dari empat saksi itu gagal menyaksikan perlakuan tersebut dengan jelas, maka OKD adalah dikira bebas dari tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Yang agak istemewa bagi hukum hudud ialah, jika OKD dibebaskan, maka si penuduh tidak pula dibiar begitu saja. Si penuduh akan dikira telah melakukan suatu penganiayaan ke atas bekas OKD. Selain beliau, yang turut disabitkan dengan kesalahan melakukan penganiayaan tersebut ialah rakan-rakan konspirasinya yang bersama-samanya mendakwa bekas OKD melakukan kesalahan zina. Keempat-empat mereka ini akan menerima “hadiah” yang berupa 8o kali sebatan setiap seorang. Bukan itu saja, malah kesaksian mereka selepas itu tidak lagi laku. Dalam sejarah perundangan Islam kejadian demikian memang pernah berlaku.
Menggunakan prinsip hukum hudud di atas, Acik rasa adalah lebih adil. Ia akan membuat semua orang berfikir berulang kali sebelum mencetuskan sebarang tuduhan negatif terhadap mana-mana pihak. Bakal penuduh akan lebih bertanggungjawab terhadap laporan yang akan dibuatnya kerana ianya akan membawa implikasi ke atas dirinya sendiri, samada positif maupun sebaliknya. Jika laporannya itu berakhir dengan OKD dihukum, maka jadilah si penuduh seorang hero kerana berjaya menyumbang kearah menegah orang lain dari turut melakukan kesalahan yang sama. Namun, jika tuduhannya itu kantoi maka si penuduh tersebut kenalah “accountable” di atas kesilapan yang dilakukannya itu.
Berbalik kepada kes Ahmad, Acik masih penuh yakin bahawa Ahmad tetap tidak bersalah. Acik penuh yakin bahawa pemilik akaun Facebook “Zul Yahaya“ itu bukanlah Ahmad. Justeru itu mustahil Ahmad boleh menggunakan Facebook tersebut bagi menaikmuatkan apa-apa status seperti yang didakwa oleh pihak pendakwaan. Ini adalah persepsi Acik terhadap kes Ahmad. Samada Ahmad akan dijatuhi hukuman bersalah ataupun sebaliknya, itu adalah hak Hakim yang diberi mandat untuk membuat keputusan. Namun pada persepsi Acik, Ahmad tetap tidak bersalah. Samalah macam keputusan PRU13 yang lepas. Acik tetap yakin bahawa pihak yang menang sebenarnya ialah PR bukan BN. Walaupun yang telah pun menubuhkan kerajaan adalah BN, namun pada persepsi Acik, yang menang PRU13 tetap PR. Menukar persepsi seseorang itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Ia macam cuba mengubah akidah atau agama seseorang.
Sama-samalah kita tunggu apakah yang telah ditakdirkan oleh Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa untuk Ahmad pada 25 atau 26 Julai nanti. Jika untung sabut maka timbullah ia, jika untung batu maka tenggelamlah ia. Namun, Acik dengan rendah diri memohon kepada setiap pembaca agar pakat-pakatlah tolong doa supaya Ahmad dilepas dan dibebaskan. Negara tak akan untung apa-apa jika Ahmad dihukum. Negara juga tidak akan rugi jika Ahmad dibebaskan. Malah jika Ahmad dibebaskan maka akan terselamatlah sumber-sumber negara yang bakal di”bazir”kan bagitu saja, akibat terus menangani kes beliau.
Sedangkan tiap-tiap hari akbar Harian Metro melaporkan berbagai pelakuan jenayah. Apakah kes-kes seperti kes Ahmad ini masih dikira lebih berbahaya kepada negara dan rakyat jelata berbanding dengan pelakuan-pelakuan jenayah tersebut ? Bagi rakyat yang befikiran waras lagi rasional, maka sudah tentulah inginkan supaya kerajaan akan lebih memberi keutamaan terhadap usaha membenteras jenayah. Ini kerana jenayah adalah jauh lebih mengancam keselamatan negara dan menjejaskan kebahgian seluruh rakyat jelata.
Justeru ini segala sumber-sumber kerajaan yang sangat berharga lagi terhad itu, lebih aula dimunafaatkan bagi memerangi penjenayah-penjenayah tersebut. Sumber-sumber yang dimaksudkan itu adalah berupa harta, masa, tenaga dan kepakaran anggota-anggota Polis, mahkamah (terutamanya Hakim), peguam bela dan pihak pendakwa sendiri. Malah termasuk juga harta, masa dan tenaga semua pihak yang turut terlibat dalam kes Ahmad ini, samada yang menyokong pihak pendakwa maupun yang membela OKD. Wallahualam.
PenCERAHan lain yang relevan:
Ahmad’s SAGA #022 Cahaya di hujung terowong https://4uni2c.com/2013/05/18/550/
Ahmad’s SAGA #024 Garbage in Garbage out (GiGo) https://4uni2c.com/2013/09/19/ahmads-saga-24-garbage-in-garbage-out-gigo/
*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: http://ww.4wuni2c.com