MH370 Mystery – the Manifestation of the CLIMAX of BN’s Failure …
*** Untuk men CARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)
misteri pesawat MH370
manifestasi puncak keGAGALan BN memerintah negara
Dunia baru saja gempar dengan keputusan “bersalah” terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) atas tuduhan sodomi 2 oleh Mahkamah Rayuan Malaysia. Macam mana tak gempar, hakim pun dapat dipergunakan oleh pihak tertentu bagi menegakkan benang basah.
Prinsip bahawa “kesilapan kerana membebaskan seorang yang bersalah adalah 10 kali lebih baik dari kesilapan kerana menghukum orang yang tak bersalah” nampaknya telah tidak pakai lagi. Begitu juga dengan prinsip, “hukuman bukan saja wajib dilakukan dengan adil, malah perbicaraannya juga dapat dilihat dilaksanakan dengan secara adil” langsung tidak dipeduli.
Pengalaman Acik mengikuti perbicaraan terhadap anak kandung Acik (Ahmad) atas tuduhan menghina Sultan Johor dalam FB dahulu telah membuat Acik kurang percaya kepada sistem pengadilan Malaysia (PenCERAHan: https://4uni2c.com/2013/12/11/ahmads-saga-index/). Tetapi bila YB DSAI dihukum bersalah, maka Acik jadi langsung tak percaya lagi kepada sistem tersebut.
Maafkah jika bekas rakan sekelas Acik (Datuk Shafee Abdullah) tidak setuju dengan persepsi Acik ini. Tapi jangan salah Acik kerana pengamal undang-undang macam beliaulah yang membuat Acik berpesepsi demikian. Namun Acik harap YB DSAI akan menang akhirnya di peringkat Mahkamah Persekutuan nanti, insya Allah.
Selingan 1 & 2 :
1. Bukti Saiful tidak diliwat: http://www.youtube.com/watch?v=-ztCaXuj7Pk
2. Saiful bersumpah laknat depan Imam: http://www.youtube.com/watch?v=s0EVeFYdYBY&feature=youtu.be
Dalam masa rakyat baru saja nak mempersoalkan kegagalan BN memerintah negara dengan adil (ikutan dari hukuman yang dijatuhkan ke atas YB DSAI itu), dengan tidak semena-mena tercetus pula satu peristiwa lain yang lebih gempar dari itu. Bukan saja gempar, malah amat menyedihkan kita semua.
Ia adalah trajedi nahas pesawat MH370 yang masih lagi belum diketahui kemana hilangnya. Apakah trajedi yang berlaku hanya selang beberapa jam saja selepas DSAI dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Rayuan itu, merupakan suatu kebetulan ? Dan mustahilkah bahawa trajedi itu merupakan suatu balasan tunai yang ditimpakan Allah ke atas pemerintah yang dengan terang-terangan menzalimi hambanya yang tak berdosa ?
Hanya Allah yang Maha Esa saja yang tahu jawapan tepat bagi kedua-dua soalan tersebut. Namun sebagai seorang Muslim yang beriman, kita wajib percaya bahawa doa orang yang dianiayai adalah tersangat-sangat makbul. Apapun, realitinya isu kezaliman tidak menjadi topik perbicangan umum.
Masing-masing rakyat jelata kini telah tidak menghirau lagi kepada kezaliman yang telah dilakukan pihak berkuasa. Minda, fikiran dan perasaan masing-masing kini tertumpu 100 peratus kepada isu nahas MH370. Bukan saja kerana terlalu sedih, malah ada pula yang takut.
Ada yang takut ditohmah sebagai tidak tahu menghormati sesitiviti waris-waris mangsa yang malang dalam nahas tersebut. Yang terlibat dengan perjuangan politik pula takut hilang pengaruh politiknya jika dituduh memeksploitasi akan isu nahas tersebut untuk kepentingan politik.
Namun isu kezaliman bagi Acik, adalah lebih wajar diberi perhatian serious kerana implikasinya adalah jauh lebih buruk, kepada rakyat, agama, bangsa dan negara. Kezaliman akan mengundang bala dari Allah. Dan bila Allah turunkan bala, ia akan menimpa semua kita. Tidak kira samaada yang berdosa (sebagai balasan) maupun yang tidak berdosa (sebagai ujian).
Apapun, nampaknya nahas MH370 tersebut adalah merupakan satu kelegaan besar bagi individu-individu dan kumpulan tertentu dalam negara. Kerananya, maka mereka tidak perlu lagi berhadapan dengan kemarahan rakyat yang tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap DSAI.
Ingat lagi tak kita tentang fitnah sodomi 1 yang telah dikenakan terhadap insan yang sama lebih dari sepuluh tahun dahulu ? Bukankah individu-individu tertentu yang telah merancang dan melaksanakan fitnah tersebut telah ditimpakan balasan tunai oleh Allah ?
Ada yang kehilangan isteri akibat kemalangan jalan raya, ada yang jatuh sakit hingga koma sekian lama, ada yang ditangkap basah, ada yang kehilangan pangkat tertinggi yang disandang dan sebagainya. Malangnya, segala pertunjuk Allah itu langsung tidak dijadikan iktibar dan peringatan. Malah direkaciptanya pula fitnah sodomi 2.
Bedasarkan apa yang dah kita baca dan dengar sehingga kini tentang trajedi MH370 tersebut, bagi Acik, ia benar-benar merupakan satu manifestasi bahawa BN telah terbukti gagal menguruskan negara kita dengan baik sebagaimana kita harapkan. Dalam kes nahas MH370 tersebut khususnya, terbukti sistem keselamatan negara mudah dibolos oleh orang yang berniat jahat.
Sistem imigresen kita yang dikenalpasti lemah, masih belum diperbaiki sejak kes Altantuya dulu. Ingat tak nama Altantuya tidak ada dalam data base pihak Imigresen, sedangkan beliau telah berada dalam negara kita hingga hilang di Puncak Alam ?
Tindakan kerajaan Malaysia dalam menangani situasi kritikal sekarang ini (yang diistilahkan “slow motion picture” oleh TV Amerika Syarikat) pun merupakan contoh ketara kegagalan kerajaan BN menyampaikan hak rakyat. Dunia yang sangat perihatin dengan isu keselamatan sejagat, kini mulai mempertikaikan kredibiliti negara kita.
Ketika membaca berita tentang hukuman bersalah terhadap DSAI hari itu, hati kecil Acik sudah pun dalam keadaan yang sangat tidak selesa atau gundah gulana. Ya, Acik memang sangat tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap DSAI. Lebih-lebih lagi bila mengenangkan dan membandingkan dengan sessi-sessi perbicaraan terhadap anak Acik (Ahmad) yang Acik ikuti dahulu.
Malangnya keadaan tidak selesa itu bukan menjadi bertambah lega, sebaliknya kini bertukar menjadi tersangat marah. Marah selepas belakunya trajedi nahas MH370 yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa mereka yang tak bersalah.
Walaupun Acik tidak sampai nak menuding jari menuduh sesiapa pun yang punya angkara, tetapi sebagai peneraju kerajaan, BN wajib menerima hakikat bahawa ia gagal dalam memerintah negara dengan baik. Akibat kelemahannya maka segala sistem pentadbiran negara tidak berjalan dengan memuaskan rakyat.
Dalam kes nahas MH370 itu khususnya, BN kena akui bahawa sistem kawalan keselamatan negara lemah. Akibat kelemahan tersebutlah maka boleh berlaku pula trajedi yang begitu menyayatkan hati seluruh rakyat Malaysia amnya. Lebih-lebih lagi mereka yang kehilangan individu-individu yang tercinta.
Acik bukan berhasrat nak menyedihkan lagi suasana yang memang telah pun begitu sedih. Sebaliknya Acik ingin berterus terang menyatakan realiti yang sedang dialami oleh kita rakyat Malaysia sekarang. Disamping itu Acik juga mahu menginsafi diri sendiri, “siapakah aku ini ? Mampukah aku menghadapi kesedihan andainya di antara yang turut hilang itu adalah ahli keluargaku, walaupun hanya salah seorang saja dari mereka ?” Rasa-rasanya tidak sanggup.
Walaupun Allah memberi 10 orang anak kepada Acik, namun belum sanggup lagi merasai kehilangan walaupun hanya seorang saja dari mereka. Betapa pula dengan ibu bapa yang kehilangan anaknya dalam nahas tersebut, sedangkan itulah satu-satunya anak yang mereka ada ? Bayangkan sendiri bagaimana rupanya tahap kesedihan masing-masing. Jika kita tidak mampu mengeluar airmata, maka itu tandanya belum cukup peka terhadap sensitiviti mereka.
Kebetulan pula pesawat yang hilang itu kononnya adalah pesawat yang sama yang ditumpangi oleh anak bongsu Acik ketika ke Amerika Syarikat kira-kira dua bulan yang lalu. Alhamdulillah, beliau sampai dengan selamat menemui Acik dan isteri yang sedang menunggunya di State College ini.
Beliau gagal datang bersama kami adalah akibat masih ada urusan tertentu yang perlu dibereskan. Jadi kami terpaksalah datang lebih awal ke sini. Setelah menanti beliau beberapa hari di State College ini barulah beliau sampai. Aduh ..! Tak sanggup nak bayangkan, betapa hancur luluhnya hati ini jika insan yang dicintai, yang ditunggu-tunggu berhari-hari tiba-tiba hilang dari bumi. Nauzubillah.
Pada saat ini, walau apapun komen dibuat, baik positif mahupun sebaliknya, yang berlaku telahpun berlalu. Tiada ada kuasa yang boleh mengubahnya melainkan Allah jua. Ia bukan macam drama yang boleh diulang tayang. Kemudian diedit mana yang kurang sesuai sebelum dipertontonkan. Entahlah kalau-kalau ia juga macam trajedi di Sauk, Perak dahulu yang boleh dilakonkan semula.
Walau apa pun yang telah berlaku, sebagai orang Islam kita tetap kena beriman dengan qadho’ dan qadhar. Kita wajib yakin bahawa setiap yang berlaku adalah ketetapan dan perancangan Allah.
Ini bukan merujuk khususnya kepada nahas MH370 itu semata-mata. Malah kepada semua perkara. Hatta terhadap keputusan bersalah terhadap DSAI itu. Setiap yang berlaku itu mesti ada hikmahnya di sisi Allah. Cuma insan kerdil macam Acik saja yang belum, malah tidak nampak hikmahnya itu.
Untuk mereka yang diuji Allah dengan kehilangan orang-orang tercinta, Acik doakan yang terbaik untuk mereka semua. Dari apa yang Acik faham, kematian akibat kemalangan adalah antara mati sahid kecil. Ia sepertimana mati sakit, mati tenggelam dan mati ibu kerana bersalin. Oleh yang demikian, bagi Acik, kematian mereka adalah mulia di sisi Allah.
Kata perpatah Melayu, “yang patah akan tumbuh semula dan yang hilang akan berganti”. Ini satu realiti hidup yang semua kita harus terima dan hayati, demi kelangsungan hidup kita yang masih berbaki. Yang dah pergi tu tak akan kembali lagi, walau lama mana pun ditangisi.
Sebagai waris kepada yang pergi, kita kena redho’ dengan apa yang telah ditakdirkan terjadi. Sebaik-baik doa kita tujukan untuk mereka itu. Dan disamping itu kita juga berdoa dan berharap mudah-mudahan selepas ini tidak akan berulang lagi trajedi yang serupa. Biarlah kepedihan kesedihan yang kita alami sekarang ini tidak menimpa pula kepada orang lain, baik yang kita sudah kenali mau pun mereka yang belum kita kenali.
Allah telah meberitahu manusia bahawa nasib sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan kaum itu sendiri yang merubahnya. Mengikut kefahaman Acik yang cetek agama ini, Allah memberi peluang kepada umat manusia untuk menambahbaikkan kehidupan mereka. Oleh itu, jika kita tidak dapat mencapai sesuatu kejayaan maka jangan senang-senang salahkan Allah.
Dengan rahmatNya yang begitu luas tanpa sempadan, Allah menyediakan suatu sistem alam yang dikatakan “sunnatullah” atau peraturan Allah. Sunnatullah ini terpakai oleh semua makluk Allah baik di bumi maupun di langit. Terpakai oleh Muslim maupun bukan Muslim. Oleh manusia maupun binatang. Pendek kata sunnatullah ini tidak ada yang terkecuali. Juga tidak ada diskriminasi langsung terhadap mana-mana makluk Allah.
Seorang ahli falsafah kampung pernah menerangkan kepada Acik konsep sunnatullah atau hukum adat (natural law) itu. Kata beliau, “ ia terhenti di atas berulang-ulang”. Apa yang beliau maksudkan ialah setiap perbuatan itu akan memberi hasil yang sama jika diulang seberapa kali pun melakukannya.
Contohnya, jika diambil seketul batu lalu dicampakkan ke dalam sebuah kolam, maka batu itu akan terus tenggelam. Tidak kira berapa kali pun ketul batu itu diulang campak kedalam kolam yang sama, maka batu itu tetap akan tenggelam. Hatta jika yang mencampakkanya itu beruk sekalipun, keputusannya tetap sama. Hasilnya sama sepertimana yang dicampakkan oleh seorang Maharaja, malah oleh seorang Rasul. Seperti Acik kata tadi, tidak ada elemen diskriminasi bagi setiap sunnatullah.
Demikianlah, dengan sunnatullah Allah memberi manusia peluang bagi merekacipta berbagai-bagai kemudahan dan kaedah hidup. Ia juga memberi peluang kepada setiap individu memilih antara yang baik atau sebaliknya dalam melayari kehidupannya di alam dunia ini. Dia boleh memilih untuk makan dan minum supaya hidup sehat dan dapat beribadat kepadaNya dengan lebih sempurna dan selesa. Atau pun sebaliknya.
Tetapi untuk mendapat makanan dan keselesaan hidup dia mesti berusaha terlebih dahulu mencarinya. Untuk makan nasi manusia mesti menanam padi untuk mendapatkan beras. Untuk makan ikan dia kenalah menangkapnya.
Begitu sekali Pemurahnya Allah kepada umat manusia dengan menjadikan ikan. Kalau padi, kita kena berusaha bersawah dulu baru dapat padi. Tapi tentang ikan Allah telah siap sediakannya untuk manusia secara percuma. Manusia hanya perlu menangkapnya saja samada di laut, di tasik, di sungai dan seumpamanya. Tak payah dibela ikan-ikan itu macam kita bela itek dan ayam.
Sunnatullah yang tidak mengenal diskriminasi ini rupa-rupa telah dimunafaat sebaik mungkin oleh umat manusia. Dengan mamatuhi hukum sunnatullah manusia telah pun berjaya mencipta bermacam-macam kemudahan termasuk kenderaan. Dari kenderaan air hinggalah kenderaan udara. Hatta kenderaan ke angkasa lepas dan ke dalam perut laut (seperti kapal selam Scorpene).
Setelah memahami sunnatullah dengan lebih mendalam, manusia dapat menjadikan kenderaan yang dicipta itu semakin canggih dan selamat. Jika dahulu kenderaan udara menggunakan kipas dan kurang laju, kini ia menggunakan kuasa jet. Kuasa ini membuat ia lebih laju dan lebih gagah untuk membawa muatan yang lebih berat dengan lebih selamat. Kalau awal-awal dahulu pesawat tidak mampu terbang lebih dari sepuluh jam tetapi kini boleh terbang hingga berbelas jam tanpa perlu turun ke bumi mengisi minyak.
Bila berita nahas MH370 tersebar luas, berbagai spekulasi tercetus dari ramai orang yang suka berfikir. Masing-masing cuba memikir apa sebabnya maka pesawat tersebut boleh hilang. Yang terlalu bias kepada sunnatullah mensyaki tentu ada sesuatu faktor misteri yang menyebabkan nahas boleh berlaku. Golongan ini tidak percaya bahawa nahas boleh berlaku tanpa apa-apa sebab musabah.
Namun tak kurang pula yang mendakwa bahawa nahas tersebut adalah semata-mata kerana qadho’ dan qadhar Allah. Oleh itu, bagi mereka ini, tak perlulah nak bersusah payah mencari faktor-faktor lain untuk disabitkan dengan berlakunya nahas tersebut.
Acik bukanlah seorang falsafah atau pun seorang saintis kontemporari. Oleh itu persepsi atau kefahaman Acik mungkin tersasar dari hakikat. Jika demikianlah kiranya, maka Acik mohon ampun dari Allah S.N.W. Namun bagi Acik kedua-dua faktor tersebut, iaitu sunnatullah dan qadho’ dan qadhar adalah sama penting bagi mengakibatkan nahas MH370 tersebut berlaku.
Kedua-dua faktor tersebut adalah saling melengkapi antara satu dengan yang lain. Ia ibarat sebuah kereta dengan minyak yang digunanya. Bagi melakukan aktiviti pengangkutan mendaki bukit, maka kedua-duanya perlu ada. Jika ada kereta saja tapi tak ada minyak maka tak akan berlakulah aktiviti pengangkutan. Begitulah sebaliknya.
Khususnya berhubung nahas MH370 tersebut Acik tidak nafi bahawa faktor qadho’ dan qadhar adalah penting. Jika tidak ditakdirkan nahas tersebut berlaku, maka sudah tentulah ianya telah tidak berlaku. Namun, nahas tersebut berlaku tentu dengan sebab musabahnya.
Antaranya mungkin berpunca dari kerosakan yang berlaku pada injin pesawat tersebut. Mungkin juga kesilapan kritikal yang dilakukan oleh pilotnya. Mungkin juga disebabkan sabotaj oleh mana-mana penumpang dengan meletupkan bom yang berjaya diseludupi masuk ke dalam pesawat.
Mungkin juga ia tertembak oleh peluru meriam sesat samada dari bumi maupun dari angkasa. Malah berbagai-bagai lagi kemungkinan lain yang boleh saja difikir dan dispekulasikan. Cuma, mungkin tak mampu nak disenaraikan satu persatu di dalam PenCERAHan ini.
Bagi umat manusia, faktor qadho’ dan qadhar tidak didedahkan Allah kepada kita. Ia dirahsiakan Allah walaupun terhadap umat Islam sendiri. Oleh itu tiada siapa pun yang tahu tentangnya. Kita tidak tahu samada qadho’ dan qadhar atas diri kita untuk hari ini bagaimana, positif ataupun negatif. Esok pula bagaimana. Minggu depan pula bagaimana. Bulan depan dan tahun depan juga bagaimana.
Apa yang dapat kita fahami hanyalah faktor sunnatullah. Sunnatullahlah yang mengajar kita supaya berusaha melakukan itu dan ini jika ingin mendapatkan sesuatu. Misalnya jika kita nak pandai kita mesti belajar. Jika kita nak senang di kemudian hari, maka kita mesti sanggup bersusah payah dahulu. Jika kita hendak kapal kita sampai ke sesuatu destinasi dengan cepat dan selamat maka nakhoda (kepten) kapal kita perlulah pandai melayari kapal yang kita naiki itu dengan baik. Termasuk tahu mengenalpalti laluan mana yang paling cepat dan selamat.
Negara kita Malaysia adalah umpama sebuah kapal yang sedang dipandu oleh seorang nakhoda (kepten) untuk membawa kita ke satu destinasi bahagia yang semua kita impi-impikan. Oleh itu, kebijaksanaan dan kemahiran kepten yang kita lantik itu adalah tersangat penting. Beliaulah yang akan menjamin bahawa kita akan sampai ke destinasi yang dihasratkan itu dengan selamat dalam masa yang dijanjikan.
Jika akibat kebodohan diri kita sendiri maka kita melantik orang bodoh sebagai kepten, bukan saja destinasi yang dituju tidak sampai, malah bertambah jauh lagi kita daripada destinasi yang disasarkan.
Orang yang berfikiran biasa mungkin tidak nampak tentang hubungkait antara satu faktor dengan faktor yang lain. Sebaliknya yang akan nampak hanyalah mereka yang berfikiran kritikal.
Misalnya, bagi seorang ketua keluarga yang kritikal, ia akan nampak hubungkait antara faktor berilmu dan kesempurnaan hidup. Oleh itu dia pun bersusah payah membekalkan ahli-ahli keluarganya (terutamanya anak-anaknya) dengan sebanyak mungkin ilmu. Setiap anak dibekali dengan ilmu yang relevan dengan cita-cita masing-masing.
Itu di peringkat keluarga dan rumah tangga. Di perengkat negeri dan negara pula, mereka yang berfikiran kritikal saja yang nampak hubungkait antara faktor kepemimpinan negara dengan kemajuan yang dapat direalisasi oleh rakyat jelata. Jika kepemimpinan negara itu baik, jujur, cekap dan berkesan, maka bertuahlah rakyat jelata.
Sebaliknya jika kepimpinan negara terdiri dari orang biasa-biasa saja maka tak ada apalah pencapaian negara yang akan dapat dibanggakan. Lebih-lebih lagi jika individu-individu yang diberi mandat memerintah negara terdiri dari mereka yang memiliki sifat-sifat mazmumah (keji). Contohnya, tidak jujur, bodoh, tidak amanah, memakan rasuah dan seumpamanya.
Biarlah Acik ulangi semula kenyataan Acik di atas. Pada persepsi peribadi Acik, nahas MH730 itu adalah manifestasi kegagalan pihak yang diamanahkan memerintah negara iaitu BN. Akibat terlalu banyak kegagalan yang berlaku di pelbagai aspek, maka salah satu akibatnya adalah nahas tersebut. Acik ada hujah sendiri hingga menyebabkan persepsi Acik menjadi begitu rupa.
Antaranya ialah, kegagalan memastikan aspek imigresen diurustadbir dengan cekap lagi berkesan. Jika ianya diuruskan dengan baik, agak mustahil ada penumpang berjaya menipu dan meboloskan diri menaiki pesawat berkenaan dengan menggunakan passport orang lain. Kegagalan mengesan penipu tersebut sangat besar implikasinya dari aspek keselamatan.
Pemilik asal passport (yang dilaporkan hilang itu) tentulah orang baik dari sudut undang-undang. Sedangkan orang yang menggunakan passport tersebut tentulah seorang yang kontrovesi atau tidak baik dari sudut undang-undang. Beliau mungkin terrorist tegar.
Adalah agak mustahil bagi seorang terrorist untuk layak memiliki passport sendiri. Jadi tidak mustahil kedua-kedua mereka yang menaiki pesawat MH370 (dengan menggunakan passport orang lain itu) adalah terrorist.
Akibat kelemahan dari aspek keselamatan juga, membuat mereka juga berjaya bolos menaiki pesawat itu bersama-sama dengan bahan letupan. Bila pesawat dah berada di udara, macam-macamlah kemungkinan boleh berlaku. Kita hanya mampu membuat spekulasi saja. Hanya Allah jua yang mengetahui segala-galanya.
Acik percaya rakyat masih belum lupa tentang kes Altantuya dulu. Bagaimana beliau dapat bolos masuk ke dalam Malaysia sedangkan tiada dalam rekod imigresen bahawa beliau ada memasuki negara ini. Itu satu kelemahan yang sudahpun dikenalpasti sejak beberapa tahun dahulu.
Jika kelemahan seumpama itu masih wujud hingga berlakunya nahas MH370, bukankah ini satu manifestasi kegagalan BN memerintah negara. Akibat kegagalan BN maka jabatan-jabatan kerajaan turut gagal melaksanakan tugas masing-masing dengan cekap dan berkesan.
Kegagalan Jabatan Imigresen adalah lambang kegagalan menteri yang diamanah menjaga jabatan berkenaan. Jika kita melihat gaya hidup kakitangan imigresen (bukan semua) ramai dari kita mungkin tidak percaya bahawa mereka seorang penjawat awam. Kita mungkin anggap mereka pengurus kanan syarikat-syarikat besar. Itu sebab mereka mampu memakai kereta mewah, tinggal di rumah-rumah yang mahal dan berbelanja macam orang baru kena loteri.
Ya, teringat pula Acik. Apa dah jadi dengan bekas Ketua Pengarah Imigresen yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dahulu ?
Akibat kegagalan Jabatan Imigresen maka kita lihat pendatang-pendatang asing bersepah di seluruh negara. Mungkin ramai yang masuk dengan cara legal. Tetapi bagaimana pula dengan yang lain ?
Baru-baru ini kita dengar berita dari Cameron Highlands tentang angkara pendatang asing dari Burma. Orang Asli yang menjadi warga negara Malaysia sejak lahir lagi pun berani mereka belasah sehingga hampir mati. Polis yang menerima laporan bukan nak membela tetapi hanya menyuruh supaya kes itu di”settle” sacara bodoh.
Apa, tak kecewakah kita anak Malaysia tulen jika sama-sama anak bumi kita yang lain dilayan oleh pendatang asing sebegitu rupa. Apakah bapa-bapa Menteri kita tidak rasa itu satu kegagalan BN dalam mentadbir negara ? Apakah kita rakyat Malaysia tidak menganggap mereka gagal menjamin keselamatan untuk kita di bumi sendiri.
Bagi Acik, memanglah nahas MH370 merupakan satu trajedi besar yang menyayatkan hati semua rakyat yang berperikemanusiaan. Namun jika angka kematian akibat nahas tersebut dibandingkan dengan angka kematian di jalan raya setiap tahun, mungkin angka tersebut tidak dianggap besar lagi.
Akan tetapi, apakah usaha konkrit yang BN (sebagai pemerintah) telah laksanakan demi mengurangkan kadar kematian rakyat jelata akibat kemalangan jalan raya.
Kadang-kadang punca kemalangan maut di jalanraya hanya sebuah lubang di tengah-tengah laluan motosikal. Lubang-lubang dibiarkan begitu tanpa ditampal sehingga sekian lama. Selepas berlaku beberapa kemalangan maut maka baru datang kontrektor membaiki jalan tersebut.
Semasa melaksanakan projek pembinaan jalan atau lebuh raya di hadapan UiTM Seri Iskandar (Perak) dahulu, Acik lihat aspek keselamtan diabaikan. Akibatnya berlaku kemalangan demi kemalangan sehinggalah projek tersebut siap sepenuhnya. Yang sedihnya ialah mangsa-mangsa maut kebanyakannya ialah penunggang motorsikal.
Oleh sebab mereka merupakan rakyat yang rata-rata susah dan tidak ada suara maka hanya takdir saja yang menentukan nasib mereka. Adakah kita anggap mereka ini tidak semalang mangsa nahas MH370 kerana mereka tidak membayar apa-apa untuk menunggang di atas laluan motorsikal ? Sedangkan mangsa nahas pesawat MH370 itu telah membayar tambang yang mahal.
Kemalangan maut yang melibatkan penunggang motorsikal bukan saja berlaku di kawasan-kawasan kampung, malah di Bandar-bandar besar sepeti di Lembah Kelang. Setiap tahun entah berapa orang penuntut universiti di Malaysia yang maut kerana kemalangan jalan raya. Ini mungkin dapat dikurangkan jika sistem pengangkutan awam wujud dan beroperasi dengan cekap. Penuntut-penuntut tak perlu menunggang motosikal lagi ke kampus.
Tanpa satu sistem pengangkutan awam yang cekap lagi boleh dipercayai, maka ramailah penuntut-penuntut universiti yang rasa perlu menaiki motorsikal ke kampus. Seorang anak Acik pun pernah terperangkap dalam situasi yang sama. Namun, baru kali kedua menunggang motorsikal ke kampus UiTM Shah Alam, beliau dah bertemu dengan kemalangan.
Mujur motor saja agak teruk tapi beliau selamat. Sejak dari tu beliau jadi serik, tak nak menunggang motorsikal lagi ke kampus. Begitu juga dengan abangnya (Ahmad). Beliau juga serik menunggang motorsikal selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta milik seorang YB.
Itu baru cerita tentang isu-isu keselamatan yang relevan dengan kenderaan. Belum lagi sentuh dengan isu-isu jenayah. Jika nak diteruskan dengan isu jenayah pula, nanti tak larat pula anda membacanya. Jadi Acik sarankan, baca saja Harian Metro jika nak dapat maklumat tentang jenayah setiap hari.
Dengan mengambilkira segala kelemahan yang dapat kita lihat dan baca dalam semua aspek kehidupan harian kita, maka Acik tidak teragak-agak nak menyatakan bahawa BN terbukti tidak layak untuk terus memerintah. Oleh itu biarlah nahas MH370 diumpamakan seperti “retak menanti belah” atau kata Mad Saleh, “the last straw that breaks the camel’s back” untuk kita rakyat Malaysia menukar kerajaan.
Ayuh biar kita mulakan perubahan ketara melalui PRK Kajang ini.
Wallahualam.
d a u l a t r a k y a t !
Lain-lain PenCERAHan yang relevan:
Flight MH370 – The Monggolian Theory https://4uni2c.com/2014/03/13/flight-mh370-mystery-teori-monggolia/
DSAI Pejuang Rakyat Sebenar https://4uni2c.com/2014/02/11/prk-kajang-003-dsai-pejuang-rakyat-sebenar/
** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK : http://www.4uni2c.com