Ahmad’s SAGA #029 Tahniah Untuk Ahmad

2014 Jan 18

.

..

🇲🇾 Berita bahawa Ahmad telah berjaya lulus dalam pembentangan thesisnya bagi mencapai ijazah Sarjana (Sains Pengurusan Kontrak) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sampai ke pengetahuan Acik (Ayah/Abang+cik) pada 2014 Jan 07. Masa tu Acik dan isteri sedang berada di State College, Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Kami ke State College bagi menemani adik bongsu Ahmad bagi mendaftarkan diri di Pennsylvania State University (PSU). Kebetulan Acik pun pernah belajar di universiti tersebut kira-kira 30 tahun dahulu. Jadi, disamping menemani adik Ahmad itu, bolehlah kami mengembalikan ingatan manis kami dahulu. Kata Mad Saleh, “killing two birds with one stone” dan kata Mat Melayu pula, “sambil menyelam minum air”.

Ini satu nostalgia buat Acik dan isteri. Peristiwa yang tak pernah termimpi akan menjadi realiti. Kata orang “tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain / menuntut”. Ini Kerja Allah yang amat berkesan di hati Acik, masya Allah!
Syabas dan setinggi-tinggi tahniah buat Ahmad !

Ahmad merupakan anak Acik yang kelima kami dari 10 orang adik beradik. Sebelum Ahmad, anak Acik yang pertama dan yang kedua telah dahulu mendapat ijazah Sarjana. Jadi Ahmad merupakan anak Acik yang ketiga berjaya mencapai ijazah Sarjana.

Acik percaya Ahmad masih mampu meneruskan lagi pembelajarannya ke tahap yang lebih tinggi. Jika pun beliau tak mungkin dapat menjadi doktor (perubatan) seperti kakaknya, tak mustahil beliau akan berjaya menjadi doktor fasafah (PhD) satu hari nanti, insya Allah.

Sepatutnya Ahmad telah pun mendapat ijazah Sarjana tahun lepas lagi. Malangnya kes dimana beliau didakwa kerana dituduh menghina sultan Johor dalam laman Facebook dahulu, telah menjejaskan pembelajaran beliau. Turut terjejas akibat kes tersebut ialah kakaknya (Asiah) yang sedang mengikuti kursus LLB di UiTM Shah Alam.

Justeru itu pada awal tahun 2014 barulah Ahmad akhirnya dapat menyiapkan thesis sarjananya. Walaupun lewat, namun kata Mad Saleh, “better late than never”. Harap-harap kakak Ahmad yang baru selesai peperiksaan LLBnya itu pun telah menyempurnakan segala keperluan kursus tersebut dengan jayanya.

Mengimbau kembali sejarah hidup Ahmad, Acik rasa Ahmad adalah seorang anak yang rajin dan tabah. Walaupun beliau tidak berjaya mendapat semua A bagi UPSR seperti kesemua abang-abang dan kakak-kakaknya, namun beliau turut berjaya menempah tempat belajar di sekolah yang lebih sohor dan popular dari kebanyakan sekolah lain. Sekolah yang Acik maksudkan itu ialah Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa, Kelantan. Turut dapat masuk ke sekolah tesebut ialah adik kembarnya yang juga mendapat 4A 1B dalam UPSR seperti Ahmad.

Semasa belajar di sekolah tersebut, Acik dan keluarga telah berpindah balik ke Pulau Pinang kerana Acik ditukarkan bertugas ke sana. Ahmad dan adik kembarnya (Ali) terpaksalah terus tinggal di Kota Bharu Kelantan. Mula-mula mereka cuba juga tinggal di asrama, namun tidak beberapa bulan kemudian mereka pulang tinggal di rumah Acik di Kubang Kerian. Rumah tersebut telah Acik beli dengan pinjaman perumahan kerajaan, sebelum ditukarkan tempat bertugas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Dari Kubang Kerian mereka dua beradik berulang alik ke sekolah dengan berbasikal. Sebagai ibu bapa, Acik dan isteri rasa agak kesal juga kerana tidak dapat memberi perhatian yang cukup kepada Ahmad dan kembarnya itu ketika mereka akan menghadapi PMR. Akibatnya keputusan PMR mereka sekadar memuaskan saja. Sedangkan keempat-empat saudara kandungnya berjaya mencapai semua A dalam PMR masing-masing.

Selepas PMR, Ahmad berhijrah ke Sekolah Menengah Teknik, Pengkalan Chepa manakala adik kembarnya balik bersekolah di Pulau Pinang. Semasa di tingkatan lima Ahmad dengan inisiatif sendiri telah belajar memandu kereta. Sedangkan saudara-saudaranya yang lebih tua darinya hanya dapat memiliki lessen memandu setelah dapat masuk universiti ataupun sesudah bekerja.

Pada mulanya Acik rasa belum ada keperluan baginya untuk memiliki lesen memandu. Tetapi selepas beliau terlibat dengan satu kemalangan jalan raya, barulah Acik sedar bahawa tindakan Ahmad itu sangat bermakna dan proaktif.

Suatu hari (tengah hari) ketika Ahmad sedang menunggang motorsikal di hadapan Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian Satu, beliau dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Mercedez. Jika melihat kerosakan motor yang Ahmad tunggangi itu, tiada siapa akan sangka bahawa Ahmad terselamat. Beliau hanya tercampak ke tepi jalan tetapi sekadar mengalami luka-luka ringan sahaja. Namun kemalangan tersebut telah membuat Ahmad mengalami phobia menunggang motorsikal.

Sejak dari itu beliau tidak berani lagi menunggang motorsikal.Mujur juga Ahmad lulus lesen memandu kereta. Dengan adanya lessen kereta itu, maka dapatlah beliau berulang alik antara rumah Acik di Kubang Kerian dengan sekolahnya dengan mamandu. Kebetulan kereta Opel Rekod Acik yang buruk itu masih boleh berfungsi. Jadi dapatlah Ahmad menggunanya sehingga beliau habis peperiksaan SPMnya di Sekolah Menengah Teknik, Pengkalan Chepa.

Walaupun peristiwa kemalangan tersebut telah lama berlalu, ada sebabnya mengapa peristiwa tersebut susah nak dilupakan. Bagi Ahmad peristiwa tersebut adalah ibarat “sudah jatuh ditimpa tangga”. Dahlah motorsikal yang ditungganginya itu rosak teruk, dia diminta pula membayar RM500 oleh tuan kereta Mercedez yang melanggarnya itu. Cermin depan kereta tersebut telah pecah kerana terantuk helmet Ahmad. Oleh itu ia perlu diganti dengan harga yang mahal. Maklumlah, Mercedez.

Walaupun Ahmad dilanggarnya dari belakang, Ahmad dianggapnya bersalah. Walaupun kereta tersebut dipandu dengan laju di hadapan sebuah sekolah dimana had lajunya hanyalah 30 km/jam, Ahmad tetap juga dikira bersalah. Ahmad dikira bersalah ialah kerana beliau belum memiliki lesen menunggang motorsikal. Lesen memandu yang Ahmad miliki ketika kemalangan tersebut berlaku hanya bagi memandu kereta sahaja. Ia tidak termasuk menunggang motorsikal.

Lalu tuanpunya kereta tersebut menakutkan Ahmad, kononnya jika kes kemalangan tersebut dilaporkan ke balai polis Ahmad pasti didenda atas kesalahan menunggang tanpa lessen yang sah. Silap-silap hari bulan, lessen memandunya juga akan dihitamkan.

Ahmad menjadi bimbang. Jika melibatkan pihak Polis mungkin lessen memandunya yang baru lulus itu dihitamkan sepertimana kata tuanpunya Mercedez tersebut. Oleh itu Ahmad pun bersetuju untuk membayar ganti rugi RM500 kepada tuanpunya Mercedez berkenaan agar beliau tidak melaporkan kemalangan tersebut kepada pihak Polis.

Namun bagi Acik, elok juga perkara itu tidak dilaporkan kepada pihak Polis. Acik lebih pentingkan nama baik PAS. Imej PAS pasti terjejas jika berita itu dieksploitasikan oleh BN.

Yang membuat Ahmad amat terkilan ialah kerana tuanpunya Mercedez tersebut adalah seorang ADUN dari parti yang mendakwa memperjuangkan Islam. Manakala yang memandu kereta tersebut bukan ADUN itu sendiri, tetapi menantu lelaki beliau. Khabarnya, menantu itulah yang sering memenafaatkan kereta rasmi tersebut. ADUN tersebut jarang menggunanya.

Mungkin beliau lebih selesa menggunakan Mercedez miliknya sendiri kerana ianya lebih baru dari Mercedez milik kerajaan. Semua yang dialami oleh Ahmad dalam hidupnya tentu akan menjadi input yang akan membentuk persepsinya terhadap perbagai perkara. Persepsinya terhadap alam sekelilingnya. Persepsinya terhadap individu yang pernah berjasa kepadanya. Begitu juga persepsi terhadap pihak yang pernah menzaliminya. Lebih-lebih lagi jika pihak yang menzaliminya itu merupakan individu yang dianggap berkuasa dalam masyarakat dan kerajaan.

Selepas mendapat keputusan SPM Ahmad ditawarkan tempat di Politeknik Kota Bharu untuk kursus diploma. Setelah melaporkan diri di politeknik tersebut, selang beberapa hari kemudian beliau mendapat pula tawaran dari UiTM untuk mengikuti kursus Diploma Sains Geomatik di UiTM cawangan Kangar, Perlis. Walaupun agak enggan menerima tawaran kedua itu, beliau akhirnya bersetuju bertukar ke UiTM tersebut setelah dinasihati Acik dan arwah Pak Longnya (abang sulung Acik).

Dari cawangan tersebut Ahmad kemudiannya berpindah pula ke kampus induk di Shah Alam. Khabarnya Ahmad telah mengalami masaalah dalam pembelajarannya semasa mengikuti kursus diploma berkenaan. Beliau terpaksa mengulangi peperiksaan dan menambah semesta. Bantuan dari PTPTN telah tammat. Oleh itu Ahmad terpaksa belajar sambil membuat kerja-kerja sambilan bagi mendapat wang untuk membiaya yuran pengajian dan saraan hidupnya.

Kononnya Ahmad pernah membuat dua kerja sambilan dalam satu hari. Pada siangnya menjaga kedai buku. Manakala pada malamnya menjadi jaga bagi sebuah syarikat kontrak binaan.Acik sebenarnya tidak tahu menahu pun tentang masalah yang Ahmad sedang alami ketika itu kerana tidak dimaklumkan. Bagi Acik, “no news is good news”. Oleh itu Acik langsung tidak menambah peruntukan kewangan bulanan kepada Ahmad.

Jika sekiranya Acik tahu sudah tentu Acik usahakan juga agar keperluan hidup Ahmad sebagai seorang pelajar UiTM tidak terabai. Biar pun terpaksa “bergadai golok” sekalipun. Apa yang Acik sangka ialah Ahmad melakukan kerja-kerja sambilan tersebut hanyalah sekadar untuk mengisi masa lapangnya atau menambah pendapatan saja.

Tak terlintas langsung dalam fikiran Acik bahawa Ahmad membuat kerja sambilan itu adalah kerana terpaksa. Hanya selepas Ahmad berjaya mendapat diploma barulah Acik dimaklumkan tentang objektif sebenar Ahmad membuat kerja-kerja sambilan dahulu.

Ujian ke atas diri Ahmad tak terhenti setakat itu saja. Selepas berjaya mendapat Diploma Sains Geomatik, Ahmad ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda pula. Ketika itu dua dari empat saudara kandungnya yang lebih tua dari beliau telah memiliki ijazah Sarjana Muda. Seorang lagi masih mengejar Ijazah Sains Perubatan. Adik-adiknya pula sedang menunjukkan potensi masing-masing sebagai bakal pemegang ijazah.

Kerana itu agaknya maka Ahmad mengabil langkah proaktif. Beliau tidak mau ketinggalan daripada saudara-saudara kandungnya yang lain dalam bidang akademik . Itu sebabnya beliau beria-ia sangat untuk meneruskan pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana muda.

Untuk mendapatkan tempat belajar di peringkat ijazah bukan mudah buat Ahmad. Maklumlah beliau merupakan bekas pelajar yang pernah mengulang satu semesta. Keputusan diplomanya pun tidak sampai 3.0 dari segi CGPA. Mahu tak mahu Ahmad terpaksa bersusah payah memohon dan merayu untuk mendapat tempat bagi kursus peringkat ijazah.

Khabarnya, Ahmad telah mengambil inisiatif berjumpa sendiri dengan beberapa orang pensyarah UiTM, samada untuk mendapat nasihat ataupun merayu. Usahanya itu tidak sesia. Akhirnya beliau berjaya. Ahmad telah berjaya mendapat tempat bagi kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Ukur Bahan (Quatity Surveyor) di UiTM, Shah Alam.

Semasa mengikuti kursus peringkat ijazah, pencapaian akedemik Ahmad meningkat berbanding dengan ketika mengikuti kursus tahap diploma dahulu. Sebelum tammat kursus ijazah lagi Ahmad telah menerima tawaran kerja dari firma binaan. Jadi sebaik saja tammat kursus Ijazah Sarjana Muda (Sains Ukur Bahan –Quantity Surveyor) Ahmad terus memasuki alam pekerjaan. Padahal keputusan peperiksaan akhirnya bagi kursus ijazah tersebut belum lagi diistiharkan.

Bila keputusan peperiksaan akhir Ahmad diistiharkan terbukti beliau berjaya dengan CGPA melepasi 3.0. Dengan keputusan tersebut Ahmad tidaklah ketinggalan berbanding dengan saudara-saudara kandungnya yang lain yang telah pun memiliki ijazah sarjana muda masing-masing.

Selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda, Ahmad menerima tawaran kerja daripada beberapa syarikat pembinanaan. Sebuah syarikat bercadang menghantarya berkhidmat ke luar negara. Namun Ahmad menolak tawaran kerja dari syarikat tersebut. Sebaliknya beliau memilih untuk berkhidmat dalam negara.

Rupa-rupanya Ahmad bercita-cita untuk meneruskan pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana pula. Ahmad telah berjaya mendaftarkan dirinya dengan UTM (Universiti Teknologi Malaysia) untuk mengikuti kursus lepasan ijazah iaitu Sarjana Sains Pengurusan Kontrak.

Perjuangan Ahmad dalam bidang akademik kali ini lebih mencabar. Bagi peringkat diploma dan ijazah pertama beliau belajar secara sepenuh masa. Tetapi bagi peringkat lepasan ijazah ini beliau terpaksa belajar secara sambilan. Ini kerana beliau terpaksa bekerja sepenuh masa bagi menjana pendapatan.

Tabung PTPN hanya sekadar membantu beliau untuk membayar yuran pengajian saja. Tetapi untuk saraan hidupnya beliau terpaksa berdikari sepenuhnya. Ahmad tidak mau lagi menerima bantuan bulanan dari Acik sepertimana ketika beliau sedang membuat diploma dan ijazah dahulu. Pendapatan dari gaji bulanannya dibelanja dengan baik.

Masanya juga diisi dengan aktiviti yang menjana ilmu dan menjaga kesihatan fisikal. Menjelang beliau menamatkan pembelajarannya di peringkat Sajana (master degree) itu, Ahmad telah berkahwin dengan seorang penuntut kursus undang-undang di UiTM Shah Alam. Beliau adalah rakan sekursus dengan kakak nya Asiah. Perkahwinan itu diatur oleh famili.

Majlis perkahwinan dilaksanakan dengan rengkas atas kehendak Ahmad sendiri. Majlis kenduri kahwin hanya dibuat oleh pihak perempuan sahaja. Sebelah pihak Ahmad, majlis ditangguhkan sehingga dimaklumkan nanti.

Ujian paling getir dalam hidup Ahmad ialah apabila beliau ditangkap dan diiringi oleh beberapa penjawat awam ke Balai Polis Johor Bahru atas tuduhan menghina sultan Johor. Dakwaan terhadap Ahmad telah menjejaskan perjuangan akademiknya.

Penulisan thesis bagi melayakkan beliau mendapat ijazah sarjana telah tergendala. Duit dan masa terpaksa dikorbankan bagi menghadapi proses pengadilan. Akhirnya Ahmad dihukum denda RM20 ribu setelah pihak pendakwa berjaya mensabitkan beliau dengan kesalahan menghina sultan Johor itu.

Namun bagi Ahmad itu bukan satu pukulan maut terhadap dirinya untuk terus maju dalam hidup. Beliau tetap tidak anggap dirinya bersalah walaupun dihukum oleh mahkamah sesyen sebagai pesalah. Sebaliknya beliau masih mempertahankan bahawa beliau adalah mangsa kepada sistem yang korap.

Sebenarnya banyak lagi yang boleh Acik ceritakan tentang diri Ahmad. Namun biarlah sekadar itu saja. Cuma apa yang hendak Acik tekankan di sini ialah segala yang pernah dialami Ahmad akan menjadi input yang sangat dominan bagi membetuk persepsi beliau.

Pengalamannya dipaksa membayar RM500 oleh seorang ADUN setelah beliau dilanggari dengan kereta mewah YB berkenaan, pasti telah memberi persepsi yang sangat buruk terhadap ADUN berkenaan, malah terhadap YB-YB yang lain. Kemudian hukuman denda RM20 ribu terhadap beliau atas dakwaan menghina sultan, juga pasti memberi pesepsi yang sangat negatif buat beliau terhadap institusi istana dan kerajaan.

Sesiapa pun juga yang berada di dalam kasut Ahmad akan merasa bahawa pemegang kuasa rata-rata tidak boleh dipercayai. Masing-masing akan menggunakan kuasanya bukan demi keadilan dan kebajikan rakyat yang lemah. Sebaliknya untuk kepentingan diri sendiri, walaupun dengan melakukan penindasan dan kezaliman ke atas mereka.

Semoga keadaan demikian akan berubah supaya persepsi individu seperti Ahmad terhadap pihak-pihak berkenaan akan turut berubah. Berubah dari persepsi negatif menjadi positif. Dan Ahmadlah orangnya yang akan menjadi pemangkin (catalyst) terhadap perubahan tersebut.

Wallahualam 🌹

.

PenCERAHan yg relevan ⬇️

Ahmad’s SAGA #028 Berbaloikah Ahmad Merayu ? https://4uni2c.com/2013/11/04/ahmads-saga-028-berbaloikah-ahmad-merayu/

Ahmad’s SAGA: Kini bergelar doktor https://4uni2c.com/2019/09/24/ahmads-saga-kini-bergelar-doktor/
Ahmad’s SAGA # INDEX http://www.4uni2c.com/2013/12/11/ahmads-saga-index/

PenCERAHan terbaru ⬇️ http://www.4uni2c.com

~ by OPajar on 2014-01-18.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: