Kebetulan # 13z22 Tiga Khong Yang Acik Kenal

*** Untuk menCARI  lain-lain TAJUK sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.

Tiga Khong Yang Acik Kenal

Semasa Acik (Ayah/Abang+cik) di tingkatan empat dan lima dahulu, guru yang mengajar Acik mata pelajaran geographi ialah Kepten Khong. Beliau ialah seorang pegawai askar beruniform yang berpangkat Kepten. Tapi nama penuh beliau Acik tak ingat lagi. Acik cukup ingat dengan Kepten Khong ini sebab beliau agak luar biasa. Jika guru-guru lain, mereka akan masuk ke dalam kelas dengan membawa bersama bahan-bahan rujukan. Tetapi Kepten Khong ini tidak. Beliau masuk ke dalam kelas hanya dengan melenggang tangan kosong saja.

Sebaik saja Kepten Khong masuk ke dalam kelas beliau akan terus mengambil kapur tulis. Kemudian beliau akan menulis di atas papan hitam di depan kelas itu tajuk pelajaran yang nak diajarnya. Tanpa lengah-lengah lagi beliau akan mula menyampaikan pelajaran berkenaan dengan sangat lancar dan terang. Sebentar-sebentar beliau akan melukis diagram-diagram yang relevan dengan sangat pantas. Pergerakan beliau begini akan berlaku secara berterusan (tanpa henti-henti) hinggalah period mata pelajaran tersebut tamat. Acik sangat kagum terhadap beliau kerana beliau dapat menguasai subjek geographi dengan begitu sekali.

Semasa Acik menuntut di Unviversiti Malaya, Acik bertemu pula dengan seorang lagi individu yang juga bernama Khong. Beliau adalah pensyarah yang mengajar Acik dan beberapa pelajar lain mata pelajaran “Political Economics”.  Kami memanggil beliau “Dr. Khong”.  Namun, macam Khong di atas, nama penuh beliau pun Acik tidak ingat.

Kertas “Political Economics” hanya satu mata pelajaran pilihan. Sebab tu agaknya tak ramai yang memilih untuk belajar mata pelajaran tersebut. Di dalam kelas yang dibimbing Dr. Khong itulah Acik dan kawan-kawan diperkenalkan dengan ideologi Sosialisma dan Komunisma. Ketika itu Acik masih prejudis terhadap kedua-dua ideologi  tersebut. Agaknya kerana minda Acik telah diindoktrinasi dengan ideologi Kapitalisma. Akibatnya Acik agak benci kepada kedua-dua ideologi tersebut, terutama terhadap Komunisma. Maklumlah Komunis telah dianggap musuh negara sejak sekian lama.

Walaubagaimanapun, tidak ada pula yang Acik berjumpa dengan dakwaan yang mengatakan Sosialisma dan Komunisma menganggap agama itu sebagai candu. Dakwaan tersebut hanya Acik dengar dari aktivis-aktivis agama ketika itu. Sebagai seorang yang cintakan agama Islam, maka ketika itu tidak pernah terlintas pun dalam hati Acik untuk mempersoalkan dakwaan tersebut. Namun, setelah membaca tentang Mat Indera, iaitu individu kontrovesi dalam insiden Bukit Kepong, maka terasa pula ada keinginan dalam hati Acik untuk melihat kembali kepada dakwaan berkenaan.

Setelah Acik meninggalkan Universiti dan bertugas dengan sebuah badan berkanun kerajaan, Acik bertemu pula dengan seorang lagi individu lain juga bernama Khong. Walaupun nama penuh Si Khong ini Acik masih ingat, namun Acik rasa kurang selesa pula untuk menyebut nama penuh beliau dalam PenCERAHan ini. Ini lebih sesuai dengan sikap beliau sebagai seorang yang agak pemalu.  Mungkin beliau tidak merestui namanya disebut di mana-mana.  Berbeza dengan kedua-dua Khong yang Acik perkenalkan tadi, Khong yang ketiga ini adalah seorang wanita. Oleh itu beliau dipanggil “Miss Khong”.

Miss Khong ini sangat baik orangnya. Acik tidak pernah ternampak beliau bertikam lidah dengan rakan-rakan sepejabatnya (termasuk Acik sendiri). Acik percaya beliau disenangi oleh semua pekerja dalam organisasi tempat kami berkhidmat. Yang membuat Acik “admire” beliau ialah cara hidupnya yang tersangat sederhana atau “simple”. Sungguhpun statusnya dalam organisasi berkenaan sudah cukup tinggi, namun beliau tetap kekal seperti hari pertama Acik mengenalinya. Percakapannya tetap lembut dan bersofan santun. Pakaiannya tidak menggambarkan beliau berpangkat tinggi. Ini sangat berbeza dengan kebanyakan pegawai-pegawai lain terutama rakan sejawat Acik yang sebangsa dan seagama.

Pernah beberapa kali Acik terjumpa Miss Khong di dalam bas ketika kami sama-sama hendak ke pejabat dahulu. Rupa-rupanya beliau menaiki bas untuk pergi dan balik kerja. Acik ke tempat kerja dengan menaiki bas sebab tak mampu untuk membeli kereta. Akan tetapi agak mustahil Miss Khong tak mampu membeli kereta hingga terpaksa menaiki bas untuk ke pejabat. Oleh itu Acik yakin bahawa Miss Khong ini dengan sukarela memilih untuk pergi dan balik kerja bersama-sama orang susah iaitu dengan menaiki pengangkutan awam. Ini antara ciri-ciri individu yang berjiwa Sosialis.

Personaliti seperti Miss Khong amat jarang dijumpai.  Bukan saja di mana-mana jabatan kerajaan Malaysia, malah  di mana-mana juga dalam Malaysia ini.  Acik dapat tahu bahawa sebelum beliau bersara wajib, Miss Khong sempat menjawat jawatan kedua paling tinggi dalam organisasi beliau bertugas. Syabas Miss Khong !

Walaupun selepas bertahun-tahun menjadi rakan seorganisasi dengan Miss Khong ini, Acik tidak pernah tahu bahawa  Kepten Khong dan Dr Khong yang Acik sebut di atas adalah abang kepada Miss Khong. Hanya bila suatu hari Miss Khong bertanya Acik samada Acik kenal tak dengan Khong-Khong berkenaan. Ketika itu barulah Acik tahu bahawa mereka bertiga adalah bersaudara. Rasa hormat Acik kepada Miss Khong bertambah bila mengenangkan jasa abang-abang beliau kepada Acik. Abang-abangnya itu sebenarnya telah berjaya menambah dimensi dalam persepsi Acik terhadap realiti kehidupan ini.

Sukalah dirumuskan bahawa cara hidup Khong tiga beradik tersebut di atas adalah sangat sederhana atau “simple”. Mereka adalah individu-individu yang baik. Tidak bermewah-mewah dan tida suka menunjuk-nunjuk dengan apa-apa kelebihan yang mereka ada. Andaikata mereka ini Muslim, Acik kira mereka mungkin tergolong kepada orang-orang yang tawadhu’.

Nilai moral dari realiti di atas:

Sifat terpuji adalah sifat yang sejagat (universal). Ia bukan milik penganut mana-mana agama termasuklah agama Islam sendiri.

Ideologi yang baik mampu membentuk sikap seseorang dan menjadikannya seorang yang baik, tidak kira agama apa yang dianutinya. Personaliti yang baik menyumbang terhadap pembaikan masyarakat.

Kadang-kadang kita lihat sikap orang bukan Islam lebih mulia dari sikap kebanyakan orang Islam sendiri. Contohnya mereka tidak sombong, tidak bermewah-mewah dan tidak suka menunjuk-nunjuk. Sedangkan ramai pemuka-pemuka Islam bersikap sebaliknya. Padahal Islam menyuruh umatnya bersikap dengan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi dari sifat-sifat mazmumah.  Antara sifat-sifat mahmudah ialah tawadhu, zuhud, kanaah, sabar dan syukur. Antara sifat-sifat mazmumah pula ialah takabbur, riyak, wujub, samaah, pemarah dan kufur.

Wallahualam

Lain-lain tajuk yang relevan :

Belajar Di Universiti Yang Samahttps://4uni2c.com/2014/01/05/kebetulan-14105-belajar-di-universiti-yang-sama/

** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK:   www.4wuni2c.com

@OPajar

# 13z21

Advertisements

~ by OPajar on 2013/12/22.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: