Kebetulan #14105 Belajar Di Universiti Yang Sama

*** Untuk menCARI  lain-lain TAJUK sila KLIK pada nama bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.

(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)

Belajar Di Universiti Yang Sama

Setelah tammat persekolahan dahulu, Acik (Ayah/Abang+cik) berjaya memasuki Universiti Malaya walaupun keputusan HSC “cukup-cukup” makan saja. Masa tu bilangan universiti di Malaysia belum bersepah macam sekarang. Jika tak silap Acik yang dah wujud ketika itu ialah Universiti Kebangsaan (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) saja selain Universiti Malaya (UM). Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putera Malaysia (UPM) masih lagi bertaraf institiut seperti Institiut Teknologi MARA (ITM). Kemudian baru institiut-intitiut tersebut dinaikkan tarafnya menjadi universiti. Lepas tu baru ditubuhkan UIAM dan UUM. ITM juga turut dinaikkan tarafnya menjadi UiTM kemudiannya. Jadi bayangkanlah betapa rasa bertuahnya diri apabila dapat menjejaki kampus sebuah dari 3 buah universiti, yang diistilahkan sebagai menara gading ketika itu. Ini boleh berlaku adalah semata-mata dengan izin Allah jua.

Selingan :

Jika Allah nak beri tak siapa mampu menafi:   https://www.youtube.com/watch?v=r2scbnP6nbw

Selepas menamatkan pengajian di bidang ekonomi, Acik ingin menjadi seorang guru sekolah. Kononnya ingin menolong masyarakat kampung dalam aspek pendidikan. Boleh kata agak ramai juga graduan yang memohon memasuki kursus Diploma Pendidikan Universiti Malaya agar layak menjadi guru tetap di sekolah-sekolah kerajaan. Namun tak semua yang memohon itu diterima masuk. Sedangkan Acik adalah antara yang berjaya memasuki kursus tersebut. Lagi sekali Acik rasa diri amat bertuah.

Namun, kehendak Allah mengatasi segala kehendak insanNya. Buat pertama kali, pada tahun itu Kementerian Pendidikan membekukan biasiswa perguruan kepada graduan-graduan ekonomi. Kononnya bilangan guru subjek ekonomi di sekolah-sekolah kerajaan telah berlebihan. Akibat tak mampu membiayai pengajian Diploma Pendidikan tersebut dan takut tak diterima menjadi guru tetap oleh kementerian pelajaran, mau tak mau Acik terpaksa memohon kerja lain. Begitu juga dengan seorang kawan Acik yang bernama Hasanudin. Acik berjaya mendapat kerja dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (LPKM), manakala kawan Acik itu diambil oleh MARA untuk mejadi pegawainya. Cita-cita kami nak menjadi guru ekonomi berdidikasi itu hanya tinggal impian kosong saja. Walaubagaimana pun Acik tetap redha malah bersyukur dengan apa yang telah ditetapkan Allah itu. Mungkin ada hikmahnya.

Setelah berkhidmat dengan LPKM beberapa tahun, Acik ditawar oleh JPA untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Mungkin peluang ini tidak akan Acik perolehi jika dahulunya Acik telah berjaya menjadi seorang guru ekonomi di sekolah kerajaan.  Lebih bersyukur lagi ialah kerana Acik dibenarkan membawa keluarga bersama keluar negara. Ketika itu anak Acik baru dua orang. Kedua-duanya belum masuk tadika pun kerana masih terlalu muda. Jadi tak bimbanglah tentang pendidikan mereka. Bilangan anak Acik malah bertambah seorang lagi sebelum Acik sempat terbang ke Amerika Syarikat.

Universiti yang Acik masuk belajar di Amerika Syarikat itu ialah The Pennsylvania State University, di University Park, State College. Jaraknya dari bandar raya New York ialah kira-kira 5 atau 6 jam perjalanan jika menaiki bas. Acik berada di State College selama 20 bulan. Ketika tinggal di State College banyak pengalaman dan iktibar yang sempat Acik timba. Yang paling berharga ialah berpengalaman berinteraksi dengan rakyat dari berbagai-bagai negara. Tak kurang berharga juga ialah berpeluang bergaul mesra dengan rakyat Malaysia yang berpontensi menjadi orang-orang penting dalam negara.  Dalam tempoh yang agak sengkat itu juga Acik dianugerah oleh Allah S.N.W seorang lagi cahaya mata.  Ini menjadikan bilangan anak Acik 4 orang, alhamdulillah .

Dalam perjalanan kami untuk kembali ke tanah air, Acik mengambil peluang singgah di Mekah menunaikan ibadat umrah. Sebelum meninggalkan negara Amerika itu kami singgah dulu di New York selama 3 malam. Terima kasih yang tak terhingga Acik rakamkan kepada seorang kawan yang sanggup berkorban melayani Acik sekeluarga ketika 3 hari di New York itu. Ketika berada di New York, sudi pula kawan Acik itu membawa kami menaiki menara berkembar yang bergelar “The World Trade Centre” itu. Masa tu menara berkembar Petronas belum ada. Sayu juga bila melihat menara berkembar itu runtuh menyembah bumi dalam peristiwa Nine Eleven 2001.

Dari New York kami singgah pula di London selama 2 malam. Kemudian dari London kami terus terbang ke Mekah. Acik juga merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada adik-adik yang berkorban melayani Acik sekeluarga ketika berada di London selama dua malam.

Yang paling Acik tak lupa dan merakamkan terima kasih paling tak terhingga ialah kepada Pak Long Awang Nor. Beliau ialah sepupu kepada arwah ibu Acik yang telah lama bermustautin di Mekah. Selama berada di Mekah di rumah beliaulah tempat kami menumpang.  Beliau sekeluarga telah begitu sudi sekali berkorban melayani Acik sekeluarga selama dua minggu. Kami bukan saja dibawa berjalan-jalan di Mekah saja, bahkan dibawa juga menziarahi makam Nabi S.A.W di Madinah.

Acik percaya kunjungan kami ke Mekah telah memberi keberkatan kepada anak-anak Acik. Masing-masing mereka agak berjaya dalam hidup. Semua mereka telah berjaya belaka untuk sampai ke Kolej dan Universiti. Anak kedua Acik yang pernah hilang sekejap dalam Masjid al Haram itu (iaitu ketika Acik dan isteri sedang asyik bertawaf), telah diberi peluang oleh Allah untuk berulangkali ke Mekah semasa beliau berkhidmat dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Acik sendiri pun telah mendapat peluang kali kedua ke Mekah menunaikan umrah. Kali ini pun dengan cara percuma. Tiket ke Mekah itu sebenarnya adalah hadiah yang dimenangi oleh anak ketiga Acik bagi pertandingan hafazan Al Quran yang disertainya. Agak malang bagi beliau kerana tiket tersebut adalah ibarat sebentuk cincin bagi si kudung. Begitu juga dengan hadiah kali kedua yang beliau menangi pada tahun berikutnya. Sayang, tiket percuma kali kedua tersebut akhirnya hagus begitu saja.

Sesampainya kami kembali ke tanah air, iaitu selepas menunaikan umrah, Acik dan isteri mulalah sebok dengan tugas-tugas rasmi masing-masing. Bilangan anak juga kian bertambah. Dari empat orang ketika pulang dari Amerika Syarikat duhulu, akhirnya menjadi 10 orang. Bayangkanlah beban kewangan yang terpaksa ditanggung Acik dan isteri untuk membesarkan anak-anak sehingga semuanya mampu berdikari. Namun Acik sangat yakin bahawa Allah akan membantu Acik bagi membesarkan anak-anak tanpa perlu menerima apa-apa suapan rasuah. Dengan kata lain, Allah akan memberi berkat kepada sesiapa saja yang tidak memberi makan anak-anaknya dari sumber yang haram.

Alhamdulillah, Allah telah menganugerahi anak-anak Acik bakat yang memuaskan dari segi akedemik. Kesemua anak-anak Acik itu pernah dapat masuk belajar di sekolah-sekolah berasrama. Ini membuat mereka cepat belajar berdikari. Ini juga menambahkan lagi keyakinan Acik bahawa Allah akan memberi berkat yang lebih kepada anak-anak yang tidak disuap oleh ibu bapa mereka dengan sumber-sumber yang tidak halal termasuk rasuah.  Alhamdulilllah 7 dari 10 orang anak-anak Acik telah berjaya mendapat semua A bagi UPSR dan PMR masing-masing. Malah seorang dari mereka mampu mendapat semua A atau 11 A di peringkat SPM, Alhamdulillah.

Saat yang paling gembira buat Acik (lebih-lebih isteri Acik) ialah apabila anak-anak mulai berjaya menjejak kaki ke kampus-kampus universiti seorang demi seorang. Anak sulung Acik berjaya memasuki universiti yang sama dengan universiti Acik belajar dahulu iaitu Universiti Malaya. Malah beliau juga memasuki fakulti yang sama dengan fakulti Acik belajar dulu iaitu Fakulti Ekonomi. Anak kedua Acik pula masuk ke UTM, manakala yang ketiga dan keempat masuk ke UIAM. Pernah dalam satu masa yang sama, keempat-empat mereka sedang menuntut di universiti. Inilah ketikanya Acik suami isteri terpaksa bergadai golok demi memenuhi keperluan kewangan mereka berempat. Maklumlah sumber dari PTPTN bukannya cukup untuk saradiri masing-masing.

Yang membuat Acik kagum ialah terhadap kuasa Allah yang melakukan suatu kebetulan bagi Acik.  Jika anak sulung Acik dimasukkanNya ke universiti yang sama dengan universiti tempat Acik belajar (i.e.Universiti Malaya), kini anak bongsu Acik pula dimasukkanNya juga ke universiti yang sama dengan universiti tempat Acik pernah belajar dahulu. Universiti yang anak sulung Acik belajar ialah Universiti Malaya. Manakala universiti yang anak bongsu Acik masuki itu ialah The Pennsylvania State University (PSU), tempat Acik mengikuti kursus lepasan ijazah dahulu. Kedua-dua mereka juga turut belajar di sekolah yang sama dengan sekolah Acik belajar, iaitu bagi tingkatan empat dan lima masing-masing.  Yang lebih Acik terpesona ialah dengan takdirNya juga maka Acik dan isteri kini diberiNya peluang melawat universiti tempat Acik pernah belajar itu setelah kira-kira 30 tahun meninggalkannya. Suatu nostalgia buat kami berdua.

Jika dapat melawat Universiti Malaya, tidaklah menghairankan sesiapa pun memandangkan ianya terletak di dalam negara sendiri. Tetapi yang agak menghairankan ialah bila mendapat peluang melawat PSU yang jaraknya puluhan ribu kilo meter dari Malaysia. Rasanya seolah-olah berada dalam mimpi di siang hari.  Masya Allah,  Allahuakbar !

Setiap takdir Allah yang berlaku, tentulah ada sebab musababnya. Begitulah juga dengan apa yang berlaku terhadap diri Acik dan isteri ketika ini. Yang memungkinkan kami berdua mampu untuk menziarahi PSU ini ialah anak Acik yang dilahirkan di State College ini ketika Acik sedang belajar di sini 30 tahun yang lalu. Beliaulah yang menanggung segala perbelanjaan Acik dan isteri untuk terbang ke Amerika Syarikat dan tinggal di sini untuk beberapa lama, insya Allah.  Terima kasih yang tak terhingga kepada beliau dan suaminya yang begitu bermurah hati terhadap ibu dan ayah kandungnya ini. Allah jua yang layak dan akan membalas budi ikhlas mereka berdua, insya Allah.

Namun Acik dan isteri tidak pernah memperkecilkan setiap pengorbanan anak-anak lain, selain beliau. Semua mereka turut menyumbang (berdasarkan tahap kemampuan yang dianugerahi Allah terhadap masing-masing) hingga membolehkan Acik dan isteri sampai ke sini. Sekurang-kurangnya dengan doa ikhlas mereka, maka Acik suami isteri sehat walafiat sepanjang perjalanan puluhan ribu kilo meter, untuk sampai ke State College ini. Mudah-mudahan Allah terus menganugerahi kami kesihatan yang terbaik selama berada di perantauan. Semoga setiap anak Acik itu diberkati Allah di sepanjang hayat masing-masing, insyaAllah.

Turut Acik hargai dan merakamkan ribuan terima kasih ialah kepada setiap pembaca PenCERAHan Acik ini, terutama mereka yang turut berdoa untuk Acik dan isteri. Sesungguhnya orang yang gembira melihat orang lain gembira, insya Allah ia akan menjadi hambaNya yang redha lagi menghormati hak Allah. InsyaAllah hidupnya akan bahagia sepanjang hayat. Sesungguhnya Allah memiliki hak yang mutlak untuk memberi kebaikan kepada sesiapa jua yang disukaiNya. Hatta nasib hambaNya di akhirat nanti adalah dalam genggamanNya jua. Dialah yang berhak untuk memasukkan hambaNya ke dalam syurga maupun ke dalam nerakaNya.

Nabi s.a.w. sendiri pun tidak mampu menyelamatkan orang yang sangat dikasihi baginda dari api neraka jika Allah memilih yang sebaliknya untuk individu berkenaan. Begitu jua sebaliknya. Apakan lagi kita umat biasa yang bukan Nabi. Siapakah kita untuk mengenalpasti siapa di antara kita yang bakal masuk ke syurga atau ke neraka Allah. Dengan kata lain tak perlulah kita rasa diri lebih layak (dari Allah) untuk melaksanakan tugasNya, khususnya mengkafirkan sesiapa yang kita mahu, atau pun sebaliknya. Sedangkan nasib diri kita sendiri pun kita belum pasti samada akan ke syurgakah atau ke nerakakah (nauzubillah).

Sebenarnya Acik tidak tahu bagaimana nak menggambarkan betapa besarnya rasa syukur Acik kepada Allah dan rasa terima kasih kepada semua pihak yang telah berbudi kepada Acik. Kunjungan kedua Acik ke State College ini, telah mencetuskan suatu kesedaran baru. Iaitu kesederan bahawa diri Acik ini belum cukup “appreciative” terhadap banyak perkara. Sedangkan ianya sangat penting dalam hidup kita. Dengan adanya sifat “appreciative” maka barulah akan datang sifat “grateful” terhadap sesama insan yang telah berbakti kepada kita. Tidak kiralah mereka itu bangsa apa dan agama apa. Kita harus “grateful” kepada mereka yang telah memberi munafaat kepada kita. Baik secara langsung maupun tidak langsung. Bukankah prinsip ini yang diajarkan Nabi s.a.w kepada kita umatnya ?

Jadi mulai sekarang Acik akan sentiasa ingatkan diri sendiri supaya “be appreciative”.  Malah, Acik ingin mengajak semua rakan Facebook Acik yang dihormati lagi dikasihi sekalian, agar turut sama “be appreciative” terhadap segala yang dijadikan Allah. Samada yang positif maupun yang negatif.  Yang disukai maupun sebaliknya. Mudah-mudahan kita semua akan menjadi hambaNya yang ikhlas, tawadhu’, redha, bersyukur, khanaah, sabar, zuhud, pengasih, “helpful”, pemaaf dan seumpamanya.

Wallahualam.

Lain-lain PenCERAHan yang relevan :

Tiga Khong Yang Acik Kenalhttps://4uni2c.com/2013/12/22/kebetulan-13z22-tiga-khong-yang-acik-kenal/

** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK :   www.4uni2c.com

@OPajar

#14105

Advertisements

~ by OPajar on 2014/01/05.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: