Banjir # 02 Mana penCEGAHannya ?

Selepas sistem pencegahan banjir mula berfungsi nanti, maka tidak ada lagilah kerosakan harta benda yang akan berlaku. Akhirnya mereka (mangsa-mangsa banjir) tidak akan peduli lagi kepada BR1M kerana tiada ada lagi kerugian yang mereka terpaksa tanggung akibat banjir. Senario yang asalya negatif itu, akhirnya akan bertukar menjadi posiitif.

2014 Disember 26

.

.

Banjir: mana pencegahannya ?

Khabarnya banjir musim ini (2014 Disember) merupakan yang paling buruk dalam tempoh 30 tahun bagi negeri Kelantan. Jika demikian, ia tentulah lebih buruk dari yang berlaku dalam bulan Disember 2004 dahulu. Ketika itu Acik masih tinggal di Kubang Kerian, Kelantan.

Masa itu kamera digital belum jenuh macam sekarang. Hampir semua kamera ketika itu masih menggunakan filem. Harga filemnya agak mahal. Begitu juga kos pemprosessannya untuk mencetak gambar yang ditangkap, ke atas kad. Oleh sebab itu, tak mampulah Acik nak tangkap banyak gambar tentang banjir pada ketika itu. Tak sama dengan rakyat sekarang yang mampu menangkap beratus-ratus gambar dengan menggunakan telefon pintar sahaja.

Banjir yang melanda Kelantan dalam bulan Disember 2014 itu mengingatkan Acik tentang Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004. Adakah apa-apa kaitan antara banjir dengan kejadian Tsunami tersebut ? Soalan ini Acik tak ada jawapannya. Pakar kaji cuaca mungkin boleh membantu Acik menjawapnya.

Jika dihitung ruang masa antara peristiwa banjir 2004 itu dengan sekarang (2014 Disember) adalah genap 10 tahun. 10 tahun, Acik rasa bukanlah satu tempoh yang terlalu sengkat. Dengan teknologi yang telah wujud sekarang, dalam tempoh 10 tahun macam-macam pembinaan sempat disiapkan. Jika tak silap Acik, KLIA, KLCC dan Putrajaya pun telah berjaya disiap dan dimunafaatkan dalam tempoh tak sampai 10 tahun. Hanya ampangan Bakun (Sarawak) yang hingga sekarang belum siap.

Malangnya ruang masa yang begitu lama itu tidak dimunafaatkan untuk usaha-usaha ke arah pencegahan banjir. Sekiranya usaha-usaha ke arah pencegahan memang telah dilaksanakan dengan berkesan, sekurang-kurangnya kesan bencana banjir sekarang tentulah tidak seburuk ini.

Umat Islam disarankan membaca surah Al-Kahfi setiap hari Jumaat. Inilah yang Acik cuba amalkan setiap hari Jumaat. Acik amat tertarik dengan ayat ke 94-97 yang terjemahannya seperti berikut:

  1. Mereka berkata : “Wahai Zulqarnain! Sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu sentiasa melakukan kerosakan di muka bumi, maka bolehkah kami membayarmu upah supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?”
  1. Zulqarnain berkata: “Apa yang telah dianugerah oleh Tuhan kepadaku terhadapnya adalah lebih baik balasannya, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding penghalang antara kamu dan mereka”
  1. “Berilah aku potongan-potongan besi !” Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulqarnain, “Tiuplah (api itu)!” Hingga apabila besi itu telah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, “Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu.”
  1. Maka mereka (Yakjuj dan Makjuj) tidak dapat mendakinya dan mereka tidak dapat (pula) melubanginya.

Acik sangat kagum dengan sikap pemimpin yang berrgelar Zulqarnain itu. Baginda sanggup memenuhi permintaan pihak yang memerlukan pertolongannya. Bukan sekadar sanggup mendirikan benteng yang dikehendaki mereka, malah tidak mahu mengambil sebarang upah. Baginda yakin bahawa balasan dari Allah adalah lebih utama. Sedang mereka yang ditolonginya itu merupakan orang-orang yang lemah lagi terancam keselamatannya.

Terbayang di dalam imaginasi Acik betapa tingginya tembok yang dibina itu oleh Zulqarnain itu. Mungkin setinggi gunung Kinabalu yang sangat susah untuk di daki hingga ke puncaknya. Malah mungkin setinggi gunung Averest.

Yang tak mampu Acik bayangkan ialah tentang jenis peralatan yang digunakan bagi membina benteng yang begitu tinggi dan kebal itu. Sedangkan Yakjuj dan Makjuj itu mungkinlah makluk hidup yang berakal. Acik percaya, mengatasi kerenah makluk yang berakal biasanya jauh lebih rumit dari makluk yang tidak hidup dan tak berakal.

Jika nak dibandingkan Yakjuj dan Makjuj dengan air yang tidak hidup dan tak berakal, Acik rasa bezanya bukan sekadar sebagai langit dengan bumi, bahkan lebih jauh dari itu. Namun begitu, usaha tetap dilakukan bagi mencegah ancaman dari pihak yang ganas itu. Kalaupun ancaman tersebut tidak berjaya dinyahkan 100% , sekurang-kurangnya ia dapat juga diredakan atau ditawarkan kesan buruknya.

Apakah di era teknologi moden dalam milinium kedua ini umat manusia di Malaysia khususnya tidak ada daya upaya untuk berikhtiar bagi mencegah banjir ? Jika nak kata tidak ada kemampuan dari aspek kewangan, macam tak boleh percayalah pula. Jika tak mampu, mana mungkin beberapa projek mega telah berjaya dilaksanakan.

Contohnya bangunan berkembar Petronas KLCC, KLIA dan KLIA 2, LRT, Putrajaya dan yang masih dalam pembinaan, iaitu MRT. Tiap-tiap projek tersebut menelan belanja bukan sekadar ratusan juta ringgit, malah ribuan juta. Oleh itu rasa Acik, bukan kerana tiada duit tapi tidak diberi keutamaan atau “prioritty”.

Tidak diberi kutamaan mungkin kerana tidak ada desakan dari mana-mana pihak tentang keperluan pencegahan banjir. Lebih-lebih lagi dari rakyat luar bandar yang lemah dalam pelbagai segi. Walaupun merekalah yang menderita akibat banjir, hampir tiap-tiap tahun.

Mengambil tauladan dari ayat-ayat dalam surah Al-Kahfi itu, maka sukalah Acik menyeru agar pihak-pihak yang berkenaan dapat memikirkan dengan serius isu banjir ini. Rancanglah projek-projek pencegahan yang berkesan secepat mungkin tanpa lengah-lengah lagi. Seperti kata Mad Saleh, “time and tide waits for no one”. (masa dan pasang/surut tidak menunggu sesiapa pun). Tidak perlu nak menunggu musim banjir seperti ini berulang lagi, baru nak fikirkan semula perkara yang sama.

Jika negara sanggup berbelanja berbilion ringgit bagi memenuhi keperluan rakyat-rakyat di kota-kota, apa salahnya jika kali ini kerajaan membelanjakan pula sejumlah yang sama untuk keperluan rakyat-rakyat di desa pula. Jika projek-projek di kota adalah bagi menambahkan lagi keselesaan penghuninya, maka projek di desa hanyalah sekadar untuk menyelamatkan penghuninya dari bala bencana (banjir).

Jika dibandingkan seorang (penghuni desa) yang memerlukan ubat cegahan penyakit, dengan seorang (penghuni kota) yang ingin makan aiskrim, yang manakah yang kita harus beri keutamaan ? Acik percaya semua kita akan memberi keutamaan kepada yang memerlukan ubat pencegahan itu. Hanya yang kurang siuman atau yang mempunyai kepentingan tertentu sahaja yang akan memberi keutamaan kepada rakyat kota yang ingin makan aiskrim.

Kata peribahasa Melayu, “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”. Sedalam mana pun simpati kita terhadap mangsa-mangsa banjir, tetap tidak sama dengan penderitaan yang mereka sendiri sedang alami. Dengan menghitung kerugian yang dialami oleh seorang saja dari seluruh mangsa banjir itu pun sudah cukup menyedihkan kita.

Mereka bukan saja kerugian harta benda seperti rumah serta kelengkapannya dan kenderaan, malah turut kehilangan harta-harta modal yang menjadi sumber rezeki. Yang memelihara binatang ternakan telah kematian semua binatang tersebut. Yang berkebun dan bersawah, telah musnah segala hasil tanamannya. Yang menternak ikan dalam kolam, habis terlepas ikan-ikan ternakannya. Begitulah, dengan bermacam-macam lagi bentuk kerugian yang telah dialami akibat banjir.

Acik percaya, jika dijumlahkan semua kerugian yang ditanggung oleh seluruh mangsa banjir, pendapatan yang perolehi dari aktiviti pembalakan pun tak mampu menampung segala kerugian tersebut. Itu belum dihitung kerugian dari segi masa dan tenaga ahli-ahli professional yang terpaksa dikorbankan bagi menangani bencana tersebut.

Contohnya penjawat-penjawat awam di dalam sektor perubatan, polis, bomba, tentera dan sebagainya. Begitu banyak sekali perkhidmatan professional yang tinggi nilainya telah terpaksa dikorbankan demi menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap dalam banjir.

Ayat-ayat al Quran yang disebut di atas telah mencetuskan bayangan dalam imaginasi Acik akan satu senario. Dalam senario itu terbayang akan kehadiran tiga pihak. Pertama ialah pemimpin negara yang paling berkuasa. Kedua ialah mangsa-mangsa banjir yang sedang menderita, dan ketiga ialah bencana banjir.

Tanpa disangka-sangka, dengan tiba-tiba muncul permimpin nombor satu negara di kalangan rakyat-rakyat yang sedang menderita akibat bencana banjir. Maka datanglah beberapa orang yang mewakili semua mangsa-mangsa banjir mengadap pemimpin nombor satu negara itu. Mereka ini memohon jasa baik pemimpin tersebut supaya menolong mereka menghadapi banjir yang mengancam keselamatam jiwa dan harta benda mereka hampir setiap tahun.

Maka berkatalah pemimpin agung tersebut, “tolong dan bantulah saya supaya dapat saya atasi masalah anda semua”. Kata pemimpin tersebut lagi, “maksud saya ialah anda semua tidak akan menuntut dari saya BR1M yang saya telah janjikan itu. Ini supaya dengan duit BR1M sebanyak 4 billion ringgit itu akan dapatlah saya laksanakan projek pencegahan banjir dengan serta merta”

Tanpa teragak-agak dan berfikir panjang, mereka yang dilanda banjir itu terus bersetuju dengan cadangan pemimpin nombor satu tersebut. Iaitu mereka tidak akan menuntut duit BR1M yang dijanjikan kepada mereka oleh pemimpin berkenaan. Sekurang-kurangnya sehinggalah projek membina istem pencegahan banjir selesai disiapkan dan berfungsi dengan baik. Disamping itu, beliau juga mengarahkan supaya aktiviti pembalakan dihentikan sama sekali sahingga semua sungai-sungai kembali jernih seperti asalnya, iaitu sama sepertimana sebelum adanya aktiviti pembalakan.

Alhamdulillah, dengan melaburkan semua duit BR1M yang berjumlah lebih RM4 billion itu maka projek membina sistem pencegahan banjir pun dapat dilaksanakan. Projek tersebut akan berjaya mencegah banjir sepanjang masa dan rakyat tidak akan bimbang lagi tentang banjir.

Selepas sistem pencegahan banjir mula berfungsi nanti, maka tidak ada lagilah kerosakan harta benda yang akan berlaku. Akhirnya mereka (mangsa-mangsa banjir) tidak akan peduli lagi kepada BR1M kerana tiada ada lagi kerugian yang mereka terpaksa tanggung akibat banjir. Senario yang asalya negatif itu, akhirnya akan bertukar menjadi posiitif.

Bolehkah apa yang terbayang dalam imaginasi Acik ini menjadi realiti ? Wallahualam, Acik sendiri pun tak pandai menjawabnya. Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Namun sama-samalah kita harapkan ianya akan menjadi realiti, agar segala penderitaan rakyat-rakyat miskin di desa-desa (akibat banjir) akan berakhir.

Wallahualam.

d a u l a t r a k y a t !

Lain-lain PenCERAHan yang relevan :

BANJIR # Index : http://4uni2c.wordpress.com/2015/01/26/banjir-index/

BANJIR # 03 : Mengingkari SUNNATULLAH ? https://4uni2c.com/2014/12/30/banjir-03-mengingkari-sunnatullah/

BR1M 2.0 dan Strategi Abu Nawas : https://4uni2c.com/2012/12/25/4uni2c12z25-br1m-2-0-dan-strategi-abu-nawas/

Hudud # 02 Manifestasi atau Penyebab … ? http://4uni2c.wordpress.com/2014/12/15/hudud-02-manifestasi-atau-penyebab/

*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: www.4uni2c.com

@ OPajar (# 14z26)

~ by OPajar on 2014-12-26.

Leave a comment