4uni2c # 15227 – Dilema Menghadapi Polis

wpid-20150226_132706.jpgwpid-20150301_183406.jpg

Sebagai rakyat, setiap mereka juga berhak mendapat perlindungan kerajaan dari aspek keselamatan diri, hartabenda dan sebagainya. Manakala agen utama kerajaan bagi menyampaikan (deliver) hak rakyat tersebut adalah Polis. Polis adalah ibarat pagar yang fungsinya menjaga keselamatan padi. Apa ertinya ada pagar jika, “harapkan pagar, pagar makan padi” ?

*** Untuk menCARI  lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.

(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)

 

Dilema Menghadapi Polis

 

Semalam (2015 Feb 26) Acik keluar dengan anak sulung Acik. Kami ke rumah seorang kawan Acik (Ayah/Abang+cik) ketika di sekolah dahulu. Beliau memesan telur ikan “sturgeon” daripada anak Acik itu. Jadi kami ke rumahnya semata-mata untuk menyampaikan (deliver) pesanannya itu. Telur ikan ini lebih dikenali sebagai “caviare”.

Istilah “caviare” sebenarnya belum ada lagi dalam kamus minda Acik sebelum ini. Beberapa tahun yang lepas Acik baru saja dikenalkan dengan istilah ikan “kelah” iaitu nama sejenis ikan air tawar. Itu pun selepas Acik berpindah ke kampung 4K (4K = Kemubu Kuala Kerai Kelantan) menemani isteri Acik yang bertukar ke Sekolah Kebangsaan Kampung 4K, sebagai guru Penolong Kanan Pentadbiran

Yang sangat mengejutkan Acik tentang ikan kelah ialah harganya di pasaran. Ikan kelah yang agak besar saiznya, boleh mencecah ratusan ringgit sekilo. Kerana harga pasarannya yang begitu tinggi, tak pernah dengar ada anak kampung yang tergamak memakan ikan kelah yang berjaya ditangkapnya. Mereka lebih suka menjual ikan tersebut bagi mendapatkan wang. Sampai sekarang, Acik sediri pun belum pernah merasa daging ikan kelah.

Kalau nilai ikan kelah pun sudah begitu mengkagumkan Acik, apa lagi dengan nilai telur ikan “sturgeon”. Acik terkejut bila anak Acik itu memaklumkan Acik bahawa harga bagi sekilo “caviare” (telur ikan sturgeon) mencecah lebih 10 ribu Dolar Amerika di Malaysia. Jadi terhadap kawan sekolah Acik tersebut sudah tentulah Acik kagum dengan kemampuan beliau untuk membeli “caviare” dari anak Acik itu.

Kegembiraan Acik kerana berjaya mendapatkan pembeli pertama bagi bisnes anak Acik itu rupa-rupanya tercemar bila pulang ke rumah, mendapati bahawa rumah anak Acik dipecah masuk. Sejurus selepas kami sampai balik ke rumah, Acik dipanggil dengan telefon oleh pihak pengurusan apartmen (JMB) tempat kami tinggal. Kata pemanggil itu, rumah anak Acik itu telah dipecah masuk.

Tersentap juga Acik dengan makluman tersebut. Tetapi lebih menyentapkan lagi ialah bahawa yang memecah masuk bukan pencuri. Jika pencuri yang pecah masuk biasalah. Masa tinggal di kampung duhulu pun rumah Acik dua kali dipecah masuk pencuri. Polis menjadi tempat Acik mengadu nasib malang Acik ketika itu. Malangnya yang pecah masuk rumah anak Acik itu bukanlah pencuri, tetapi anggota Polis sendiri. Justifikasinya ialah berdasarkan aduan bahawa ada wanita yang dikurung di dalam apartmen anak Acik itu.

Sebaik menerima panggilan telefon dari pihak JMB, Acik terus bergegas ke rumah anak Acik tu. Jaraknya dengan rumah Acik tinggal hanyalah beberapa meter saja sebab di blok yang sama. Cuma di tangga sebelah saja. Kunci pada daun pintu utama telah rosak dan tak boleh berfungsi lagi.

Mujur pintu utama apartmen anak Acik itu masih boleh dikunci dengan menggunakan mangga. Maka ianya dikunci dengan sebuah mangga yang dipinjamkan oleh pihak JMB demi untuk keselamatan barang di dalam apartmen tersebut. Dan kebetulan, masih ada anggota Polis di ruang pakir di hadapan apartmen anak Acik itu.

Acik turun berjumpa mereka bertiga. Dua darinya ialah anggota Polis beruniform manakala seorang lagi Polis Tentera. Beritahu anggota Polis berkenaan, mereka sekadar menjalankan tugas sebagaimana diarahkan. Kalau Acik tak puas hati sila ke Balai Polis Damansara Damai berjumpa dengan bos mereka. Bila Acik bertanya samada ketika mereka memecah masuk rumah anak Acik itu ada tak wakil JMB bersama sebagai saksi, jawapannya ialah tidak ada.

“Wah, sampai begitu sekali besarnya bidang kuasa Polis ? ”, tercetus juga dalam minda Acik soalan tersebut. Mau Acik tak terfikir begitu jika pihak pengurusan apartmen (JMB) tempat Acik tinggal ini pun tak dipedulinya. Sepatutnya dapatkanlah dahulu kerjasama dari JMB Apartmen Saujana, kemudian barulah melakukan apa yang perlu. Mana tau kut-kut JMB ada kaedah tertentu untuk memasuki apartmen tanpa perlu merosakkan pintunya. Lagi pun itu adab yang wajar ditunjukkan oleh penjawat awam ketika memberi apa-apa perkhidmatan.

Sebagai rakyat, setiap mereka juga berhak mendapat perlindungan kerajaan dari aspek keselamatan diri, harta benda dan sebagainya. Manakala agen utama kerajaan bagi menyampaikan (deliver) hak rakyat tersebut adalah Polis. Polis adalah ibarat pagar yang fungsinya menjaga keselamatan padi. Apa ertinya ada pagar jika, “harapkan pagar, pagar makan padi” ?

Sebagai tanda menghormati institusi keselamatan utama negara itu, Acik tidaklah menuduh apa-apa terhadap anggota-anggota Polis yang memecah masuk rumah anak Acik itu. Kalau ikut pandangan pelbagai pihak, macam-macam bentuk spekulasi yang Acik dengar. Malah ada juga yang mensyaki bahawa Polis memasang sesuatu alat canggih bagi mengesan sesuatu dalam rumah tersebut. Justifikasi nak menyelamatkan wanita yang kononnya diculik itu hanyalah sekadar alasan bodoh saja.

Bila difikirkan semula, ada juga logiknya spekulasi-spekulasi seumpama itu. Tak kiralah samada sasaran mereka adalah anak Acik ataupun mereka telah tersalah alamat. Yang penting ialah agenda tertentu yang nak dicapainya, yang hanya mereka saja yang tahu dan tak mahu sesiapa pun tahu. Apa pun, kesusahannya biar mangsa sendiri yang tanggung.

Sebenarnya mensyaki bahawa di rumah anak Acik itu ada disembunyikan sesuatu ( lebih-lebih lagi maknusia) adalah merupakan satu penghinaan terhadap keluarga Acik. Adakah keluarga Acik ini memiliki potensi yang ketara akan melakukan jenayah seumpama itu ? Tidak meminta izin dari anak Acik untuk memasuki rumah beliau pun memberi implikasi yang negatif terhadap beliau. Seolah-olah membuat “presumption” bahawa beliau tidak mahu memberi apa-apa kerjasama kepada pihak Polis kerana sedar sedang melakukan sesuatu kesalahan di sisi undang-undang.

Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini timbul di masa-masa akan dating, maka Acik telah pergi ke Balai Polis Damansara Damai di sebelah pentangnya bersama anak Acik tu. Di kaunter balai Polis tersebut dapat juga berbual dengan dua orang anggota Polis beruniform. Kebetulan Sarjan Mejar Selamat tiada di pejabat. Khabarnya Sarjan Mejar Selamat itulah yang mengetuai pasukan yang memecah masuk apartmen anak Acik itu.

Selepas menanti beberapa lama di hadapan kaunter balai Polis Damansara Damai itu, maka tibalah SM Selamat dengan berpakaian awam. Beliau terus masuk ke dalam pejabatnya. Beberapa ketika kemudian barulah seorang anggota lain menyuruh kami masuk berjumpa dengan SM Selamat. Jadi hanya kami bertiga saja berada dalam pejabat beliau, termasuk anak Acik.

SM Selamat tidak menafikan tindakan beliau dengan anak buahnya memecah masuk apartmen anak Acik tersebut. Dengan selamba saja beliau memberitahu bahawa mereka telah terpaksa bertindak demikian kerana kecemasan. Kononnya di Apartmen Saujana itu pernah berlaku kes pembunuhan. Acik tak nampak pun apa-apa relevan kes pembunuhan yang beliau maksudkan itu dengan kes memecah masuk rumah anak Acik itu.

Beliau juga mengaku tidak memberitahu mana-mana anggota pihak pengurusan yang berada di dalam kawasan Apartmen Saujana itu kerana tak mahu membuat suasana jadi kelam kabut. Ini pun Acik tak boleh terima rasionalnya. Bagi Acik, jika ada kecemasan seumpama itu anggota pihak pengurusanlah yang patut diminta beri kerjasama. Pihak pengurusanlah yang tahu apartmen H109 tu milik siapa atau siapa penghuninya. Biarlah mereka cuba menghubungi dahulu penghuni atau pemilik apartmen tersebut untuk berunding. Bukan main pecah masuk dahulu kemudian baru beritahu.

Walaupun ada SM tersebut memohon maaf atas apa yang terjadi, namun Acik amat tidak berpuashati dengan sikap yang ditunjukkan beliau. Cara memohon maaf pun tidak menampakkan kesungguhannya, seolah-olah tidak apa-apa kerosakan yang telah dilakukan oleh pihak beliau. Di sinilah yang membuat Acik dilemma. Nak berterus terang mengatakan tak setuju dengan tindakan gopoh yang telahpun dilakukan beliau terhadap rumah anak Acik itu, nanti tercetus pula perbalahan serius dengan beliau. Sedangkan dalam diri Acik memang sangat tidak berpuashati dengan justifikasi yang dipakai bagi memecah masuk rumah anak Acik itu.

Dengan rasa tidak puas hati itulah Acik dan anak Acik itu meninggalkan pejabat Sarjan Mejar Selamat itu. Kami balik ke kaunter bagi menyiapkan laporan tentang kejadian tersebut. Selepas itu kami pun meninggalkan balai Polis Damansara Damai tersebut dengan berbagai-bagai soalan dan spekulasi dalam minda masing-masing.

Soalan pertama yang tercetus dalam minda Acik ialah, setakat manakah kebenaran alasan yang digunakan sebagai justifikasi untuk memecah masuk rumah anak Acik itu. Dengan lain perkataan, alasan sebenarnya mungkin bukan sebab ada wanita disyaki dikurung di dalam rumah tersebut, tetapi atas sebab-sebab lain yang tidak mahu didedahkan. Memandangkan lokasi dan kondisi apartment anak Acik itu, agak kurang masuk akal orang yang diculik akan disempan di dalamnya. Apartmen tersebut ialah di tingkat satu yang ditanda dengan “bendera” biru (di dalam gambar di atas).

Soalan kedua, siapakah pelapor yang mengadu kepada pihak balai Polis tersebut. Apakah hebatnya status pelapor tersebut hingga aduannya itu begitu menyakinkan anggota Balai Polis Damansara Damai amnya dan Sarjan Mejar Selamat khususnya. Begitu juga tentang status wanita yang dilaporkan sebagai mangsa penculikan itu. Adakah mangsa itu seorang individu yang begitu penting hingga team Polis berkenaan begitu ghairah sekali hendak menyelamatkannya. Rasa Acik, tentulah beliau itu lebih penting dari penyewa atau pemiliki apartmen yang dipecah masuk itu. Kalau tidak demikian tak kan team Polis sanggup mengorbankan kepentingan penyewa atau pemilik apartmen berkenaan.

Soalan yang tak kurang penting ialah, adakah tindakan yang dilakukan oleh team Polis berkenaan itu mematuhi SOP yang diterimapakai oleh PDRM.

Biarlah Acik andaikan bahawa tindakan yang dilakukan oleh team Polis yang memecah masuk rumah anak Acik itu adalah mengikut SOP yang telah diterimapakai oleh PDRM (Polis Di Raja Malaysia). Setiap SOP yang nak diterimapakai tentulah ada justifikasinya. Justifikasinya itu tentulah yang munasabah serta menjamin tidak ada unsur-unsur negatif yang akan menggagalkan SOP tersebut dalam mencapai objektifnya. Contohnya, ia mampu menyelamatkan individu “A” tetapi dalam masa yang sama ia menceroboh hak “B” atau individu-individu lain yang tidak berkenaan.

Khususnya bagi kes yang sedang dibincangkan ini, gara-gara nak menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa “penculikan”, rumah anak Acik pula yang menjadi mangsa pecah masuk oleh pihak Polis. Kali ini rumah anak Acik. Mungkin selepas ini rumah rakyat lain pula yang akan menjadi sasaran. Tak mustahil juga sebelum rumah anak Acik, dah berapa banyak rumah-rumah lain yang dipecah masuk oleh anggota Polis beruniform. Rakyat nak bantah tak boleh jika itulah SOP yang telah diiktiraf oleh kerajaan untuk dipraktikkan oleh anggota-anggota PDRM.

Selain dari itu bermacam-macam lagi soalan relevan yang menuntut jawapan dari pihak yang ber”authority”. Antaranya ialah bagaimanakah anggota-anggota Polis dipantau agar tidak melanggar disiplin PDRM. Bermacam-macam cerita negatif yang pernah Acik dengar tentang salah laku anggota Polis. Kebetulan selepas rumah anak Acik itu dipecah masuk, seorang warga Indonesia mengadu kepada anak Acik bahawa wangnya dirampas oleh anggota Polis yang menahannya. Kebetulan ketika beliau ditahan itu, beliau tidak membawa bersamanya dokumen yang sepatutnya dibawa besama-sama beliau. Mangsa merayu agar ditinggalkan RM15 untuk perbelanjaan beliau hari tu.

Satu lagi pengalaman yang Acik sendiri lalui ialah beberapa bulan yang lalu Acik ke KLIA 2 untuk menghantar anak yang akan ke Australia. Sesampai ke airport tersebut Acik terus parking di belakang beberapa buah kenderaan di tepi jalan berhampiran airport tersebut. Tak tahan sangat nak membuang air kecil ketika itu. Lalu Acik terus mencari tandas dalam bangunan airport itu. Kebetulan pula orang dalam tandas agak ramai. Jadi terpaksalah menunggu giliran.

Sebaik saja menunaikan hajat, Acik pun keluar pergi ke kereta. Hairan juga melihat hanya kereta Acik saja yang masih berada di tempat berkenaan, sedangkan tadinya ada beberapa buah lagi kereta lain tapi kini dah tiada. Sesampainya ke kereta Acik itu ternampaklah surat saman di cermin depan pemandu. Acik pun mengambilnya untuk membaca. Belum sempat baca datanglah seorang anggota Polis dengan menaiki motorsikal.

Acik pun menjelaskan kepada Polis muda tersebut bahawa Acik tak dapat menahan diri dari rasa nak membuang air. Jadi terpaksalah bergegas mencari tandas terdekat. Lagipun waktu masih awal pagi, jadi tak sangka itu akan menjadi suatu kesalahan yang tak boleh dimaafkan. Acik pun bertanya berapa dendanya kepada anggota Polis tersebut. Jawapnya RM300 sebab melakukan dua kesalahan. Pertama parking salah tempat dan kedua kerana menghalang lalu lintas.

Aduh ….. !  Menghalang lalu lintas, parking di tempat tersebut pada awal pagi, mana ada kenderaan yang lalu pun. Kalau ada pun boleh bilang berapa lama sekali. Lagi pun parking di bahu jalan saja pun bukan di tengah jalan.  Sedangkan jalan berkenaan begitu lebar sekali. Bila Acik jelaskan kepada anggota tersebut tentang masalah Acik tak dapat tahun kencing, beliau sekadar memohon maaf saja.  Tegasnya, beliau tak boleh berbuat apa-apa lagi kerana saman telah dikeluarkan pun.

Tapi ……

Tapi takpa boleh dikurangkan. “Terkilas ikan di air, sudah kenal jantan betinanya”, itulah perumpamaan Melayu yang mungkin sesuai Acik gunakan di sini. Tadi kata tak boleh buat apa-apa. Kini boleh “adjust” pula. Atas rasa tanggungjawap Acik terus bagitahu Polis muda itu bahawa Acik akan membayarnya di balai. Acik sebenarnya tak mau terlibat langsung dengan apa-apa perlakuan rasuah, samada menerima maupun memberi. Dah banyak kali dah Acik dengar modes operandi seumpama itu yang dikenakan terhadap ramai orang. Cuma baru pagi tu terkena pada giliran diri Acik sendiri.

Tidak berapa lama kemudian Acik menerima sepucuk surat dari pihak PDRM menuntut agar Acik jelaskan saman tersebut dalam tempoh tertentu. Jika gagal, dendanya meningkat ke RM500. Surat tersebut dialamatkan ke rumah Acik di Cameron Highlands. Kebetulan bila menerima dan membacanya, tempoh yang diberi telah pun luput. Ini bermakna denda yang wajib Acik bayar atas kesalahan parking tersebut telah menjadi RM500. Bagi rakyat pecen kerajaan macam Acik ini RM500 tu bukannya sikit che’ ooi !

Mujur juga peristiwa “parking” tersebut berlaku beberapa hari selepas kereta Kelisa Acik itu diperbarui cukai jalannya (road tax). Jika terlewat sikit memperbarui cukai jalan tersebut, jawapnya memandu tanpa road taxlah dulu sementara cukup duit untuk membayar saman. Ini satu lagi dilema rakyat bila menghadapi Polis. Untuk tahun ni bolehlah lagi memandu dengan ada cukai jalan yang sah. Tapi untuk tahun depan bila road tax tersebut luput tempoh sahnya, belum tentu lagi mampu memperbaruinya jika RM500 itu perlu dijelaskan terlebih dahulu.

Baru-baru ini Acik telah menghidupkan cukai jalan sebuah kereta buruk Acik yang dibeli dari adik Acik. Sejak beberapa tahun yang lepas tidak ada pula masalah dengan kes saman. Tiba-tiba untuk kali ini Acik kena jelaskan saman kesalahanan atas jalan sebanyak RM150.  Mengikut kata agen insuran yang tolong perbarui cukai jalan kereta Acik itu, kesalahan tersebut ialah kesalahan yang dilakukan pada 2010. Betulkah kesalahan tersebut benar-benar telah dilakukan, Allah saja yang tahu selain pihak Polis yang berkenaan. Kalau ya pun, tak kan tunggu hingga selepas beberapa tahun kemudian baharu menuntut dari Acik. Pada hal waktu itu kereta tersebut belum lagi menjadi milik Acik.

 

d a u l a t    r a k y a t   !

 

 

Lain-lain PenCERAHan yang relevan :

 

Rupa Buruk Cermin Dipersalahkan:  https://4uni2c.com/2014/09/23/4uni2c-14923-dont-blame-the-mirror-for-our-bad-image-terjemahan/

 

 

 

 

*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK:   www.4uni2c.com

 

 

 

 

@ OPajar (# 15227)

~ by OPajar on 2015-02-27.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: