TH : ada yang rasa tertipu?

2019 Julai 06 (Sab)

Acik percaya sudah ramai pencarum Tabung Haji TH) yang merasa tertipu (bukan ditipu) oleh satu dasar yang telah digunapakai oleh TH sejak sekian lama. Dasar yang Acik maksudkan ialah, pencarum tidak akan diberi giliran menunaikan haji selagi beliau tidak memohon untuk mendaftar sebagai calon haji/hajah.

Dasar tersebut bukanlah sesuatu masalah. Tetapi yang menjadi masalah ialah bila ramai yang tidak maklum tentang dasar tersebut. Sehingga hari ini pun mungkin masih ramai yang belum maklum tentang dasar tersebut.

Ramai yang membuat andaian sendiri bahawa mereka akan menerima surat tawaran untuk menunaikan ibadat haji apabila wang di dalam akaun mereka dengan TH telah mencukupi. Bila mereka telah yakin demikian barulah mereka mula mengharap agar surat tawaran tersebut akan diterima pada bila-bila masa.

Setelah menanti surat yang diidam-idamkan itu ibarat menunggu buah yang tak luruh-luruh maka barulah tercetus idea nak ke pejabat TH meminta nasihat. Sudah pasti nasihat yang diterima akan mengeciwakan.

Contohnya, Puan Sabariah (bukan nama sebenar) adalah seorang pencarum setia ke dalam akaunnya dengan TB sejak mula bekerja kira-kira 25 tahun dahulu. Malangnya jumlah simpanan beliau belum pernah mencecah RM10 ribu walaupun tak pernah kurang dari RM2 ribu.

Sebaik saja Puan Sabariah tamat dari makan gaji dengan sebuah syarikat swasta, maka beliau pun memindahkan sebahgian dari wang KWSPnya (melalui ATM) ke akaun THnya menjadikan jumlah simpanannya itu RM15 ribu. Begitu juga ke akaun TH suaminya menjadikan jumlahnya juga RM15 ribu. Puan Sabariah pun mulalah menunggu surat tawaran haji dari TH sambil berangan-angan akan dapat ke Makkah satu atau dua tahun lagi bersama suami yang tercinta. Suaminya itu seorang buruh kerajaan yang telah lama pencen.

Setelah tidak menerima apa-apa berita positif dari pihak TH pada tahun berikutnya, maka terlintaslah di hati Puan Sabariah untuk mendapat nasihat di pejabat TH yang berdekatan. Maka pergilah Puan Sabariah bersama suaminya ke kaunter TH tersebut pada esoknya.

Berubah wajah Puan Sabariah apabila diberitahu bahawa beliau belum diberi giliran haji kerana masih belum berdaftar sebagai calon haji/hajah. Bila didaftarkan mereka pada ketika itu sebagai calon haji/hajah, giliran yang diberi agak memeranjatkan mereka suami isteri. Adalah mustahil bagi mereka yang dah berumur separuh abad itu untuk menunggu giliran yang ditetapkan oleh TH itu.

Remuk redam rasa hati Puan Sabariah akibat terlalu keciwa. Bahkan merasa tertipu pun ada. Tetapi tak beranilah pula nak tuduh TH penipu. Takut langsung tak dapat pergi haji sampai kiamat. Penipu sebenar beliau adalah andaian salahnya atau sangkaan baik bahawa apabila jumlah simpanannya dalam akaun TH telah genap RM10 ribu atau lebih, maka secara otomatis TH akan memaklumkan kepadanya (tahun) bila giliran hajinya dijadualkan.

Bagi meredakan kekeciwaan Puan Sabariah itu, pekerja TH di kaunter berkenaan menasihati beliau supaya membeli membeli pakej haji yang harganya RM50 ribu seorang. Mungkin pekerja TH itu dapat agak bahawa Puan Sabariah memiliki lebih dari RM100 ribu sebab baru tamat makan gaji dengan syarikat swasta. Biasanya setiap pekerja yang berhenti kerja wajib akan menerima gratuiti dari majikan dan boleh pula mengeluarkan kesemua simpanannya dalam KWSP. Jadi kalau sekadar RM100 ribu untuk menunaikan haji suami isteri tentulah mampu dan berbaloi.

Puan Sabariah pun meminta dari pekerja di kaunter TH tersebut nombor telefon syarikat-sysrikat pengurusan haji swasta untuk dihubungi. Maka dapatlah sebuah syarikat yang berjanji akan membawa beliau dan suaminya mengerjakan ibadat haji dengan lebih awal. Bukan lebih awal sekadar beberapa tahun akan datang, malah tahun itu juga beliau dan suaminya akan dapat membuat haji.

Walaupun kosnya RM100 ribu untuk berdua itu amat menakutkan majoriti bakal-bakal haji, namun Puan Sabariah masih juga sanggup berkorban demi agama yang dicintainya. Dan yang tak kurang penting ialah sebab tidak gamak menghampakan suami beliau. Suami Puan Sabariah yang bergelar Redha (Mohd Redha) itu bukan saja lebih tua dari beliau, malah telah pernah menjalani pembedahan jantung. Kalau tak pergi haji tahun ini, takut-takut suaminya itu akan meninggal sebelum sempat pergi haji.

Dengan penuh harapan Puan Sabariah dan Encik Redha pun kelam kabut membuat persedian untuk menunaikan fardu haji dalam tahun itu. Kira-kira seminggu sebelum tarikh mereka dijadualkan berlepas ke Makkah mereka mengadakan kenduri kesyukuran.

Apa yang sebenarnya berlaku sehari sebelum mereka dijadualkan berlepas ke Makkah, ialah visa haji mereka tidak lulus. Tak kiralah apapun sebab sebenarnya visa tak diluluskan. Tapi kegagalan untuk menunaikan fardhu haji pada tahun tersebut sangatlah mengeciwakan semua pihak yang relevan dengan Puan Sabariah. Apa lagi terhadap Puan Sabariah sendiri serta sisuami. Kata orang, “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.”

Selepas musim haji Puan Sabariah bersama suami pun pergilah ke Makkah bagi menunai ibadat umrah sunat. Bila dah mengalami nasib yang ibarat, “sudah jatuh ditimpa tangga itu”, maka tamatlah cita-cita Puan Sabariah untuk menunaikan fardu haji bersama suami yang dikasihi.

Khabarnya, beberapa tahun selepas peristiwa tersebut di atas, Encik Redha pun meninggal dunia. Alhamdulillah, Puan Sabariah telah mampu menerima ujian kekeciwaan dan kematian suami dengan penuh tabah, sabar dan redha. Tak sesia beliau diberi nama Sabariah oleh arwah ayahnya dahulu. Begitu juga tak sesia beliau dijodohkan Allah dengan lelaki yang bergelar Redha. Dari suaminya itulah beliau memahami konsep redha.

Agaknya sebab majoriti besar pencarum TH adalah bersifat mulia seperti Puan Sabariah dan Encik Redha, maka TH terus bebas untuk melakukan apa-saja saja kesilapan tanpa sebarang protes atau bantahan daripada mana-mana pihak amnya dan daripada pencarum TB khususnya.

.

.

Acik rasa cara TH menetapkan giliran pergi haji kepada pencarum TH macam itu sangatlah tak kena. Majoriti besar yang membuka akaun dengan TH tentulah sebab nak menunaikan fardu haji. Maka tak perlulah menunggu setiap pencarum datang berdaftar sebagai calon haji/hajah baru nak bagi giliran haji kepadanya.

Dalam era IT yang sangat canggih sekarang ini, pendaftaran haji secara otomatis boleh saja dilakukan. Apabila jumlah simpanan pencarum dalam akaun THnya mencapai RM1300, maka secara otomatis beliau akan diberi giliran hajinya. Jika beliau tak setuju pun tak akan menjadi masalah sebab beliau boleh memohon untuk membatalkan giliran tersebut.

Acik penuh yakin bahawa tidak akan ada pencarum TH yang akan menentang kaedah pendaftaran haji secara otomatis tersebut. Kalau ada pun bukan kerana menentang sistem yang digunapakai. Sebaliknya sekadar menolak giliran haji yang ditawarkan kepadanya atas sebab-sebab tertentu. Ini bukan bermakna menentang kaedah tersebut.

Antara soalan-soalan penting yang masih Acik belum dapat jawapan yang memuaskan ialah, kenapa giliran boleh dibeli dengan harga yang mahal. Apakah wujud konspirasi antara TH dengan syarikat-syarikat swasta yang menyediakan perkhidamatan membawa bakal-bakal haji ke Makkah. Adakah Islam menyuruh calon yang kaya diberi keutamaan daripada calon-calon yang kurang berada ❓❓

Wallahua’lam

..

Lain-lain PenCERAHan yg relevan

.

Haji dan Tabung Haji

https://4uni2c.com/2017/07/27/haji-dan-tabung-haji-01/

.

PenCERAHan terbaru:

http://www.4uni2c.com

.

~ by OPajar on 2019-07-06.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: