Karpal Singh – Kapal yang sarat dengan sejarah perjuangan menuntut keadilan
*** Untuk menCARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL
(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)
Karpal Singh –
kapal yang sarat dengan sejarah perjuangan menuntut keadilan
Pada 16 April 2014 yang baru lepas, berita dalam Malaysiakini yang Acik terbaca kira-kira jam 5:30 pagi, sangat menyedihkan Acik. Ia adalah berita tentang kematian YB Karpal Singh. Kematian mengejutnya itu adalah akibat satu kemalangan ngeri di lebuh raya PLUS tidak jauh dari Gopeng, Perak..
Turut mati bersama-sama beliau ialah pembantu peribadinya. Manakala pembantu rumah beliau pula cedera parah. Namun, pemandu dan anak lelaki beliau selamat. Berita tersebut boleh diakses dari alamat berikut: www.malaysiakini.com/news/260226. Untuk pengetahuan rakan-rakan rapat Acik yang masih tidur ketika itu, maka berita sedih ini terus Acik sebarkan kepada mereka dengan smartphone Acik.
Selingan 1 :
Malaysia berkabung di atas kehilangan seorang tokoh pejuang keadilan
http://www.kinitv.com/video/5909O74
Sebagai seorang anak Pulau Pinang (Penangite), Acik tentulah turut terasa sedih dan suatu kehilangan di atas kematian YB Karpal secara trajis itu. Siapa yang tak kenal dengan YB Karpal, maka dia bukanlah orang yang peka terhadap perkembangan politik semasa negara amnya, politik Pulau Pinang khususnya.
Jika seseoang anak Pulau Pinang yang telah dewasa, tetapi belum tahu siapa itu YB Karpal, maka dia mungkin juga belum pernah naik feri Pulau Pinang. Maksud Acik ialah, dia itu adalah rakyat yang sangat dhaif hinggakan lantai feri Pualu Pinang pun tak pernah dipijakinya. Sekali pun dia dilahir dan dibesarkan di Jelutung. Namum Acik percaya tidak ada anak Jelutong yang tidak kenal YB Karpal.
YB Karpal merupakan seorang ahli politik yang tidak asing dalam negara kita Malaysia. Beliau juga memiliki syarikat guamannya sendiri yang sudah mantap, lagi sangat popular. Pendapatannya dari syarikat guamannya saja sudah cukup untuk membuat YB Karpal mampu hidup mewah. Ini berbeza dengan kebanyakan ahli-ahli politik lain yang hanya bergantung kepada elaun wakil rakyat yang dibayar dari dana kerajaan.
Oleh itu tidak wajar timbul sikit pun dalam hati Acik bahawa YB Karpal masuk politik adalah untuk mencari makan atau kekayaan. Lain pula dengan sesetengah ahli politik yang memang masuk politik untuk mencari makan dan kekayaan. Hidup mereka itu memang mulai berubah menjadi senang hanya setelah dapat menjadi seorang YB. Lebih-lebih lagi setelah menjadi menteri. Tak kiralah samada YB BN atau pun YB PR.
Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan undang-undang, sudah tentulah YB Karpal jauh lebih memahami undang-undang berbanding dengan ahli-ahli politik yang lain. Malah bukan saja beliau memahami undang-undang dari sudut prinsip dan praktikalnya saja, hatta juga dari aspek falsafahnya sekali. Ini menyebabkan YB Karpal sangat dihormati oleh rakan seperjuangannya, dan sangat digeruni pula oleh pihak lawan.
Reputasi YB Karpal Singh, tidak ada pihak yang berani mempertikaikan. Walaupun tidak pernah menjawat jawatan menteri atau menjadi pegawai tinggi kerajaan, beliau lebih proaktif dalam aspek keadilan dalam pengurusan negara. Beliau juga seorang pengamal undang-undang yang berani. Sifat berani ini wajib ada pada setiap pengamal undang-undang.
Malangnya hanya segelintir saja pengamal undang yang memiliki sifat berani sepertimana YB Karpal Singh. Sifat berani yang Acik maksudkan ialah berani menegakkan yang hak atau keadilan.Tidak kurang juga berani mengambil risko yang munasabah sebagai seorang pengamal undang-undang. Contohnya, berani membela mangsa penganiayaan yang terdiri dari rakyat miskin,sedangkan penganiayanya merupakan orang penting negara. Ini kerana, rata-rata kumungkinan untuk menang adalah sangat nipis, Manakala ganjarannya pula tidak berbaloi.
Semasa Ahmad anak Acik sedang dalam tempoh perbicaraan, beliau telah diundang untuk bertemu YB Karpal di pejabatnya di Kuala Lumpur. Ini satu manifestasi keperihatinan beliau terhadap nasib Ahmad. Walaupun beliau tidak menjanjikan apa-apa dalam pertemuan tersebut, namun semangat yang ditiupkan ke jiwa Ahmad memang tersangat bermakna bagi menghadapi perbicaraannya di mahkamah. (PenCERAHan: https://4uni2c.com/2013/12/11/ahmads-saga-index/)
Punca kematian YB Karpal patut membuka mata rakyat dengan lebih luas lagi terhadap sistem keselamatan di dalam negara kita, terutama di atas jalan raya. Walaupun kemalangan merupakan fenomina yang tidak dapat dinafikan, namun ia pasti dapat dikurangkan. Tetapi, apakah usaha kita bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di atas jalan kita di seluruh Malaysia sudah cukup ?
Bagi YB Karpal kemalangan yang meragut nyawanya itu bukanlah kemalangan jalan raya pertama kali buat beliau. Dalam tahun 2005 dulu, beliau telah pun menemui satu kemalangan jalan raya yang serius. Akibatnya beliau cacat kekal (lumpuh) hingga terpaksa menggunakan kerusi roda. Namun, kecacatan beliau tidak langsung mengurangkan semangat juang beliau bagi membela keadilan.
Nasib yang dialami oleh YB Karpal adalah umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Tidak lama sebelum menimpa kemalangan, beliau telah dihukum denda RM4 ribu ringgit oleh Mahkamah. Beliau telah disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Hasutan yang berkaitan dengan institusi istana negari Perak.
Hukuman denda RM4 ribu itu sudah cukup sebagai alasan bagi menggugurkan kelayakan YB Karpal sebagai ahli Parlimen. Sedangkan rakyat rata-rata masih memerlukan perkhidmatan beliau sebagai ahli Parlimen. Berikutan dari itu YB Karpal menyatakan hasratnya agar tempatnya sebagai Ahli Parlimen akan dapat digantikan oleh anak beliau sendiri, iaitu Ram Singh. Inilah yang Acik harap akan berlaku.
Keguguran YB Karpal dari menjadi ahli Parlimen mungkin satu “blessing in disguise” buat rakyat Malaysia amnya dan parti Pakatan Rakyat khususnya. Ia akan mengurangkan beban tugas beliau kerana tidak lagi perlu menghadirkan diri ke Parlimen. Ini akan memberi lebih banyak masa kepada beliau bagi menumpukan perhatian kepada kes-kes mahkamah yang sedang ditangani beliau, terutama kes liwat II YB DSAI.
Penghormatan yang ditunjukkan rakyat terhadap YB Karpal sejak beliau diistiharkan mati sudah cukup sebagai manifestasi jelas bahawa rakyat sangat sayangkan beliau. Walaupun telah timbul satu dua kenyataan negatif dari individu-individu tertentu terhadap beliau, namun tidak ketara ada yang menyokong kenyataan tersebut. Ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia lebih sayang kepada mendiang YB Karpal dari mereka itu. Akhirnya individu-individu berkenaan itu terpaksa menarik balik apa yang telah terkeluar dari mulut celupar mereka.
Walaupun ada pihak yang percaya bahawa YB Karpal akan masuk ke dalam neraka kerana tidak mati sebagai seorang Muslim, Acik pula mempunyai pendapat sendiri. Acik rasa sangat tidak wajar jika ada pihak yang membuat pengistiharan bahawa tempat beliau di akhirat nanti adalah neraka selama-lamanya. Siapalah sebenarnya kita ini hingga mampu menghukumkan begitu. Seolah-olah menuntut kepada Allah untuk menghukum demikian rupa kepada seseorang hambanya. Sedangkan Allah S.W.T lebih berhak untuk menempatkan beliau di mana Ia suka.
Tidak mustahil bahawa penilaian kita terhadap seseorang itu, (samada dia Islam atau sebaliknya) boleh tersasar dari hakikat sebenar yang ditentukan Allah. Jika diri kita sendiri adalah seorang yang telah Islam, kemudian kita mati sebagai seorang yang murtad, maka bolehlah kita yakin bahawa tempat kita nanti adalah dalam neraka dan kekal selama-lamanya. Tetapi bagi diri insan lain, biarlah Acik serahkan sepenuhnya kepada Allah apa hukuman yang layak untuknya.
Bukankah kita juga tahu bahawa hati manusia boleh saja berbolak balik dalam sekelip mata. Orang Islam pun tidak mustahil boleh murtad di saat sakaratul maut lalu meninggal sebagai seorang yang bukan Islam. Nauzubillah. Sebaliknya orang yang belum Islam pula tidak mustahil boleh meninggal dunia sebaik saja ia mengakui tentang keesaan Allah.
Alhamdulillah, dia yang mati sebagai seorang yang baru beriman, akan diampuni Allah akan segala dosanya. Nasibnya adalah lebih baik di sisi Allah dari kita yang dilahirkan dalam Islam yang telah banyak melakukan dosa sejak baligh. Di kubur mana seseorang itu disemadikan, bukanlah penentu nasibnya di alam akhirat nanti.
Allah telah menjanjikan bahawa orang yang mempunyai iman sebesar zarah sekalipun akhirnya akan dimasukkan juga ke dalam surga Allah. Iman yang Acik maksudkan ialah, pengakuan yang ikhlas dalam hatinya bahawa tuhan yang wujud hanyalah satu saja. Cuma dirinya saja tidak sedar bahawa tuhan yang diakui keesaannya itu sebenarnya ialah Allah yang orang Islam sembah selama ini.
Dengan rengkasnya Acik ingin menegaskan di sini bahawa, tidak sesiapa pun yang tahu samada seseorang itu (Muslim atau sebaliknya) akan masuk ke dalam neraka maupun syurga Allah. Malah nabi s.a.w. sendiri pun tidak tahu siapa dari hamba Allah yang akan ke surga atau siapa yang akan ke neraka, melainkan mereka yang diberitahu oleh Allah kepada baginda. (PenCERAHan: Are Paul Walker & Nelson Mandela Going to Hell? https://www.youtube.com/watch?v=fqZpNj76HtI )
Oleh itu, janganlah kita meremehkan segala jasa dan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu di sepanjang hayatnya, semata-mata kerana kita anggap beliau hina di sisi Allah. Sebab, walaupun kita percaya bahawa beliau mati sebagai seorang bukan Islam, namun itu adalah berdasarkan persepsi kita semata-mata. Sedangkan hakikat sebenarnya, hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.
Memandangkan bahawa dalam Quran ada ayat yang melarang kita untuk berdoa ke atas seorang musrik (surah 9-Taubah, ayat 113), apa salahlah jika kita hanya sekadar menahan diri dari berdoa saja, tanpa menghukumkan bahawa orang berkenaan itu pasti akan ke neraka. Kerana kita sebenarnya tidak tahu pun apa yang telah berlaku disaat-saat terakhir seseorang itu sebelum ia menghembus nafasnya yang terhakhir.
Kematian mendiang YB Karpal tentu akan mencetuskan banyak persoalan atau tandatanya. Pertama, tentang bagaimana boleh berlakunya kemalangan maut tersebut. Dan kedua, (yang lebih penting bagi dunia perundangan) ialah, apa akan terjadi dengan kes-kes yang sedang dikendali beliau.
Acik tidak hairan jika kematian YB Karpal boleh mencetuskan pelbagai spekulasi. Memandangkan beliau ahli politik, maka tidak dapat dinafikan bahawa musuh politiknya agak ramai. Maka tidak peliklah jika ada yang menyangka bahawa beliau telah menjadi mangsa “assassination”.
Bukan mudah untuk meyakinkan seluruh rakyat bahawa kemalangan maut YB Karpal itu tidak ada langsung unsur “assassination”. Samalah juga isu pesawat MH370, Betapa susahnya untuk meyakinkan keluarga mangsa pesawat tersebut bahawa kehilangan pesawat tersebut itu tidak ada langsung unsur-unsur konspirasi.
Mujur juga negara kita memiliki seorang Raja Bomoh yang sangat proaktif. Sebelum sempat mana-mana pihak mencipta teori “assassination”, beliau siang-siang lagi telah menyediakan jawapan mengenai sebab-sebab berlakunya kemalangan yang meragut nyawa YB Karpal itu. Syabas Acik ucapkan kepada Raja Bomoh kita. ( PenCERAHan https://www.youtube.com/watch?v=VG4_-x4Jf_Q)
Mudah-mudahan selepas ini tidak timbullah lagi sebarang teori assassinasi berhubung dengan kematian YB Karpal itu. Dengan perkataan lain, kemalangan maut yang meragut nyawa YB Karpal itu, memanglah kemalangan tulen. Yakni ia tidak dirancangan oleh mana-mana pihak. Sebaliknya, mengikut kajian Raja Bomoh kita, ia adalah semata-mata akibat makluk halus yang menggangu pemandu-pemandu kenderaan yang lalu di kawasan kemalangan berkenaan.
Tidak adanya tahanan dibuat ke atas pemandu lori berkenaan juga merupaka tanda bahawa kematian YB Karpal bebas dari unsur “assassination”. Jika ada unsur “assassination”, maka sudah tentulah pihak Polis telah menahan beliau dengan lebih lama untuk disoal siasat dengan cara intensif. Lagi pun, mengikut pemandu lori tersebut, beliau tidak tahu bahawa di dalam MPV yang melanggar lorinya dari belakang itu, ada YB Karpal. Mungkin juga YB Karpal tak dikenali langsung oleh pemandu lori tersebut.
Bagi pendapat Acik, kemalangan tersebut adalah akibat pemanduan yang laju. Mungkin juga ia adalah akibat sikap pemandu yang sering melakukan kesalahan terafik. Pandangan Acik ini adalah berdasarkan pendedahan pihak polis bahawa kereta yang dinaiki YB Karpal mempunyai 29 rekod kesalahan trafik kerana dipandu dengan laju. Manakala pihak lori, tidak pula Acik maklumi berapa pula rekod kesalahan trafiknya. Mungkin tiada kut.
Lazimnya, sepandai mana pun seseorang itu memandu dengan laju, salah-salah haribulan bertemu juga dia dengan kemalangan yang serius. Bak kata perpatah, “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga”. Kemalangan maut mungkin tidak berlaku sekirianya kereta yang membawa YB Karpal itu tidak terlalu laju berbanding dengan kelajuan lori berkenaan yang dilanggarinya. Apapun, bila sesuatu itu telah berlaku maka tahulah kita bahawa itulah sebenarnya perencanaan Allah. Oleh itu kita kena redholah.
Kematian YB Karpal juga mempunyai implikasi negatif kepada kes-kes yang sedang dikendalikan oleh beliau. Terutamanya kes liwat II yang melibatkan YB DSAI. Semua kita tahu bahawa YB DSAI telah dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun oleh Mahkamah Rayuan pada 7hb Mac, 2014 yang lepas.
YB Karpal adalah peguam YB DSAI yang akan menangani kes tersebut sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Ketiadaan YB Karpal mungkin memalapkan peluang DSAI untuk menang kes tersebut di peringkat Mahkamah Persekutuan. Akibatnya nanti, YB DSAI akan terpaksa menjalani hukuman penjara selama 5 tahun. Dan secara sendirinya kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen akan gugur.
Tidak kurang penting ialah kes-kes lain, yang juga sedang dikendalikan YB Karpal. Pelanggan-pelanggan atau anak guaman beliau tentulah merasa kecewa atas kematian peguam mereka itu. Masing-masing mereka sangat yakin bahawa, hanya YB Karpal saja mampu membela nasib mereka di mahkamah.
Apa pun, kita harap “yang patah akan cepat tumbuh semula dan yang hilang akan cepat berganti”. Walaupun jasad YB Karpal kini telah tiada, namun kita harap, semangat perjuangan beliau akan kekal di dalam jiwa ramai pengamal undang-undang di Malaysia. Biarlah kualiti perkhidmatan yang ditunjukkan oleh YB Karpal sepanjang hayatnya dulu menjadi penanda aras (bench mark) bagi sistem perundangan dan penghakiman negara kita..
Selingan 2 :
Karpal Singh – A man who is said to be Anti-Islam but defends 4 ……
d a u l a t r a k y a t !
Lain-lain maklumat yang relevan:
Karpal’s son says “NO” to idea of requesting AG to drop the charge against his dad http://www.malaysiakini.com/news/261007
*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK : http://www.4uni2c.com