Ahmad’s SAGA # 026 Terhukum Sebelum Disabitkan Kesalahan
*** Untuk menCARI lain-lain TAJUK sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
(Pengguna smartphone sila guna borang SEARCH)
Terhukum Sebelum Disabitkan Kesalahan.
2hb Oktober lepas merupakan hari terakhir bagi perbicaraan kes Ahmad, anak Acik (Ayah/Abang+cik) yang didakwa menghina DYMM Sultan Johor di laman sosial Facebook itu. Sessi pebicaraan kali ini tidak mengambil masa yang panjang. Dua orang saksi telah hazir memberi keterangan dari kandang saksi. Seorang ialah saksi yang tidak dapat hazir pada sessi perbicaraan yang lepas. Manakala seorang lagi ialah saudara Zakwan, seorang peguam. Saudara Zakwan asalnya dipanggil untuk menyerahkan sendiri dokumen yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam Malaysia (Malaysia Bar Council) bagi mengesahkan status diri beliau sebagai seorang peguam yang layak. Tiba-tiba beliau juga dikehendaki masuk ke dalam kandang saksi untuk menjawab beberapa soalan sebelum dilepaskan.
Seorang lagi saksi ialah seorang anggota Polis berpangkat Inspektor. Beliau merupakan saksi yang terakhir dipanggil memberi kesaksian bagi perbicaraan kes Ahmad itu. Selepas beliau memberi kesaksian maka perbicaraan akan ditamatkan dan Hakim akan membuat keputusan bagi perbicaraan tersebut.
Namun begitu, Pendakwa masih ingin melanjutkan lagi perbicaraan tersebut. Beliau telah cuba memohon supaya salah seorang dari saksi-saksi pihak pembelaan dipanggil semula ke mahkamah untuk disoal. Kononnya baru terjumpa suatu bukti lain yang relevan. Tujuan Pendakwa ialah untuk mempertikaikan kredibiliti saksi berkenaan dan seterusnya menyangkal segala kesaksian yang telah dikemukakan beliau (saksi) di dalam mahkamah tempoh hari. Mujur juga Tuan Hakim dengan menggunakan hak budibicara beliau telah menolak permohonan Pendakwa tersebut. Jika tidak, terpaksalah Acik dan ahli keluarga datang lagi ke Johor Bahru. Tak tahulah berapa banyak lagi masa, tenaga dan wang ringgit perlu dikorban pula, sehinggalah kes Ahmad benar-benar tutup buku.
Sebenarnya, apa yang telah Acik sekeluarga tanggung sudah cukup membebankan. Kami telah terpaksa mengorban tenaga, masa dan wang ringgit bagi mengikuti setiap sessi perbicaraan. Maklum sajalah, perbicaraan dijalankan di Johor Bahru sedangkan kami tinggal di Lembah Kelang. Kerana jarak yang agak jauh antara Johor Bahru dengan Lembah Kelang, kos yang terpaksa ditanggung tentulah tinggi. Setakat ini saja rasa-rasa kami telah bekorban tidak kurang dari RM30 ribu. Malah mungkin mencecah RM40 ribu jika diambil kira kos melepas. Kos melepas yang Acik maksudkan ialah kerugian yang ditanggung akibat terpaksa membatal atau menangguhkan akativiti-aktiviti ekonomi lain yang mendatangkan pendapatan. Misalnya , kerugian gaji yang terpaksa ditanggung Ahmad akibat tidak datang kerja kerana menghaziri perbicaraaan di Johor Bahru.
Bagi Acik suami isteri yang pencen kerajaan, angka puluhan ribu bukanlah suatu jumlah yang kecil. Dengan berterus terang Acik bilang, walaupun dah 10 tahun pencen, hingga kini Acik masih lagi menanggung hutang . Bukan kata hutang sekadar seribu dua saja, malah masih puluhan ribu. Bukan hutang beli rumah atau beli kereta, tetapi hutang peribadi. Rumah yang beli dengan pinjaman kerajaan pun telah terpaksa dijual. Dijual bukan bagi melangsaikan segala hutang, tetapi hanya sekadar mengurangkannya sahaja.
Pendek kata sejak masih kerja kerajaan hinggalah pencen, hidup sentiasa dalam berhutang. Mujur juga tidak sampai ke tahap terpaksa ambil rasuah dengan alasan “tak cukup”. Syukur juga kerana telah berjaya mengekalkan diri bersih dari gejala rasuah sepanjang 25 tahun berkhidmat dengan agensi kerajaan yang agak terdedah dengan pengaruh rasuah itu.
Jika segala yang telah dibelanjakan berkaitan dengan kes Ahmad itu digunakan untuk melangsaikan hutang Acik itu bukankah leganya Acik dan isteri yang pencen ni. Harap-harap akan sempat juga merasai nikmat bebas dari berhutang (walaupun sekejap) sebelum pulang mengadap Rabul Jalil nanti.
Seperti yang pernah Acik tulis sebelum ini, sesuatu yang berlaku itu adalah atas sebab kebaikannya, maka kes Ahmad juga tidak terkecuali. Jika tidak berlaku kes Ahmad, mungkin sampai mati pun Acik tak akan menjejak kaki ke mahkamah. Persepsi terhadap realiti hidup pun mungkin kurang tepat. Persepsi terhadap sistem pengadilan pun mungkin terus bias. OKD (Orang Kena Dakwa) rata-rata dianggap sudah bersalah walaupun belum disabitkan dengan apa-apa kesalahan. Kes OKD menjadi mangsa penganiayaan mungkin Acik terus anggap sebagai kes-kes terpencil saja. Pendek kata Acik mungkin tidak peka dengan isu-isu keadilan dan penganiayaan walaupun hakikatnya kesejahteraan kita telah agak terancam oleh isu-isu ini.
Tetapi apabila anak kandung sendiri yang menjadi OKD, segala persepsi Acik tersebut mulalah mengalami perubahan. Walaupun mungkin tak sampai 180 darjah perubahan tersebut, namun yang dirasai adalah agak ketara. Rasa-rasanya banyak yang perlu dilakukan agar persepsi Acik terhadap sistem pengadilan pasca kes Ahmad dapat dijernihkan kembali ketahap pra kes Ahmad. Namun pada umur senja begini, dengan kuasa dan kudrat yang berbaki cuma sedikit ini, apa sangatlah yang Acik mampu buat. Kata orang tua-tua, ianya sekadar “niat di hati nak peluk gunung, apakah daya tangan tak sampai”
Cuma yang Acik rasa masih mampu buat ialah mencadangkan supaya elemen kejujuran diperkasakan. Biarlah elemen maha penting ini ditanam semantap-mantapnya dalam lubuk hati setiap rakyat Malaysia. Acik percaya, tanpa elemen kejujuran ini, segala yang dirancang tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tanpa elemen kejujuran ini, segala sistem yang dibangunkan tidak akan mampan malah mungkin akan runtuh sebelum kejayaan dapat dikecapi. Tanpa elemen kejujuran ini, jangan harap keadilan akan dapat ditegakkan dan kezaliman dihapuskan. Jika dianalogikan, kejujuran adalah umpama air yang diperlui oleh setiap makluk yang bernyawa untuk terus berfungsi. Jika air merupakan sumber bagi kesuburan tanam-tanaman, kejujuran pula adalah sumber bagi kemakmuran.
Kalau boleh, marilah kita adakan satu pertandingan merekacipta apa-apa alat atau kaedah yang mampu mengukur tahap kejujuran seseorang individu. Setiap anggota kerajaan mesti menjalani ujian kejujuran. Anggota yang gagal dalam ujian kejujuran tersebut mesti menjalani latihan atau pun prosess pembaikan tertentu hingga lulus ujian kejujuran berikutnya. Bagi anggota yang masih gagal, ia akan dipencenkan saja agar perkhidmatan Awam bebas dari unsur-unsur ketidak jujuran. Adalah lebih baik mempunyai organisasi yang bilangan anggotanya kecil tetapi semuanya jujur-jujur belaka, berbanding dengan organisasi yang ramai anggotanya tetapi yang tak jujur lebih bilangannya dari yang jujur.
Bebalik kepada kes Ahmad, hanya Allah saja yang Maha Mengetahui apa keputusan yang telah sedia terpahat di luh mahfuz. Hakim hanyalah sekadar membaca saja apa yang telah tertulis itu. Acik hamba yang daif ini, hanya menyerah kepada nasib yang sudahpun ditentukan Allah. Kata peribahasa kita, “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Jika untung sabut maka terlepaslah Ahmad dari hukuman yang disabitkan dengan kesalahan sepertimana didakwakan terhadap beliau. Jika sebaliknya, mau tak mau, suka tak suka, terpaksalah menerima apa-apa juga hukuman yang bakal dibacakan oleh Tuan Hakim yang arif pada 21hb Oktober nanti. Biarlah ianya disambut dan dihadapi dengan perisai sabar dan redha, insya Allah.
Sebenarnya, pengorbanan yang Ahmad, Acik dan ahli-ahli keluarga telah tanggung sehingga kini pun sudah boleh dianggap sebagai hukuman. Cuma tak rasmi saja. Hukuman tak rasmi tersebut saja pun sudah cukup membebankan. Ia merupakan hukuman “percuma” yang terpaksa di”nikmati” OKD sebelum disabitkan dengan kesalahan yang didakwakan ke atasnya. Bagi menjustifikasi bahawa apa yang telah dialami OKD boleh dianggap sebagai hukuman (tidak rasmi), marilah kita sama-sama analisis. Kita mulai dengan mengimbaskan kembali masa Ahmad mula ditahan hingga beliau selesai dibicarakan pada 2hb Oktober lepas.
Pada masa Ahmad mula ditahan Acik lihat beliau diperlakukan seolah-olah beliau adalah seorang penjanayah berat. Selepas Ahmad dibawa pergi oleh pasukan Polis yang datang dari Johor itu, Acik dan ahli keluarga merasai seolah-olah Ahmad diculik bukannya ditahan. Perasaan kami terbukti berasas apabila pada esoknya kami gagal menemui beliau di mana-mana balai Polis di dalam negeri Johor. Biasanya bila seseorang itu kena culik tiada siapa pun yang tahu kemana mangsa culikan itu disimpan. Begitulah juga dengan Ahmad, tidak siapa dari kami yang tahu di mana beliau disembunyikan.
Ketika berada dalam tahanan reman pula bermacam-macam cara dibuat oleh Polis terhadap Ahmad supaya beliau mengaku bersalah. Cuma tidak disiksa secara fisikal saja sepertimana yang kita pernah dengar diceritakan oleh waris mangsa-mangsa tahanan reman yang lain. Cara Ahmad dibawa ke mahkamah juga seolah-olah beliau seorang penjenayah tegar. Apabila tempoh tahanan reman pertama tidak dilanjutkan oleh tuan “Magistrate”, Ahmad diheret semula balik ke balai Polis. Sekali lagi Ahmad tidak dibenarkan bertemu dengan waris. Hak Ahmad untuk bertemu peguam juga dinafikan. Akhirnya Ahmad terpaksa mengalah lalu mengaku telah melakukan kesalahan seperti yang dituduh. Termakan juga rupanya Ahmad dengan “janji capati” anggota Polis yang “melayan” beliau semasa dalam tahanan reman kedua itu.
Berdasarkan pengakuan tersebutlah maka Ahmad berjaya didakwa melakukan kesalahan tersebut.
Acik rasa, cara kes Ahmad ditangani agak bercanggah dengan SOP yang diterimapakai Polis.
Jika kita baca dan fahami sebuah artikel yang ditulis oleh Timbalan KPN suatu ketika dahulu, tindakan terhadap Ahmad adalah agak melampau. Dengan lain perkataan, penangkapan terhadap Ahmad adalah tidak wajar kerana kesalahan yang cuba disabitkan itu bukan kesalahan yang melayakkan beliau ditangkap. Kesalahan tidak boleh ditangkap adalah kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara kurang dari tiga tahun atau boleh dihukum dengan denda saja. Tindakan Polis tersebut bolehlah dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa kerana telah tidak patuh kepada SOP Polis. PenCERAHan: 4uni2c #13310 Fahami Kaedah TAHAN Suspek https://4uni2c.com/2013/03/09/4uni2c-13310-fahami-kaedah-tahan-suspek/
Berdasarkan pengalaman yang telah dilalui Ahmad dan Acik sekeluarga seperti disebut di atas, maka memang benarlah kami rasa telah pun terhukum . Oleh kerana itu sekira yang menjadi realiti pada 21hb Oktober nanti ialah untung batu, maka bertambah beratlah lagi jadinya hukuman yang akan ditanggung. Kata peribahasa, “sudah jatuh ditimpa tangga”
Setelah mengalami dan mengikuti porsidur mahkamah mengenai kes Ahmad itu, dapatlah sikit sebanyak Acik membuat penilaian sendiri terhadap sistem pengadilan kita. Acik tak kata sistem itu zalim atau beniat zalim. Cuma Acik rasa ruang penambahbaikan bagi sistem tersebut masih terlalu luas untuk dimunafaatkan. Sistem pengadilan harus mengambil jalan yang terbaik agar OKD tidak “terhukum” sebelum beliau disabitkan dengan apa-apa kesalahan. Yang dimaksudkan “terhukum” ialah segala perkara negatif yang telah dihadapi oleh OKD dan waris-warisnya. Ia merupakan “hukuman tidak rasmi” terhadap OKT seperti disebut di atas.
Setelah mahkamah berjaya mensabitkan OKD dengan kesalahan yang didakwa terhadapnya, segala “hukuman tidak rasmi” yeng telah dialami pesalah itu sangat wajar diambil kira. Boleh jadi hukuman tidak rasmi tersebut sudah cukup berat buat pesalah. Malah mungkin juga hukuman rasmi yang anggap setimpal dengan kesalahan pesalah adalah lebih ringan dari hukuman tidak rasmi yang telah pun dijalani pesalah sehingga perbicaraan selesai.
Apa pun, dalam mana-mana mahkamah, Hakim adalah dianggap maksum. Apa yang diputuskan oleh Hakim adalah muktamat dan tak boleh dicabar ketika itu. Oleh sebab itu adalah sangat penting bagi Hakim untuk berhati-hati dan teliti ketika hendak menjatuhkan sesuatu hukuman terhadap pesalah. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan adalah suatu kezaliman. Sedangkan objektif bagi sistem pengadilan adalah menghapuskan kezaliman. Jadi tentulah objetifnya tidak mungkin dapat dicapai sekiranya kaedah yang digunakan melahirkan pula kezaliman yang baru. Malah mungkin juga kezaliman yang baru di”cipta” itu akan lebih mudharat dari kezaliman yang nak dihapuskan.
Fenomena “terhukum sebelum disabitkan dengan kesalahan” ini Acik rasa lebih terserlah sekarang apabila Menteri yang menjaga keamanan dalam negara sendiri meng”endorse” cara Polis menangani suspek, iaitu “tembak dulu, siasat kemudian”. Fenomena ini tentulah lebih teruk jika nak dibandingkan dengan terhukum semasa menjalani proses perbicaraan. Bayangkan jika seseorang yang baru disyaki bersalah itu terbunuh akibat terkena tembakan pihak Polis. Baru disyaki belum bererti benar-benar bersalah. Jika pada hakikatnya memang bersalah pun, adakah nyawa mangsa itu dikira setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya ? Contoh yang Acik percaya ramai kita masih ingat ialah kes adik Aminulrasyid. “Hukuman sebelum disabitkan kesalahan”, yang diterima oleh adik Aminulrasyid itu tentu tidak setimpal dengan kesalahan yang beliau lakukan. Lebih-lebih lagi beliau hanya seorang yang masih remaja. PenCERAHan: https://4uni2c.com/2012/12/13/ahmads-saga-014-adik-aminulrasyid-lebih-malang/
Polis patut berani bertindak dengan lebih professional menghadapi suspek. Polis wajar memunafaatkan segala teknologi yang telah sedia wujud di dunia ini. Peralatan Polis mestilah yang tercanggih. Kenderaan Polis juga biarlah yang lebih selamat. Tetapi janganlah pula menyalahgunakannya. Contohnya, menggunakan senjata yang canggih bagi menjamin suspek yang ditembak tidak akan terlepas dari maut, bukan demi mempertahankan diri. Andaikata sudah sedia wujud di pasaran, senjata canggih yang mampu melumpuhkan (seketika) suspek tanpa membawa maut, Polis wajar memilikinya dengan seberapa segera. Senjata canggih ini akan membolehkan suspek ditangkap tanpa mampu melawan. Kemudian suspek wajar didakwa di mahkamah.
Membunuh suspek bukan kaedah paling berkesan bagi menghapuskan penjenayah. Yang terhapus hanya yang berjaya dibunuh semasa dalam kepungan Polis . Sedangkan rakan kongsi mereka yang masih selamat pasti akan merancang membalas dendam atas kematian rakan mereka. Keselamatan Polis akan semakin terancam. Sebaliknya, jika Polis dapat mencungkil maklumat-maklumat penting dari suspek yang berjaya ditangkap hidup-hidup, berbagai tindakan susulan berkesan yang boleh dilakukan untuk menjejaki rakan-rakan kongsi suspek.
Acik agak kagum dengan kaedah baru yang digunakan bagi menghapuskan anai-anai. Anai-anai yang merayap tidak terus dibunuh. Sebaliknya anai-anai tersebut disembur dengan sejenis racun kimia yang kesannya ditangguh hingga anai-anai tersebut kembali ke dalam sarangnya. Racun kimia tersebut akhirnya bukan saja membunuh anai-anai tersebut malah semua rakan-rakannya yang di dalam sarang, yang turut terkesan oleh racun kimia tersebut. Kaedah yang serupa boleh ditauladani oleh Polis. Dengan menggunakan suspek yang berjaya ditangkap, mungkin kongsi gelap yang disertainya akan dapat dijejaki, dilumpuhkan, kemudian dihapuskan samasekali.
Kita wajar ingat bahawa ada suspek yang melakukan sesuatu jenayah itu bukanlah dengan rela hati. Sebaliknya mereka dipaksa oleh kongsi gelap yang mereka sertai. Mereka mungkin juga remaja yang dipaksa menyertai kongsi gelap tersebut tanpa diketahui oleh ibu bapa masing-masing. Kerana terlalu takut kepada ancaman kongsi gelap berkenaan, mahu tidak mahu mereka terpaksa mengalah lalu menyertai kongsi gelap tersebut. Ada juga yang menyertai kongsi gelap kerana tertipu. Mereka ini adalah golongan yang diistilahkan “mangsa keadaan” dalam environmen yang sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk penganiayaan ini. Mereka yang demikian nasibnya wajar disimpati dan diselamatkan, bukan dihukum secara melampau.
Acik bukannya cuba berlagak pandai untuk mengajar itik berenang. PDRM bukanlah institusi yang baru setahun jagung. Sebaliknya umurnya dah melampaui satu kurun. Oleh itu tak wajar Acik nak pertikaikan kemahiran PDRM dalam menangani segala bentuk jenayah. Yang Acik sebut di atas adalah sekadar teguran ringan, tanpa apa-apa unsur desakan, jauh sekali unsur-unsur paksaan. Akhir sekali ingin Acik ingatkan kembali akan suatu peristiwa bersejarah berdarah yang telah sangat menjejaskan imej PDRM lebih dua dekad yang lalu. Peristiwa tersebut ialah kes pembunuhan penduduk kampung Memali, di daerah Baling, Kedah oleh anggota PDRM.
Peristiwa tersebut adalah satu contoh paling ketara di mana suspek dihukum dengan sedemikian kejam sebelum disabitkan dengan apa-apa kesalahan. Mudah-mudahan peristiwa bersejarah dan berdarah tersebut menjadi iktibar kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya, dan PDRM khususnya. Wallahualam.
PenCERAHan lain yang relevan:
Ahmad’s SAGA # 025 Hakim: Tanpa Takut &/ Ikut https://4uni2c.com/2013/10/09/ahmads-saga-025-hakim-tanpa-takut-ikut/
Ahmad’s SAGA # 027 Yang Dihukum Tak Semestinya Bersalah https://4uni2c.com/2013/10/22/ahmads-saga-027-yang-dihukum-tidak-mestinya-bersalah/
Ahmad’s SAGA # INDEX https://4uni2c.com/2013/12/11/ahmads-saga-index/
** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: www.4uni2c.com
@OPajar
# 13X17