Wisdom # 15825 – Falsafah Bangau Oh Bangau
Sempena menyambut hari ulang tahun kemerdekaan kita bagi kali ke-58 ini, marilah kita hanyati bersama “Falsafah Bangau oh Bangau” dan seterusnya mempraktikkannya.
Latar belakang pemilik blog ini : https://4uni2c.com/2015/07/12/2250/
2015 Julai 12
falsafah bangau oh bangau
Tak berapa hari lagi kita rakyat Malaysia akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan kita iaitu pada 31 hh Ogos. Negara kita telah merdeka dari pemerintahan British pada 31 hb Ogos 1957. Ini bermakna bahawa negara kita telah merdeka selama 58 tahun. 58 tahun bukanlah satu tempoh masa yang sengkat.
Ramai kita mungkin tertanya-tanya apakah pencapaian kita yang boleh dibanggakan, yang telah berjaya kita tempahi sejak mula merdeka duhulu. Adakah kita berpuashati dengan apa yang telah dicapai setakat ini. Ataupun merasa bahawa kejayaan yang telah dicapai itu tidak setimpal dengan kemampuan yang benar-benar kita miliki.
Bagi Acik (Ayah/Abang+cik) kemajuan yang paling penting bagi sesebuah negara ialah dalam aspek pendidikan. Tanpa kemajuan dalam bidang pendidikan, kemajuan dalam bidang-bidang lain tak mungkin dapat dicapai semaksimumnya. Oleh itu sistem pendidikan sesebuah negara itu sangat penting diberi keutamaan atau priority yang paling tinggi, mengatasi aspek-aspek lain.
Pendidikan bukanlah semata-mata bagi menghasilkan professional seperti jurutera, pakar perubatan, akauntan, arkitek dan sebagainya dengan bilangan yang besar dari segi kuatitinya sahaja. Kerana kuantiti sahaja tidak menjamin apa-apa jika tanpa kualiti.
Kualiti yang Acik maksudkan bukanlah rakyat yang semata-mata mahir melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam bidang masing-masing. Tetapi adalah rakyat yang mempunyai jati diri yang terpuji. Sifat tersebut akan menjamin bahawa tugas dan tanggungjawap yang diamanahkan kepadanya, akan dilaksanakan dengan sempurna dan dengan keberhasilan setinggi mungkin.
Oleh itu sekolah dan insititusi pendidikan tidak cukup dengan semata-mata mampu mengeluarkan pakar-pakar dan ilmuan saja. Tetapi ia juga harus mampu melahirkan individu-individu yang berakhlak mulia, tidak mudah menipu, tidak mudah pecah amanah dan sebagainya. Dengan pekataan yang mudah, mampu melahirkan rakyat yang mahir, jujur lagi akhlas dan tidak korup.
Mengimbasi pelbagai peristiwa positif dan negatif yang telah berlaku di sepanjang tempoh sejak negara mencapai kemerdekaan, akan memberi seribu satu tafsiran buat kita rakyat Malaysia sekalian. Ada di antara kita yang memuji setinggi langit. Sebaliknya ada pula yang mengeluh dengan seribu kekeciwaan. Ia bergantung dalam aspek mana yang menjadi asas penilaian oleh masing-masing kita sebagai penilai.
Bagi seorang peminat hiburan misalnya, beliau mungkin merasa bahawa Malaysia sudah cukup maju. Ini dibuktikan dengan wujudnya program-program hiburan yang bersepah di merata ceruk dalam negara. Lebih nyata ialah program-program realiti dalam television (TV). Bermacam-macam jenis dan bentuk, hingga tak mampu nak menonton semuanya. Contohnya ialah “Raja Lawak”.
Apa pun, yang penting bagi Acik bukanlah bilangan jenis aktiviti yang dilahir dan diamalkan dalam hidup kita sejak mencapai kemerdekaan lebih setengah abad dahulu. Tetapi yang lebih penting bagi Acik ialah melahirkan rakyat yang berfikir dan “inquisitive”. Individu yang besifat demikianlah yang mampu menghasilkan perkara-perkara positif serta menghapuskan yang negatif. Adakah ini juga yang menjadi aspirasi kepada sistem pendidikan Negara
Acik mula menempuh alam persekolahan pada tahun 1959. Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957. Jadi Acik masuk sekolah selepas negara kita baru sangat mencapai kemerdekaan dari Orang Putih (British). Maka Acik percaya, sukatan pelajaran yang Acik berlajar di sekolah rendah ketika itu adalah apa yang telah disediakan oleh pentadbiran British dahulu. Bukan yang baru.
Taklah Acik bercadang nak menilai sukatan pelajaran yang Acik ikuti di sekolah rendah dahulu. Kerana, sebagai seorang individu yang bukan dalam bidang pendidikan, apalah yang Acik tahu untuk mampu membuat apa-apa penilaian terhadap silibus (sukatan pelajaran) yang disajikan kepada generasi Acik ketika itu. Begitu juga untuk membandingkannya dengan silibus genarasi sekarang.
Jadi apa yang Acik nak cerita dan bincang dalam laman blog Acik ini bukanlah tentang dasar pendidikan. Ia hanyalah tentang sebuah puisi yang pernah diperkenalkan kepada Acik dan kawan-kawan sekelas masa di bangku sekolah rendah dulu. Namun jika dihalusi, rasa-rasa adalah juga sedikit elemen yang agak relevan dengan apa yang diaspirasikan oleh dasar pendidikan negara ketika itu.
Puisi yang Acik maksudkan di atas, kalau tak salah Acik bertajuk “Bangau Oh Bangau… “. Puisi tersebut adalah seperti berikut:
S : Bangau oh bangau mengapa engkau kurus
J : Macam mana aku tak kurus ikan tak mau timbul
S : Ikan oh ikan kenapa tak tak mau timbul
J : Macam mana aku nak timbul rumput panjang sangat
S : Rumput oh rumput kenapa kau panjang sangat
J : Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku
S : Kerbau oh kerbau mengapa kau tak makan rumput
J : Macam mana aku nak makan rumput, perut aku sakit.
S : Perut oh perut kenapa engkau sakit
J : Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah.
S : Nasi oh nasi mengapa engkau mentah
J : Macam mana aku tak mentah, api tak menyala
S : Api oh api kenapa kau tak menyala
J : Macam mana aku nak menyala kayu api basah
S : Kayu oleh kayu kenapa engkau basah
J : Macam mana aku tak basah, hujan timpa aku
S : Hujan oh hujan kenapa kau timpa kayu
J : Macam mana aku tak timpa kayu katak panggil aku
S : Katak oh katak kenapa kau panggil hujan
J : Macam mana aku tang panggil hujan ular nak makan aku
S : Ular oh ular kenapa kau nak makan kata
J : Macam mana aku tak maka katak, memang makanan aku.
Puisi di atas menceritakan tentang seorang penanya yang mempunyai naluri ingin tahu (inquisitive mind) yang sangat tinggi. Dengan sifatnya yang demikian maka akhirnya ketemulah dia dengan satu hakikat yang dikatakan sunnatullah (sunnah Allah). Selepas hakikatnya telah ditemui maka barulah dia berhenti bertanya.
Sempena menyambut hari ulangtahun kemerdekaan ke 58 ini Acik ingin mengajak generasi muda untuk bersama-sama menghayati puisi tersebut. Supaya lebih menarik, puisi tersebut Acik namakannya “falsafah bangau oh bangau”. Mereka yang menerima dan mempraktikkan aspirasi puisi tersebut Acik gelarkan pula “penganut falsafah bangau-oh-bangau”.
Pada pendapat Acik, dengan menolak falsafah bangau-oh-bangau itu seseorang akan susah nak mencapai kejayaan dalam hidup. Menolak dalam konteks ini Acik maksudkan tidak menerima realiti bahawa sesuatu perkara itu akan diketahui hakikatnya hanya setelah membuat kajian, siasatan, penyelidikan dan analisis. Bagaimana ianya dilaksanakan ataupun kaedah yang harus digunakan untuk menemui hakikat sesuatu perkara itu, adalah bergantung kepada ciri-ciri perkara berkenaan.
Puisi “Bangau oh Bangau” di atas hanyalah sebagai satu contoh sahaja. Kajian, siasatan, penyelidikan atau analisis yang dilakukan adalah dengan cara bertanya soalan-soalan yang relevan sehinggalah jawapan yang diterima tidak boleh lagi mencetuskan soalan seterusnya. Dalam puisi di atas, “memang makanan aku” adalah jawapan yang tidak boleh mengundang soalan seterusnya.
“Falsafah Bangau oh Bangau” sebenarnya ingin melahirkan individu-individu yang sentiasa berfikir bagi mencari punca sesuatu masalah. Setelah punca masaalah diketemui maka barulah mudah untuk mengatasi masaalah berkenaan secara berkesan.
Sebagai analogi, jika di muara sesebuah sungai itu kotor airnya maka kita perlulah siasat dan kaji dari alor mana datangnya kekotoran itu. Untuk itu kita perlu berlayar atau menyusur ke hulu bagi mengesan punca kekotoran tersebut. Jika di hulu sungai berkenaan warna airnya seperti air teh susu, nescaya airnya di muara sungai tersebut pun akan turut serupa warnanya.
Belayar atau menyusur dari muara sungai ke hulu sungai bolehlah kita kiaskan seperti bertanya dengan tujuan mendapatkan punca sebenar seseuatu masalah itu atau hakikat sesuatu perkara. Pelayaran atau penyusuran hanya berhenti apabila pangkal atau hulu sungai tersebut telah ditemui. Begitulah juga pertanyaan akan ditammatkan apabila ia tidak diperlukan lagi kerana tidak mungkin menghasil jawapan yang lebih baik.
Apa yang menimbulkan kebimbangan Acik ialah salah interpretasi terhadap beberapa ayat al quran yang agak bercanggah dengan falsafah bangau oh bangau itu. Ayat-ayat yang Acik maksudkan itu ialah ayat 67 hingga 71 dalam Surah Al Baqarah (surah 2). Dalam ayat-ayat tersebut diggambarkan sikap pengikut-pengikut nabi Musa a.s. yang mengemukakan soalan demi soalan apabila baginda memerintahkan mereka supaya melakukan kurban. Tujuan mereka mengemukakan soalan demi soalan itu adalah untuk mengelat dari melaksanakan perintah Nabi Musa tersebut.
Kisah tersebut sangat tidak sesuai untuk dijadikan nas atau analogi bagi tujuan melarang pelajar dari banyak bertanya. Bertanya bagi tujuan mencari hakikat sesuatu atau punca sesuatu masalah tentulah tak sama dengan bertanya dengan niat nak mengelat dari melaksanakan sesuatu perintah. Bertanya untuk mendapatkan hakikat sesuatu atau punca sesuatu masalah adalah tindakan yang harus dipuji dan digalakkan bukan dilarang dan dikeji.
Bagi guru, pengajar dan pendidik pula, mereka haruslah bersedia melengkapkan diri supaya mampu menjawab setiap soalan yang ditanya oleh penuntut atau murid. Mereka harus bersikap terbuka. Jika soalan yang ditanya oleh penuntut atau murid itu belum diketahui jawapannya, maka janganlah merasa malu untuk mengaku bahawa jawapannya belum diketahui.
Kalau tak silap ingatan Acik, Imam Malik pernah ditanya oleh penuntut beliau 40 soalan. Tetapi yang dijawap beliau hanya lapan sahaja. Bagi soalan yang selainnya beliau mengakui belum tahu jawapannya dan akan berusaha untuk mencari jawapannya. Jika Imam besar seperti beliau pun tidak rasa malu untuk mengakui kekurangan ilmunya, tak ada sebab untuk kita yang kurang alim untuk malu mengakui kekurangan ilmu kita
Malangnya, agak kesal dengan kebanyakan ustaz-ustaz sekarang. Tidak pernah mengaku tidak tahu jawapan bagi soalan yang ditanya kepada beliau, walaupun hakikatnya beliau belum tahu akan jawapannya. Setiap soalan yang ditanya mesti dijawapnya, samada betul atau salah jawapannya itu. Malah bukan satu jawapan yang diberi untuk satu soalan, tetapi ada yang hingga sepuluh jawapan. Acik tak percaya bahawa mereka lebih alim dari Imam Malik.
Lebih teruk lagi jika seseorang pengajar atau pendidik itu secara tak sedar menyamakan dirinya setaraf dengan Nabi Khidir a.s. Dalam al Quran, surah al Kahfi, ada menceritakan bahawa Nabi Allah Khidir tidak membenarkan Nabi Musa a.s. bertanya apa-apa soalan. Sedangkan tindakan beliau (Nabi Khidir a.s.) itu mengundang soalan bagi semua orang. Apa lagi bagi seorang Rasul seperti Nabi Musa.
Suka Acik tegaskan bahawa kisah di atas tidak wajar dijadikan nas untuk menghalang atau melarang murid atau penuntut dari bertanya soalan. Sebaliknya biarlah seseorang murid atau penuntut itu bertanya apa saja yang beliau ingin tahu. Jika pengajar atau guru belum tahu jawapannya, jangan marah. Jika soalan murid atau penuntut itu tidak relevan jawap saja tidak relevan tanpa perlu mematikan semangat ingin tahu pelajar atau murid tersebut.
Wallahualam.
d a u l a t r a k y a t !
Lain-lain PenCERAHan yang relevan :
Hudud # 02 – Manifestasi atau Penyebab ? https://4uni2c.wordpress.com/2014/12/15/hudud-02-manifestasi-atau-penyebab/
Rupa Buruk, Cermin Dipersalahkan: https://4uni2c.com/2014/09/23/4uni2c-14923-dont-blame-the-mirror-for-our-bad-image-terjemahan/
*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: www.4uni2c.com
@ OPajar (# 15826)