Ahmad’s SAGA # 028 Berbaloikah Ahmad Merayu ?
*** Untuk men CARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
(bagi pengguna smartphone (sp) sila SEARCH di penjuru atas-kanan skrin sp anda)
Berbaloikah Ahmad Merayu ?
Sejak Acik siap menulis PenCERAHan yang bertajuk, “Yang Dihukum Tidak Mestinya Bersalah”, beberapa peristiwa penting bagi Acik telah berlaku selapas itu. Antaranya ialah pembebasan seorang bekas menteri dari tuduhan menipu kabinet kerajaan. Yang lebih menyentuh ialah pembunuhan seorang pegawai bank (wanita) oleh pengawal keselamatan. Sedangkan pengawal keselamatan itu ditugaskan khusus untuk menjaga keselamatan beliau dan wang yang dibawanya. Juga menarik pehatian Acik ialah budget 2014 dan kenaikan harga gula, dan perlaksanaan GST pada 2015. Dan yang paling “menyedihkan” ialah berita dalam Harian Metro 28hb Oktober, 2013 lepas pada muka surat 8/Setempat. Tajuk berita berkenaan ialah, “Tunggu sajalah” * Bekas Ketua Hakim Syarie tidak mengaku salah pertikai arahan Sultan. Beliau juga adalah bekas Mufti negeri Terengganu.
Semua peristiwa di atas telah mempengaruhi dan mendorong Acik untuk memikir semula tentang usaha Ahmad membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi berhubung hukuman ke atas beliau oleh Mahkamah Sesyen pada 21hb Oktober 2013 lepas. Ahmad telah disabitkan dengan kesalahan memuatnaikkan satu status menghina Sultan Johor pada tepat pukul 6:01 petang, 10hb Oktober, 2012. Akibat dari itu, beliau didenda RM20 ribu atau 6 bulan penjara.
Mula-mula Ahmad dituduh melakukan kerja bodoh itu di dalam negeri Johor. Ini memberi justifikasi kenapa kesnya perlu dibicarakan di Johor Bahru. Tetapi sebelum tuduhan awal itu disebut di dalam mahkamah, pihak pendakwaan telah memohon untuk meminda pertuduhan tersebut. Jika dalam pertuduhan awal, lokasi Ahmad (dituduh) melakukan kerja keji itu adalah di dalam negeri Johor tetapi selepas pindaan, lokasinya telah beralih ke pejabat tempat Ahmad mencari makan. Dengan tuduhan ini Ahmad seolah-olah telah “berak di dalam pinggan nasinya sendiri”. Walaubagaimana pun lokasi perbicaraan terhadap Ahmad tidak pula di alih ke Lembah Kelang iaitu di lokasi di mana kesalahan itu dilakukan.
Sebelum perbicaraan dimulakan dahulu, tanggapan (presumption) pihak pendakwaan ialah Ahmad adalah pemilik akaun laman sosial Facebook yang menggunakan profail “Zul Yahya”. Ke dalam laman sosial Facebook itulah Ahmad (dituduh) telah memuatnaikkan status terkutuk berkenaan. Walaubagaimana pun, Peguambela (Tuan Radzlan Jalaluddin) kemudiannya telah berjaya menyangkal tanggapan salah tersebut. Beliau telah berjaya meyakinkan Mahkamah bahawa pemilik akaun Zul Yahya sebenar bukanlah Ahmad, tetapi tak diketahui siapa individunya. Berikutan dari itu, tuduhan yang begitu pekat dan pahit itu menjadi sedikit cair dan tawar.
Kali ini Ahmad dituduh hanya sekadar menyalahgunakan laman social Facebook berkenaan (Zul Yahya) kerana beliau bukanlah pemiliknya. Namun dengan mengekalkan tuduhan yang sama, iaitu “memuatnaikkan status hina Sultan” ke laman sosial Facebook itu, ia tidak memberi apa-apa kelegaan pun kepada yang dituduh (Ahmad). Sebaliknya Ahmad makin rasa teraniaya. Bagi beliau, “jika orang lain yang makan nangka, kenapa beliau pula yang kena getahnya”.
Ada sebuah peribahasa Orang Putih berbunyi, “a wise changes his mind sometimes, a fool never”. Ia membawa maksud, orang yang cerdik (wise) menukar fikirannya atau keputusannya sekali sekala, sedangkan orang yang bodoh (fool) tak pernah (menukar fikiran/keputusannya). Peribahasa ini turut mendorong Acik memikirkan semula tentang hasrat Ahmad mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi berhubung dengan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas beliau itu.
Baru-baru ini Acik turut menghaziri suatu perjumpaan rakan-rakan sebaya di sebuah kelab golf di Subang. Beberapa rakan Acik telah bertanya tentang kes Ahmad itu dengan penuh minat. Rupa-rupanya ada juga diantara mereka yang mengikuti perkembangan kes anak Acik itu. Di antara mereka ada juga pengamal undang-undang yang memiliki firma guaman. Kerana malu alah, maka menceritalah juga Acik kepada mereka dengan rengkas kes Ahmad itu, dari A hingga Z. Masing-masing nampaknya bersimpati terhadap Acik dan Ahmad.
Acik ingat kut mereka akan menambahkan semangat kepada Ahmad bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi itu. Rupa-rupanya tidak, malah sebaliknya. Semua mereka mencadangkan agar Acik menasihati Ahmad supaya tidak berbuat demikian. Kata mereka, “let by gone be by gone – yang dah lepas tu biarlah berlepas”. Kata mereka lagi, “kita ada banyak lagi perkara yang lebih penting untuk diuruskan”.
Nampaknya fikiran mereka serupa dengan fikiran Acik. “Wise men think alike – orang-orang cerdik berfikiran serupa”, itu kata Orang Putih. Tapi kata Acik, “Men of the same generation think alike – orang-orang dalam generasi yang sama, berfikiran serupa ”. Mereka macam Acik juga, iaitu sangat skeptikal Ahmad boleh menang dengan rayuannya itu. Kata rakan-rakan Acik itu lagi, tidak guna membuang masa meneruskan kes tersebut kerana peluang untuk berjaya hampir mustahil. Mustahil kerana yang dilawan itu adalah pihak istana.
Ada beberapa kes yang diceritakan mereka kepada Acik dimana pihak istana terpaksa dimenangkan juga walaupun kebenaran di pihak lain. Pendek kata masing-masing seolah-olah telah sebulat suara mengatakan Mahkamah di Johor tidak merasa bebas untuk membuat keputusan dalam apa-apa kes yang melibatkan pihak Istana. Ini bukan saja dirasai oleh hakim-hakim Mahkamah Sesyen, malah turut dikongsi bersama oleh hakim-hakim Mahkamah Tinggi.
Memandangkan bahawa kes Ahmad akan dibicara di Mahkamah Tinggi yang lokasinya masih dalam negeri Johor, keputusannya tentulah kita semua dah boleh agak. Lainlah jika ia dipindahkan ke Putera Jaya atau ke lain-lain negeri. Jika pemindahan ini berlaku, sekurang-kurangnya adalah juga sedikit harapan untuk Ahmad menang. Spekulasi ini adalah berdasarkan fakta sejarah, bukan sekadar main tembak-tembak saja. Acik sendiri pun tak yakin bahawa Ahmad boleh menang. Persepsi inilah yang Acik war-warkan dalam CEREKANA bertajuk “Walaupun Berhakimkan Kancil” PenCERAHan: https://4uni2c.com/2013/10/06/cerekana-13×06-walaupun-berhakimkan-kancil/
Peristiwa-peristiwa penting yang Acik sebut di awal PenCERAHan Acik ini sebenarnya membentuk suatu persepsi sendiri terhadap realiti ketika ini. Dunia hari ini adalah ciptaan genarasi Acik sendiri sebagai “guru” dan pendidik kepada generasi anak-anak muda sekarang termasuk Ahmad. Sebagai guru dan pendidik, generasi Acik bolehlah berbangga jika sekirannya apa yang telah dicapai oleh generasi Ahmad adalah hasil-hasil yang positif. Sebaliknya, generasi Acik patut merasa kesal sekiranya anak-anak muda yang telah dihasilkan adalah kacang-kacang hantu. Ia adalah manifestasi kesilapan dan kegagalan generasi Acik dalam membentuk jati diri generasi anak-anak Acik. Kata peribahasa kita, “bagaimana acuan, begitulah kuehnya ; bapa borek, anaknya rintik ; kuah tumpah ke nasi jua”.
Jika generasi Acik melakukan kerja-kerja mungkar seperti rasuah, pecah amanah dan apa-apa juga kemungkaran lain, maka akan adalah di kalangan anak-anak generasi Acik yang akan mengikutinya. Lebih-lebih lagi jika pelaku kerja-kerja mungkar itu telah terselamat dari sebarang hukuman. Walaupun telah ditangkap dan didakwa, tetapi akhirnya pelaku tersebut “dibersihkan” juga dari segala tuduhan.
Realiti sekarang juga tidak menjamin keselamatan rakyat baik fisikal maupun mental dan maruah diri. Pihak yang sepatutnya memberi perlindungan, bukan saja mengabaikannya malah melakukan kekejaman ke atas pihak yang dilindungi. Kata peribahasa kita, “harapkan pagar, pagar makan padi”. Sedangkan istitusi keselamatan negara pula tidak berupaya mencegahnya dari berulang. Walaubagaimana pun diharap pihak Polis dapat membuktikan kemahiran mereka menjejaki pembunuh kejam berkenaan. Jika kes Ahmad yang tidak menyebabkan sebarang kecederaan pun Polis begitu bersungguh-sungguh menjejaki pelakunya, apa tah lagi dengan pembunuh yang khabarnya mempunyai akaun Facebook itu.
Jika sekiranya ada pihak yang berani menegur kerana ingin membaiki sistem pentadbiran atau pemerintahan sedia ada agar tidak menjadi bertambah buruk, tindakan undang-undang pula akan dikenakan ke atasnya. Kadang-kadang fikiran rasional majoriti orang awam pun tidak dapat menerima langsung kewajaran tersebut. Jika individu berkenaan adalah seorang penjawat awam yang punyai prinsip mulia, beliau akan diberi kata dua. Pertama “dinasihati” supaya meletak jawatan.
Kedua, jika enggan meletak jawatan diugut dengan tindakan disiplin. Malah ada juga yang dah rela meninggalkan jawatan yang disandang, tetapi masih juga didakwa. Didakwa bukan demi keadilan, sebaliknya demi memuaskan hati pihak-pihak tertentu yang menyimpan dendam kesumat. Kadang-kadang institusi istana dipergunakan sedangkan pihak istana tak tera mana pun. Kata orang tua-tua, “hidung tak mancung, pipi pula yang tersorong-sorong ; lebih sudu dari mangkuk”. Perangai puak-puak ini tak ubah macam barua jepang. PenCERAHan: https://4uni2c.com/2012/12/16/cerekana-11z12-strategi-barua-jepang/
Jika seorang bekas Mufti merangkap bekas Ketua Hakim Syarie pun boleh dikenakan tindakan undang-undang, apakan pula anak Acik yang kerdil lagi dhaif tu. Jika Ketua Hakim Negara pun boleh dipecat begitu rupa, apakan pula Mufti dan Ketua Hakim Syarie tersebut. Begitu juga dengan hakim Mahkamah Tinggi yang bakal menilai semula kes Ahmad jika tersalah langkah. Jika Orang Nombor Dua negara (DSAI) pun boleh dipecat dan dimalukan sedemikian rupa, apakan pula seorang Ketua Hakim Negara.
Merujuk kepada Ahmad orang Kedah akan kata, “hang tok sah dok gahlah jika hang hanya seorang anak Pegawai Pencen yang tak dak apa-apa pangkat dan gelaran”. Yang dijamin selamat di Malaysia negara Serba Boleh ini hanyalah Sultan dan mereka yang pakar dalam bidang “menawan hati” baginda saja. Samada anda setuju ataupun sebaliknya, itulah wajah persepsi Acik terhadap senario di tanah tumpah darahku sekarang.
Badget 2014 yang dibentangkan di parlimen baru-baru ini juga menyumbang kepada perubahan pendirian Acik terhadap usaha Ahmad untuk merayukan kesnya itu ke Mahkamah Tinggi. Walaupun ada orang kata duit bukanlah segala-galanya, tetapi hakikatnya ialah setiap urusan memerlukan duit. Dalam suasana ekonomi yang bertambah gawat, kedudukan kewangan semua keluarga sudah pasti akan terjejas. Keluarga Acik juga tidak terkecuali. Lebih-lebih lagi selepas baru saja berkorban puluhan ribu ringgit membela Ahmad.
Bagi Acik, bila Ahmad tidak dipenjarakan, itu pun sudah cukup lega. Bayangkanlah apa akibatnya jika Ahmad dijatuhi hukuman penjara walaupun sebulan, selain dari denda RM20 ribu. Bagaimana dengan kerjaya beliau. Bagaimana dengan pengajian beliau di peringkat Sarjana. Bagaimana persepsi umum terhadap sistem pengadilan negara. Dan berbagai-bagai lagi implikasi lain yang boleh difikirkan.
Cuma yang agak membimbangkan Acik sekeluarga ialah tentang kemungkinan pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi memohon agar Ahmad dikenakan hukuman yang lebih “setimpal”. Setimpal bagi pihak pendakwaan agak bercanggah dengan setimpal bagi pihak Acik. Pendakwa telahpun memohon kepada Hakim agar suatu hukuman yang lebih berat dijatuhkan. Beliau membandingkan kes Ahmad dengan satu kes yang serupa di Thailand. Kata beliau, pesalah Thailand berkenaan telah dipenjara selama 5 tahun. Agaknya maksud beliau ialah, tak memadailah jika Ahmad tak dipenjarakan.
Setimpal bagi pihak Acik pula ialah Ahmad dilepas dan dibebaskan saja. Hukuman tidak rasmi yang telah Ahmad dan Acik sekeluarga lalui sebenarnya adalah lebih berat dari hukuman rasmi yang berupa denda RM20 itu. Jika nak diteliti kos yang Acik sekeluarga telah terpaksa tanggung sejak Ahmad ditangkap hinggalah perbicaraan ke atasnya tamat, rasa-rasa sudah melebihi RM50 ribu. Sedangkan denda maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang bagi kes Ahmad itu hanyalah RM50 ribu saja. Jadi hukuman denda RM20 ribu itu pun sudah boleh dianggap sebagai, “sudah jatuh ditimpa tangga” terhadap Ahmad.
Sebenarnya Acik telahpun menasihati Ahmad melalui SMS agar tidak membuat rayuan. Inilah yang dicadangkan oleh rakan-rakan sebaya Acik semasa perjumpaan 26hb Oktober, 2013 lepas. Rupa-rupanya nasihat itu ibarat, “mencurah air ke daun keladi ; masuk telinga kanan keluar telinga kiri”.
Nampaknya Ahmad masih tetap juga berazam hendak mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi, hatta ke Mahkamah Rayuan. Beliau begitu taksub dengan keyakinan sendiri bahawa itulah satu-satunya cara untuk menebus maruah diri dan membersihkan imejnya. Beliau benar-benar merasa bahawa maruah dirinya telah dicemari oleh fitnah yang dipalitkan ke atas diriya. Bagi beliau, Mahkamah Sesyen yang sepatutnya berlaku adil telah gagal berbuat demikian.
Sebagai seorang ayah, boleh juga Acik menbuat desakan demi desakan supaya Ahmad menggugurkan hasrat dan keazamannya itu. Namun, rasa tak kena pula jika tindakan sedemikian yang Acik ambil. Rasa tak adil pula terhadap Ahmad jika tindakan beliau untuk menebus maruah dirinya itu Acik halangi. Sepatutnya sebagai seorang ayah, Aciklah yang menjadi sumber utama kekuatan moral bagi anak-anak mempertahankan maruah diri dan keluarga. Tiba-tiba Acik pula menjadi penghalang. Ini tentulah akan membawa implikasi buruk kepada diri Acik sendiri, seluruh keluarga dan masyarakat.
Setelah berfikir panjang, biarlah Acik mengambil pendekatan yang lebih mesra kepada kedua-dua belah pihak. Biarlah untuk kali ini kami berdua sama-sama “setuju untuk tak-bersetuju (agree to disagree)”. Dengan perkataan lain, masing-masing menghormati pandangan dan tindakan masing-masing. Masing-masing berjanji tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan pihak lain dalam usaha masing-masing untuk mencapai objektifnya.
Ya lah … Walaupun Acik telah kecewa terhadap kredibiliti sistem pengadilan berdasarkan persepsi peribadi Acik sehingga kini, namun Acik tak patut menghasut Ahmad supaya turut sama kecewa. Kekecewaan Acik itu adalah disebabkan kehilangan keyakinan terhadap kredibiliti sistem keadilan yang beroperasi sekarang. Ia tidak nampak sebagai satu sistem yang benar-benar menjamin keadilan. Sistem tersebut bukan saja tak adil pada hakikatnya malah memang tersangat nyata ketidakadilannya. Sedangkan sepatutnya keadilan mestilah dilaksanakan dengan sebenar-benar adil. Adil bukan pada hakikatnya saja malah terlihat dengan nyata bahawa ianya adalah adil (justice is not only done but also seen as done).
Jika Ahmad masih menyimpan sangkaan baik terhadap sistem pengadilan, itu adalah satu sifat yang wajar diucap syabas. Jika Acik seorang saja yang telah hilang keyakinan terhadap kredibiliti sistem pengadilan, tentulah tiada siapa yang akan bimbang. Sebaliknya jika Ahmad dan seluruh generasinya telah hilang keyakinan terhadap kredibiliti sistem keadilan negara, itulah yang perlu dibimbangkan.
Acik percaya, Ahmad merupakan wakil tidak rasmi untuk generasinya. Jika Ahmad masih yakin bahawa beliau masih berpeluang mendapat pengadilan dari sistem pengadilan sedia ada, harap-harap semua anak-anak muda yang sejenerasi dengan Ahmad adalah juga demikian. Maksudnya, mereka semua masih tidak putus asa ataupun masih belum kecewa macam Acik. Ini kerana, dengan keyakinan tersebut mereka tidak akan mencari keadilan dengan cara mereka sendiri.
Bayangkan apa akan terjadi jika anak-anak muda rata-rata menolak sistem pengadilan sedia ada kerana membuat tangkapan ianya tidak lagi adil. Mereka bukan sekadar tidak akan menagih lagi keadilan dari institusi-institusi pengadilan berkenaan, malah akan benci pula kepada institusi-institusi tersebut. Andaikata status keyakinan mereka terhadap kredibiliti institusi pengadilan negara merosot ke tahap itu, lambat laun keamanan akan pasti terjejas. Lambat laun negara akan huru hara dibuatnya.
Oleh sebab itu, walaupun Acik sendiri tidak setuju Ahmad mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi, namun Acik kena juga menghormati hak beliau sebagai individu yang merdeka. Walaupun pada firasat Acik Ahmad akan kalah, namun tidak mustahil juga Ahmad boleh menang. Kalau pun beliau tidak menang di peringkat Mahkamah Tinggi, mungkin di peringkat Mahkamah Rayuan beliau akan menang. Siapakah yang boleh menghalangnya jika itulah ketetapan Allah. Ya benar, tiada siapa yang mampu mengatasi kuasa Allah hatta seorang Maharaja sekalipun .
Mudah-mudahan Ahmad dan jenerasinya akan dapat buktikan bahawa firasat Acik itu adalah salah.
Untuk makluman semua, kami sangatlah mengalu-alukan serta menghargai sumbangan dari mana-mana pihak. Sumbangan yang dihulurkan adalah menjadi manifestasi terhadap sokongan anda bagi menegakkan keadilan yang sedang diperjuangkan Ahmad. Untuk itu Acik terlebih dahulu mengucap terima kasih yang tak terhingga kepada semua bakal-bakal penyumbang.
Sila salurkan sumbangan ikhlas anda ke akaun Maybank
Ahmad bin Abd Jalil 157 111 975 546
Wallahualam.
PenCERAHan lain yang relevan:
Ahmad’s SAGA # 027: Yang Dihukum Tidak Mestinya Bersalah https://4uni2c.com/2013/10/22/ahmads-saga-027-yang-dihukum-tidak-mestinya-bersalah/
Ahmad’s SAGA # 029 Tahniah Untuk Ahmad https://4uni2c.com/2014/01/18/ahmads-saga-029-tahniah-untuk-ahmad/
Ahmad’s SAGA # INDEX https://4uni2c.com/2013/12/11/ahmads-saga-index/
** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK : http://www.4uni2c.com
@OPajar # 13Y04