BANJIR # 04 : usahlah rasa berSALAH !
Dengan doa yang ikhlas sebagai sumbangan, maka Acik memujuk hati sendiri, “usahlah rasa bersalah !”, walaupun sumbangan berbentuk harta dan tenaga tidak seberapa. Tidak guna juga menghulurkan bantuan yang banyak sekiranya bukan dengan hati yang tulus ikhlas. Lebih-lebih lagi jika hingga melampaui kemampuan yang munasabah yang akhirnya akan membebankan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
*** Untuk menCARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)
Usahlah rasa bersalah !
Ketika menuntut di UM kira-kira 40 tahun dahulu, Acik (Ayah/Abang+cik) berkawan dengan ramai pelajar. Mereka dari berbagai sekolah, latarbelakang dan berbagai bangsa. Beberapa orang daripada mereka adalah bekas pelajar-pelajar Kolej Islam Kelang. Dari mereka dapatlah juga sedikit ilmu agama yang sempat Acik pelajari.
Suatu hari Acik bertanya tentang satu masalah agama kepada seorang kawan yang juga bekas pelajar Kolej Islam tersebut. Tak salah Acik, tentang tersentuh wanita bukan mahram tanpa disengajakan. Kalau dengan sengaja Acik pun dah tahu bahawa hukumnya batal wudhu’ jika berdasarkan ajaran mazhab Shafie.
Rakan Acik itu menjawap bahawa hukumnya tetap batal samada sengaja ataupun tidak. Analogi yang diguna beliau ialah umpama tersentuh najis tahi (babi). Samada tersentuh dengan sengaja ataupun tidak, hukumnya tetap najis dan wajib dibersihkan. Harap janganlah pula ada yang akan menuduh kawan Acik itu menyamakan wanita dengan babi. Niat beliau bukanlah begitu.
Kalau wudhu’ batal akibat tersentuh wanita bukan mahram, maka perlulah berwudhu’ semula barulah solat menjadi sah. Begitulah juga, jika tersentuh najis tahi (babi) maka kenalah bersihkan dahulu diri dari najis tersebut barulah solat dikira sah. Dengan menafikan samasekali bahawa yang tersentuh tu adalah najis tahi (babi), ia tidak akan mengubah status diri kita dari bernajis kepada bebas dari najis.
Dari analogi rakan Acik di atas, fahamlah Acik bahawa status sesuatu perbuatan itu tidak akan berubah dengan penafian semata-mata. Samada perkara tersebut berlaku dengan sengaja maupun tanpa disengajakan, jika statusnya buruk maka ia akan tetap buruk. Contohnya ialah kemalangan jalan raya. Walaupun pihak yang terlibat dengan kemalangan itu mendakwa bahawa beliau tidak sengaja melakukan pelanggaran berkenaan, namun kesan akibat kemalangan tersebut tetap akan nampak.
Berhubung dengan peristiwa buruk yang sedang melanda negara sekarang, ada dua pihak yang berbeza pandangan. Pihak pertama percaya bahawa pembalakan adalah penyebab utama belakunya banjir. Namun pihak kedua pula tidak percaya bahawa pembalakan adalah puncanya. Sebaliknya pihak kedua ini mendakwa bahawa banjir adalah ujian ataupun hukuman dari Allah. Ia tidak ada kena mengena dengan pembalakan.
Bagi Acik, kepercayaan kedua-dua pihak tersebut ada unsur kebenarannya. Berdasarkan sunnatullah, Acik percaya bahawa pembalakan adalah punca kepada berlakunya banjir. Oleh sebab itu, menafikan faktor sunnatullah 100% adalah agak keterlaluan.
Begitu juga, menafikan 100 % bahawa banjir merupakan ujian atau pun hukuman dari Allah adalah agak keterlaluan. Mungkin juga Allah sedang menguji atau menhukum mangsa-mangsa banjir yang majoritinya umat Islam. Dikalangan mereka, Allah menguji siapakah yang dapat bersabar dan siapa yang sebaliknya. Siapa yang redha, siapa yang tidak, dan sebagainya.
Bagi yang berdosa pula, Allah sedang menghukum mereka agar insaf terhadap kerja-kerja maksiat mereka. Mudah-mudahan dengan keinsafan tersebut mereka tidak lagi melakukan kerja-kerja maksiat. Ini akan menyelamatkan mereka dari balasan di akhirat nanti, yangmana azabnya adalah jauh lebih pedih dari balasan di dunia ini.
Selain dari mangsa banjir, Allah juga mungkin sedang menguji pemimpin-pemimpin yang diberiNya kuasa memerintah negeri dan negara. Di kalangan mereka, Allah menguji samada mereka yakin ataupun tidak bahawa mereka boleh disabitkan dengan bencana banjir itu. Bagi yang yakin bahawa mereka tidak boleh disabitkan dengan bencana tersebut, maka tidak ada apalah yang nak dikesali. Sebaliknya, bagi mereka yang kurang yakin, maka akan besarlah penyesalannya.
Melihat telatah beberapa orang pemimpin, Acik rasa mereka sebenarnya ingin menyembunyikan perasaan bersalah mereka. Cara paling mudah bagi melindungi perasaan bersalah tersebut ialah dengan menafikan sama sekali bahawa aktiviti pembalakan itu ada kaitan rapat dengan kejadian banjir. Bila kedua-duanya dianggap tiada kaitan antara satu dengan yang lain, maka tak bolehlah sesiapa pun nak dakwa bahawa pihak yang meluluskan lesen pembalakan bertanggungjawap ke atas bencana banjir.
Malangnya, pihak pertama tetap percaya bahawa pembalakan dengan kejadian banjir adalah merupakan saudara kembar siam. Maksudnya, kedua-dua faktor tersebut amat susah nak dipisahkan, Ini memberi implikasi bahawa pihak yang meluluskan aktiviti pembalakan tidak boleh lari dari kesalahan melakukan jenayah banjir.
Walaupun pihak yang meluluskan lesen pembalakan itu tidak percaya ataupun menafikan tentang hubung kait antara pembalakan dengan kejadian banjir, keburukan yang telah berlaku tetap tidak boleh disangkal. Samalah seperti orang yang tersentuh najis tahi yang disebut di awal kalam tadi. Dengan seribu penafian (bahawa yang disentuhnya itu najis) sekali pun, diri yang tersentuh najis tersebut tetap telah menjadi pembawa najis, selagi tidak membersihkannya.
Setiap amalan itu akan dinilai mengikut niatnya. Sekiranya pelaku berniat buruk, maka berdosalah ia walaupun perbuatannya itu nampak baik. Contohnya membina sebuah masjid dengan niat memecah belahkan umat. Ini pernah berlaku di zaman Nabi s.a.w. di mana baginda lalu mengarahkan masjid tersebut dimusnahkan.
Niat yang baik pun belum boleh dikira mendapat pahala sekiranya tindakan yang dilakukan bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya merompak Ah Leng untuk menolong Ali. Bukan kata merompak, malah menipu atau mencuri pun tidak diizinkan syarak.
Rasuah juga boleh dikira sebagai menipu, apabila yang tidak halal disisi undang-undang pun diluluskan juga.
Bencana bah sebesar sekarang membuat ramai rakyat merasa bersalah. Pihak yang meluluskan lessen pembalakan merasa dirinya bersalah apabila menyedari bahawa pembalakan telah menyebabkan banjir besar berlaku. Penggubal undang-undang juga turut merasa bersalah kerana tidak mengadakan dasar yang boleh mencegah banjir. Ia termasuklah menyekat atau mengawal aktiviti pembalakan supaya kesan buruknya tidak membebankan rakyat.
Sebagai rakyat biasa yang tidak ada kaitan langsung dengan aktiviti pembalakan, perasaan bersalah di hati Acik timbul apabila tidak menghulurkan pertolongan yang cukup kepada mangsa-mangsa banjir. Jika ikutkan hati, memang nak Acik derma sejumlah wang yang agak besar kepada mereka yang dalam kesusahan iu. Malangnya kata pepatah Melayu, “niat di hati nak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai”.
Dahlah tak mampu korbankan harta benda, malah nak korban tenaga pun turut tidak mampu. Bukan tak teringin nak ikut serta missi-missi bantuan kemanusiaan yang berlepas ke destinasi-destinasi yang dilanda banjir. Tetapi agak takut pula ianya akan menjadi “sokong membawa rebab”. Maklumlah bila dah jadi warga emas, keselamatan diri perlulah diutamakan agar tidak membebankan pihak lain.
Selain Acik, mungkin ramai lagi rakyat yang turut merasa bersalah kerana gagal menghulurkan bantuan peribadi masing-masing kepada mangsa-mangsa banjir. Tapi jika tidak mampu, apalah yang mereka boleh buat ? Selain daripada berdiam diri, berdoalah di dalam hati minta Allah nyahkan azab yang sedang membelenggui mangsa-mangsa banjir itu dengan secepat mungkin.
Dengan doa yang ikhlas itu sebagai sumbangan, maka Acik memujuk hati sendiri, “usahlah rasa bersalah !”, walaupun sumbangan berbentuk harta dan tenaga tidak seberapa. Tidak guna juga menghulurkan bantuan yang banyak sekiranya bukan dengan hati yang tulus ikhlas. Lebih-lebih lagi jika hingga melampaui kemampuan yang munasabah yang akhirnya akan membebankan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Jika nak hirau sangat kepada ucapan berapi-api oleh perayu-perayu bantuan kemanusiaan, memanglah membuat kita semua rasa sangat bersalah. Seolah-olah kita semua tidak ada perasaan simpati dan perikemanusiaan yang cukup. terhadap saudara-saudara yang seagama dengan kita, yang kini sedang dilanda musibah. Bukan kata yang baru menderma seringgit saja yang merasa bersalah, malah yang dah menderma seribu ringgit pun masih juga rasa bersalah.
Wallahualam.
Selingan :
Lack of Leadership in dealing with floods
http://theheatonline.asia/POLITICS/Lack-of-leadership-in-dealing-with-floods
d a u l a t r a k y a t !
Lain-lain PenCERAHan yang relevan :
BANJIR # Index : http://4uni2c.wordpress.com/2015/01/26/banjir-index/
BANJIR # 01 : Produk Sampingan PemBALAKan : https://4uni2c.com/2014/12/22/banjir-01-produk-sampingan-pembalakan/
Hudud # 02 Manifestasi atau Penyebab … ? http://4uni2c.wordpress.com/2014/12/15/hudud-02-manifestasi-atau-penyebab/
*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: www.4uni2c.com
@ OPajar (# 1502)