Ali’s SAGA # 04 Rakan Ketika Dianiaya, Itulah Rakan Yang Setia (a friend in need is the friend indeed)
*** Untuk men CARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)
Rakan Ketika Dianiaya
Itulah Rakan Yang Setia
Ketika DSAI dipecat dari jawatan TPM dalam tahun 1998 dahulu, yang menjadi pembela utama beliau ialah seorang musuh politik BN. Tak lain dan tak bukan individu berkenaan ialah Ustaz Fadzil Mohd Nor iaitu Presiden PAS ketika itu. Selain sebagai Presiden PAS arwah Ustaz Fadzil juga pernah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia.
Tindakan Ustaz Fadzil itu adalah manifestasi beliau seorang yang ikhlas (bukan E-Class) memperjuangkan keadilan sejagat. Walaupun yang menjadi mangsa penganiayaan itu adalah seteru politiknya, namun demi keadilan, beliau tetap memberi pembelaan. Pemimpin seperti arwah Ustaz Fadzil itu mungkin tidak akan dapat ditemui lagi dalam PAS.
Pemimpin-pemimpin sekarang tidak mampu mengikuti sifat mulia arwah Ustaz Fadzil itu. Jangan kata nak membela seteru yang dianiaya, sabahat yang dianiayai pun belum tentu akan dibelanya. Ada yang bersikap seperti “kura-kura dalam perahu” saja terhadap apa yang sedang menimpa rakannya.
Malah ada pula yang langsung buat-buat tak pernah kenal pun rakan yang kena aniaya itu. Agaknya takut sangat akan dituduh bersekongkol dengan orang jahat. Malah takut dituduh merestui kesalahan yang dilakukan rakan berkenaan. Padahal rakan tersebut belum lagi disabitkan dengan apa-apa kesalahan. Mungkin juga dia memang dianiayai oleh pihak yang memusuhinya, oleh itu dia berhak menagih pembelaan.
Acik percaya bahawa tidak semua pemimpin PAS ketika itu bersetuju dengan tindakan Ustaz Fadzil membela DSAI. Acik juga percaya bahawa tindakan beliau itu bukanlah demi untuk kepentingan politik parti yang dipimpinnya. Namun begitu, realitinya ialah PAS mulai menempah kejayaan dalam perjuangannya sejak dari itu.
Bagi Acik, arwah Ustaz Fadzil telah berjaya meyakinkan Acik bahawa seteru politik tidaklah sama dengan musuh peribadi. Atas prinsip ini, perbezaan fahaman politik tidak wajar dijadikan hujah bagi membuat seorang kawan menjadi lawan. Sebaliknya seteru politik adalah ibarat pesaing yang jujur dalam suatu bidang perniagaan. Mereka membuat rakan saing masing-masing bertambah mahir dalam bidang tersebut. Natijahnya, semua pihak akan dapat meraih keuntungan.
Membentuk persahabatan seorang individu dengan individu lain adalah sesuatu yang dianjur oleh Islam. Begitu juga memelihara persahabatan yang telah dibina. Itulah yang telah dipraktikkan oleh Ustaz Fadzil kepada kawan dan lawan dalam arena politik semasa hayatnya.
Pembelaan Presiden PAS sekarang ke atas TSKI dalam isu MB Selangor baru-baru ini tidaklah boleh nak disamakan dengan tindakan Ustaz Fadzil keatas DSAI. Ia ibarat, “jauh panggang dari api”. Tindakan Presiden PAS itu adalah atas kepentingan tertentu yang tak ramai ahli tahu ataupun percaya. Namun Acik rasa tak adillah pula untuk mendedahkan apa-apa di sini.
Semua kita tahu bahawa tidak adil bermakna tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak. Melabelkan mana-mana individu dengan label yang negatif sebelum mengemukakan bukti-bukti sahih (yang melampaui keraguan yang munasabah) sudah dikira sebagai tidak adil. Apa lagi menjatuhkan hukuman kejam yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Sebagai satu contoh ialah menghukum anak yang menoreh hingga calar Vellfire abahnya dengan cara menoreh tangan anak tersebut sebagaimana tangannya itu menoreh lambang kemegahan abahnya itu.
Di zaman Acik budak-budak dahulu, ada sebuah keluarga mamak (India Muslim) tinggal berjiran dengan rumah Acik. Dalam keluarga tersebut ada seorang anak lelaki yang agak nakal. Sering kali Acik ternampak anak tersebut dirembat oleh bapanya.
Pada suatu hari si bapa telah mengikat kedua-dua belah tangan anaknya itu ke ranting sepohon pokok mempelam di sebelah rumahnya. Ayahanda Acik memerhati dari jauh tindak tanduk si bapa tersebut. Sebaik saja si bapa tersebut mula menyebati anaknya itu ayahanda Acik pun mendekati mereka berdua. Acik pun turut sama bagi menemani beliau.
Terkejut juga Acik melihat ayahanda Acik beraksi garang. Beliau bertanya, “kamu ingat budak itu lembukah ?”. Si bapa tidak terkata apa-apa. Beliau pun membebas anaknya itu dari ikatan lalu membawa anak itu ke dalam rumah. Selepas dari peristiwa itu kami tak nampak lagi anak tersebut seperti biasa. Rupa-rupanya si bapa itu telah menghantar anaknya itu ke Sekolah Selian yang tidak berapa jauh dari kampung Acik itu.
Sebenarnya ayahanda Acik bukanlah semulajadinya seorang yang garang. Kami anak-anak beliau tak ingat langsung pernah dirotani beliau. Ironinya kesemua (kecuali seorang saja) 10 orang anak-anak beliau memiliki pendidikan di tahap diploma, Malah 5 darinya memiliki ijazah sarjana muda. Ketika itu tidak ramai yang berjaya memasuki univesiti seperti sekarang ini. Namun demi kepentingan membela anak yang dizalimi, sikap ayahanda Acik yang “gentle” (lembut) itu boleh berubah sehingga 180 darjah
Peristiwa itu memberi sekurang-kurangnya dua pengajaran penting kepada Acik sebagai iktibar. Pertama, melaksanakan keadilan bukanlah terhad kepada ahli keluarga sendiri sahaja. Keadilan adalah untuk semua, tidak kira bangsa dan agama. Ayahanda Acik itu telah menunjukkan kepada Acik satu contoh tindakan yang baik serasi dengan prinsip keadilan sejagat.
Kedua, walaupun tidak salah jika seorang bapa menghukum anak sendiri demi mendidik anak tersebut, namun janganlah secara keterlaluan hingga melampaui tahap kewajaran yang munasabah. Anak-anak mempunyai hak dari ibu bapa masing. PenCERAHan : https://4uni2c.com/2013/11/26/seni-13y27-ibu-ayah-dan-guru-2/
Acik percaya semua rakyat bersetuju bahwa setiap kesalahan perlu ada hukumannya. Ini perlu demi mendatangkan keinsafan kepada yang melakukan kesalahan dan agar tidak mengulanginya lagi. Pada masa yang sama akan menjadi sempadan kepada orang lain supaya tidak timbul keinginan melakukan kesalahan yang sama.
Walaupun kebanyakan rakyat peka terhadap keperluan sesuatu hukuman, malangnya tidak ramai yang peduli tentang bentuk dan had hukuman yang diperuntukkan dalam undang-undang ke atas sesuatu kesalahan. Sedangkan hukuman tersebut mungkin agak kejam dan tidak setimpal dengan kesalahan berkenaan.
Dalam konteks Ali Abd Jalil yang sedang ditahan Polis sejak belasan hari yang lepas atas beberapa tuduhan tertentu, Acik boleh bersetuju bahawa beliau wajar dihukum jika disabitkan dengan kesalahan nanti. Cuma yang Acik tidak boleh terima sama sekali ialah tentang layanan yang diterima oleh Ali.
Adakah layanan sedemikian itu wajar terhadap seseorang yang statusnya baru sebagai seorang OKT (Orang Kena Tuduh) saja. Sedangkan beliau belum lagi dibicarakan dan disabitkan dengan apa-apa kesalahan. Mungkin selepas selesai proses perbicaran nanti beliau didapati tidak bersalah. Adakah adil jika hukuman dilaksanakan secara “in advance” ? PenCERAHan : https://4uni2c.com/2013/10/17/ahmads-saga-026-terhukum-sebelum-disabitkan-kesalahan/
Apa lagi istilah yang lebih sesuai digunakan selain dari kejam, zalim dan aniaya bagi menggambarkan layanan terhadap OKT jika begitulah caranya OKT diperlakukan.
Dalam memperjuangkan keadilan, Acik sangat kagum dengan semagat yang dizahirkan oleh beberapa individu. Mereka ini sedang menolong Acik sekeluarga dalam menangani kes Ali sekarang. Kesungguhan menolong keluarga Acik yang ditunjuki mereka itu menggàmbarkan kemulian hati masing-masing.
Sesungguhnya sifat mahmudah yang diajar dalam ilmu tasauf adalah bersifat sejagat (universal). Amat salah jika seorang Islam menganggap sifat-sifat tersebut hanya diketahui dan dipraktikkan oleh umat Islam saja. Contohnya sifat jujur dan ikhlas.
Sifat jujur perlu diamal oleh setiap individu yang hidup bermasyarakat. Lebih bertamaddun seseorang itu maka akan lebih tinggi tahap kejujurannya. Malangnya, di Malaysia ini kejujuran menjadi satu krisis pula. PenCERAHan : https://4uni2c.com/2014/09/15/4uni2c-14915-krisis-kejujuran-dan-implikasinya/
Di Jepun misalnya. Rakyatnya rata-rata jujur. Mereka yang pernah melawat negara Jepun tentu setuju dengan kenyataan Acik ini. Bagi Acik kejujuran adalah faktor utama yang menyebabkan negara boleh mencapai kemajuan yang tinggi.
Adakah Malaysia menghargai kejujuran ?
Bagi Acik, “jauh panggang dari apa”. Lain yang dicakap lain pula yang dibuatnya. Sepatutnya apa yang dicakap itu merupakan satu pernyataan yang benar. Kalau tidak, maka ia dianggap satu pembohongan. Dalam Islam janji yang dilafaz dengan mulut pun sudah dikira sah. Bagi orang yang melafazkannya itu, melaksanakan apa yang telah dilafazkannya itu adalah wajib.
Peribahasa Melayu berkata, “lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”. Tujuan peribahasa ini ialah untuk mengingatkan setiap kita supaya bersikap jujur. Namun adakah majoriti rakyat Malaysia menjadikan peribahasa ini pedoman hidupnya ? Jauh panggang dari api !
Sebaliknya apa yang menjadi amalan dalam kehidupan rakyat Malaysia ialah, “siakap senohong, gelama ikan duri ; cakap bohong lama-lama jadi ………..”. Akibatnya, maka berlakulah insiden-insiden “harapkan pagar, pagar makan padi” hampir setiap ketika. Jika ini tak berlaku, maka tak perlulah Acik sekeluaga bimbang terhadap nasib Ali. Bukankah Polis itu umpama pagar bagi semua kita rakyat Malaysia dan Ali itu umpama padi ?
Syabas Acik ucapkan kepada geng-geng PSM yang sedang mencuba membetulkan keadaan yang korup ini dengan cara yang mereka mampu. Mudah-mudahan mereka berjaya mencapai aspirasi perjuangan iklas mereka itu. Semoga dengan kejayaan mereka nanti Malaysia akan menjadikan negara yang lebih aman lagi makmur.
Wallahualam.
d a u l a t r a k y a t !
Lain-lain PenCERAHan yang relevan :
Ali’s SAGA # Index : http://4uni2c.wordpress.com/2014/12/04/alis-saga-index/
Ali’s SAGA # 01 Ali adalah manifestasi jenarasinya https://4uni2c.com/2014/09/11/alis-saga-01-ali-adalah-manifestasi-jenerasinya/
*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: http://www.4uni2c.com
OPajar (# 14928)