Government # 15622 Antara Janji dan Realiti
*** Untuk menCARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)
Antara Janji dan Realiti
Sepanjang ingatan Acik (Ayah/Abang+cik), belum pernah Acik dimasukkan ke dalam ward, hinggalah Acik terkena demam denggi baru-baru ini. Samada di ward hospital kerajaan mahupun hospital swasta. Dua hari sebelum melawat Klinik Kesihatan Sungai Buluh (KKSB) Acik telah demam. Lazimnya selepas makan panadol maka sembuhlah Acik dari demam. Namun untuk kali ini demam Acik datang berulang.
Pada 8hb Jun 2015 isteri Acik menemani Acik ke KKSB. Bila diperiksa darah, doktor mensyaki Acik telah dijangkiti virus demam denggi. Walaubagaimana pun, Acik dinasihati supaya balik dulu, dan datang semula esok hari bagi tujuan pengesahan. Esoknya bersamaan 9hb Jun 2015 maka sahlah bahawa Acik telah mengidapi demam denggi.
Yang agak mengkagumkan Acik ialah tindakan segera pihak KKSB untuk menghantar Acik ke Hospital Sungai Buluh (HSB) bagi mendapat rawatan segera. Acik dibawa dengan ambulan yang disediakan oleh pihak Klinik ke HSB dengan ditemani oleh isteri. Kereta Renault yang Acik guna untuk datang ke klinik tu Acik terlupa begitu saja akibat terlalu bimbang terhadap kesihatan diri.
Ambulan membawa Acik terus ke pintu kecemasan HSB. Setibanya di HSB itu Acik ditempatkan di atas sebuah katil kosong. Terdengar Acik akan suara yang memaklumkan pihak berkenaan bahawa ketibaan Acik itu adalah tanpa amaran. Tersentak rasanya hati Acik bila terdengar suatu suara sumbang yang berkata, “tolak saja !”. Tercetus dengan serta merta di fikiran Acik komen, “ada juga rupanya penjawat awam yang bersikap demikian di bilik kecemasan hospital.”
Mujur pegawai perubatan yang menerima Acik adalah seorang yang agak ceria dan berwibawa. Beliau terus menunjukkan dokumen dari Klinik Kesihatan kepada individu berkenaan lalu terus memulakan prosidur rawatan ke atas Acik. Acik puji anggota seperti beliau kerana sikap positif yang ditunjukkan depan Acik. Sebaliknya Acik cadangkan supaya individu yang bersikap negatif tersebut ditukarkan serta merta ke tempat lain. Beliau memang tak layak bertugas di bilik kecemasan mana-mana hospital.
Acik diberitahu bahawa Acik masih belum boleh dibawa ke ward kerana belum ada kekosongan. Setelah agak lama terlentang di atas sebuah katil di bilik kecemasan itu, Acik terasa nak kencing. Acik pun minta kakitangan yang bertugas dalam bilik tersebut menunjukkan tandas terdekat. Bila keluar dari tandas Acik dapati katil tempat Acik berehat telah diisi oleh orang lain.
Mula-mula Acik menunggu saja kalau-kalau ada katil lain sebagai ganti. Namun setelah agak lama berdiri di tengah-tengah ruang bilik kecemasan berkenaan tanpa dipedulikan oleh sesiapa pun, maka perasaan negatif pun mulalah menyelinap masuk ke hati kecil Acik.
Jika berdasarkan maklumat di dalam kad persara Acik (sebagai penjawat awam), Acik layak menerima layanan kelas pertama di mana-mana hospital kerajaan. Tetapi realiti yang sedang Acik alami ketika itu, seolah-olah menafikan langsung hak Acik yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia itu.
Kerana tak sabar menghadapi keadaan yang tak menentu itu, maka Acik pun keluar saja dari bilik kecemasan. Akibat menanggung demam, suhu di luar bilik adalah dirasakan lebih selesa kerana lebih panas. Lagi pun tak perlu berdiri lebih lama di dalam bilik kecemasan tersebut kerana di luar bilik ada bangku-bangku kosong. Acik membeli minuman dalam tin 100 Plus yang kononnya dapat membantu melawan denggi.
Sementara menanti isteri Acik datang semula ke HSB selepas beliau pulang ke rumah di Damansara Damai bagi mengambil barang-barang keperluan yang akan digunakan di dalam ward nanti, Acik ke surau awam HSB. Setelah menunaikan solat Zuhur barulah isteri Acik tiba.
Bersama-sama isteri, Acik pun masuk semula ke bilik kecemasan. Kira-kira sejam lebih Acik meninggalkan bilik kecemasan demi mencari sedikit keselesaan di luar. Disamping itu cuba menghilangkan rasa terhina akibat tidak dipeduli oleh sesiapa ketika di dalam bilik kecemasan tadi.
Kemasukan Acik ke bilik kecemasan kali ni mendapat reaksi yang agak berbeza. Mungkin ada yang mulai rasa gelabah kerana “kehilangan” Acik sebentar tadi. Seorang kakitangan bilik kecemasan itu bertanya kemana gerangannya Acik pergi tadi. Rasanya tak ada gunanya menjawab soalan tersebut. Beliau beriya-iya sangat nak salahkan Acik semata-mata kerana menghilangkan diri. Bagi Acik, reaksi beliau sebegitu mendedahkan rasa bersalahnya sendiri terhadap apa yang telah berlaku.
Sebentar kemudian muncul seorang doktor menemui Acik. Doktor ini macam terkejut saja kerana Acik masih lagi belum dibawa ke ward. Beliau meninggalkan Acik setika, kemudian datang semula. Sebaik selepas itu Acik pun dibawa ke ruang sebelah yang mungkin ward transit. Seorang doktor lain pula datang memeriksa Acik dengan memberi keyakinan bahawa Acik akan dibawa ke ward malam itu juga.
Semasa membuat lawatan itu beliau ternampak air 100 Plus yang ada bersama-sama Acik. Beliau lantas memberitahu bahawa air tersebut tak sesuai diminum bagi mengatasi demam denggi. Barulah Acik sedar bahawa air yang dimaksudkan dalam senarai minuman yang digalakkan diminum oleh pesakit denggi bukan air tin seperti 100 Plus itu.
Memang ya Acik dapat masuk ke ward pada hari itu juga. Sekali lagi Acik kagum dengan kemudahan yang disediakan di ward HSB. Sesampai ke ward 7D Acik diletak di dalam sebuah bilik berkongsi empat pesakit. Bersyukur Acik kerana merasakan bahawa pihak HSB mengiktiraf kelayakan Acik bagi mendapatkan layanan kelas pertama sebagaimana dinyatakan dalam kad pesara Acik itu.
Untuk malam keduanya seorang kakitangan hospital memberitahu Acik bahawa Acik perlu ditempatkan lebih dekat dengan kaunter pentadbiran ward tersebut. Kononnya Acik dalam keadaan kritikal. Oleh itu perlu sentiasa dalam pemerhatian rapi kakitangan perubatan.
Di sini Acik mulai rasa sesuatu yang meragukan. Tempat Acik kini tidak lagi selesa seperti semalam. Kemudian ternyatalah bahawa Acik sebenarnya diletakkan di ward kelas 3 bukan lagi macam semalam.
Yang lebih mengecewakan pegawai pencen macam Acik ini ialah bagi malam ketiga. Acik telah dipindahkan ke ward 50. Ward ini bertempat di bangunan hospital lama di seberang jalan bertentangan dengan kompleks HSB. Mula-mula Acik redha saja sebagai menghormati keputusan pihak pentadbiran HSB. Namun rupa-rupanya keredhaan Acik agak terbatas.
Ward 50 itu penuh dengan warga asing. Rasa-rasanya Aciklah pesakit paling tua di ward 50 itu. Umur Acik pun dah hamper 63 tahun. Ayah Acik dulu pun pesara kerajaan juga. Menjelang beliau meninggal dunia Acik sempat juga menemani beliau di ward kelas dua di sebuah hospital kerajaan di Pulau Pinang. Tapi wad beliau ditempatkan tak lah seteruk ward 50 di mana Acik ditempatkan itu. Itu tahun 1987. Sekarang tahun berapa ?
Suka tak suka pun itulah ward di mana Acik ditempatkan. Sebab dah malam maka sudah tentu tiada siapa yang akan datang melawat Acik. Esoknya belum tentu. Tak mustahil yang akan datang kawan-kawan Acik yang bergelar Datuk dan Tan Sri. Cuma sengaja Acik tak whatsapp memberitahu mereka bahawa Acik sedang sakit.
Esok paginya seorang jururawat datang kepada Acik. Di tangannya sebatang jarum suntikan. Beliau bertanya kepada Acik samada nak dicucuk di bahu ataupun di perut. Acik terkejut dan hairan terhadap beliau. Lalu Acik bertanya ubat apa yang nak dicucuknya ke dalam tubuh Acik itu. Maka jawab “nurse” tersebut, itu adalah insulin.
Lebih terkejut Acik mendengar jawapan nurse tersebut. Lantas Acik beritahu bahawa Acik bukanlah pesakit kencing manis. Beliau bertanya samada sebelum ini Acik pernah dicucuk dengan insulin. Sudah tentulah jawapannya “tidak pernah”. Tanpa tunggu lebih lama dihadapan Acik beliau pun meninggalkan Acik.
Soalan besar dalam minda Acik ialah, “macam mana boleh belakunya insiden tersebut ?” Adakah jururawat tersebut tersalah pesakit ataupun memang diarahkan memberi insulin khususnya kepada Acik oleh doktor yang bertanggungjawab. Jika memang doktor yang memberi arahan tersebut, apa implikasinya ? Kalau begitulah cara rawatan yang diberi kepada pesakit, masing-masing pembaca boleh banyang sendirilah tahap layanan yang diberi kepada pesakit-pesakit di ward 50 itu.
Pada pagi tersebut Acik terasa agak lapar. Pagi semalam makanan yang disaji di wad 7D agak menyelerakan. Harap-harap bila di”downgrade” ke wad 50 sekurang-kurangnya kualiti sarapannya masih boleh bertahanlah kut. Rupa-rupanya apa yang disaji pagi itu hanya mi goreng tanpa air minuman. Acik cuba habiskan juga mi tersebut tapi hanya mampu habiskan separuh sahaja dari apa yang disajikan.
Bila ketua jururawat datang ke ward, Acik meluahkan perasaan sangat tidak puas hati terhadap layanan yang sedang Acik terima. Environment di ward tesebut tidak kondusif kepada pesakit yang telah tua seperti Acik. Sebagai seorang pesara kerajaan yang dijanjikkan layanan kelas pertama di mana-mana hospital kerajaan, Acik sekadar menuntut hak Acik tersebut.
Acik memberitahu ketua jururawat tersebut bahawa sekiranya pihak HSB tak dapat memenuhi tuntutan Acik itu, “discharge”kan saja Acik hari itu juga. Anak-anak Acik pun turut menasihati Acik agar berpindah secepat mungkin ke tempat yang lebih kondusif supaya cepat sembuh. Maksudnya ialah ke hospital swasta.
Di sini timbul dilemma kepada kedua-dua belah pihak. Pihak Hospital Sungai Buluh ada dasarnya untuk tidak discharge pesakit kecuali setelah mendapat jaminan dari hospital swasta berkenaan bahawa pesakit “layak” diterima masuk. Dalam masa yang sama hospital swasta tidak berani menerima pesakit jika pesakit adalah berisko tinggi. Ini demi mengelakkan pesakit mati ketika dalam rawatan di hospital swasta berkenaan.
Agaknya demi melayan tuntutan Acik supaya ditempatkan di tempat yang lebih kondusif mengikut kelayakan Acik, maka sebuah ruang agak besar disediakan untuk Acik di ward 52. Ward ini hanya di blok lain yang beberapa meter saja dari wad 50. Acik ditempatkan di suatu ruang yang boleh muat 4 buah katil tetapi semua katil-katil tersebut dipindahkan ke tempat lain.
Selain dari ruang yang agak luas di wad 52, tidak ada apa pun yang lebih istimewa berada di wad 52 berbanding dengan wad 50 semalam. Cuma tandasnya lebih dekat supaya lebih mudah Acik berulang-alik membuang air kecil.
Tapi mujur juga pada hari kedua itu Acik di tempatkan di wad 52 kerana ruangnya yang agak luas. Hari itu ramai pelawat datang melawat Acik. Jadi tidaklah timbul masalah bagi mereka yang ramai itu menziarah Acik. Jika Acik masih berada di wad 50, sudah tentu kunjungan mereka itu mengganggu pesakit-pesakit lain.
Pada malam itu dua buah katil dibawa masuk semula ke ruang di mana Acik ditempatkan. Ruang yang lapang pada siang tadi balik menjadi sempit. Acik dapat faham bahawa ruang di ward-ward berhampiran memang amat terhad.
Agaknya pihak hospital memang menjangka bahawa ramai pelawat akan datang menziarahi Acik di siang hari. Tak mustahil yang akan melawat Acik terdiri dari orang-orang penting dalam kerajaan. Sebagai tindakan proaktif agaknya, pentadbir hospital itu pun menyediakan ruang yang agak luas bagi membolehkan Acik menerima bakal-bakal pengunjung yang tak tentu siapa.
Malam kedua di wad 52 itu merupakan ujian yang amat getir bagi Acik. Walaupun darah (platelet) dah semakin baik dan demam pun dah tiada, namun setiap kali rasa hendak kencing, Acik terasa amat sakit. Rasa nak kencing datang terlalu kerap, hampir setiap 15 minit sekali. Semalaman Acik tak dapat rihat, apa lagi nak tidur.
Kerana tidak mampu lagi menahan kesakitan maka Acik mengadu kepada jururawat yang bertugas di wad itu ketika itu. Mereka terpinga-pinga, macam tak tahu apa nak buat.
Masa di wad 7D dulu, Acik dipindahkan dari dalam bilik ke luar bilik dengan alasan positif. Kononnya supaya lebih mudah mendapat rawatan segera dari anggota yang bertugas. Tapi bila dicampak langsung ke wad 52 dalam keadaan mengalami kesakitan, apa pula alasan positif yang boleh diberi oleh pihak pentadbiran HSB kepada Acik ?
Acik tak percaya jururawat berani melapurkan kesakitan Acik itu kepada doktor. Jadi mahu tak mahu kena sabarlah juga menahan kesakitan sehingga doktor datang pada esok siangnya. Apa yang salah seorang dari jururawat mampu buat bagi membantu Acik ialah menyediakan sebuah botol yang berisi air panas. Botol itu dibalutnya dengan sehelai kain putih. Kemudian diberinya kepada Acik untuk didemah di bahagian bawah perut Acik.
Walaupun cara itu tak banyak membantu, namun Acik tetap menghargai inisiatif yang ditunjukkan oleh jururawat berkenaan. Alhamdulillah dapat bersabar hingga siang tiba. Hari tu dah hari Sabtu 13hb Jun 2015. Salah seorang dari anak Acik dah menghubungi beberapa hospital swasta untuk memindahkan Acik ke sana. Mula-mula Acik agak keberatan untuk berpindah ke hospital swasta. Maklum sajalah, berapa pula kos rawatannya nanti.
Tetapi oleh sebab tak tahan menderita kesakitan setiap kali hendak membuang air kecil, maka Acik terpaksalah akur kepada nasihat anak-anak Acik. Mujur pada pagi itu, Acik tidak lagi demam. Cuma platelet masih rendah disekitar 20an. Sebelah tengah hari ketika doktor datang memeriksa Acik, platelet dah mencecah 40an. Ini membolehkan Acik di”discharge” dari ward hospital pada hari itu juga.
Anak Acik yang berada di samping Acik ketika itu terus menghubungi doktor di Hospital Tawakkal lalu minta beliau becakap sendiri dengan doktor Tay (HSB) bagi mengesahkan status kesihatan Acik yang telah dicapai. Berdasarkan status kesihatan tersebut, maka Hospital Tawakkal pun sanggup menerima Acik sebagai pelanggan barunya.
Walaupun telah di”discharge” dari ward HSB, kesakitan yang Acik sedang alami tetap tidak berubah. Kesakitan yang ditanggung semasa dalam perjalanan dari HSB ke Hospital Tawakkal seolah-olah masih terasa hingga ke saat ini. Cuma yang dapat melegakan sedikit kesakitan tersebut ialah suatu keyakinan yang tinggi bahawa kesakitan akan tammat sebaik sampai ke hospital swasta berkenaan..
Alhamdulillah, syukur Acik dengan setinggi kesyukuran. Doktor yang menunggu ketibaan Acik telah agak bersedia untuk memberi rawatan segera ke atas Acik. Dalam tempoh yang agak sengkat, kesakitan yang Acik sedang deritai berjaya dinyahkan dari diri Acik. Rasa-rasa Acik itulah saat paling lega yang pernah Acik alami. Kelegaan tersebut merupakan suatu nikmat yang sangat bernilai dalam sejarah hidup Acik.
The Moral of the Story.
Sebagai seorang pesara kerajaan, Acik dijanjikan dengan beberapa keistimewaan. Salah satu darinya ialah mendapat layanan yang efektif dan agak selesa di mana-mana hospital kerajaan bila jatuh sakit. Itu adalah merupakan janji yang paling diharapkan akan dikota oleh pihak kerajaan. Ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tiada pihak yang diamanahkan khusus bagi memastikan segala janji kerajaan ditepati.
Dari pengalaman Acik di atas, jika anggota pentadbiran Hospital Sungai Buluh, memilih untuk tidak mengiktiraf kelayakan yang dijanjikan kerajaan kepada Acik, tak ada apa yang boleh Acik buat ketika itu. Sepatutnya, demi menunaikan janji kerajaan terhadap mana-mana individu, tidak ada pihak yang diberi pilihan untuk tidak mengiktiraf mana-mana janji kerajaan kepada mana-mana individu atau rakyat.
Dengan kata lain, mesti wujud suatu makanisma yang dapat menjamin bahawa semua penjawat awam tidak akan mengelat dari menunaikan apa-apa juga janji kerajaan kepada mana-mana pihak. Jika mana-mana janji kerajaan gagal ditunaikan, mesti ada justifikasi yang munasabah lagi jujur kenapa kerajaan gagal menunaikan janji berkenaan.
Khususnya dalam kes Acik di atas, anggota pentadbiran HSB harus berterus terang jika benar-benar tidak mampu melayan Acik seperti yang dijanjikan. Sekurang-kurangnya ia akan membantu Acik membuat pilihan samada nak menerima rawatan di HSB ataupun ke hospital kerajaan yang lain. Jika keadaan mendesak, mungkin berbaloi untuk terus mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Walaupun diskiriminasi rata-rata dianggap suatu amalan negatif, namun sekadar membezakan seorang pesatkit tua (seperti Acik ini) dengan pesakit-pesakit yang masih muda bukanlah satu diskriminasi yang negatif.
Sifat semula jadi seorang pesakit tua tentulah memerlukan rawatan yang lebih rapi dan layanan yang lebih selesa berbanding dengan pesakit-pesakit yang masih muda. Harap pihak pentadbiran hospital-hospital kerajaan umumnya dan Hospital Sungai Buluh khususnya dapat “appreciate” issue yang Acik cetuskan dalam blog Acik ni.
Apa pun Acik tetap menghargai rawatan yang telah Acik terima dari Hospital Sungai Buluh dengan mengucapkan terima kasih yang terhingga kepada setiap individu yang telah menolong Acik sepanjang tempoh rawatan di hospital sebut. Samada pertolongan yang dihulurkan itu secara langsung, mahupun sebaliknya.
Paling Acik hargai ialah semangat pergorbanan yang ditunjukkan oleh isteri serta anak-anak menantu Acik bagi mententeramkan hati dan jiwa Acik sepanjang menghadapi ujian kesalkitan. Tidak kurang dikenang ialah sumbangan dan ingatan saudara mara dan sahabat handai yang bersusah payah datang menziarahi Acik semasa di ward. Kata pribahasa Inggeris, “a friend in need is the friend indeed”. individu yang sanggup bersama-sama kita di ketika kita dalam keperluan (kesusahan), itulah kawan sejati yang sebenarnya. Bagi mereka yang lain, sekurang-kurangnya doa masing-masing telah turut sama memberi kesembuhan kepada Acik.
Teringat Acik akan dua rangkap pantun Melayu yang berbunyi:
Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti ;
Hutang emas boleh di bayar, hutang budi di bawa mati.
&
Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga;
Walau badan dikandung tanah, budi yang baik kan ku kenang juga.
Hanya Allah jua yang layak dan mampu membalas jasa-jasa hamba sesama hambaNya.
Wallahualam
d a u l a t r a k y a t !
Lain-lain PenCERAHan yang relevan/panas :
Hudud # 02 – Manifestasi atau Penyebab ? https://4uni2c.wordpress.com/2014/12/15/hudud-02-manifestasi-atau-penyebab/
Rupa Buruk, Cermin Dipersalahkan: https://4uni2c.com/2014/09/23/4uni2c-14923-dont-blame-the-mirror-for-our-bad-image-terjemahan/
*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: www.4uni2c.com
@ OPajar (# 15622)