UPSR : ke mana selepasnya ?
.
UPSR : Ke mana selepasnya ?
🇲🇾 Jika sekiranya ada ibu bapa yang meminta nasihat Acik tentang sekolah yang harus dimasuki anaknya selepas UPSR, nescaya Acik syorkan ke SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) atau ke SMK. Namun begitu, jika beliau masih juga nak hantar anaknya ke mana-mana tahfiz swasta, maka itu terpulanglah kepada beliau sendiri. Kerana, apa yang Acik syorkan itu adalah mengikut penilaian peribadi Acik sendiri. Ia dengan mengambil kira pengalaman Acik mendidik 10 orang anak dahulu.
Acik bukanlah menyimpan prejudis buta terhadap sistem tahfiz. Cuma Acik agak skeptical (ragu-ragu) terhadap kemampuan kebanyakan tahfiz yang wujud, khususnya di dalam negara kita. Kemampuan itu adalah merangkumi pelbagai aspek.
Antaranya ialah premis atau bangunan dimana institusi tahfiz berkenaan beroperasi. Rata-rata atau kebanyakan premis tahfiz-tahfiz di Malaysia adalah kurang kondusif bagi aktiviti pendidikan. Jika dibandingkan dengan premis SMKA dan SMK, perbezaannya adalah agak ketara.
Namun Acik taklah menafikan langsung tentang kewujudan segelintir tahfiz elite yang serba lengkap. Bagi tahfiz kategori ini Acik tidak nafi bahawa ia juga antara pilihan terbaik untuk anak kita. Cuma ia agak selektif (memilih). Hanya murid yang cemerlang saja yang diterima masuk. Selain itu, yurannya juga sangat mahal, di luar kemampuan majoriti ibubapa.
Faktor penting kedua yang kebanyakan tahfiz tidak mampu sediakan ialah tenaga pengajar yang berwibawa dalam bilangan yang mencukupi. Mungkin ada guru-guru yang sangat baik tetapi biasanya mereka tidak akan kekal lama. Ini tidak seperti guru-guru di SMKA dan SMK yang pendapatanya agak lumayan.
Di sini kita tak boleh menafikan hakikat betapa pentingnya faktor ganjaran. Bagi mengikat seseorang pekerja supaya kekal dengan sesebuah institusi, maka gaji yang dibayar haruslah setimpal dengan kualiti pekerja berkenaan.
Namun agak malang kerana kebanyakan tahfiz tidak mampu untuk membayar gaji yang tinggi kepada tenaga pengajarnya. Akhirnya, semua guru-guru yang berkualiti akan berhijrah meninggalkan tahfiz berkenaan. Akibatnya, hanya yang biasa-biasa saja yang kekal sebagai guru di tahfiz berkenaan.
Mungkin ramai ibubapa percaya bahawa semua guru-guru tahfiz adalah berkhidmat semata-mata kerana ikhlas. Oleh itu gaji bukanlah menjadi faktor penting bagi mereka. Asalkan gaji yang mereka dapat itu, cukup sekadar untuk hidup dengan wasatiah (sederhana), mereka sudah rasa lebih dari bersyukur. Namun adakah ini satu realiti ?
Bagi Acik, kepercayaan tersebut hanyalah satu kontrovesi. Guru-guru tahfiz juga adalah insan biasa. Mereka juga inginkan nikmat hidup yang berbagai. Jika rakan-rakan sejawat mereka di SMKA dan SMK suka kepada baju berwarna warni, mereka juga demikian.
Kadang-kala berasa dilema juga Acik bila ada pihak yang datang memohon derma. Kononnya untuk keperluan sekolah tahfiz. Ada tahfiz yang memerlukan bantuan supaya dapat terus beroperasi. Dalam masa yang sama ada pula yang sedang mengumpul dana untuk menubuhkan tahfiz baru.
Bagi Acik, manjalankan sesuatu institusi pendidikan bukanlah satu kerja yang mudah. Ia bukanlah semudah membuka satu perniagaan kedai runcit. Membuka sebuah kedai runcit tidak memerlukan modal yang besar. Jika ia gagal untuk terus beroperasi, kedai runcit itu boleh saja ditutup tanpa implikasi negatif yang besar.
Tetapi bagi menubuhkan sebuah institusi pendidikan, ia bukan saja memerlukan modal besar, malah ia juga memerlukan sebilangan tenaga pengajar yang professional. Penutupan sesebuah institusi pendidikan akan memberi kesan negatif kepada banyak pihak, terutama kepada murid-muridnya. Begitu juga dengan institusi pendidikan yang dalam keadaan tenat, yang ibarat hidup segan mati tak mahu.
.
Anak-anak pada umur 12 tahun kebanyakan belum mampu merancang kehidupan mereka di masa hadapan. Jarang ada anak yang membuat pilihan sendiri, ke sekolah mana mereka harus pergi selepas UPSR. Hampir semua anak-anak di peringkat tersebut redha dengan pilihan ibu bapa untuk mereka.
.
Menyedari hakikat ini ibubapa wajar bersikap jujur dan ikhlas dalam membuat pilihan untuk anaknya. Sekolah yang dipilih untuk memasukkan anaknya hendaklah sekolah yang mampu memberi pendidikan terbaik berdasarkan kemampuan anaknya itu.
.
Bagi anak yang cemerlang dalam UPSR, mungkin SBP (Sekolah Berasrama Penuh) adalah yang paling baik untuknya. Dalam Malaysia sekarang ada 8 buah SPB yang terbilang. Iaitu KMKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar), KTK (Kolej Tengku Kursiah), STAR (Sekolah Tuanku Abdul Rahman), STF (Sekolah Tun Fatimah), SDAR (Sekolah Datuk Abdul Razak), SAS (Sekolah Alam Shah), SSP (Sekolah Sri Puteri) dan KSAH (Kolej Sultan Abdul Halim).
.
.. .. .. .. (Latarbelakang: Kolej Melayu Kuala Kangsar)
Tidak kurang hebat ialah SBP kategori SMKA seperti Kolej Islam Kelang dan SMKA Labu. Maaf jika ada lagi SPB lain yang Acik tak sebut sebab masih di luar pengetahuan Acik.
.
SBP tersebut di atas adalah dalam kategori SMK dan SMKA. Selain dari di atas banyak lagi SBP yang bertaburan di seluruh negara seperti SM Sains dan MRSM (Maktab Rendah Sains Mara). Semua SBP di dalam negara telah terbukti berjaya melahirkan ribuan pelajar yang menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara.
.
Namun, yang mampu memasuki SBP tidaklah ramai. Bukan semua sekolah kebangsaan berjaya menghantar wakil ke mana-mana SBP. Yang berjaya pun hanya mampu menghantar seorang dua saja setiap tahun. Yang lain hanya berjaya menghantar seorang saja dalam tempoh beberapa tahun.
.
Mengetahui hakikat ini, maka tidak peliklah jika majoriti ibubapa tidak terlintas di hati untuk menghantar anaknya ke SBP selepas UPSR. Tapi yang Acik hairan ialah sekiranya ada ibubapa yang menolak tawaran ke SBP yang diterima anaknya. Alasannya ialah semata-mata kerana hendak memasukkan anaknya itu ke sekolah tahfiz swasta. Mudah-mudahan anaknya itu akan menjadi seorang hafiz bakal penjaga agama Allah.
.
Memanglah niat dan hasrat ibubapa tersebut sangat mulia. Ini tidak ramai yang mempertikaikannya. Cuma aspek yang menjadi pertikaikan ramai ialah kredibiliti tahfiz berkenaan dalam merealisasikan aspirasi ibubapa berkenaan.
.
Antara ibubapa yang pelik lagi menghairankan itu ialah Acik sendiriserta isteri. Anak kami yang bongsu itu telah mendapat tawaran untuk ke SBP. Tapi kami menyorok surat tawaran tersebut dari pengetahuan anak kami itu. Kami buat demikian semata-mata sebab hendak memasukkan beliau ke sebuah tahfiz.
.
Cuma tahfiz pilihan kami itu bukanlah tahfiz swasta. Anak kami itu terpaksa melalui proses pemilihan yang agak mencabar. Alhamdulillah, beliau telah berjaya melayakkan diri untuk menjadi salah seorang pelajar di tahfiz berkenaan.
.
Sebenarnya yang beriya-iya sangat nak menjadikan anak Acik itu seorang tahfiz ialah ibubapanya (iaitu Acik dan isteri). Si anak tak berminat pun. Namun demi untuk memuaskan selera ibubapa yang tercinta, maka dipaksarelakan juga hatinya untuk memasuki tahfiz berkenaan.
.
Sebuah peribahasa Inggeris menyebut, “kita boleh berjaya membawa seekor kaldai ke air (tasik, sungai dll) dengan cara paksaan, namun kita tak akan berjaya memaksa ia meminum air itu”. Itulah rupanya yang telah berlaku dengan anak Acik itu. Walaupun Acik dan isteri berjaya memasukkan anak bongsu kami itu ke sebuah tahfiz, namun jika beliau sendiri tidak berminat menjadikan dirinya hafiz, mimpi kami tak akan menjadi realiti.
Tahfiz tempat anak bongsu Acik itu belajar, tidak meninggalkan subjek-subjek akedemik. Subjek-subjek tersebut mungkin tak diajarkan langsung di setengah tahfiz swasta. Ini mungkin dengan tujuan supaya pelajar dapat memberi tumpuan yang penuh kepada hafalan. Mungkin juga tahfiz berkenaan tidak mampu membayar guru bagi mengajar subjek-subjek tersebut.
Berbalik kepada tahfiz tempat anak Acik belajar dulu, walaupun setiap murid dikenakan yuran bulanan RM250, namun hasil dari yuran tersebut saja tidak cukup untuk menampung seluruh kos operasi. Pihak tahfiz masih lagi memerlukan bantuan kerajaan. Tanpa bantuan tersebut agak mustahil baginya beroperasi dengan baik.
Kalau tahfiz tersebut milik swasta sepenuhnya, entah berapa RMratus yuran bulanan yang perlu disediakan oleh setiap ibubapa. Jika tidak, masakan ia mampu bersaing dengan SBP. Malah untuk mencapai kejayaan setaraf dengan SMKA dan SMK biasa pun, mungkin ia tak mampu.
.
Acik percaya ramai ibubapa yang sebenarnya masih kurang pengetahuan tentang SMKA dan SMK yang disediakan kerajaan untuk lepasan UPSR. Jika mereka tahu, nescaya mereka akan memilih untuk memasukkan anak ke sekolah-sekolah tersebut. Tak payah lagi menyediakan perbelanjaan yang tinggi untuk menghantarkan anak-anak ke sekolah swasta.
.
Takut nanti anak tak faham agama jika hantar anak ke sekolah kerajaan, adalah sangkaan kurang tepat. Semua sekolah menengah kerajaan sekarang turut mementingkan nilai agama. Setiap sekolah menengah kerajaan kini telah menyediakan guru-guru agama yang terlatih untuk mengajar Islam. Bagi mempraktikkan solat, surau-surau juga disediakan (mungkin) di semua sekolah menengah kerajaan, malah juga di sekolah-sekolah kebangsaan.
.
Acik bukanlah bercadang untuk mengulas dengan lebih mendalam kebaikan SMKA dan SMK berbanding dengan sistem tahfiz di dalam negara kita. Acik juga tidak mendakwa bahawa sistem pendidikan perdana yang dilaksanakan kerajaan melalui SMKA dan SMK lebih baik secara total berbanding dengan sistem tahfiz. Jika berbuat demikian, seolah-olah membuat perbandingan antara sebiji epal dengan sebiji limau. Sebaliknya apa yang hendak Acik sampaikan ialah bahawa bagi majoriti lepasan UPSR sistem pendidikan perdana adalah lebih sesuai.
.
Sekiranya anak kita tegolong dalam kategori yang minoriti, maka sistem tahfiz mungkin lebih berkesan bagi menjadikan anak kita itu seorang individu yang berjaya dalam hidupnya nanti. Yakni, lebih besar baktinya kepà da dirinya sendiri dan tanah air, selepas tamat persekolahannya nanti. Kalau pun tak lebih hebat dari rakan sebayanya di SMKA dan SMK, sekurang-kurangnya setaraf dengan mereka.
.
Apa pun, ibubapa eloklah memberi peluang kepada anak untuk memilih ke sekolah mana yang ia cenderung. Jika tidak, adalah dikuatiri ibubapa pula yang akan dipesalahkan nanti jika si anak tersebut gagal atau kurang berjaya dalam hidup. Inilah apa yang Acik sendiri pernah alami akibat memaksa anak memasuki tahfiz beberapa tahun yang lalu.
Wallahualam.
.
Lain-lain PenCERAHan yang relevan :
.
UPSR : Cabaran buat ibubapa
https://4uni2c.com/2017/11/23/upsr-cabaran-buat-ibubapa/
.