Cerekana: Strategi barua Jepang

Gambar hiasan sahaja 🌹

2020 Ogos 04 (Selasa)


🇲🇾 Di zaman pemerintahan tentera Jepang (Jepun) di Malaya dahulu, ada juga manusia berbangsa Melayu Islam yang sanggup menjadi barua kepada Jepang penjajah itu.

Arwah ayahanda Acik (Ayah/Abang+cik) kata,barua tu merupakan orang yang sanggup menghamba-abdikan seluruh jiwa dan raganya kepada mana-mana pihak atau mana-mana individu tanpa batas. Dia sanggup melakukan apa saja yang disuruh oleh tuannya, hatta membunuh dan menyiksa orang lain sekali pun.

Kadang-kadang tuannya taklah tera mana sangat tapi dia pula yang berlebih-lebihan. Kata ahli bahasa, “terlebih sudu dari mangkuk, hidung tak mancung pipi pula yang tersorong-sorong” dan lain-lain lagi.

Kononnya di sebuah kem soldadu (askar) Jepang, telah berlaku satu kejadian pembunuhan ke atas salah seorang anggota kem tersebut. Maka ketua kem tersebut pun memanggil baruanya mengadap. Beliau mahu si pembunuh anggotanya itu dijejaki oleh baruanya itu. Lalu baruanya itu mencadangkan agar semua pemuda keterunan Tiongha (Cina) di seluruh kawasan yang berdekatan kem tersebut dikumpul dan disoalsiasat.

Dia mensyaki bahawa pembunuhan tersebut adalah kerja pemuda-pemuda berbangsa Tiongha yang anti Jepang. Bangsa Tiongha adalah bangsa yang sangat dibenci oleh Jepang ketika itu kerana merupakan musuh tradisional mereka. Walaubagaimana pun selepas disoalsiasat, didapati tiada bukti yang sahih bahawa pembunuh soldadu Jepang berkenaan adalah pemuda Tiongha yang disoalsiat itu. Dengan kata lain, tidak ada alasan yang kukuh untuk menjatuhkan apa-apa hukuman ke atas mana-mana pemuda Tiongha yang telah disoalsiasat itu.

Barua tersebut berpendapat bahawa ketua kem tersebut membebaskan pemuda-pemuda Tiongha itu adalah kerana terpaksa demi mengelakkan implikasi yang lebih buruk. Dengan kata lain keputusan beliau itu bukanlah sesuatu yang mengembirakan beliau sendiri. Bagi Barua tersebut, inilah satu peluang keemasan untuk menyakinkan tuannya bahawa dirinya adalah barua terbaik.

Sebenarnya dia ingin menunjukkan kuasanya kepada masyarakat setempat terutama kepada mereka yang keterunan Tiongha. Dia amat cemburu kepada bangsa Tiongha yang dilabelnya “pendatang” itu, kerana kejayaan mereka dari aspek ekonomi berbanding dengan dirinya sendiri. Padahal bangsa ini sangat rajin berusaha. Sedangkan dirinya sendiri seorang pemalas. Tetapi sangat suka berbangga dengan ketuanan Melayunya, seolah-olah orang Melayu tak perlu bekerja keras (macam pendatang) untuk hidup senang.

Setelah berfikir panjang si barua itu mendapat suatu justifikasi untuk mengumpul semula pemuda-pemuda Tiongha berkenaan. Kononnya dia ingin mendapat maklumat dari mereka (pemuda-pemuda Tiongha) tentang seorang rakan sebaya mereka yang bergelar Lim. Khabarnya Lim telah menghilangkan diri dari kawasan tersebut setelah bapanya dijumpai mati di kebun sayurnya tidak berapa lama dahulu.

Barua ini membuat spekulasi bahawa Lim telah menuduh bahawa yang menembak mati bapanya ialah soldadu Jepang berkenaan. Oleh sebab itu sudah tentu Lim akan menuntut bela di atas kematian bapanya. Lim kemudiannya menghilangkan diri kerana takut dijejaki oleh pihak Jepang.

Atas pengaruh barua ini maka pemerintah kem soldadu Jepang tersebut pun bersetuju supaya pemuda-pemuda Tiongha berkenaan dipanggil semula untuk disoalsiasat sekali lagi. Pemuda-pemuda Tiongha berkenaan sebenarnya tidak tahu menahu pun tentang kemana perginya Lim. Mereka cuma tahu bahawa Lim telah lama meninggalkan mereka iaitu sebaik selapas bapanya mati. Oleh itu tidak seorang pun dari mereka dapat memberitahu barua tersebut di mana Lim berada.

Barua itu mengambil kesempatan ini untuk mendakwa bahawa semua mereka telah bersubahat dengan Lim bagi melakukan pembunuhan terhadap soldadu Jepang berkenaan. Lantaran itu dia (si Barua) pun mencipta provokasi hingga mengakibatkan kesemua pemuda-pemuda Tiongha tersebut dijatuhi hukuman bunuh oleh ketua kem soldadu Jepang tersebut. Semua pemuda Tiongha berkenaan pun diangkut ke suatu tempat di kaki sebuah bukit lalu ditembak mati oleh penembak-penembak khas.

Walaupun peristiwa tersebut di atas mungkin tidak dapat dibuktikan tentang kesahihannya sebagaimana peristiwa Bukit Kepong, namun tidak mustahil bahawa ia sesuatu peristiwa yang benar-benar berlaku. Arwah ayahanda Acik adalah seorang yang sudah dewasa pada zaman pemerintahan Jepang dahulu. Beliau ada menceritakan tentang berbagai bentuk kekejaman yang pernah dilakukan oleh soldadu Jepang terhadap mangsanya.

Jika dibandingkan dengan tindakan-tindakan kejam yang jauh lebih dasyat itu, maka peristiwa di atas bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku. Apapun, bukanlah menjadi hasrat Acik untuk mendakwa bahawa cerita tersebut adalah suatu sejarah penting sepertimana sejarah Bukit Kepong yang hangat diperkatakan tidak berapa lama dahulu.

Apa yang lebih penting bagi Acik ialah iktibar yang boleh diambil dari peristiwa tersebut. Acik suka melihat sesuatu itu dari aspek keadilan dan kejujuran. Jika ditanya kepada sesiapa juga yang menghargai keadilan dan kejujuran, dia tentu mengatakan bahawa tindakan ketua kem soldadu Jepang berkenaan adalah tersangat zalim lagi kejam.

Menjatuhkan hukuman bunuh terhadap pemuda-pemuda Tiongha berkenaan adalah sama sekali tidak dapat dibayangkan di zaman sekarang ini. Ia adalah di luar batas kemanusiaan. Kezaliman tersebut mungkin tidak berlaku jika tidak kerana angkara barua Jepang berkenaan. Tidak ada siapa pun yang boleh terima bahawa tindakan sedemikian itu sebagai rasional dalam apa juga keadaan, bahkan dalam masa dharurat sekalipun.

Pertama kerana hukuman bunuh itu sendiri adalah satu hukuman yang ekstrim. Pada pendapat peribadi Acik, hukuman bunuh adalah eksklusif untuk kesalahan-kesalahan tertentu sahaja sebagaimana yang diizinkan Allah. Selain dari itu adalah zalim mengenakan hukuman bunuh, bahkan terhadap mereka yang terlibat dengan salahguna dadah sekalipun.

Kedua kerana yang dihukum bunuh itu bukanlah orang yang melakukan pembunuhan kerana tiada bukti yang sahih. Malah nak kata mereka bersubahat dengan pembunuh pun tak munasabah kerana mereka pun tak pasti siapa pembunuh sebenar.

Ketiga, kerana yang dihukum bunuh itu adalah ramai, sedangkan soldadu Jepang yang terbunuh hanya seorang sahaja. Keempat kerana ada unsur-unsur fitnah terhadap yang dituduh (pemuda-pemuda Tiongha) yakni bukan berdasarkan fakta sebenar. Kelima kerana hukuman tersebut adalah bertujuan menunjukkan kuasa (oleh si Barua), bukan demi menegakkan keadilan yang hak.

Keenam kerana dipengaruhi sentimen perkauman oleh ketua kem soldadu Jepang berkenaan terhadap mangsa yang dihukum. Malah jika nak terus dikaji, banyak lagi sebab-sebab yang boleh dijadikan hujah bagi menguatkan lagi dakwaan kita bahawa tindakan tersebut adalah semata-mata zalim dan kejam.

Kenapa ikut nasihat barua ?

Semua kita setuju bahawa ketua kem soldadu Jepang di atas tak wajar menerima nasihat baruanya itu. Tindakannya itu adalah tidak adil, sebaliknya zalim dan kejam. Namun begitu, sedar tak kita bahawa dalam banyak perkara kita juga turut membuat keputasan berdasarkan kaedah atau stategi yang sama. Dalam menggubal sesuatu dasar ataupun peraturan misalnya, sebenarnya kita tidak menghukum pesalah. Tetapi sebaliknya yang terhukum ialah orang yang tak bersalah malah orang yang sepatutnya diberi ganjaran.

Contohnya ialah sebuah masjid yang terletak di persimpangan jalan. Telah sekian lama masjid tersebut befungsi dengan baik sebagai rumah Allah. Ramai orang baik-baik termasuk wali-wali Allah yang singgah beribadat, beriktikaf dan berdoa kepada Allah untuk kesejahteraan anak-anak khariah. Tak kurang pula yang rajin memasukkan derma ke dalam tabung derma masjid yang disediakan. Malah, selain wang ada pula yang menderma peralatan-peralatan lain yang relevan untuk masjid tersebut.

Malangnya, setelah berlaku beberapa kali kes kecurian barangan masjid tersebut, maka tindakan mengunci pintu masjid pun diterimapakai. Masjid yang dikunci pintu pagarnya pun ada. Tindakan tersebut sebenarnya adalah menghukum mereka yang membawa keberkatan kepada masjid tersebut. Sedangkan pencuri berkenaan terlepas begitu sahaja. Pencuri itu tidaklah lagi berminat dengan masjid tersebut lalu mencari masjid lain sebagai sasaran baru. Secara tak langsung membiarkan masjid lain pula menjadi mangsa kepada pencuri yang sama.

Acik tak nampak bahawa mengunci masjid kerana takut kehilangan hartabenda masjid adalah tindakan yang rasional dan Islamik. Fungsi masjid sebenar adalah untuk memberi kemudahan kepada semua umat Islam sepanjang masa, bukan tempat menyimpan khazanah berharga. Itu sebabnya masjid dibina di tempat-tempat strategik yang orang suka dan mudah datang. Jarang masjid dibina di hujung-hujung kampung yang orang susah sampai.

Sepatutnya dapatkanlah seorang atau dua orang siak sebagai petugas. Biar mereka ini dimunafaatkan sepenuhnya. Selain menjaga kebersihan masjid, biarlah mereka juga diamanahkan untuk mengawal keselamatan masjid luar dan dalam. Tetapi kenalah siak-siak ini diberi ganjaran yang benar-benar setimpal dengan tugas yang diamanahkan ke atas mereka.

Bagi Acik, siak-siaklah yang wajar diberi ganjaran yang lebih. Jika nak dibandingkan dengan pegawai-pegawai masjid yang lain (hatta tuan Imam sendiri), siak-siaklah yang menyumbang masa dan tenaga yang banyak kepada masjid. Apa maknanya sesuatu masjid itu ada Imam 1, Imam 2 dan Imam 3, sekiranya yang kerap mengimami solat subuh hanya bilal ataupun siak. “Ini bukan di sini, tapi di tempat lain”, kata sesetengah penceramah agama.

Jika demikianlah sikap bebal kita yang diamanahkan menjadi pentadbir masjid, bagaimana hendak kita lahirkan pemuda-pemuda yang hatinya tertambat dengan masjid. Yakni pemuda yang akan mendapat perlindungan arasy Allah di hari akhirat nanti ?

Satu lagi contoh agak relevan ialah dasar yang mengharamkan penuntut-penuntut sekolah berasrama memiliki telefon mudah alih. Acik pernah bangkitkan perkara ini dalam satu mesyuarat PIBG di MCKK beberapa tahun dahulu. Apa yang Acik timbulkan ialah tentang kesukaran untuk berkomunikasi dengan anak yang baru belajar berenggang dengan keluarga masing-masing, sedangkan dengan anak-anak yang di Universiti tiada masalah.

Padahal yang baru berenggang dengan keluargalah yang lebih perlu dan penting untuk kita berkomunikasi. Ketika itu pengetua MCKK ialah salah seorang daripada mantan KP Pendidikan sekarang. Respon paling simple dan rengkas dari pengerusi PIBG ialah, “dasar kementerian kata tak boleh”.

Sebab tak ada peluang saja. Kalau ada peluang nak juga Acik tanya, “apakah dasar yang maknusia buat tu macam sunnatullah juga, yakni tak boleh diubah ?”

Sebenarnya jika kita sama-sama fikirkan, tentu akan ada solusi bagaimana agar penuntut-penntut yang jujur dan berdisiplin dibenarkan menikmati kemudahan teknologi yang wujud hari ini. Menafikan hak mereka atas kesalahan yang bakal dilakukan oleh orang lain tentu tidak serasi dengan prinsip kebebasan dan keadilan sejagat.

Acik percaya strategi yang diterimapakai oleh pihak yang menetapkan dasar tersebut samalah dengan stategi yang digunakan oleh Barua Jepang di dalam cerita di atas. Jika dibenarkan penggunaan telefon boleh alih di sekolah-sekolah berasrama, Acik tak nafi pasti akan ada dikalangan pelajar yang menyalahgunakan kemudahan tersebut.

Namun itu bukan hujah yang kuat lagi adil untuk menafikan hak pelajar-pelajar lain yang ingin menggunakan kemudahan itu dengan cara dan tujuan yang betul. Kadang-kadang yang bersalah cuma 5 peratus saja, tapi dasar yang diperkenalkan adalah turut menghukum 95 % yang tak bersalah.

Di sini jelas bahawa sistem “ganjaran dan hukuman” telah tidak dilaksanakan dengan betul. Sekurang-kurangnya benarkan mereka menyimpan set telefon bimbit yang paling simple yang cuma dapat bercakap dan mengirim SMS saja. Ini pasti akan memudahkan mereka untuk berkomunikasi dengan ibu bapa mereka dengan kos yang minima. Ia juga akan mengurangkan beban guru-guru untuk menerima pesanan dari ibu bapa, yang kemudiannya perlu disampaikan kepada penuntut berkenaan.

Sepatutnya mereka yang berbuat baik dihormati dan diberi ganjaran atau insentif. Yang bersalah dihukum dengan adil dan diberi keinsafan. Bukan jika cuma 5 dari 100 orang berbuat salah, yang dihukum tetap kesemua 100 orang. Ini nyata bercanggah dengan perinsip keadilan sejagat malah prinsip Islam itu sendiri. Implikasinya ialah mereka yang membuat salah tak akan insaf atas kesalahannya manakala mereka yang berlaku baik tak rasa bahawa berbuat baik itu adalah lebih menguntungkan.

Jika pelajar-pelajar MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar) yang telah dikenalpasti sebagai bakal-bakal pemimpin masyarakat akan datang pun tak dihormati kejujuran mereka, bagaimana kita nak harap mereka akan tahu menghargai nilai kejujuran dan keadilan yang sebenarnya. Jauh sekali untuk memantapkan sifat jujur dalam diri masing-masing sebelum menerima amanah yang jauh lebih besar di masa-masa akan datang.

Satu lagi contoh yang paling kelasik ialah tentang cadangan mengaharamkan motorsikal masuk ke pekan Chow Kit beberapa tahun dahulu. Cadangan ini telah diusulkan oleh orang penting dalam kerajaan yang ketika itu bertanggungjawab menjaga keselamatan awam. Bagi masyarakat Kuala Lumpur, Chow Kit merupakan satu kawasan yang sangat sohor dan popular pada ketika itu.

Bila kes ragut menjadi-jadi di kawasan tersebut maka sesuatu tindakan perlulah dilakukan bagi membenteras gejala ragut itu. Boleh dikatakan hampir semua kes ragut adalah melibatkan penggunaan motosikal. Maka tercetuslah cadangan supaya mengharamkan motorsikal dari masuk atau melalui kawasan Chow Kit.

Memanglah benar bahawa hampir 100 peratus peragut menggunakan motorsikal bagi melepaskan diri. Tapi jika dibandingkan dengan motorsikal yang masuk ke Chow Kit setiap hari yang bilangannya puluhan ribu buah itu, berapa peratuslah sangat motorsikal yang disalahgunakan bagi tujuan meragut. Jadi tentulah tak adil malah tak masuk akal bagi Acik jika hujah 100 peratus peragut menggunakan motorsikal nak dijadikan justifikasi bagi pengharaman tersebut.

Menyentuh sedikit tentang dasar PPSMI yang masih hangat diperkatakan oleh perbagai pihak sekarang ini, Acik rasa strategi yang sama juga telah diaplikasikan bagi menggubalkan dasar tersebut. Acik tak ingin nak ulas lebih panjang tentang dasar ini sebab ia telah Acik ulas dalam penulisan Acik yang lain berjodol, “Dasar PPSMI dan Menteri Yang Gopoh”

Yang menjadi fenomina sekarang ialah perbuatan menghukum sesuatu golongan berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh segelintir daripada ahli-ahli golongan tersebut. Contohnya menghukum sesebuah parti politik kerana ada beberapa kerat daripada ahlinya telah disabitkan dengan kesalahan tertentu oleh pihak mahkamah.

Yang lebih sedih lagi bagi Acik ialah, perbuatan mengutuk golongan agamawan secara pukal (keseluruhannya) hanya kerana ada diantara ahli golongan tersebut membuat sesuatu kesilapan. Malah kadang-kadang yang dianggap sebagai suatu kesalahan itu pun sebenarnya bukanlah suatu kesalahan berdasarkan hukum syarie.

Sebelum mengundur diri, Acik ingin berpesan kepada semua rakan-rakan FB dan semua yang sudi menjamah PenCERAHan Acik ini agar tidak “memBARUAkan” diri kepada mana-mana pihak atau mana-mana individu. Setiap kita diberi Allah asset yang paling berharga iaitu maruah diri. Oleh itu pertahankan maruah diri kita yang amat berhargai itu walau dengan apa cara sekalipun.

Wallahualam.

d a u l a t r a k y a t !

PenCERAHan yang relevan:

Hishamudin Rais – Barua dan jentera Daulah https://4uni2c.com/2013/03/23/4uni2c-13323-barua-dan-jentera-daulah-hishamuddin-rais/

.
Dasar PPSMI dan Menteri Yang Gopoh https://4uni2c.com/2013/01/31/4uni2c13131-dasar-ppsmi-dan-menteri-yang-gopoh/

.

PenCERAHan terbaru ⬇️ http://www.4uni2c.com

.

~ by OPajar on 2020-08-04.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: