Ahmad’s SAGA # 027 Yang Dihukum Tidak Mestinya Bersalah

*** Untuk men CARI lain-lain TAJUK sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.

(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)

Yang Dihukum Tak Semestinya Bersalah

Alhamdulillah, semalam 2013 Oktober 21, Acik (Ayah/Abang + cik) serta keluarga telah mendengar Tuan Hakim membaca keputusan perbicaraan ke atas anak Acik (Ahmad) itu. Sebagaimana yang sudah diduga, Ahmad telah disabitkan dengan kesalahan sepertimana beliau dituduh. Hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau ialah denda RM 20ribu tanpa dipenjara. Hakim sebelum menjatuhkan hukuman telah mengambil kira beberapa faktor penting. Antaranya ialah faktor bahawa Ahmad belum pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan sebelum ini.

Sebagaimana yang telah pernah Acik sebut sebelum ini, Tuan Hakim adalah dianggap maksum ketika menjatuhkan hukuman. Maksud Acik ialah Tuan Hakim adalah dianggap tidak akan melakukan kesilapan ketika menjatuhkan hukuman. Oleh itu Tuan Hakim tidak wajar dicabar ketika itu.

Walau bagaimana pun, undang-undang masih memberi ruang agar keputusan Hakim tersebut dapat dicabar kemudiannya. Cara yang diizinkan bagi mencabar keputusan Tuan Hakim ialah dengan merujuk kepada Mahkamah yang lebih tinggi. Peguambela akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah tersebut. Sekiranya keputusan tersebut didapati oleh Mahkamah yang lebih tinggi berkenaan sebagai kurang adil, maka keputusan tersebut akan dipinda. Untuk itu Ahmad berhasrat agar membuat rayuan terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi. Acik serta seluruh keluarga menyokong cadangan beliau 100 peratus demi memberi sokongan moral kepada beliau.

Bukanlah hasrat ataupun niat buruk Ahmad dan Acik sekeluarga hendak mencabar sesiapa dalam kes Ahmad ini. Sebaliknya kami sekadar ingin menzahirkan sikap pasrah dan tidak mudah berputus asa. Sebenarnya, dalam Islam, sikap mudah berputus asa bukanlah suatu sikap yang terpuji. Sebelum bertawakal atau pun menyerahkan sesuatu kepada takdir, orang Islam wajar terlebih dahulu melakukan yang sebaik mungkin. Sebelum bertawakal, kita mesti mengunci dulu kereta atau pun rumah kita yang nak kita tinggalkan. Yakni berusaha terlebih dahulu agar keselamatan barangan kita lebih terjamin. Sekiranya masih juga berlaku kecurian atau kehilangan, sekurang-kurangnya kita tidak terkilan atau menyesal.

Berdasarkan semangat tidak berputus asa dan semangat lebih bertawakkal tersebut, maka wajarlah kes Ahmad itu dibawa ke Mahkamah Tinggi. Kata Peguambela Ahmad (Tuan Radzlan bin Jalaluddin), ini adalah suatu pengorbanan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar untuk kepentingan peribadi Ahmad atau mana-mana individu saja. Andainya untuk kepentingan diri Ahmad seorang saja, mungkin awal-awal lagi beliau telah memilih untuk mengaku bersalah sahaja. Kemudian ikut saja apa yang diarahkan oleh pihak Polis. Jika nak dibawa ke istana mengadap Sultan pun ikut saja. Serah saja kepada Allah apa yang nak di”hadiah”kan oleh pihak istana. Tetapi adakah maruah beliau begitu rendah sekali. Jika tak melakukannya, buat apa nak mengaku bersalah sepertimana yang dituduh ?

Dalam perbicaraan ke atas Ahmad, banyak perkara yang Acik tidak puas hati. Antaranya ialah menuduh Ahmad berbohong mengatakan bahawa telefon bimbit beliau diserahkannya kepada pengawal lokap. Padahal itulah yang sebenarnya dilakukan Ahmad. Tetapi Ahmad didakwa menyerahkannya ketika berada di Wangsa Maju lagi, bersama dengan barang-barang rampasan yang lain. Apakah perkara sekecil ini pun Ahmad perlu berbohong ?

Kedua ialah dengan menciptakan satu dokumen baru, kemudian mendakwa bahawa Ahmad telah menurunkan tanda tangan beliau di atas dokumen tersebut. Sedangkan hakikatnya Ahmad tidak pernah pun menanda tangani dokumen tersebut. Acik yakin Ahmad tidak berbohong khususnya dalam hal ini. Menuduh beliau menafi menandatangani domumen berkenaan adalah tidak adil. Ahmad yang Acik kenal secara peribadi sejak beliau masih kanak-kanak tidak mungkin sanggup membuat penafian tersebut.

Ketiga, adalah tidak wajar jika Tuan Hakim menerima kesaksian pakar komputer dari PDRM tetapi meremehkan kesaksian pakar komputer dari “Cyber Security“. Sedangkan kedua-duanya adalah diiktiraf sebagai pakar. Sekiranya kedua-dua kesaksian tersebut diberi penilaian yang adil dan saksama, maka sudah tentulah telah wujud satu keraguan yang munasabah.

Keempat, Polis yang menangkap Ahmad mendakwa dalam laporan bertulis beliau bahawa semasa beliau sampai ke tempat di mana Ahmad ditahan, Ahmad telah sedia berada di situ. Tetapi semasa berada di dalam kandang saksi pula, beliau mengatakan Ahmad datang kemudian. Bila Ahmad sampai di situ, boleh jadi telah ada sesuatu yang telah dilakukan terhadap komputer tersebut tanpa diketahui oleh Ahmad. Status individu yang memeriksa komputer tersebut tidak menjamin bahawa komputer tersebut tidak diapa-apakan. Samada beliau seorang pegawai Polis berpangkat tinggi, maupun yang tiada berpangkat. Samada beliau dari agensi kerajaan maupun dari pihak swasta.

Dan yang paling mengejutkan Acik ialah pengakuan seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor bahawa Ahmad adalah individu yang dijadikan sasaran tangkapan. Selama ini Acik dan semua kami difahamkan bahawa, sebelum Ahmad ditahan, pihak Polis belum dapat kenal pasti siapa sebenarnya individu yang sedang dijejaki mereka. Oleh itu tidak timbul unsur-unsur pendakwaan terpilih (selective prosecution). Tetapi rupa-rupanya gambaran yang kami terima itu adalah satu senario palsu. Rupa-rupanya Ahmad adalah mangsa pendakwaan terpilih.

Jika Ahmad adalah seorang bakal kambing hitam, faham-faham sajalah apa yang bakal disediakan untuk memerangkap beliau. Jika yang hendak ditangkap itu seekor burung, tertulah perangkap yang akan dibekalkan ialah perangkap burung juga. Takkan perangkap musang atau tupai kut. Apa motifnya, jika bukan untuk menjaminkan bahawa mangsanya tidak akan terlepas dari sasaran tangkapan. Lainlah jika yang nak ditangkap itu benar-benar belum dapat ditentukan binatang apa atau individu yang bagaimana.

Berdasarkan faktor di atas dan beberapa factor lain yang seumpamanya, hati Acik masih kuat mengatakan Ahmad tidak bersalah. Walaupun beliau telah pun disabitkan dengan kesalahan yang dituduh terhadapnya, dan dijatuhi hukuman, bagi Acik itu bukanlah bukti mutlak bahawa beliau benar-benar bersalah.

Dengan kata lain, “yang dijatuhi hukuman tidak semestinya bersalah”. Contoh paling popular bagi umat Islam termasuk Acik sendiri ialah kisah Nabi Yusuf a.s. Baginda telah dipenjarakan walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan. Sebenarnya baginda telah cuba digoda oleh isteri bossnya sendiri yang jelita itu. Namun beliau tidak melayan wanita tersebut kerana tak sanggup melakukan dosa. Demi menjaga maruah bossnya itu maka baginda (Nabi Yusuf a.s.) dipenjarakan. Ini merupakan antara berbagai bentuk pengorbanan yang lazim dilakukan oleh pejuang yang ingin memertabatkan kebenaran.

Satu lagi contoh yang meyakinkan Acik hakikat bahawa “yang dihukum tidak semestinya bersalah” ialah suatu pengalaman “manis” peribadi Acik sendiri. Ketika Acik sedang belajar di tingkatan enam atas dalam tahun 1972 dahulu, tak semena-mena Acik dituduh sebagai perokok tegar oleh bakal Pengetua sekolah Acik. Beliau menjajakan “tabiat buruk Acik ini” kepada pelajar-pelajar tingkatan bawahan. Berita ini akhirnya sampai kepada pengetahuan Acik. Sedangkan dakwaan beliau itu adalah palsu semata-mata.

Mana pernah Acik merokok. Bukan saja di dalam kawasan sekolah, malah di mana-mana juga pun Acik tak pernah merokok. Rengkas kata, secara jujur, Acik sebenarnya bukanlah seorang perokok. Malah benci kepada perokok. Oleh sebab kekanda kandung Acik adalah seorang perokok, maka dengan beliau pun Acik rasa kurang selesa. Tak marahkah Acik jika tak pernah merokok pun tiba-tiba dituduh sebagai perokok tegar (heavy smoker). Yang menuduh pula tu bukan calang-calang orang tetapi bakal orang nombor satu di sekolah tempat Acik belajar itu.

Sebaik mendapat berita huduh tersebut dari junior Acik, Acik pun berazam akan bersemuka dengan Timbalan Pengetua tersebut. Esok pagi dengan penuh nekad Acik pun pergi ke pejabat beliau tanpa ditemani sesiapa kecuali keberanian. Kata orang tua-tua kita, “berani kerana benar, takut kerana salah”. Sampai di pejabat Timbalan Pengetua tersebut, Acik pun berdiri terpacak di hadapan beliau. Itulah cara kami di sekolah askar itu dilatih menghormati orang atasan. Secara “direct” Acik membuka mulat, “ sir,I was told that you have been accusing me of being a smoker – Tuan, saya telah diberitahu bahawa tuan menuduh saya sebagai seorang perokok”

Belum apa-apa, dengan spontan tangan beliau telah melayang lalu menghinggapi pipi Acik. Mula-mula pipi kiri, kemudian pipi kanan pula. Mujur tidak ada pukulan ketiga. Hati Acik memang nekad akan membalasnya jika beliau tidak berhenti setakat pukulan kedua itu. Mujur beliau sempat menghidu genggaman penumbuk batu Acik sebelum melepaskan pukulan ketiga itu. Bukanlah Acik nak takbur. Tetapi jika nak bertinju dengan insan seperti bakal Pengetua tersebut, rasa-rasa tak susah sangat nak meraih kemenangan cemerlang. Tapi malulah pula jika menang cara pondan begitu.

Sebenarnya Acik taklah rasa sakit sangat dengan pukulan beliau itu. Jika nak dibandingkan dengan penumbuk yang pernah Acik rasai semasa berjuang dalam gelanggang tinju sebelum itu, apalah sangat tamparan beliau itu. Cuma yang sangat sakit ialah hati. Patutkah Acik seorang pelajar di tingkatan enam atas dilayan sebegitu rupa. Dahlah maruah peribadi Acik dicemar dihadapan pelajar-pelajar junior Acik, bila bersemuka itu pula reaksinya. Macam orang yang belum bertamadun rupanya. Pada hal beliau mendakwa belajar di Cambridge. Ayah dan ibu angkatnya pula Orang Putih.

Sikap brutal beliau itu amat tidak disenangi oleh majoriti pelajar sekolah Acik. Acik bukanlah mangsa pertama dan terakhir yang menerima penangan sedemikian dari beliau. Ini membuat Acik berhasrat untuk melakukan sesuatu demi kebaikan sekolah Acik yang tercinta itu. Sebaik saja selesai menduduki peperiksaan HSC (Higher School Certificate), Acik mulalah menyusun strategi demi untuk menyelamatkan sekolah Acik itu dari tangan ganas individu yang kurang bertamadun itu.

Arwah kekanda Acik membeli Acik sebuah mesin taip (manual) bagi memudahkan Acik menulis surat-surat bantahan. Acik masih ingat lagi ayat, “the quick brown fox jumps over the lazy dog”. Itulah ayat yang mengandungi semua huruf A hingga Z untuk melatih jari-jari menaip. Surat-surat bantahan itu Acik hantar kepada pihak-pihak atasan tertentu yang bertanggungjawab ke atas pengurusan sekolah Acik itu. Satu salinan telah Acik kirimkan juga kepada Menteri Pelajaran ketika itu iaitu Tun Husain Onn. Yang agak mengkagumkan ialah telahan (prediction) Acik bahawa sekolah tersebut akan mengalami kemerosotan akademik akibat ditangani oleh individu bersikap ganas itu.

Rupa-rupanya telahan Acik itu menjadi kenyataan. Khabarnya bakal Pengetua tersebut, yang telahpun menyandang jawatan Pengetua, telah dipanggil oleh pihak atasan. Tidak lama selepas itu beliau meninggalkan sekolah Acik itu untuk selama-lamanya. Ini merupakan satu kemenangan bagi Acik dalam perjuangan membebaskan satu institusi pendidikan dari cengkaman seorang Pengetua yang tak senonoh (unscrupulous). Bebas dari cengkaman seorang yang tidak tahu menghormati maruah individu lain, dan tidak memahami sistem budaya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

Itu bukan satu CEREKANA atau cerita rekaan Acik semata-semata. Sebaliknya ia adalah suatu sejarah atau peristiwa yang benar-benar belaku. Tetapi bagi mengesahkan sejarah tersebut janganlah pula bertanya kepada pengamal undang-undang seperti YAA TS Dato Zulkefli Ahmad Makinudin atau Dato John Louis Ohara. Mereka ini mungkin masih kenal dengan Acik tapi tak mungkin tahu peristiwa tesebut walaupun belajar di sekolah yang sama dengan Acik. Ini kerena semasa Acik di tingkatan enam atas, kedua-dua mereka telah berada di unversiti.

Namun jika bertanya kepada pengamal undang-undang TS Mohd Shafie Abdullah, beliau mungkin dapat mengesahkan tentang peristiwa tersebut. Jika beliau tidak dapat mengesahkannya, mungkin kerana beliau sudah lupa. Maafkan beliau jika tentang peristiwa tersebut beliau telah lupa. Maklumlah, masa dah agak terlalu lama berlalu. Tetapi yang tak patut dimaafkan ialah jika dengan Acik pun beliau lupa. Kami sama-sama sekelas ketika di tingkatan enam bawah dan enam atas dahulu. Jadi tak patut sangat jika sesama sendiri pun boleh lupa.

Contoh ketiga bagi membuktikan bahawa “yang dihukum tidak semestinya bersalah” ialah sebagaimana yang boleh dibaca dalam CEREKANA berjodol “Walaupun Berhakimkan Kancil”. PenCERAHan: https://4uni2c.com/2013/10/06/cerekana-13×06-walaupun-berhakimkan-kancil/

Berdasarkan ketiga-tiga contoh di atas Acik percaya bahawa hasrat Ahmad untuk merayu kesnya itu kepada Mahkamah Tinggi adalah sangat wajar. Apa yang beliau lakukan itu bukan semata-mata untuk kepentingan peribadi beliau, malah untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Terutamanya bagi rakyat yang telah ketagih dengan Facebook dan blog, termasuk Acik sendiri. Mudah-mudahan rayuan Ahmad kelak akan menghasilkan keputusan yang positif untuk beliau khususnya dan untuk seluruh rakyat Malaysia amnya. Insya Allah kes Ahmad ini akan menjadi contoh keempat yang membuktikan kebenaran kenyataan “yang dihukum tak semestinya bersalah”.

Wallahualam.

Pengumuman:

d a u l a t r a k y a t !

Lain-lain PenCERAHan yang relevan:

Ahmad’s SAGA # 028: Berbaloikah Ahmad Merayu ? https://4uni2c.com/2013/11/04/ahmads-saga-028-berbaloikah-ahmad-merayu/
Ahmad’s SAGA # INDEX https://4uni2c.com/2013/12/11/ahmads-saga-index/
Tian Chua acquitted of sedition for linking “UMNO government” to Sulu intrution http://www.msn.com/en-my/news/national/tian-chua-acquitted-of-sedition-for-linking-%E2%80%98umno-government%E2%80%99-to-sulu-intrusion/ar-BBdCHLG
**

PenCERAHan terbaru ⬇️ http://www.4uni2c.com

PN

@OPajar # 13X22

~ by OPajar on 2013-10-22.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: