Ali’s SAGA # 09 : Berjuang Biarlah IKHLAS.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia yang baru memulakan perkhidmatan beliau dengan membuat suatu tindakan uniq. Tindakan yang Acik (Ayah/Abang+cik) maksudkan itu ialah menarik balik passport Alvin dan Ali. Tindakan seperti ini belum pernah dilakukan oleh mana-mana KP sebelum beliau. Adakah tindakan tersebut mempunyai apa-apa implikasi di sudut undang-undang negara ?   Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

*** Untuk menCARI  lain-lain PenCERAHan  sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.

(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)

Berjuang biarlah ikhlas

Selingan 1

Putrajaya revokes passports of Alvin Tan, Ali Abd Jalil

http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/putrajaya-revokes-passports-of-alvin-tan-ali-abd-jalil

Jika ditanya kepada Ali kenapa beliau melakukan kerja-keraja “bodoh” itu, yang telah menyusahkan dirinya sendiri, mungkin jawap beliau, “demi perjuangan”. Setiap perjuangan pastilah memerlukan pengorbanan. Kesanggupan meninggalkan keselesaan hidup di negara sendiri demi mencapai matlamat perjuangan adalah satu bentuk pengorbanan.

Samada pengorbanan yang ditanggung Ali itu berbaloi atau tidak, hanya beliau sendiri saja yang tahu. Konsep “berbaloi” adalah agak subjektif atau relatif. Sesuatu pengorbanan yang dianggap berbaloi oleh seseorang individu, mungkin tidak sama oleh individu lain.

Contohnya, seorang tahi judi mungkin merasa berbaloi membeli tikit ekor RM50 jika hadiah yang dijanjikan (jika menang) ialah RM50 ribu. Sebaliknya bagi seorang Ustaz, ia bukan saja dianggapnya tak berbaloi, malah merugikan kerana berdosa. Meski pun terbukti kemudiannya bahawa tiket ekor tersebut menang hadiah RM50 ribu, namun pendiriannya tetap tidak berganjak, iaitu berdosa kerana judi adalah haram keseluruhannya.

Begitulah juga dengan Ali. Bagi beliau, keselesaan dirinya yang dikorban itu tentulah berbaloi malah lebih dari itu. Padahal, bagi selain dirinya sendiri mungkin tak seorang pun yang merasakan bahawa pengorbanannya itu berbaloi. Malah ramai yang menganggap itu satu kebodohan. Lebih-lebih lagi selepas Ali terpaksa lari meninggalkan negara kelahirannya akibat diugut dan diancam keselamatannya oleh pihak-pihak tertentu.

Berbaloi ataupun tidak sesuatu pengorbanan itu, adalah juga bergantung kepada matlamat yang hendak dicapai. Berbaloi jika pengorbanan tersebut mendekatkan kepada pencapaian kemenangan perjuangan. Setiap individu yang berjuang pasti akan mendakwa bahawa perjuangannya adalah demi keadilan. Maksud adil pula ialah meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya yang hak atau sewajarnya.

Seperti konsep “berbaloi”, “adil” juga adalah agak subjektif atau relatif. Majikan A mungkin sudah berasa adil membayar upah kepada pekerjanya dengan kadar RM5 sahaja sejam. Manakala majikan B pula merasa bahawa upah RM10 sejam pun masih belum adil, apakan lagi RM5. Sedangkan kedua-dua majikan tersebut berada dalam industri atau perusahaan yang sama malah di lokasi yang juga sama.

Sesuatu perjuangan akan tercetus apabila ada pihak yang merasakan bahawa keadilan telah tidak ditegakkan ataupun tidak lagi dipentingkan. Akibatnya, maka wujudnya pihak yang teraniaya. Dalam masa yang sama pihak lain bertambah kaya dan selesa. Usaha ke arah membetulkan keadaan tersebut adalah merupakan suatu perjuangan suci.

Begitu juga dengan pihak yang mempertahankan sesuatu status quo. Usaha bagi mengekalkannya adalah juga dianggap perjuangan yang hak. Lebih-lebih lagi bila ianya diyakini sebagai satu keadaan atau situtasi yang terbaik yang telah berjaya diwujudkan. Lebih lama umur status quo tersebut maka akan lebih susah hendak ditamatkan. Ia akan memerlukan pengorbanan yang lebih besar di pihak yang berjuang menentang status quo tersebut.

Sebenarnya, tidak ramai orang yang berminat mengubah sesuatu status quo. Sebaliknya kebanyakannya lebih suka mengambil jalan mudah dan lebih selamat iaitu “conform” dengan status quo berkenaan. Kata Mad Saleh, “if you can not change them, just join them”. Bukanlah kerana status quo itu merupakan pilihan paling baik, tetapi kerana tidak sanggup menanggung risko akibat dari usaha mengubah status quo tersebut.

Contohnya, takut berlaku perkara-perkara negatif yang mungkin mengorbankan banyak harta benda malah nyawa. Pengorbanan inilah yang tidak ramai orang yang sanggup bayar kecuali segelintir. Aktivis sosial seperti Ali Abd Jalil, Adam Adli, Safwan Anang, Alvin Tan, Fahmi Zainol, Khalid Ismath dan rakan-rakannya yang lain, adalah termasuk dalam golongan yang segelintir ini.

Semangat juang yang ditunjukkan mereka itu adalah penting. Tanpa semangat juang, keadaan tidak akan berubah mungkin untuk selama-lamanya. Allah ada berfirman yang maksudnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. Bagi mengubah kaum, maka ia bermula dengan mengubah individu-individu dalam kaum tersebut.

Kaum adalah satu koleksi individu-individu yang mempunyai berbagai-bagai sikap dan fikrah. Nilai dan persepsi masing-masing tidak sama antara satu dengan yang lain. Kebolehan dan kemampuan masing-masing juga berbeza. Begitu juga dengan semangat juang masing-masing. Hatta matlamat dan kaedah perjuangan masing-masing juga berbeza.

Sejak Ali menjadi individu yang mendapat perhatian umum dengan begitu sekali, di dalam negara bahkan di seluruh dunia, Acik banyak menerima pujian dari ramai individu. Ada yang Acik kenali malah ramai pula yang belum Acik kenali, kecuali sekadar menjadi rakan Facebook saja. Namun tak kurang juga yang mengutuk Acik suami isteri dengan berbagai istilah negatif.

Mereka yang memuji tentulah yang sealiran fikrah dengan Acik. Yang mencaci tentulah yang sebaliknya. Yang memuji, kagum dengan Acik kerana kononnya telah berjaya menghasilkan anak-anak yang mempunyai semangat juang yang begitu tinggi. Manakala yang mengutuk pula melabelkan Acik sebagai ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak sendiri.

Di usia emas ini tentulah Acik tidak lagi macam di zaman muda dahulu. Jika dahulu, ketika darah masih panas, puji-pujian mungkin memberi “great excitement” dan keseronokan yang melampau di hati. Sebaliknya kutukan pula mungkin mencetuskan kemarahan yang agak ketara lagi membara. Tapi yang anehnya, satu kutukan saja pun sudah cukup bagi menghapuskan segala pujian.

Namun, alhamdulillah di usia emas ini kedua-duanya itu (pujian dan kutukan) telah tiada memberi apa-apa bekas lagi di hati Acik. Jika ada pun, hanyalah sekadar sentuhan gitu-gitu saja. Ia ibarat debu-debu kering yang hinggap di lengan baju. Sekali dikibas, maka hilanglah ia.

Apa pun, Acik tetap menghargai setiap pujian berkenaan dengan terima kasih yang tak terhingga. Mudah-mudahan mereka yang memuji Acik dengan ikhlas itu diberkati Allah dengan seribu hidayah. Bagi yang mengutuk pula, Acik maafkan saja mereka itu supaya tidak menyusahkan mereka di hari akhirat nanti. Mereka Acik umpamakan si buta yang masih belum lagi mengenali gajah secara syumul (lengkap).

Cuma satu saja yang Acik nak menasihati mereka, iaitu supaya tidak bersikap seperti “barua jepang” yang menghukum semua orang walaupun yang bersalah hanya seorang sahaja. (PenCERAHan :. https://4uni2c.com/2012/12/16/cerekana-11z12-strategi-barua-jepang/ ). Dinasihati juga agar mereka juga membaca cerita tentang Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Noh a.s. Mudah-mudahan, anak taklah dihukum kerana kesalahan bapa, ataupun sebaliknya.

Acik tertarik dengan satu kisah yang pernah Acik dengar semasa keluar besama-sama Jemaah Tablig dahulu. Di akhirat nanti akan ada tiga individu yang dibawa oleh Malaikat ke hadapan Allah sebelum dimasukkan mereka ke dalam syurga Allah. Yang pertama ialah individu yang mati dalam peperangan menentang orang kafir. Yang kedua ialah seorang yang mati sebagai ulama sohor dan yang ketiga ialah seorang yang mati sebagai seorang dermawan agung.

Allah bertanya kepada individu yang pertama tentang amalannya di dunia yang melayakkan beliau masuk ke syurgaNya. Maka beliau pun menjawab bahawa beliau telah turut berperang di jalan Allah semata-mata kerana mempertahankan agama Allah, hingga mati sahid. Allah lalu menyangkal jawapannya itu. Berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui itu, beliau berjuang bukannya kerana Allah. Sebaliknya kerana ingin masyhor sebagai jihadis yang gagah berani. Dan hasratnya itu telahpun diperolehinya iaitu namanya telah masyhor sebagai seorang pahlawan Islam yang gagah berani.

Soalan yang sama juga ditanya kepada individu kedua. Maka beliau pun menjawab bahawa beliau telah banyak menyebarkan ilmu agama semata-mata kerana Allah ketika di dunia dahulu. Lalu Allah menyangkal dakwaan beliau itu. Beliau sebenarnya menjadi ulama bukan kerana ingin menyebarkan ilmu agama Allah, tetapi supaya beliau masyhor sebagai seorang ulama besar yang disanjungi lagi dihormati. Hasratnya itu telahpun tertunai menjelang akhir hayatnya.

Begitu juga terhadap individu ketiga. Beliau juga mendakwa bahawa beliau telah menjadi dermawan semata-mata untuk mendapat pahala dari Allah. Allah menemplak beliau kerana yang sebenarnya mendorong beliau menderma ialah agar dipuji sebagai seorang dermawan agung. Puji-pujian tersebut telahpun dinikmatinya semasa di dunia lagi.

Allah lalu memerintahkan Malaikat berkenaan supaya mencampakkan ketiga-tiga individu tersebut ke dalam neraka. Ini menunjukkan kepada kita bahawa hanya amalan yang ikhlas sahaja yang ada nilainya di sisi Allah. Selain dari itu semuanya akan membawa kepada kebinasaan (neraka). Sedangkan yang mengetahui samada seseorang itu ikhlas atau sebaliknya hanyalah Allah. Hatta Malaikat sendiri pun tidak tahu status sebenar hati seseorang hamba Allah.

Acik percaya bahawa anak-anak Acik semuanya faham tentang konsep ikhlas tersebut. Dari 10 orang anak Acik, tidak seorang pun yang terkecuali dari pernah menuntut di sekolah agama. Sedangkan diri Acik sendiri pun tidak pernah menjejak kaki di mana-mana sekolah agama, sejak kecil hingga sekarang.

Acik rasa memadailah jika Acik sebutkan nama anak Acik iaitu Asiah dan Ali saja di sini sebagai contoh. Asiah pernah menunutut di Sekolah Menengah Agama Naim Lil Banat bersama-sama seorang adiknya yang kini bergelar doktor. Ali pula pernah menuntut di Sekolah Maahad Muhammadi, Kota Bharu Kelantan bersama-sama saudara kembarnya (Ahmad – kini penuntut di peringkat PhD).

Menghantar anak-anak ke Sekolah agama itu adalah satu dari pelbagai usaha Acik untuk mendidik semua anak-anak Acik supaya menjadi Muslim yang baik. Jika masih ada siapa-siapa yang menuduh Acik gagal mendidik anak-anak dengan baik, itu terpulanglah kepada penilaian masing-masing. Begitu juga, jika ada mana-mana individu yang menuduh anak Acik “murtad” dan sebagainya, terpulanglah kepada budibicara masing-masing.

Apa yang Acik yakin ialah iman seseorang itu tidak boleh diwarithi atau sebaliknya. Iman tidak semestinya akan bertambah bila diberi puji-pujian. Sebaliknya iman juga tidak akan berkurang akibat menerima kutukan.

Sebenarnya Allah sahaja yang tahu status keimanan seseorang hambaNya. Hatta Nabi s.a.w. sendiri pun tidak tahu status ke Islaman pengikut-pengikut baginda, melainkan apa yang diwahyukan Allah kepada baginda sahaja.

Sebagaimana yang Acik jelaskan di awal PenCERAHan ini, masing-masing mendakwa sedang berjuang demi menegakkan keadilan. Pihak Kiri (reformists) mendakwa berjuang untuk mengubah status quo kerajaan supaya keadilan lebih cepat dicapai. Manakala pihak Kanan (conformists) pula bermati-matian mempertahankan status quo berkenaan agar ianya terus dikekalkan. Ali, Asiah dan rakan-rakan mereka adalalah merupakan “reformists” manakala pihak yang sedang sedap memaki hamun mereka ialah conformists.

Acik tidaklah berniat menghistiharkan di sini bahawa Acik penyokong mana-mana pihak dengan sepenuhnya. Kedua-dua pihak mempunyai hujah-hujah tersendiri bagi mempertahankan pendirian masing-masing. Dalam aspek-aspek tertentu mungkin pihak yang Kanan nampaknya lebih wajar disokong. Sebaliknya, bagi aspek-aspek lain pula mungkin pihak yang Kiri yang lebih wajar disokongi.

Tiap-tiap perjuangan mesti ada matlamatnya. Cara perlaksanaannya mungkin berbeza antara seorang pejuang dengan yang lain, walaupun matlamat mereka mungkin sama. Dalam Islam, perjuangan mestilah dilakukan dengan ikhlas.

Pejuangan yang ikhlas mempunyai dua ciri utama yang penting. Pertama, matlamatnya mestilah yang di redhai Allah. Kedua, kaedahnya pula tidak boleh bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Contohnya, Islam tidak boleh dikembangkan dengan cara memaksa orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam walaupun Islam adalah agama rasmi negara berkenaan.

Jika ditanya kepada Acik, adakah Ali berjuang dengan ikhlas, maka berdasarkan ciri-ciri yang tersebut di atas jawapan Acik ialah “belum ikhlas”. Dalam keadaan biasa, kaedah yang digunapakai oleh Ali itu adalah agak keterlaluan dan melanggar akhlak Islam. Jika Ali sendiri mendakwa bahawa itulah saja kaedah yang berkesan bagi mencapai matlamat perjuangannya, maka itu terserahlah kepada Allah untuk menilainya.

Selain Ali, ramai lagi pemuda-pemuda Malaysia lain yang mendakwa sedang berjuang menegakkan keadilan. Contohnya pemuda-pemuda dalam pelbagai parti politik. Bagi mereka, memenangkan parti masing-masing adalah satu perjuangan suci. Kemenangan akan memberi kuasa kepada parti mereka untuk memerintah negara. Maka banyaklah kerja-kerja kebajikan yang akan mampu dilakukan nanti seandaikata partinya berjaya menjadi pemerintah.

Pemuda-pemuda bagi parti yang bergelar PAS juga nampaknya begitu bersemangat sekali berjuang bagi memenangkan parti kesayangan mereka dalam PR14 nanti. Namun, bagi mereka memenangi pilihanraya belum lagi matlamat sebenar yang diperjuangkan. Kemenangan dalam PRU hanya merupakan satu strategi ke arah pencapaian matlamat sebenar perjuangan, iaitu memertabatkan hukum Allah di bumi Malaysia ini.

Walaupun matlamat yang diperjuangkan itu adalah maha suci dan diredhai oleh Allah, namun mereka juga tertakluk kepada prinsip-prinsip perjuangan yang ditetapkan oleh Islam. Contohnya, mereka tidak boleh menafikan hak kebajikan ahli-ahli keluarga sendiri kerana terlalu taksub dengan perjuangan parti. Jika berbuat demikian maka ia adalah terkeluar dari landasan perjuangan yang ikhlas.

Perjuang yang tidak ikhlas membawa implikasi buruk terhadap parti. Bagaimanakah boleh diharap mereka akan mampu menjaga kebajikan sebuah negara (yang jauh lebih besar dari sebuah keluarga), jika sekiranya kebajikan keluarga sendiri (yang kecil) itu pun tidak mampu ditangani dengan baik. Mudah-mudahan mereka ini tidak termasuk dalam kategori 3 individu yang dikisahkan di awal PenCERAHan ini.

Wallahualam.

d a u l a t   r a k y a t   !

Lain-lain PenCERAHan yang relevan :

Ali’s SAGA # Index : http://4uni2c.wordpress.com/2014/12/04/alis-saga-index/

Ali’s SAGA # 08 Kura-kura dalam perahu https://4uni2c.com/2014/12/01/alis-saga-08-kura-kura-dalam-perahu/

 

*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK :   www.4uni2c.com

@ OPajar (# 14z11)

~ by OPajar on 2014-12-10.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: