Haji dan Tabung Haji #01

2017 Julai 26

Haji adalah rukun Islam yang kelima dan terakhir. Haji difardukan ke atas setiap individu Islam yang telah memenuhi syarat-syarat tertentu. Antaranya ialah dalam aspek kemampuan harta (wang), fisikal (kesihatan) dan keselamatan.
Kalau di zaman datuk nenek kita dahulu, setiap Muslim yang memenuhi syarat tersebut sudah dikira wajib menunaikan fardu haji. Namun, pada masa sekarang ia belum boleh lagi dihukumkan sebagai wajib hingga datang seruan dari Tabung Haji. Seruan yang Acik maksudkan ialah giliran yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji.

Walaupun pada hakikatnya yang menentukan samada seseorang individu Muslim itu akan bergelar Haji atau Hajah adalah Allah, namun dari segi adatnya pula pihak Tabung Hajilah yang menjadi pelaksana ketetapan Allah tersebut. Maka tak bolehlah sesiapa pun nak salahkan Tabung Haji jika tidak atau belum mendapat peluang untuk menunaikan fardu haji.

Bagi musim haji tahun ini, agak ramai juga individu yang Acik kenali yang telah menerima seruan. Mereka ialah bekas rakan sekelas (class mate), bekas rakan sesekolah (school mates), bekas rakan sejawat, saudara mara, jiran-jiran dan lain-lain. Di antara mereka ada yang dah berumur pencen macam Acik dan ada juga yang masih bekerja. Bagi yang bekerja dengan kerajaan bertuahlah sebab mendapat cuti percuma 40 hari (jika tak silap Acik).

Musim haji tahun ini mengingatkan Acik akan pengalaman menunaikan haji dalam tahun 2010 dahulu. Sebenarnya sebelum itu kami (Acik dan isteri) tak pernah tahu bila akan menerima seruan. Kami cuma berdoa dan berharap akan menerima seruan bila duit dalam simpanan dengan Tabung Haji dah mencukupi.

Dalam bulan Disember 2008 Acik kematian abang sulung akibat serangan jantung. Kakak dan adik-adik Acik harap Acik pulang tinggal di kampung sebagai pengganti kepada abang kami itu. Masa tu Acik tinggal di Cameron Highlands menemani isteri. Beliau sedang bertugas di SK Convent, Tanah Rata sebagai guru penolong kanan pentadbiran.

Jalan paling mudah bagi isteri Acik itu untuk turut sama pulang tinggal di kampung ialah dengan memohon persaraan awal. Sementara permohonan tersebut diluluskan, isteri Acik itu mengambil cuti tanpa gaji.

Sebaik saja isteri Acik itu menerima gratuiti pesaraannya, kami pun pergi ke pejabat Tabung Haji. Tujuan kami ialah untuk menambahkan simpanan kami dalam akaun Tabung Haji.

Ketika itu barulah kami maklum bahawa untuk dapat giliran pergi haji pencarum wajib berdaftar terlebih dahulu sebagai calon haji/hajah. Dengan pendaftaran itu barulah pencarum akan diberitahu tahun bila gilirannya untuk ke Makkah akan tiba.

Selama ini kami ingat giliran haji hanya akan ditetapkan apabila jumlah simpanan dalam akaun Tabung Haji sudah mencukupi. Rupa-rupa tidak. Pencarum cuma perlu berdaftar sebagai calon haji/hajah dengan cagaran RM1300 saja. Maksudnya, pencarum berjanji tidak akan sentuh RM1300 itu sehinggalah gilirannya untuk ke Makkah sampai.

Gagal atau lewat mendaftar sebagai calon haji/hajah akan mengakibatkan giliran pencarum untuk buat haji juga akan turut menjadi lewat. Sebagai contoh, Katakanlah dalam tahun 2000 pencarum A baru ada RM1500 dalam akaun Tabung Hajinya. Sedangkan B dah ada RM15,000.

A pun mendaftar sebagai calon haji dalam tahun berkenaan (2000). Sedangkan B baru mendaftar sebagai calon haji 5 tahun selepas A (2005).

Berpandukan dasar dan kaedah yang diterimapakai oleh Tahung Haji, maka A akan menerima seruan haji lebih awal dari B. Jika A belum cukup duit dalam akaun Tabung Hajinya, maka beliau akan diminta mencukupkan jumlah tersebut menjelang keberangkatannya ke Makkah.

Kelewatan mendaftar selama 5 tahun mungkin akan mengakibatkan kelewatan ke Makkah 10 tahun atau lebih berbanding dengan giliran mereka yang mendaftar 5 tahun lebih awal. Contohnya, seorang pupu Acik telah mendaftar sebagai calon haji pada tahun 2008 Beliau akan menunaikan haji pada tahun ini (2017) Sedang isterinya yang mendaftar sebagai calon hajah dalam tahun 2014, giliran hajinya ialah dalam tahun 2063.

Khabarnya pencarum yang baru mendaftar sebagai calon haji/hajah dalam tahun ini (2017) akan dijanjikan giliran haji mereka (oleh Tabung Haji) pada tahun 2118. Realistik kah janji tersebut ?

Janji yang tak realistik apa hukumnya ?

Jadi bagaimana pula Acik yang baru daftar sebagai calon haji dalam tahun 2009 boleh dapat pergi menunaikan haji dalam tahun 2010 ?

Sebenarnya Acik merayu kepada pihak Tabung Haji untuk pergi seawal mungkin. Acik yakin bahawa TH tak akan menghampakan rayuan Acik kerana hujah Acik sangat kukuh. Acik dah buka akaun dengan TH sejak mula menjadi penjawat awam lagi iaitu 1977. Tiap-tiap bulan sebahgian dari gaji Acik dipindahkan ke akaun TH secara otomatis.

Kalau sekadar RM1300 untuk dijadikan cagaran pendaftaran haji, mungkin simpanan Acik dalam akaun TH Acik dah lama cukup. Tapi sebab tak maklum bahawa nak dapat giliran pergi haji Acik mesti mendaftar haji dahulu, maka itulah sebabnya Acik dan isteri tak mendaftar sebagai calon haji dan hajah

Allah nak mudahkan Acik, kebetulan seorang bekas kawan serumah dengan Acik suatu ketika dahulu menjawatan jawatan yang agak tinggi di TH. Maka melalui beliaulah Acik salorkan surat rayuan Acik itu. Acik percaya bahawa hasil dari pertolongan beliau itulah maka rayuan Acik itu berjaya. Turut berjaya dalam rayuan tersebut ialah isteri Acik, adik kandung Acik dan isteri beliau yang turut sama dalam rayuan berkenaan.

Mujur juga adik kandung Acik itu telah dapat menunaikan haji bersama dengan Acik dalam tahun 2010. Beliau kini telah tidak boleh berdiri dan sentiasa duduk di atas kerusi roda. Sekiranya dalam tahun 2017 baru nak menunaikan fardu haji kan susah bagi beliau dan calon haji yang menemani beliau.

Acik rasa cara TH menetapkan giliran pergi haji kepada penjarum TH macam itu sangatlah tak kena. Majoriti besar yang membuka akaun dengan TH tentulah sebab nak menunaikan fardu haji. Maka tak perlulah menunggu setiap pencarum datang berdaftar sebagai calon haji/hajah baru nak bagi giliran haji kepadanya.

Dalam era IT yang sangat canggih sekarang ini pendaftaran haji secara otomatis boleh saja dilakukan. Apabila jumlah simpanan pencarum dalam akaun THnya mencapai RM1300, maka secara otomatis beliau akan diberi giliran hajinya. Jika beliau tak setuju pun tak akan menjadi masalah sebab beliau boleh memohon untuk membatalkan giliran tersebut.

Acik penuh yakin bahawa tidak akan ada penjarum TH yang akan menentang kaedah pendaftaran haji secara otomatis tersebut. Kalau ada pun bukan kerana menentang sistem yang digunapakai. Sebaliknya sekadar menolak giliran haji yang ditawarkan kepadanya atas sebab-sebab tertentu. Ini bukan bermakna menentang kaedah tersebut.

Wallahu’alam ⚘

Lain-lain PenCERAHan yg relevan :

.

TH : Ada Yang Rasa Tertipu ?

https://4uni2c.com/2019/07/06/th-ada-rasa-tertipu/

.

PenCERAHan terbaru ⬇

http://www.4uni2c.com

.

.

~ by OPajar on 2017-07-27.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: