Ahmad’s SAGA #018 IKTIBAR Untuk Semua
Ahmad’s SAGA #018 IKTIBAR Untuk Semua
*** Untuk men CARI lain-lain TAJUK, sila KLIK pada nama bulan di bawah ARCHIVES di sebelah kanan skrin kemudian SKROL **
*** Utk ke menu UTAMA sila KLIK : http://www.4uni2c.com
IKTIBAR Untuk Semua
Ada suatu ungkapan Inggeris mengatakan, “thing happens for its good reasons”. Merujuk kepada ungkapan ini Acik (Ayah/Abang+chik) bertanya juga dalam hati sendiri, apa “good reasons” yang ada di sebalik kes Ahmad ini. Setelah agak lama memikir tentangnya maka Acik rasa memang ada beberapa “good reasons” yang boleh kita jumpai jika diamati dengan teliti.
Telah sekian lama Acik tidak menjejak kaki ke JB (Johor Bahru). Kalaulah bukan kerana kes Ahmad maka tak mungkin Acik ke JB dalam tempoh terdekat ini. Untuk apa perlu Acik ke JB jika tidak ada alasan yang berbaloi. Ia tak sama dengan Kota Bharu. Jika ke Kota Bharu, insaya Allah sekurang-kurangnya setahun sekali teringin juga Acik nak ke sana untuk satu dua malam bersama isteri walaupun sekadar makan angin. Jika di Kota Bharu Acik boleh temui seorang Menteri Besar. Selepas mendengar Kuliah Pagi Jumaat yang beliau sendiri sampaikan, boleh pula bersalaman dengan beliau untuk mendapat barakah. Sebaliknya, untuk berjumpa dengan MB Johor, Acik rasa belum ada keperluan apa-apa lagi walaupun beliau adalah bekas pensyarah Acik ketika di Universiti Malaya dahulu ?
Di Kota Bharu kita tak ada rasa risau atau takut untuk berjalan ke sana sini kerana umum pun tahu bahawa Kota Bharu itu jauh lebih aman berbanding dengan JB. Walaupun ada orang kata aman ataupun tidak hanya suatu persepsi saja, namun hakikatnya persepsilah yang mempengaruhi perasaan kita semua. Jika kita berpersepsi bahawa di kubur ada hantu, maka kita akan rasa takut untuk lalu di tepinya di malam hari. Samada hantu itu benar-benar akan menjelma di hadapan kita ataupun tidak, yang mempengaruhi perasaan kita tetap persepsi kita sendiri. Oleh sebab itu pada pandangan Acik, adalah tersangat penting sesuatu persepsi yang buruk itu ditukar dengan persepsi yang baik lagi menarik, jika sesuatu itu hendak dipopularkan.
Sehingga kini Acik telah 4 kali berkunjung ke JB berkaitan dengan kes Ahmad. JB sebenarnya bukanlah bandar yang belum pernah Acik kunjungi sebelum ini. Malah pada tahun 1978 lagi Acik telah mula berkunjung ke JB sebab menziarahi keluarga angkat di Larkin. Bapa angkat Acik itu ialah seorang bekas exco Johor zaman YAB Dato’ Osman Saad. Beliau adalah seorang bekas pegawai polis yang terjun ke dalam gelanggan politik untuk berjuang bersama UMNO. Sebenarnya UMNO dahulu dengan UMNO kini adalah tidak sama. UMNO dahulu ialah UMNO yang TULIN Sebaliknya UMNO sekarang ialah UMNO BARU. Bila perkataan BARU digugurkan maka jadilah ia UMNO palsu. Yang memalsukannya ialah mantan PM iaitu Dr. M itu sendiri. Namun beliau te,tap popular dulu, kini dan selama-lamanya, di kalangan ahli-ahli UMNO yang kurang maupun baru celik politik.
Walaupun Acik beraliran kiri (PAS) namun kebaikan ibu dan bapa angkat Acik yang berlainan mazhab politik itu tak dapat Acik nafikan dan lupakan. Produk UMNO dahulu telah mampu memunafaatkan semua rakyat tak kira mazhab politiknya. Malangnya produk UMNO palsu sekarang adalah rata-rata menguntungkan ahli-ahlinya semata-mata, hatta di atas kerugian pihak lain. Bagaimana Acik boleh mendapat keluarga angkat di JB ? Ia adalah suatu kisah romantis yang sangat panjang jika nak Acik muatkan di sini. Lagipun, rasa-rasanya ia sangat tidak relevan.
Kemudian dalam tahun 1982 Acik bertugas di JB selama tiga bulan kerana menanggung tugas seorang rakan sejawat yang ke INTAN (Institiut Tadbiran Awam Negara) mengikuti suatu kursus pentadbiran. Acik menumpang di rumah seorang kawan yang tinggal di Majidi. Selama tempoh tiga bulan tersebut, Acik rajin juga ke Singapura. Jadi waktu itu boleh bandinglah bagaimana environmen di JB dengan di Singapura.
Bagi Acik, JB dan bandar Singapura tidak ada apa-apa perbezaan yang penting ketika itu. Cuma yang menarik tentang Singapura ketika itu ialah harga barang-barang di sana lebih murah berbanding di JB. Ketika itu nilai ringgit dan nilai dolar Singapura masih tidak banyak berbeza. Mungkin sebab Acik anak Pulau Pinang, maka Acik tak rasa bandar Singapura suatu bandar yang hebat. Tapi bila Acik lihat bandar JB sekarang, Acik rasa pembangunannya agak perlahan. Tak payah nak bandingkan dengan Pulau Pinanglah, banding dengan Kota Bharu saja pun cukup. Acik rasa Kota Bharu jauh lebih ke hadapan jika dibandingkan dengan JB dari segi pembangunan fisikal. Jika diambil kira dari segi keceriaan pula, Acik yakin ramai pembaca akan setuju jika Acik kata bahawa Kota Bharu lebih jauh mengatasi JB.
Sepatutnya sebuah bandar yang berjiran dengan sebuah bandar RAYA bertaraf antarabangsa, JB wajar menikmati tempiasan dalam semua aspek pembangunan. Malangnya, Acik tidak nampak iannya telah berlaku dengan ketara. Kata orang tua-tua, “sepuluh jong masuk, anjing masih juga bercawat ekor”. Jika Kota Bharu yang berjiran dengan pekan Golok pun begitu rancak berlaku pembangunan, sepatutnya JB lebih laju lagi pembangunannya.
Ada satu kompleks yang letaknya ditepi gigi air Selat Teberau. Tetapi kenapa Acik tidak nampak pun apa-apa aktiviti komersial beroperasi di dalam kompleks tersebut. Di mana peniaga-peniaga Melayu kita beniaga di JB ? Apakah perancang bandarnya tidak pernah perasan tentang jurang pembangunan yang agak ketara antara JB dan Kota Bharu. Mungkin pemimpin BN Johor sendiri boleh beri justifikasinya. Acik sarankan mereka pergi melawat sendiri Kota Bharu selama beberapa hari sebelum bersetuju ataupun tidak bersetuju dengan persepsi Acik ini. Entahlah kalau-kalau persepsi Acik ini tidak betul ataupun kurang tepat. Minta maaflah jika demikian hakikatnya.
Acik percaya faktor kemanusiaan adalah faktor yang tersangat penting, yang mampu mencetuskan segala kemajuan, maupun sebaliknya. Dengan kata lain, jika sekiranya sesebuah negeri itu rakyatnya rata-rata berilmu, maka negeri tersebut akan cepat menempah pembangunan. Acik sekeluarga pernah tinggal di Kota Bharu selama beberapa tahun, Acik dapati bahawa rakyat Kelantan adalah rakyat yang rata-ratanya berilmu. Mereka adalah bangsa Melayu yang cintakan ilmu, baik ilmu dunia maupun ilmu akhirat. Cara kebetulannya, isteri Acik adalah salah seorang rakan sekolah kepada puteri-puteri Sultan Johor dalam tahun 70an dahulu. Manakala anak Acik (Asiah) pula adalah salah seorang rakan sekolah kepada puteri tunggal Sultan Kelantan lewat tahun 90an.
Dari isteri sendiri dapatlah Acik korek sedikit sebanyak gosip-gosip tentang istana Johor yang diperolehi beliau melalui puteri-puteri Sultan Johor ketika itu. Manakala dari anak Acik pula dapatlah Acik korek sikit sebanyak gosip-gosip tentang istana Kelantan yang diperolehi beliau dari puteri Sultan Kelantan berkenaan. Yang baik dijadikan tauladan yang sebaliknya dibuat sempadan. Yang menjadi tauladan biarlah diiklankan. Sebaliknya yang menjadi sempanan biar disimpan saja dalam lipatan, tidak dihebah-hebahkan.
Puteri (mantan) Sultan Kelantan, iaitu rakan sekolah anak APcik itu kini telah menjadi seorang Magistret. Baginda adalah graduan UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) beberapa tahun dahulu. Sedangkan anak Acik itu baru nak masuk semula ke kursus iktisas (professional) LLB setelah tertangguh akibat musibah yang menimpa Ahmad adik kesayangan beliau itu. Syabas Acik ucapkan kepada puteri (mantan) Sultan Kelantan berkenaan kerana menunjukkan satu contoh yang membanggakan. Di kalangan anak-anak raja Melayu tak ramai yang berjaya menjadikan dirinya ikon kepada bangsanya sendiri. Yang ramai adalah sebaliknya. Jika PUTERA raja yang boleh dijadikan ikon kepada rakyatnya ialah putera Sultan Perak sekarang, maka PUTERI raja yang turut layak dijadikan ikon ialah puteri kepada (mantan) Sultan Kelantan yang dimaksudkan itu.
Selain baginda Puteri tersebut, Acik juga mengucapkan syabas kepada kekandanya yang sedang menduduki takhta kerajaan Kelantan sekarang. Baginda Sultan nampaknya sangat dihormati lagi disayangi oleh rakyat Kelantan khususnya. Acik kira baginda dihormati bukanlah kerana kulitnya putih macam anak Mat Saleh, tetapi kerana akhlaknya yang mulia lagi mesra rakyat. Itulah berkatnya jika rajin berdamping dengan seorang yang bergelar Tok Guru. Bertuah baginda kerana beroleh seorang Menteri Besar yang bertaraf Tok Guru. Malang pula mereka yang Menteri Besarnya bertaraf Tok Haru.
Jika seorang Sultan dan putera- puteri baginda dapat menjadi ikon kepada rakyat jelata dalam negerinya, bukankah ia sesuatu yang sangat baik ? Sebagai ketua agama Islam, seorang Sultan wajar menunjukkan akhlak Islam kepada semua umat Islam yang menjadi rakyat baginda. Jika beginilah realitinya maka tak akan timbul isu dimana masih ada rakyat yang ingin membuat kenyataan negatif terhadap baginda, malah terhadap institusi istana. Malangnya yang menjadi realiti sekarang adalah sebaliknya. Akibatnya rakyat menjadi benci dan berani untuk membuat kenyataan liar terhadap Sultan dan institusi istana. Ini hanya merugikan semua pihak.
Kerosakan akhlak adalah berpunca dari pihak berkuasa. Peribahasa Cina mengatakan,” ikan busuk mulai dari kepala”. Oleh itu yang wajar dijaga supaya tidak menjadi sumber kerosakan akhlak ialah pihak yang berkuasa tak kira siapa. Lebih tinggi kedudukan seseorang individu itu dalam masyarakat. maka lebih penting baginya untuk menjaga akhlaknya. Secara tidak langsung setiap individu adalah pendidik atau guru kepada mereka yang di bawah pengaruhnya. Kata peribahasa Melayu, “jika guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari”.
Musibah yang menimpa Ahmad diharap telah membuka mata semua pihak. Kata orang Putih “experience is the most effective lesson”. Seseorang itu tidak semesti telah melakukan sesuatu kesalahan baru dia menerima hukuman. Ini adalah suatu keadaan yang sangat ideal atau utopia. Oleh yang demikian “always look before you leap” atau berhati-hati sebelum kena. Jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi sekurang-kurangnya dapat juga menikmati kewangian. Sebaliknya jika berkawan dengan tukang besi, yang akan kita perolehi ialah asap hitam yang mengotori pakaian kita.
Orang yang tidak melakukan kesalahan pun tertakluk kepada musibah akibat kesalahan pihak lain. Contohnya, seorang Mufti yang tidak pernah melakukan maksiat, tetapi kerana beliau enggan menasihati rakyat supaya tidak melakukan maksiat, maka beliau tidak akan terkecuali dari musibah yang ditimpakan Allah ke atas mereka yang melakukan maksiat. Jika Sahibulsamah itu gagal menegur pihak atasan yang wajar diteguri, maka kemudharatan yang bakal dialami oleh semua kita adalah lebih buruk.
Sama-samalah kita doakan agar semua kita perihatin terhadap apa yang sedang berlaku dalam negara kita sepanjang masa. Dalam negara demokrasi kita ini, setiap kita adalah dipertanggungjawapkan terhadap apa yang berlaku. Dengan memilih pemimpin-pemimpin yang tidak amanah dan tidak jujur, maka kita turut “accountable” terhadap kerosakan yang mereka lakukan. Jika hendak lihat Johor Bahru bertukar menjadi seperti Kota Bharu, Acik nasihatkan supaya rakyat Johor khususnya berani membuat perubahan. Berilah mandat untuk mentadbir negeri Johor kepada Pakatan Rakyat pula melalui PR13 nanti. Insya Allah, Acik percaya semuanya akan menjadi lebih baik jika Pakatan Rakyat memerintah. Walaubagaimana pun, janganlah diharapkan semua perubahan positif akan dapat dilakukan dengan sekelip mata atau dalam tempoh satu penggal saja. Berilah mereka seuatu tempoh masa yang munasabah untuk membuktikan kemampuan mereka. Kata orang Putih, “Rome was not built in one day” (Badar Rom tidak terbina dalam satu hari)
Wallahualam !
Ahmad’s SAGA #017: https://4uni2c.com/2013/01/10/ahmads-saga-017-bagai-berhakimkan-beruk/
Ahmad’s SAGA #019: https://4uni2c.com/2013/02/04/ahmads-saga-019-mengapa-berhijrah/
Daulat Rakyat ! Allahuakbar ! Allahuakbar !
@OPajar #13117