4uni2c # 14902 – Acik Bukan Komunis

*** Untuk menCARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.

(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)

Acik Bukan Komunis

Pada 2014 Ogos 28 yang lepas, Acik (Ayah/Abang+cik) ke Kota Bharu. Kebetulan diadakan sebuah forum bertajuk “Merdeka ! dari siapa pada siapa ?” di sebuah kopitiam, berhampiran dengan Tesco, di Bandar Raya Islam itu. Hadzirinnya hanyalah mereka yang menerima jemputan.

Acik dan Isteri sebenarnya tidak dijemput. Cuma dimaklumkan oleh saudara Anas tentang forum tersebut. Bukan oleh Anas sahabat istimewa YB Lembah Pantai yang mengalahkan rakan sekolah Acik dalam PRU13 dahulu tu, tapi oleh Anas yang lain. Anas ini mendesak agar Acik bersama isteri menghadiri forum yang diterajui saudara Aduka Teruna itu, “by hook or by crook”.

Oleh sebab poster yang di”whatsapp”kan Anas kepada Acik itu agak menarik maka Acik pun tak sanggup melepaskan peluang untuk turut sama menghadiri forum tersebut. Semasa kami sampai ke tapak forum itu, Komrad Rahmah (atau Susila) sedang bercakap. Banyak juga maklumat sejarah perjuangan beliau yang dapat dikongsi bersama. Acik kagum dengannya.

Terasa juga malu di hati kecil Acik bila membandingkan diri Acik dengan Komrad Susila. Walaupun beliau seorang wanita, namun beliau lebih berani daripada Acik berjuang menentang penjajah. Kedua rasa malu kerana telah tertipu oleh propaganda penjajah sejak sekian lama. Selama ini Acik ingat komunis dimusuhi kerana mereka itu penjahat. Rupa-rupanya tidak sebagaimana yang digambarkan.

Sebaliknya komunislah yang benar-benar berkorban untuk membebaskan tanah air kita dari belenggu penjajah. Malangnya pengorbanan mereka bukan sahaja tidak dihargai, malah dituduh pula mereka menderhaka kepada negara dan bangsa. Kata perpatah, “sudah jatuh ditimpa tangga”

Mereka lebih kurang senasib dengan Hang Jebat dalam sejarah Melayu klasik. Walaupun Hang Jebat berjuang demi membebaskan negeri Melaka dari belenggu kezaliman Sultan Melaka, namun beliau telah dianggap penderhaka.

PenCEERAHan : https://4uni2c.com/2012/11/29/strategi-tpm-tun-perak-melaka/

Penerangan oleh ahli panel kedua iaitu Dr. Jayakumar, (YB Sungai Siput) juga tidak kurang informatif dan menarik. Berdasarkan maklumat dari beliau, apa yang dapat Acik rumuskan ialah Komunis Malaya telah berfungsi sebagai pemangkin (catalyst) kepada kemerdekaan. Jika bukan kerana perjuangan Komunis, British belum berminat untuk memberi kemerdekaan “percuma” kepada Malaya ketika itu.

Sebenarnya British bimbang akan kehilangan kuasa pentadbiran ke atas negara kita ketika itu. Jika mereka enggan memberi kemerdekaan kepada Malaya dengan kadar segera, nescaya rakyat Malaya pasti akan memerdekakan negaranya dengan cara paksaan. Inilah yang telah dilakukan di beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam. Bila negara merdeka dengan cara rampasan kuasa dari penjajah, maka penjajah akan hilang segala-galanya.

Kebijaksanaan British bolehlah dipuji. Semangat mahukan kemerdekaan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaya ketika itu amat bahaya kepada British. Jika British berdegil, masih mengekalkan juga kuasa ke atas Malaya, mahu tidak mahu mereka terpaksa menanggung risko (kehilangan kuasa) yang semakin kritikal. Akhirnya mereka akan kehilangan langsung segala asset mereka ke tangan rakyat Malaya.

Kata peribahasa Melayu, “biar senget asalkan jangan tumpah”. Itulah strategi yang digunapakai British. Dengan memberi kemerdekaan “percuma” kepada Malaya, mereka akan menanggung kerugian. Namum jika nak dibandingkan dengan kerugian yang akan dialami seandainya rakyat Malaya berjaya merampas kuasa, maka kerugian tersebut adalah terlalu kecil sifatnya.

Dengan kebijaksanaannya, British telah mengenalpasti individu-individu tertentu di Malaya yang mampu menjayakan agenda negara the Great Britain . Kepada kumpulan individu-individu itulah diserahkan kemerdekaan “percuma” dengan pelbagai syarat. Kebanyakan syarat-syarat tersebut adalah jauh lebih menguntungkan kerajaan British daripada rakyat Malaya.

Menghadiri forum tersebut tidak bermakna Acik confirmed seorang ahli PKM yang digelar komunis. Jangan salah sangka ya. Acik sebenarnya ingin mencari kebenaran dengan cara sendiri. Dan antara sumber-sumber maklumat Acik ialah forum-forum seumpama itu. Sekurang-kurangnya selepas forum tersebut dapat juga Acik sedikit kesedaran bahawa sejarah perjuangan kemerdekaan yang Acik belajar di sekolah dahulu bukanlah hakikat sebenarnya. Ia lebih merupakan propaganda British.

Di era IT sekarang ini, bagi Acik perjuangan mencapai kemerdekaan tidak lagi begitu penting kerana ia telah menjadi sejarah. Namun Acik tak kata sejarah itu tak penting langsung. Sejarah memang penting tetapi sekadar dijadikan iktibar. Yang lebih penting ialah menggunakan iktibar yang dihasilkan oleh sejarah tersebut untuk merancang dan menempah kemajuan yang lebih besar untuk sekarang dan masa-masa hadapan.

Yang kekal penting dulu, kini dan selama-lamanya ialah sesuatu prinsip hidup. Prinsip hidup yang paling penting bagi Acik ialah keadilan. Keadilan tidak mestinya kesamarataan. Yang dimaksudkan dengan keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak. Yang menjadi teras kepada keadilan pula ialah kejujuran.

Andaikata seseorang itu berhak mendapat sesuatu penghargaan tetapi dinafikannya, maka itu “tidak adil” namanya. Lawan kepada adil ialah zalim. Jika hakikatnya PKM memang penyumbang kepada kemerdekaan negara, tetapi mereka dimusuhi maka itu zalim namanya. Apabila mereka ditohmah pula dengan berbagai-bagai tuduhan negatif yang tak benar, maka itu fitnah namanya.

Antara fitnah yang Acik pernah dengar terhadap komunis ialah, mereka (komunis) menyamakan ugama itu dengan candu. Tetapi semasa belajar sedikit tentang prinsip komunisma ketika dibangku universti dahulu tak pula terjumpa oleh Acik tentang tanggapan tersebut. Sebaliknya yang dapat Acik fahami dahulu ialah komunisma itu adalah suatu ideologi.

Lazimnya semua orang pernah dengar tentang tiga ideologi penting. Pertama ialah kapitalisma, kedua sosialisma dan ketiga komunisma. Bagi Acik, ideologi itu bukan ugama. Kedudukan agama adalah lebih tinggi dari ideologi. PenCERAHan : https://4uni2c.com/2013/12/22/kebetulan-13z22-tiga-khong-yang-acik-kenal/

Setiap ideologi mempunyai pelbagai aspek-aspek yang mencirikan ideology tersebut. Ada aspek-aspek yang sejajar dengan prinsip agama. Tidak dinafikan juga bahawa ada pula yang bercanggah dengan prinsip agama.

Dalam kapitalisma, umat manusia diberi kebebasan untuk mengumpulkan harta sebanyak mana yang dia mahu dan mampu. Asalkan individu berkenaan membayar cukai kepada kerajaan, maka dia dianggap telah membuat kebajikan.

Bagi orang yang menguasai sumber-sumber pengeluaran, sistem kampitalisma sangatlah menguntungkan. Dengan sistem tersebut dia bebas mengaut sebanyak mana kekayaan tanpa mempedulikan nasib pihak yang bersaing denganya dalam bidang yang sama. Natijah dari sistem ekonomi yang berideologikan kapitalisma, yang kaya akan bertambah kaya. Sebaliknya yang miskin menjadi papa kedana.

Ada sebuah hadith yang bermaksud, “kemiskinan itu mendekatkan kepada kekufuran”. Realiti telah membuktikan kebenaran maksud hadith tersebut. Apabila seseorang Muslim itu hidup dalam keadaan papa kedana, dia tidak akan mampu melaksanakan segala tuntutan agama yang wajib. Misalnya jika bekalan air buat dia dan keluarganya sangat terhad akibat kemiskinan, besar kemungkinan dia sekeluarga akan mengabaikan solat fardu 5 kali sehari. Apabila dijanjikan hidup yang lebih selesa oleh pihak lain yang beragama bukan Islam, dengan mudah dia akan terpengaruh lalu meninggalkan Islam, na-uzubillah !

Selingan 1

Setiap tahun kira-kira 2 juta meninggalkan Islam di Indonesia yang majoriti rakyatnya miskin

Andaikata sistem ekonomi berideologikan kapistalisma telah mengakibatkan semakin ramai umat manusia menjadi bertambah miskin, maka bagi Acik sistem tersebut adalah gagal mencapai aspirasi Islam. Malah ia bercanggah dengan prinsip Islam yang menuntut umat Islam menjauhi kekufuran. Ini kerana aspirasi menjauhkan umat dari kekufuran hanya mampu dicapai dengan menghasilkan kehidupan yang serba cukup.

Ibadat haji diwajibkan Islam bagi mencapai aspirasi-aspirasi tertentu demi kebaikan umat Islam sendiri. Umat Islam yang akan menunaikan haji dan umrah disyariatkan wajib memakai kain yang tidak berjahit semasa mengerjakan tawaf, iaitu kain ihram. Aspirasi yang ingin dicapai ialah bagi merapatkan jurang perbezaan status antara sesama Muslim. Ia juga akan menyedarkan setiap Muslim bahawa apabila meninggal dunia nanti, kain putih sedemikian itulah saja harta yang akan dibawa bersama-samanya ke dalam kubur.

Jika dibandingkan sepasang kain ihram yang paling murah dengan yang paling mahal di pasaran semasa, kita mungkin dapati perbezaan harga yang agak ketara. Katakanlah kain ihram yang dipakai oleh seorang jumaah haji biasa berharga RM40 sepasang, manakala yang dipakai seorang jutawan harganya RM400 sepasang. Maka dari segi harganya, kain yang dipakai oleh si jutawan itu adalah 10 kali ganda lebih mahal dari harga kain ihram yang dipakai oleh orang biasa.

Walaupun tiada nas yang melarang pemakaian kain ihram yang begitu mahal, namun ia agak kurang serasi dengan aspirasi yang ingin dicapai oleh Islam. Seelok-eloknya biarlah jurang perbezaan tersebut dikurangkan sebaik mungkin. Contohnya, biarlah harga kain ihram yang paling mahal hanya sekadar dua atau tiga kali ganda saja dengan harga kain ihram yang paling murah.

Sekiranya bagi kebanyakan kita perbazaan 10kali ganda itu pun sudah dianggap keterlaluan, bagaimana pula dengan perbezaan yang jauh lebih besar. Contohnya seorang jumaah haji biasa menginap di bilik hotel yang sewanya RM100 semalam. Dalam masa yang sama seorang Muslim lain menginap di bilik hotel yang sewanya ialah USD5,000 semalam. Pebezaannya bukan lagi 10 kali ganda malah lebih dari 150 kali ganda.

Jurang perbezaan tersebut adalah natijah dari sistem kapitalisma yang digunapakai bagi menjana ekonomi umat. Sudah tentu natijah tersebut tidak selari dengan aspirasi Islam. Yang disuruh kejar oleh Islam ialah ketakwaan bukan kebendaan. Islam ingin menyaksi umat Islam keseluruhannya hidup lebih kurang sama rata saja dalam aspek kebendaan. Yakni tidak wujud jurang yang begitu lebar antara yang paling kaya dengan yang paling miskin.

Malangnya kita mungkin tidak pernah terpikir mengenai aspirasi Islam berbanding dengan natijah yang kita hasilkan dalam sistem ekonomi kapitalisma. Oleh sebab kita telah terendam dalam sistem kapitalisma sejak sekian lama, maka kita telah menjadi begitu serasi dengannya. Akibatnya kita tidak sedar tentang keburukan yang dihasilkan oleh sistem tersebut.

Samalah dengan seorang penagih rokok yang telah tenggelam dengan ketahihan rokok sejak sekian lama. Si perokok berkenaan tidak akan merasai bahawa ketagihan merokok adalah buruk baginya dan bagi orang-orang di kelilingnya. Yang menyedari keburukan ketagihan merokok ialah mereka yang berada di luar alam ketagihan tersebut.

Demikianlah hakikatnya umat yang sudah sekian lama terendam dalam sistem kapitalisma itu. Mereka ini tidak nampak apa-apa keburukan yang dihasilkan oleh sistem kapitalisma, terhadap negara maupun ke atas diri mereka sendiri. Yang dapat melihat keburukan tersebut ialah mereka yang tidak turut sama terendam dalam sistem kapitalisma itu. Dengan lain perkatan, mereka yang berada di luar sistem tersebut.

Acik tidak kata sistem ekonomi yang berideologikan sosialisma ataupun komunisma menjamin 100 peratus umat Islam akan lebih selamat dari kekufuran. Cuma Acik percaya bahawa ia mempunyai potensi yang lebih baik bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif bagi setiap rakyat untuk berjaya hidup dengan lebih selesa dan serba ada.

Apabila masing-masing dapat hidup dalam serba kecukupan, maka tidak ada sebab lagi mereka akan mengabaikan tuntutan agama masing-masing. Malah kelegaan dalam hidup memberi mereka lebih banyak masa untuk memikirkan tentang kehidupan masa akan datang yang bakal ditempuhi, iaitu alam akhirat. Ini berbeza dengan mereka yang hidupnya merempat. Masa bagi perempat ini terpaksa dihabiskan semata-mata bagi mencari jalan memenuhi keperluan hidup dari sehari ke sehari. Hidup tak lebih baik dari seekor ayam yang “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

Jika Acik bandingkan individu yang berideologikan kapitalis dengan yang bukan kapitalis Acik rasa bahawa yang bukan kapitalis lebih bersifat mesra kawan. Mereka tidak tamak, dan tidak berebut-rebut untuk mengumpul harta. Ini sejajar dengan prinsip Islam yang melarang umatnya dari bersifat tamak haloba.

Individu yang berideologikan bukan kapitalis juga nampaknya lebih sanggup berkorban masa dan harta bendanya untuk membantu individu lain. Ini juga satu sikap mahmudah yang digalakkan dalam Islam, iaitu suka berkorban dengan ikhlas bagi mengeluarkan orang lain dari kesusahan.

Cara hidup individu yang berideologikan bukan kapitalis juga lebih sederhana. Jika dia mempunyai kemampuan menggunakan kereta mewah sekalipun, dia hanya memilih kereta yang biasa-biasa saja. Ini sejajar dengan sifat zuhud yang dianjurkan Islam. Acik tertarik dengan peribahasa China yang bermaksud, “bagi orang kaya, dia pakai batu pun orang ingat berlian. Sebaliknya bagi orang miskin, dia pakai berlian pun orang ingat batu”

Acik tak kata pun mengejar “Vellfire” itu haram di sisi Islam. Yang Acik kata haram ialah mengejar “hellfire”. Cuma yang Acik nak nasihati ialah, bagi pemimpin Islam adalah lebih aula mempraktikkan sifat zuhud dari mempamirkan kemewahan hidup. Sekalipun kemewahan tersebut diperolehi dengan cara yang halal 100 peratus, tanpa sebarang keraguan yang munasabah. Jika orang lain kata cara itu adalah sama dengan “kufur nikmat”, sebenarnya mereka yang kata begitu belum faham tentang konsep kufur nikmat itu.

Melihat begitu ramainya umat Islam mengerjakan haji dan umrah setiap tahun, Acik macam tak percaya bahawa di atas muka bumi ini masih ramai umat Islam yang sedang merempat. Namun entah berapa peratuskah yang benar-benar berkorban masa dan wang untuk ke Makkah itu semata-mata kerana Allah. Alangkah baiknya jika sumber-sumber yang dikorbankan itu digunakan untuk menyelamatkan umat Islam lain dari kekufuran.

Kawan-kawan Acik ramai yang terlibat dengan dakwah Tablig secara aktif. Ramai juga darinya yang mempunyai kedudukan yang agak tinggi dalam kerajaan dan masyarakat. Dan ada pula yang dah OP (Orang Pencen) macam diri Acik nilah. Namun cara hidup mereka sangat simple.

Bagi Acik, itulah ciri-ciri hidup yang wajar dipraktikkan oleh setiap umat Islam jika lebih mementingkah akhirat. Apa ruginya mengelakkan diri dari bermewah-mewahan ? Bukankah penjimatannya boleh diinfakkan kepada kerja-kerja kebajikan yang lebih menguntungkan umat ? Acik yakin dan percaya bahawa mereka yang hidup simple itu bukanlah komunis, walaupun hidup mereka serupa macam komunis. Acik pun suka berkongsi cara hidup mereka. Namun, Acik bukan komunis !

Wallahualam

Lain-lain PenCERAHan yang relevan :

Hudud – Manifestasi atau penyebab …….. ? https://4uni2cdotcom1.wordpress.com/2014/05/27/hudud-001-manifestati-atau-penyebab-kejayaan-sesebuah-negara-umat-islam/?preview=true&preview_id=1561&preview_nonce=9eb5873e1d

** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK : http://www.4uni2c.com

@OP ajar #14902

~ by OPajar on 2014-09-02.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: